Sunday, April 30, 2017

Belasungkawa Kak Rosemah

Mengenali susuk-susuk hebat di dalam YPU merupakan satu nikmat yang akan saya syukuri. Antara figura yang menarik pastinya Abang Shahrulazilan yang merupakan aktivis yang kental, tabah, kelakar dan sempoi. Terlalu banyak jasanya di muka bumi ini yang akan menjadi asbab menerima buku amalan dari tangan kanan kelak, InsyaAllah.

Antara kenangan bersama yang paling tidak saya lupakan adalah ketika Mak Ina mengajaknya memandu ke Perlis ketika penamaan calon En. Anuar. Beliau bersetuju dan meletakkan syarat. Syaratnya adalah sepanjang perjalanan hanya boleh mendengar lagu M. Nasir sahaja. Makanya, perjalanan sepanjang 6 jam itu, hanya kedengaran suara M Nasir sahaja. Tetapi tidak mengapa, sedap. :)

Beberapa bulan sebelum ini, Abang Shahrul diserang sakit jantung di Myanmar ketika sedang melakukan misi kesukarelaan di bawah Malaysian Relief Agency (MRA) di sana. Diserang sakit jantung di sana, tetapi beliau menahan sakit sehingga pulang ke Malaysia kerana memikirkan kepayahan ditahan di hospital di luar negara kelak. Sesampai di lapangan terbang Malaysia, beliau terus ke hospital. Selepas itu, beberapa kali ditahan di hospital dan telah membuat pembedahan pintasan jantung beberapa kali juga. Keadaannya menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan telah pindah ke Kuantan untuk tinggal di rumah keluarga isterinya Kak Rosemah. 

Mak Ina dan En. Anuar sudah lama mahu menjenguk Abang Shahrul di Kuantan semenjak perkahwinan Cik Jamaliah lagi, kami sudah berbincang mengenai perkara ini. Oleh kerana kesibukan masing-masing, perkara itu tertangguh. Semenjak dari perkahwinan Cik Jamaliah, YPU bercadang mahu mengumpulkan sumbangan yang konsisten setiap bulan kepada Abang Shahrul. Ayah dan emak juga bersetuju untuk turut serta. Semenjak bulan itu, ayah dan emak akan memberi duit kepada saya untuk diberikan kepada mereka. 

Setelah bertangguh-tangguh untuk ke Kuantan, akhirnya kami menemui satu tarikh iaitu Ahad lepas yang Isninnya cuti pertabalan Agong. Mak Ina menyuruh saya mencari homestay untuk kami bermalam di sana. Saya pun okay sahaja. Mahu bertanya kepada Kak Rosemah, Mak Ina kata Abang Shahrul sekarang di hospital. Tidak mengapa, internet banyak.  

Benarlah, jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan Allah. Hari Isnin lepas, semasa sedang bekerja, kami menerima pesanan whatsapp dari Abang Hud di dalam group YPU yang menyatakan Abang Shahrul telah menghembuskan nafasnya pada pagi itu. Allah. Terhenti seketika saya di waktu sibuk itu. Tidak sempat berjumpa dengannya semasa beliau hidup. Semoga tenang sahaja di Syurga Abang Shahrul. Rehatlah dari kejerihan dan kepayahan hidup yang sementara ini. Doakan kami sentiasa di jalan yang lurus dan mengikuti dengan tenang nanti. 

Kami masih meneruskan perancangan untuk ke Kuantan juga hujung minggu itu. Walaupun Mak Ina telah melawat pada Isnin dan berjumpa Cik Jamaliah dan Cik Leha di sana. En. Anuar pula waktu itu berada di Jakarta Indonesia. Kami melawat pusara serta balu dan tiga orang anak-anak yatim yang InsyaAllah akan menjadi hebat seperti ayah mereka juga. 

Rehat ngeteh di R&R Gambang


Homestay di Indera Mahkota 5
Makan malam di Ikan Bakar Tanjung Lumpur


Melawat pusara Abang Shahrul




Melawat Kak Rosemah



Team MRA yang melawat



Semoga diberikan kekuatan akak

Cerita Kak Rosemah, semenjak Abang Shahrul sakit sehingga ke hari itu, setelah seminggu pemergiannya, rumah mereka tidak putus-putus dikunjungi orang. Semasa kami sedang berborak, datang lagi dua kumpulan dari MRA sampai. Allah, sungguh orang yang hebat. 

Semoga Syurga buatmu. Amin

Love..

No comments: