Tuesday, June 21, 2016

Ramadan 13 - 2016

Hari biasa berpuasa, saya cuma bersahur roti dengan tuna atau cereal bersama Deekay. Kami biasa bangun jam 5 pagi. Makan dan menyembang, alih-alih sudah Subuh. Sabtu lepas, saya tidur di bilik Naziha. Kak Mi mengejut kami bersahur kemudian turun menyiapkan makanan bersama emak. 

Saya tersedar dan melihat jam sudah 5.15 pagi. Melompat saya turun ke bawah sambil menggerakkan Naziha. Sesampai di bawah, lauk masih tidak terhidang di ruang tamu, emak baru lepas solat, Kak Mi di dapur sedang membuat air panas. Melihat jam baru pukul 5 pagi. Cis, jam dinding bilik Kak Cik cepat 15 minit.

Melihat Kak Mi dan emak yang bangun awal untuk menyiapkan sahur untuk kami menyedarkan saya. Betapa, apabila kita sudah berkeluarga, tanggungjawab sudah bertukar dari orang yang bujang macam saya. Saya turun-turun terus makan. Tetapi, selepas bersahur adalah giliran kami membantu mengemas pula.  

Besarnya pahala Kak Mi dan emak menyiapkan sahur kami. Semoga syurga buat kalian. Saya pernah bertanya kepada Deekay,"Agak-agak dah kahwin nanti, suami aku boleh tak sahur roti sahaja?" Hehe. Memang tidaklah. Masa itu, tanggungjawab itu datang dengan sendirinya. Semalas mana pun kamu, pasti akan ada rasa mahu menyiapkan makanan untuk suami. Saya melihatnya sendiri orang-orang terdekat dengan saya menjadi seperti itu. Pahala kot yang kau nak ambil semasa menyiapkan itu semua. 

Saya sentiasa mendoakan Kak Mi saya bertemu jodoh dengan lelaki yang sekufu dengannya dan lebih baik. Pernah berborak dengannya semasa sedang dalam perjalanan ke KL mahu membetulkan telefonnya yang rosak. Saya bertanya kepayahan membesarkan anak seorang diri? Kak Mi berkata, "Kalau boleh jangan minta. Susah." Melihatnya macam tenang sahaja. Di dalam hati siapa tahu. Kami pula sekeluarga, jika kamu tidak bercerita apa-apa maksudnya kamu okay. Kami jarang mahu bertanya perihal rumah tangga sesama kami. Entahlah, tidak tahu baik atau buruk sikap itu.

Acap kali saya melihat kepayahan Kak Mi melayan kerenah anak buah kami Bagaimana mahu melayan semuanya dan membentuk mereka menjadi orang yang berguna. Susah. Mujur duduk bersama keluarga, kurang sedikit terbeban. Tetapi, kadang-kadang saya terfikir sendiri yang budak-budak ini masih memerlukan seorang contoh perawakan ayah (father figure) di dalam pembesaran mereka. Ayah saya bukan jenis yang beramah-mesra dengan cucu. Mahu mengharapkan adik-adik lelaki saya, mereka bersama-sama bergaduh bersama anak buah saya. Belum masa laginya untuk adik-adik lelaki saya. Mahu membesarkan lelaki yang menjadi suami memang payah. Buktinya, saya masih tidak menjumpai orang yang sesuai dijadikan suami lagi. Hehe.

Menumpang bermanja bersama suami Aminahlah nampaknya. Nafisah, lekas kahwin. Kita perlukan lelaki yang okay dalam rumah ni. Kak Cik juga. InsyaALLAH saya juga akan membawa suami dan bersama-sama membesarkan anak buah kami. Pada masa yang sama berdoa Kak Mi saya bertemu jodoh semula. Juga untuk Kak Long saya. Semoga semua kasih sayang Allah ini mendekatkan kita kepada Yang Maha Mencipta.

Petangnya, kami sekeluarga berbuka di rumah Mak Ngah.









Love..

No comments: