Sunday, May 17, 2020

Ceramah Hujung Minggu

Saya mendengar ceramah dari Ustaz Azlan mengenai Nabi Nuh a.s. Yang berdakwah selama 950 tahun dan berjaya mengajak 80 orang atau 83 orang (khilaf) sahaja beriman dengan Allah. Dalam ceramahnya, dia menceritakan yang Nabi Nuh a.s, tidak ambil cuti EL pun, sepanjang tahun berdakwah. Tapi, Allah tak nilai hasil. Tetapi, jalan ke arahnya. Beliau antara Nabi yang digelar Ulul-Azmi kerana berhadapan dengan rintangan yang hebat dari kaumnya. Belajar mengenal Nabi-nabi dan bersama-sama tadabur Al-Quran merupakan benda baru. Selama ini, saya cuma menyemak sedikit-sedikit. Kelebihan Ustaz Azlan yang saya suka adalah, dia boleh memberi contoh dengan penggunaan bahasa yang saya orang biasa boleh faham. Selain itu, dia membacakan hadis yang penuh. Ada beberapa hadis yang saya pernah dengar sebelum ini, tetapi tidak ada perincian.

Contohnya seperti ada kisah sahabat yang terlewat sampai ke masjid untuk solat Isyak berjemaah. Sesampai di masjid, Rasulullah s.a.w. telah habis solat. Lalu, Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabat yang telah solat, 'Tidak adakah seseorang yang boleh bersedekah kepadanya, dan solat bersamanya?' Yang saya dengar adalah, seorang sahabat bangun dan solat bersama-sama dengan sahabat yang baru sampai tadi. Menunjukkan bahawa, kita boleh solat dua kali untuk bersedekah kepada orang lain. Sampai situ sahaja. Tetapi, Ustaz Azlan memberitahu bahawa sahabat yang bersedekah dengan bangun solat itu adalah Abu Bakar r.a. 

Di penutup ceramah, Ustaz Azlan memberi saya berfikir. Sekarang ini di manakah kapal kita? Bersama siapa kita akan masuk ke dalam kapal?

.......................................................................

Kemudian, saya mendengar sedikit ceramah Ustaz Hasrizal mengenai pengkhususan ilmu oleh pensyarah-pensyarahnya. Kisah seorang pensyarah yang percaya dengan ilmu nombor sehingga pernah menjadi umpatan pelajar di situ. Satu hari, ada seorang pensyarah dari luar datang ke universitinya. Seorang pelajar bertanya mengenai mukjizat nombor, apa pandangannya. Oleh kerana displin ilmu dan tidak mahu menjatuhkan air muka pensyarah lain, pensyarah itu memberikan nasihat dengan terus mencari ilmu. Ustaz Hasrizal pula adalah ustaz yang praktikal untuk saya ikuti. Bila ada orang bertanya jika masih mencari-cari arah tujuan, dia pernah menjawab dengan katanya, 'Teruslah belajar dan mencari. Kerana pada umurnya yang sekarang pun dia masih lagi mencari. Tak tahu apa yang mahu dibuat. Doa Allah tunjukkan.'

Kemudian, saya juga mendengar Ustaz Hasrizal di dalam Sembang Bukan Kosong dengan PEPIAS untuk pecutan terakhir Ramadan. Antaranya ialah :-

  • Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain
  • Jangan bandingkan keluarga kita dengan orang lain
  • Jangan terlalu ketat dengan diri sendiri, tapi selalu improve diri sendiri

.....................................................................

Hujung minggu saya begitu berat sekali di fikiran. Bagus sebenarnya. Saya perlu berbuat sesuatu untuk semua ini. Selama ini, perjalanan hidup saya hanya go with the flow sahaja. Walaupun go with the flow, Alhamdulillah hidup saya sangat menarik. Apa akan jadi jika saya mula mengatur perjalanan hidup saya? Mesti lagi menarik. Dah nak umur 35 tahun baru nak atur hidup kau? Takpe Nadiah. Takde siapa pun kau nak lawan. Lawan dengan diri sendiri je. Allah dah jaga 35 tahun ni. Takkanlah lepas ni nak jadi lagi baik, Allah nak biarkan? Doa moga Allah bantu.

Screenshot untuk makanan otak
Normal baru

I love me

Love..

Friday, May 15, 2020

Hari Terakhir Nic

Hari ini merupakan hari terakhir Nic di Southgate. Setelah hampir empat tahun bertahan, Nic akhirnya berlepas diri dari Ai Tee. Ketika di dalam kereta pagi ini semasa mahu ke site office, Nic bercerita alasan dia mahu berhenti. Sudah tidak tahan dengan Ai Tee. Antara orang yang terawal tahu Nic mahu berhenti adalah Cheah. Bekas staf MGKT dahulu. Pernah di bawah Ai Tee semasa membuat contract waterproofing. Beberapa kali Ai Tee memujinya di depan saya. Mengatakan, Cheah ini bagus pekerjaannya. Saya juga melihat Cheah biasa sahaja tenang membuat kerja. Sangka saya, mestilah dia mahu mencari tempat yang offer lebih baik. Tidak sangka alasan perginya adalah kerana Ai Tee juga. Sayangnya, orang-orang yang bagus ini pergi dari sini. 

Nic juga seorang pekerja yang sangat bagus. Cara kerjanya sangat detail. Saya melihat nota e-ro di dalam sebuah buku di mana dia menulis semua e-ro yang telah diapprovenya. Sungguhlah bukan saya. Saya approve sahaja tanpa nota. Baru-baru ini, ada dua orang yang bertanya kepada saya mengenai ketiadaan nama Nic dalam organisation chart yang baru. Ms. Tan dan Kah Man. Saya memberitahu bahawa Nic sudah resign. Kedua-dua mereka memuji kerjasama dan mudahnya Nic berurusan dengan mereka. Masing-masing pernah berurusan kerja dengan Nic. Selepas ini saya akan mengambil pekerjaannya. Sedikit bimbang. Bukan sedikit, banyak sebenarnya. Jika standard Nic pun Ai Tee tidak terima. Apatah lagi saya.  

Nic menceritakan lagi di dalam kereta, dia seorang yang biasa-biasa sahaja. Saya memahaminya. Kami tidak bercita-cita tinggi. Bagi kami, cukuplah kami bahagia bersama keluarga. Tetapi, apabila bekerja bersama Ai Tee, dia selalu terfikir-fikir pekerjaannya di rumah. Sedangkan di rumah adalah masa untuk dia bersama keluarga. Dia pernah menceritakan kepada saya, apabila minggu budget bermula, dia akan tidak dapat tidur malam. Sungguh tidak sihat situasi itu. Maka, dia berfikir lebih baik dia keluar dari keadaan ini. Katanya lagi, sepatutnya Line 2 ini lebih mudah kerana kita sudah membuat Line 1. Tetapi di bawah Ai Tee, ia tidak semudah yang disangka. Kata Nic lagi, tempat kerja barunya memotong elaun RM500 disebabkan keadaan baru Covid19 sekarang. Banyak syarikat yang mengalami kerugian dan sedang dalam fasa pengstrukturan semula cara kerja untuk memenuhi norma baru. Jadi, saya pun bertanya, 'So, you nak masuk sini balik tak?' Dia masih menggeleng. Begitu determine sekali dia mahu berhenti. 

Saya tidaklah mahu memaksanya untuk tidak berhenti kerana saya. Mementingkan diri sendiri namanya. Saya mahu dia gembira. Itu sahaja keinginan semua orang. Biarlah kerja banyak, janji hati gembira. Saya mendoakan kegembiraan Nic. Jika kita gembira, kita pasti akan membuat orang sekeliling kita juga gembira. Kemudian, orang lain akan membuat orang lain gembira. Lahirlah masyarakat yang gembira. 

Saya berdoa, supaya Allah memberi kefahaman untuk saya mengambil tugasan baru ini. Diberikan ilmu yang bermanfaat, akal yang tajam, daya fikir yang bagus, rezeki yang halal, masa yang berkat dan membantu lebih ramai dalam pekerjaan saya ini. Diam tak diam, sudah 12 tahun saya di Gamuda. 20 May 2008 merupakan masa saya masuk ke sini. Itqan dalam pekerjaan adalah benda yang saya struggle dari dulu. Semoga dengan pemberhentian Nic, menjadikan saya bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Lebih bijak dalam menyelesaikan tugasan dan membuat pekerjaan yang lebih berkualiti berbanding kuantiti. Kena pandai balancekan diri dan stay focus. Juga doa saya kepada Ai Tee, semoga kurang expectation yang tinggi dan menerima pekerjaan saya dan Nina seadanya tanpa mempush kami di luar kapasiti kami. Semoga Nina juga diberi ketenangan dan kemudahan kerja. 

Handing over - Nic ada 41 kerja

Bye bye Nic

Gigih aku berlakon nak pakai mask. Haha

Fairos order Grab Hokkaido Tart dengan air sihat apa entah

Terima kasih Nic untuk semuanya

Be strong, girl. Allah love you.
Saya menangis di dalam kereta semasa pulang tadi. Sedih, Nic sudah tiada. Takut untuk semua tugasan yang akan saya ambil. Mampukah saya jadi lebih baik dari diri saya sebelum ini? Risau dengan expectation Ai Tee. Sedikit cuak, gementar, dan ragu-ragu. Di atas semua rasa itu, haruslah saya gembira untuk Nic yang akan lebih gembira selepas ini. Sesampai di rumah, saya menjustify semua ini. Saya masih percaya pada ketentuan Allah. Tidaklah Allah meletakkan seseorang hambaNya di sesuatu keadaan melebihi kemampuan hambaNya. Allah tahu saya mampu melalui semua ini.

Ya Allah Ya Alim, Yang Maha Mengetahui, sesungguhnya, Engkau lebih mengetahui keupayaanku melebihi apa yang aku tahu. Maka bantulah dan tunjukilah aku. Hanya kepadaMu aku bermohon dan hanya kepadaMu aku minta pertolongan. Tiada daya dan upaya aku ke atas diriku sendiri melainkan dengan bantuanMu. Maka, dengan rahmat dan kasih sayangMu, bantulah hambaMu ini. 

Love..

Thursday, May 14, 2020

Ayah, Contoh Tauladan Terbaik

Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, kami telah mempraktikan solat berimamkan imam-imam muda di rumah. Semalam, Akmal menjadi imam solat Maghrib. Selepas di'negotiate' kerana dia membaca surah panjang ketika solat Isyak sehari sebelumnya. Maka, dia bertukar bersama Afiq menjadi imam untuk Maghrib sebab tiga rakaat. Kenapakah kami bernegotiate begitu? Manusia. 

Di dalam solatnya sebelum ini, dia membaca surah Al-A'la. Walaupun panjang, tetapi bacaannya lancar sekali. Saya sungguh kagum. Kali ini, dia membaca surah Al-Balad. Masih lancar, tetapi hampir di hujung surah, dia terlupa. Ayah membantu menyambung sedikit ayat itu. Kemudian, dia berjaya menghabiskan ayat  dan menghabiskan solat itu. Selepas solat, dia bertanya kepada ayah, 'Atok, macam tu yer kalau atok sambung ayat?' Ayah mengiyakan. 

Sayang, membesarlah

Baca doa juga
Ayah, itulah yang selalu dilakukan. Menjadi contoh melalui tauladan. Terima kasih ayah untuk semua contoh tauladan yang baik untuk anak, menantu dan cucumu ikuti. Moga syurga tertinggi untuk ayah dan emak kerana membesarkan kami dengan pendidikan agama yang cukup. Yang tambahan dan untuk menguatkan lagi ilmu itu, sila cari sendiri ye kakak-kakak dan adik-adik yang saya sayangi. Semoga di syurga kelak kita bersama. InsyaALLAH.

Yang kecik ni pun pernah jadi imam


Sebab bermain je. Orang dah solat Asar, dia baru balik. 


Love..

Saturday, May 9, 2020

Kisah Malam 16 Ramadan 2020

Hari ni hari Jumaat. Aku balik Klang. Bila aku sampai, Mak, Nafisah, Kak Cik dan Kak Long tengah ada dekat dapur nak sediakan juadah berbuka. Aku balik lepas office hourlahkan. Orang work from home. Minggu depan, nak kena masuk ofis dah. Kak Cik hari tu memang kerja pun dah sampai rumah. Tengah masak-masak tu, Kak Cik kata dengan mak, masak lebih-lebih sikit, malam ni kan ramai. Aku tanya ar balik, 'Akak je kot sayang.' Rupa-rupanya Kak Mi pun kata nak balik malam tu. Tengah masak-masak, Kak Mi pun sampai dari Nilai. Eh, ada Kak Mina juga. Memang ramailah gamaknya. Kira malam ni, semua anak mak ada kecuali Daus, ada dekat Klang. Bukan selalu dapat. Us, moga sihat-sihat saja menjadi ayah di Pendang tu yer. Nikmat keluarga ramai dan boleh berkumpul ni, kena syukur banyak. Tak tahu sampai bila? Tahun-tahun depan, bila semua dah ada komitmen masing-masing, tak dapat dah nak kumpul macam ni.

Lepas makan, nak solat Maghrib, Abang Afiq jadi imam. Allah. Minggu lepas sebelum balik dari Klang, memang ada dengar Kak Fisha bagi jadual untuk imamkan solat dekat Abang Afiq dengan Akmal untuk solat Zuhur dengan Asar. Kata Kak Fisha, solat-solat tu tak payah baca kuat-kuat. Jadi, kira okaylah. Yang ni, dah boleh bawa untuk solat yang kena baca kuat-kuat, kira memang sejuklah perut Ami mengandung. Terima kasih pada Kak Fisha sebenarnya. Dia yang rajin initiate benda-benda macam ni. Ayah, dia memang tak ajak anak-anak dia buat benda. Tapi, ayah tunjuk. Biasanya, memang contoh untuk kita ikutilah. Nak minta ayah initiate, memang tidaklah. Takde masalah. Banyak dah ayah punya kebaikan. Contoh teladan yang paling baik sebab kita tengok apa yang ayah buat. Ayah support je. Dia bagi cucu-cucu dia buat benda tu.


Kak Fisha ni, kalau aku ada rezeki anak, kalau dia marah anak aku, aku tak akan marah dia. Aku tau dia memang nak jadikan anak aku lagi baik. Dia jaga anak Ami dengan anak Along memang tegas kot. Masing-masing kena belajar dari pukul 11 pagi hingga pukul 1 tengahari. Kena mengaji lepas subuh atau lepas maghrib. Rajin melayan juga walaupun tegas. Minta je ar nak makan apa. Dia akan google untuk penuhi keinginan anak-anak buah dia. Masa PKP dan Ramadan ni pula dia kat Klang, biasanya dia kat Sarawak. Macam-macam dia buat dekat rumah tu. Mengemaslah, mengecatlah, memasaklah, lagi-lagi mengajar anak buah. Untuk semua usaha yang awak dah buat sayang, akak doakan awak dipertemukan dengan jodoh yang terbaik untuk awak dan jumpa nanti dekat syurga juga untuk kita semua. 


Berapa lama je bertahan ni. Tapi, at least buka buku.


Masing-masing kena buat kerja sekolah



Best student. Rajin.


Berbalik kepada cerita imam tadi. Waktu Maghrib Afiq, solat Isyak pula giliran Akmal. SubhanAllah, Akmal pun dah confident jadi imam. Dia punya konfiden, Surah Al-A'la. Sabbihis MarabbikalA'la. Panjang kot. Tapi, konfiden tu aku suka. Dan untuk membuka jalan tu, aku suka juga. Membesarlah sayang. Semoga menjadi umat Islam yang lebih bermanfaat kelak. Tidak habis di situ. Rasa bersyukur disambung lagi dengan solat terawih berimamkan Fikri. Lapan rakaat. Adik bawa. Adik pun dah besar. Allah. Saya gembira. Dan penutupnya, ayah bawa witir beserta Qunut kerana sudah masuk 16 Ramadan. Kegembiraan ini, semoga sehingga ke syurga. Segala Puji hanya untuk Tuhan yang Maha Kaya lagi Penyayang. Teringat saya hadis Rasulullah s.a.w, 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu”. [Riwayat Ahmad]

Beruntunglah Along dan Ami, mempunyai anak yang InsyaALLAH akan beristighfar untuk mereka kelak bila mereka tiada lagi. Di bahagian aku, semoga aku terdiri dari kalangan anak yang beristighfar untuk mak dan ayah juga. 


Sayang sangat


Ramadan 2020


Sampai syurga
Untuk nikmat keluarga yang Alhamdulillah ini, marilah selalu doa kepada Allah dengan doa dari Al-Quran Surah Al-Furqan ayat 74, semoga dikurniakan pasangan dan keturunan yang menjadi penyejuk mata dan penenang hati. 

sumber : google

Love..