Thursday, February 2, 2017

Kemalangan

Dalam seminggu, saya berdepan dengan dua kemalangan. Kedua-duanya adalah kesalahan dari diri sendiri.

Pertama, saya terlanggar kereta Kelisa di hadapan akibat sedang melihat telefon. Kesalahan sendiri. Sebenarnya, saya sudah lama melupakan perangai memandu sambil melihat telefon kerena sudah beberapa kali hampir terlanggar kereta di hadapan. Berselang-seli melihat video kemalangan disebabkan penggunaan telefon semasa memandu. Semenjak itu, saya tenang sahaja memandu tanpa telefon di tangan. Apabila sampai di rumah, saya akan melihat juga telefon bimbit. Tidak ada ketinggalan maklumat pun. Lebih selamat dan tenang saya di dalam perjalanan.

Seringkali saya simpati melihat pemandu yang memegang telefon di tangan. Seperti akan ketinggalan banyak maklumat jika mereka tidak membaca ketika itu. Saya pernah seperti itu. Jadi saya faham. Mahu mendapat hidayah memang sukar. Mungkin seperti pepatah 'Sudah terantuk, baru terngadah.' baru mereka akan membuang tabiat buruk itu. Saya berdoa semoga tidak. Alhamdulillah saya mendapat hidayah sebelum berlaku kemalangan. Seringkali membayangkan kesusahan apabila kereta masuk ke bengkel adalah ketiadaan kereta. Susahnya mahu ke mana-mana. Mohon dihindarkan.

Berbalik kepada kemalangan bersama Kelisa itu, saya sangat mengantuk setelah meredah kesesakan yang luar biasa dari pejabat ke rumah saya. Saya keluar jam 6.30 petang dari pejabat, tetapi masih di jalanraya jam 8 malam. Hampir dua jam. Saya mencapai telefon kerana terlalu bosan dan mengantuk. Saya baru sahaja scroll telefon dan membalas whatsapp, kemudian bunyi sesuatu dari depan. Bang! Saya sempat menekan brek. Alhamdulillah, saya memang tidak laju. Jadi, hentaman tidak sehingga bumpernya jatuh atau kelihatan teruk. Cuma kemek. Haha. Cuma? Masih perlu ditukar ya. Maha Suci Allah yang menjaga saya, tuan empunya kereta seorang lelaki India dalam 20an keluar dan melihat belakang keretanya dan kereta saya. Saya pantas meminta maaf. Memang salah saya. Dia bertanya adakah saya okay? Allah. Allah. Terharu saya. Masih memikirkan saya walaupun saya telah melanggar keretanya. Selepas itu, saya juga bertanya keadaannya dan memberikan kad saya kepadanya untuk menghubungi saya kelak. Kami di tengah kesesakan, saya tidak mahu menambahkannya lagi. Kami perlu bersurai. Dia akan menelefon saya kelak katanya untuk menyatakan harganya. Saya mengangguk. Terlupa mahu meminta nombornya dan no plat keretanya juga. Melihat kepada perlakuan dan kata-katanya, saya percaya dia tidak akan menipu saya. Dia orang yang baik dan saya perlu menunjuk teladan Muslim yang baik juga kepadanya. Masih ramai orang yang baik di dalam dunia ini. Saya perlu menjadi sebahagian daripadanya. 

Ketika menceritakan perkara ini kepada ayah, ayah menyatakan syukur. Ayah sudah melihat rakaman youtube di mana seorang pemandu lori yang terlanggar kereta mewah dan dibelasah oleh tiga empat orang lelaki. Mujur saya tidak kena. Saya juga terfikir jika orang yang saya langgar, keluar dan marah-marah saya. Pasti saya akan menangis di situ. Alhamdulillah untuk orang yang saya langgar begitu baik dan tenang sahaja. Semoga Allah memudahkan urusan kamu kerana memudahkan urusan saya. Sehingga sekarang dia masih belum menconfirmkan harga dengan saya. Saya percaya dia akan menelefon saya kelak. Semoga tidak sangat mahal sangat juga nanti. Hehe.

Tips memandu kereta :-
  1. Pastikan tangan anda bebas dari telefon.
  2. Sentiasa memberi laluan kepada kenderaan yang mahu masuk ke lane anda. Pahala percuma.
  3. Angkat tangan ketika pemandu lain memberi jalan kepada anda.
  4. Untuk mengelakkan anda berkejaran di jalanraya, keluar awal. 



Kejadian kedua adalah pagi Isnin minggu lepas. 

Pada pagi Isnin itu, saya mengambil cuti separuh hari kerana perlu ke bank bersama Kak Long. Kami menaiki motor sahaja kerana mudah untuk parkir. Sudah lama saya tidak membawa motorsikal, perasaannya memang mengujakan. Saya membawa motor dan kakak saya menjadi pemboncengnya. Kak Long memakai jaket di luar. Saya malas mahu mencari jaket, dan cuma melintangkan sahaja beg saya di badan. Memang salah sendirikan? Selepas selesai urusan kami, saya memandu pulang. Saya memandu santai sahaja kerana brek motor adik saya tidak berapa makan. Tetiba terasa dari kiri saya ada satu motor merapati. Pada masa yang sama Kak Long yang di belakang saya menepis tangan lelaki itu. Tidak sempat saya menafsir apa yang terjadi, motor itu sudah berlalu pergi. Kak Long bertanya adakah saya okay. Alhamdulillah saya okay. Kak Long kata, orang tu mahu mengambil beg awak. Saya melihat motor itu semakin menjauh. Mereka memecut. Dua orang lelaki yang segak memakai kemeja biru dan bermotor besar. Bukan motor kapcai. Memang tidak terduga mereka akan menjadi pencopet dari segi gaya motor dan pemakaiannya. Doa saya semoga kamu dirahmati Allah dan dipermudahkan urusan. Pastinya ada masalah kamu sehingga kamu terpaksa menjadi pencuri. Salah saya sendiri juga kerana membiarkan diri menjadi target kepada pencopet.

Saya ingat mereka tidak berjaya mengambil beg saya. Rupa-rupanya, mereka berjaya mengambil gelang emas saya. Pergerakan itu sangat pantas dan sangat licik. Saya tidak merasa apa-apa. Juga tidak tercalar sedikit pun tangan. Alhamdulillah. Sedikit ralat kerana gelang itu merupakan hadiah pemberian Kak Long saya. Saya pernah menulis mengenainya dahulu sempena hari jadi saya. 

Balik kampung masa cuti lepas, rupa-rupanya Mak Usu Jiha juga pernah diragut gelangnya. Semakin berani kamu semua. 

Untuk semua kejadian ini, tidaklah lain hanya Allah yang membenarkannya semua ini. Untuk menjadikan saya lebih berhati-hati, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Saya juga berdoa semoga Allah sentiasa menjaga saya ketika di jalanraya. Doa sebelum dah selepas menaiki kenderaan sentiasa dijadikan tabiat. Jaga diri semua. Semoga kita sentiasa dilindungi dari perkara-perkara yang membahayakan.

Tips memandu motorsikal :-

  1. Sila pakai jaket dan masukkan beg ke dalam jaket.
  2. Jika tidak, pastikan beg disilang di badan.
  3. Pastikan cermin pandang belakang elok untuk kita melihat orang di sekeliling kita.
  4. Doa Allah menjaga kita hingga selamat sampai.

Innalillah - Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Gambar tiada kaitan.

 Love..

3 comments:

Kumaboyz said...

Salam.
Maaf sebab tiada kaitan dengan post di atas.
Izinkan saya bertanya soalan berkenaan gamuda graduate program. Adakah pengambilan orang untuk program tersebut dibuat sepanjang tahun atau waktu tertentu sahaja? Harap sudi menjawab soalan saya.
Sekian, terima kasih.
Zaim

nadiah said...

Maaf kuma boyz, lambat reply. Setahu saya sekarang Gamuda hanya mengambil graduated students under SL1M sahaja.

Kumaboyz said...

Kalau yang itu untuk fresh graduate boleh apply ke?