Tuesday, January 17, 2017

Sepetang bersama Asyraf dan Afifah

Sejenis rindu untuk anak buah dua orang ni. 



Dua-dua jenis tak reti tidur tengahari. Tapi, mak dengan makcik-makcik nak tidur sebab masa hujung minggu jelah boleh tidur tengahari. Lepas masak, aku tengok diorang dok main-main sama diorang berdua je.

Ajak pergi kutip sampah dekat tepi sungai sebab masa sapu daun kat luar pagi tadi aku tengok sampah tersangkut punyalah banyak. Tanya ayah dulu untuk pastikan keselamatan anak buah ni. Lepas ayah bagi lampu hijau, ajak budak dua orang ni yang masa tu tengah main rotan. Main rotan? Gila tak best permainan korang. Jomlah kita buat aktiviti sayang oi.



Kaca pun ada
Ambil satu plastik je dulu masing-masing. Bagi penyepit mak sorang satu, jomlah kita kutip botol plastik. Eksaited punya pasal, kejap je dah penuh bag plastik. Tapi, banyak sampah pun iya juga. Sebab tu cepat penuh. Tak sempat nak penat. Ambil lagi seorang seplastik. Oklah, bagi pengalaman kejap di samping tolong kemas tepi sungai tu.


Inilah hasil kutipan diorang

Lepas tu, minta tolong Kak Mi yang nak keluar pergi Giant buang dekat recycle bin sebelah masjid. Budak dua orang tu ikutlah Mak Ngah diorang. Alang buat hal sendiri pula. Tak larat nak layan korang. Tenaga entah dari makanan apa entah tak habis-habis. Mainlah korang berdua sendiri lepas tu. :)

Love..

Monday, January 16, 2017

Misi 50

Seingat-ingat saya, saya tidak pernah menyekat pemakanan saya. Saya memang akan memakan tanpa kerisauan kepada kegemukkan. Sehingga sebelum ini seorang rakan baik saya pernah bertanya semasa kami sedang mengambil makanan untuk tengahari, 

"Nadiah ni tak pernah diet ya?"

Saya menjawab,

"Kenapa yer? Tapi, seingatnya memang tiada. Kerja memang makan sahaja tanpa mempedulikan hal berat badan. Haha."

Sambil melihat kepada nasi dan lauk yang penuh di pinggan. Memang perangai pula jenis makan habis sepinggan. Sehabis boleh tidak mahu pembaziran. Alhamdulillah untuk nikmat makan yang tidak perlu pening kepala apa karbo ke, lemak ke yang ada dalam makanan itu. Mungkin sebab saya tinggi, (setakat 158cm tu pun nak kata tinggi sangat. Lol sangat kau ni)

Tetapi baru-baru ini, seorang teman pejabat saya memberitahu Faezah yang saya sudah berisi setelah saya membuka braces. Rasanya tahap makan saya masih biasa. Ada braces ke tidak, begitulah saya makan. Yang lebih merisaukan saya apabila minggu lepas, saya mahu memakai baju kurung ke pejabat dan sudah tersangkut di peha. Baju kurung moden memang tidak mempunyai ruang kosong yang banyak, maka jika kamu bertambah berat badan sangat banyak, lebih mudah terlihat.

Selama ini saya memakai baju kurung sahaja. Baju kurung memang sukar menyukat kebesaran badan jika bertambah. Baju-baju kurung moden saya adalah pemberian kawan emak yang sudah tidak muat dan antara adik-beradik saya, hanya saya yang muat. Makanya, baju Cik Milah ada dalam simpanan saya dalam 20 pasang. Bertukar-tukarlah baju saya sepanjang minggu. Cantik pula itu. Almaklumlah, Cik Milah ini kerjanya menjahit baju kurung.

Baju kurung ini juga penanda aras yang saya telah berisi. Berat badan saya sudah mencecah 61kg semasa pulang ke kampung kenduri Muiz tempohari. Saya tidak tahu sekarang berapa berat badan saya. Semasa menimbang di gym bersama Nina, saya berkata,

"Aish, dah 60 ni memang susahlah nak turun jadi 50 balik."

Nina yang memang saya kagum dengan penurunan berat badannya menegur saya,

"Mana boleh, kena turunkan juga."

Terus saya menanam dalam hati untuk menurunkan berat badan saya kembali menjejak ke angka 55kg.

Baju kurung pencetus rasa

Saiz t-shirt masa ni 'S'

Dua bulan kemudian bertukar 'M' ;(
Untuk keberatan yang bertambah ini, saya mula mengurangkan portion nasi di pinggan dan bercita-cita untuk bersenam. Alhamdulillah, saya sudah merasa perasaan berdiet walaupun masih makan nasi. Saya suka merasa perasaan-perasaan kecil ini. Pada masa yang sama, saya akan menjaga tubuh badan saya juga kerana ini adalah pinjaman bak kata Alin. 

Love..

Wednesday, January 4, 2017

Selamat Tahun Baru 2017

Selamat Tahun Baru 2017 kepada semua. Semoga kita semua menjadi hamba Allah / anak / kakak / adik / sahabat / rakan sepejabat atau lain-lain yang lebih baik dari hari ke sehari. Begitu cepat masa berlalu sekarang, semoga amal kita semua diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekal di akhirat kelak.

Orang kata, kita kena visualize azam kita dalam bentuk tulisan tangan / tulisan komputer supaya lebih cepat termakbul. Sama ada akan terjadi disebabkan usaha-usaha kecil kita atau Allah akan melaksanakannya mengikut cara Allah. Cara yang kita sendiri tidak terduga. Jadi, saya perlu visualizekan. Jadi atau tidak, cerita lain. 

Antara azam saya tahun ini adalah : -
  1. Solat di awal waktu - Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib & Isyak
  2. Solat sunat witir tiga rakaat - Sebelum ni punya malas, satu rakaat je witir.
  3. Solat sebelum subuh 2 rakaat setiap hari
  4. Baca Al-Mulk sebelum tidur
  5. Baca ayat kursi selepas solat
  6. Menyimpan RM500 setiap bulan - Dah 8 tahun kerja, dan kau tak punya saving. Sejenis manusia apakah engkau ini? Hehe
  7. Membaca satu buku setiap 2 minggu
  8. Kurangkan mendengar muzik, banyakkan mendengar podcast ceramah
  9. Puasa sekurang-kurangnya tiga kali sebulan
  10. Bersenam seminggu tiga kali - sehari kat bilik PJ, zumba, hujung minggu sekali
  11. Baca sebuah buku English setiap dua bulan 
  12. Regular involve in volunteerism - Breakfast for Homeless
  13. Blogging setiap dua minggu
  14. Buat aktiviti KAMY
  15. Belajar main gitar lagu AdaMu - Najwa Latif sebelum bulan May 2017
  16. Sebulan sekali cuba resepi baru dekat Klang (kuih/lauk/pencuci mulut)
  17. Bangun awal pagi dan pergi kerja lebih awal. 
  18. Bawa emak jalan-jalan. Mak dah pernah sebut nak pergi Cameron Highlands dan IKEA
Itu je yang setakat ini saya boleh fikir. Selepas ini kalau ada saya akan update lagi. Tak banyak sangat rupanya. Hehe. Saya perlukan sesuatu yang baru. Hidup saya sekarang sudah terlalu selesa. Saya perlukan sesuatu yang baru seperti bekerja di Australia mungkin. Hehe. 

SELAMAT TAHUN BARU!!




Love..

Wednesday, December 28, 2016

Kegembiraan Dikongsi Bersama

Cuti sekolah hampir melabuhkan tirainya. Apabila cuti sekolah, menandakan kepulangan cikgu kesayangan kami, Cikgu Nafisah yang mengajar di Sarawak. Berbagai aktiviti akan dibuatnya terutama bersama anak buah kami. Cuti sekolah yang lepas, Fisha bawa mereka pulang ke kampung. Kali ini, Fisha dan Naziha bergabung membawa mereka bermain di Times Square Kuala Lumpur. Saya tidak dapat mengikut mereka, ada tender interview yang perlu dihadiri. Tetapi, tidak mengapa, bergembiralah kamu.

Cuti hujung minggu yang lepas, ketika sedang di dapur makan dan memasak bersama-sama (masa kami dapat berborak tanpa masing-masing memegang telefon kerana makan/membuat kerja) saya bertannya pengalaman Kak Cik dan Nafisah. 

"Siapa yang paling nakal?" Tanya saya.

"Okay je masing-masing. Asyraf je lah asyik berlari-lari je. Tapi, bila kita kata sabar, tunggu dulu masa nak beli barang, dia okay je dengar cakap." Kata Nafisah dan Naziha bersama-sama. 

"Diorang ni, bila tiada emak masing-masing okay je. Dengar cakap macam ni, rajinlah makcik-makcik nak melayan lagi." Kata saya. 

Kami berborak lagi mengenai perihal penjagaan kakak saya terhadap anak masing-masing. Ada pro dan kontra. Yang baik kami puji, dan yang kurang, kami jadikan pengajaran untuk kami kelak. Mahu mendidik anak menjadi manusia sebenarnya tidak mudah. Sungguh! Tidak mudah. Tetapi kita perlu sama menasihati dan menjaga. Tidaklah terasa terbeban seorang diri. Doa saya semoga bila saya sudah mempunyai anak nanti, saya akan mendengar juga nasihat dari orang yang tidak punya anak dan orang sekeliling. 

Semenjak Kak Mi dan Abang Hairol berpisah, semacam ada kebertanggunajawaban bagi kami adik-beradik untuk bersama-sama mendidik anak Kak Mi. Perkara itu turut terlempias kepada Afifah. Sebenarnya perlu bersama-sama tidak kira sesiapa pun. Acik Oya selamba sahaja memarahi saya dan adik-beradik semasa kami kecil kerana mahu kami menjadi manusia. Kecil-kecil dahulu kami memang tidak menyukainya. Tetapi apabila besar, betapa kami bersyukur kerana menjadi orang yang lebih peka dan pandai membawa diri. Teringat saya ketika dahulu saya tinggal di kampung. Saya tidak membetulkan cadar katil, kerana biasalah, lepas dah masak nanti saya akan bermalas-malasan atas katil juga. Pantang nenek Sa'abah tengok cadar tidak tegang (sekarang nenek dah kurang kisah, tetapi kami dah pandai pasang cadar dekat katil dah nenek. Hehe.). Selamba sahaja nenek berkata kepada saya, "Masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang harimau, mengaum." Sebabnya mahu saya mengikut rentaknya pada masa itu. Menjadi pengemas. Sekarang, walaupun tidak banyak, tetapi saya sudah banyak berubah menjadi lebih baik.

Nenek dan Acik memang tidak kisah mahu menegur anak buah dan cucunya untuk kebaikan mereka. Walaupun mereka pernah tidak disukai kami dulu. Hehe. Tetapi, sekarang kami dah bertambah sayang tau. Perkara yang sama kami aplikasi bersama anak buah kami. Mahu kamu menjadi 'orang' apabila sudah besar nanti. Segala leteran, omelan dan pukulan kepada kamu semua, untuk kebaikan awak semua di masa hadapan.

Satu lagi yang saya belajar adalah bersama-sama memberi kegembiraan kepada orang lain. Anisah dan Safwan pernah membawa anak buah kami bermain bowling bersama. Melayan kerenah anak buah kami bersama Pak Busunya. Aminah dan Muzakir juga membawa mereka memanjat Bukit Broga. Fahmi juga pernah membawa Afiq menaiki Broga bersama Mak Usu. Ketidakkisahan membawa anak buah orang lain perlu dijadikan tauladan. Walaupun pada dasarnya, Mak Usu seorang yang menitik berat perihal makanan anaknya, tetapi apabila bersama kami, beliau menjadi linear. Saya masih teringat ketika kecil-kecil Mak Ina dan Achik Iza membawa kami ke Kuala Lumpur untuk bermain permainan dan kemudian ke Pesta Buku. Pengaruh besar dalam kehidupan tau. Kitaran itu, semoga sentiasa berputar kepada orang lain juga. 

Mina dan Muzakir melayan

Atam diorang tak sampai atas

Geng Haji Bujang pula masa itu

Sebab geng Afiq ni Umair, Mak Usu memang rajin bawa


Yang ni paling terharu. Makcik2 malam nak keluar masa ni. Hehe.

Times Square uolls

Lepas ni, masing2 nak start keretalah

Pandai je bawa diri kalau mak masing2 takde

Apa-apapun semoga mereka membesar menjadi orang yang berguna untuk diri sendiri dan kemudian berguna untuk orang sekeliling, anak-anak buah Alang yang tersayang. 

Love..

Tuesday, December 27, 2016

Adik Dah Besar

Semalam maghrib hujan. Saya di bilik atas membaca buku. Azan hanya saya jawab dengan doa dan menyambung kembali pembacaan. Cita-cita mahu solat bila dengar azan memang selalu di dalam hati. Semoga satu hari menjadi kenyataan.

Anak buah menjerit dari bawah, "Alang, Atok nak sembahyang kat rumah. Alang!" Dikuatkan sedikit suaranya kerana mungkin baginya saya tidak dengar.

"Okay. Okay! Alang ambil wudhu." Saya menjawab. Supaya tiada lagi jeritan dari bawah selepas ini. Saya menutup buku dan terus ke bilik air. Tanda mahu mengikut jemaah ayah. Kelebihan ayah bersolat di rumah, anak-anaknya solat di awal waktu dan berimam. 27 pahala untuk itu.

Sementara menunggu kami membentang sejadah untuk saf perempuan, ayah qamat. Kemudian adik mengambil tempat imam. Okay. Adik nak jadi imam. Ayah berdiri sebaris bersama Akmal dan Afiq. Sambil-sambil melayan Akmal mempersoalkan betul ke Busunya mahu menjadi imam.

"AllahuAkbar." Adik memulakan solat maghrib kami. Okay, bunyi tu dah macam biasa jadi imam kata aku dalam hati. Dalam hati berdoa semoga Allah mudahkan solat kami. Supaya adik tidak terlupa surah atau tersilap dalam solat ini. 

"Assalamualaikumwarahmatullah." Adik memberi salam dan mengakhiri solat kami tanpa sebarang perkara yang membatalkan solat. Seterusnya membaca doa selepas solat. Dalam hati aku, kagum. Masih ada yang perlu diperbaiki, tetapi secara keseluruhannya masih dikira berjaya. 

Silap saya memandang rendah kemampuan adik bongsu saya. 

Selepas solat, saya bertanya kepada ayah samada ayah mahu melatihnya atau bagaimana? Kata ayah, adik sendiri yang meminta mahu menjadi imam. Ayah cuma memberikan sahaja. Berkata saya kepada adik yang perbuatannya seperti sudah biasa menjadi imam, kata adik, di kolejnya, dia sudah biasa menjadi imam di surau jika tiada imam utama. Oh, begitu. Banyak yang saya tidak tahu mengenai adik saya sebenarnya. 

Sebak saya ketika adik menjadi imam kami. Saya terfikir apakah perasaan ayah dan emak apabila anaknya sudah menjadi begitu. Terharu sungguh. Terima kasih adik untuk kisah kecil ini. Tiadalah lain doa kami semoga adik-adik lelaki kami termasuk anak buah supaya menjadi orang yang boleh memimpin keluarga. Latihan kecil ini semoga berguna sampai akhir hayat sayang,



Alhamdulillah untuk didikan ini emak dan ayah. Semoga kami dapat memberi manfaat kepada emak ayah semasa kalian masih hidup, lagi-lagi selepas tiada lagi nanti.



Hujan masih belum reda. Solat Isyak juga adik yang menjadi imam. 

Adik saya sudah besar. Saya juga sebenarnya. 

Love..