Wednesday, November 8, 2017

Pak Wan Khazim

Bersama En. Anuar ni, saya dapat berkenalan (jika tulis berkawan, macam sebaya pula) dengan orang-orang hebat. Antaranya Pak Wan Khazim, ayah kepada En. Wan Kharizal. Kalau tulis mengenai penglibatannya dalam politik, antara golongan kiri semasa menentang British dan UMNO memang sangat hebat. Tetapi saya lebih mengenali beliau sebagai seorang atok yang penuh dengan kasih sayang, mencintai seni, kelakar dan bersemangat waja.

Pernah terlibat dalam lakonan bersama P. Ramlee dalam beberapa cerita antaranya Hang Tuah, yang menjadi penari dan beberapa cerita lagi. Saya kurang pasti. Isnin lalu, Pak Wan turun kerana menghadiri pelancaran bukunya bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya dan Mak Ina berkesempatan menziarahinya dan isteri di Mandarin Court Hotel. Berdekatan dengan pejabat saya di Chan Sow Lin. Saya mengambil Mak Ina di LRT Stesen Chan Sow Lin selepas pulang kerja dan terus ke hotel di mana En. Anuar sedang menunggu kerana telah sampai dahulu. 

Pada umur hampir 90 tahun, saya kira Pak Wan masih bersemangat walaupun tidak sihat. Pertemuan sebentar sahaja itu, sempat kami (Mak Ina dan Pak Wan, saya senyum di tepi sahaja) berbalas pantun. Pak Wan memang terkenal dengan kehebatannya memberi pantun secara spontan. Sesuai dengan pelancaran buku kompilasi pantunnya. Saya lihat tulisan tangannya di dalam buku ini tersangatlah cantik. SubhanAllah. Pak Wan sempat memberi pantun kepada saya, saya hanya mampu tersenyum sahaja. Jika saya seorang yang spontaneous, mungkin boleh. Tetapi, masih memikirkan pembayang sahaja sudah lama. Saya tersenyum sahaja.

Macam sedang diwawancara

Sesi tandatangan dalam bahasa jawi

En. Wan, dapat kelakar dari ayahnya



Sebelum pulang, Pak Wan menitip pesan, "Lawan Tetap Lawan!"

Sudah umur begitu pun masih memikirkan perjuangan. Saya termalu sendiri kerana muda-muda sahaja sudah mengaduh penat bekerja. Apatah lagi membuat apa-apa pun untuk perjuangan negara. Terima kasih untuk semangat ini Pak Wan. 

Apabila di dalam kereta selepas menghantar Mak Ina di rumahnya di Melawati, saya mereka-reka pantun yang boleh diberi kepada Pak Wan. Maka, terkeluarlah idea ini.

Pagi-pagi bermain guli,
Ada umur jumpa lagi.
Bermain guli bersama Ali,
Pak Wan, jaga diri.

Buku Pak Wan
Haha. Tak tahu bila boleh cakap dekat Pak Wan, saya ni penyegan. Alhamdulillah untuk perhubungan ini. Semoga di syurga kelak kita berjumpa. Semoga Pak Wan dan Cikgu Aminah sihat-sihat selalu.

Love..

No comments: