Seperti sudah menjadi acara tahunan di bulan Ramadhan, emak akan mengadakan majlis bersungkai (berbuka puasa) bersama adik-beradiknya. Jika dahulu, mungkin kami akan sedikit tertekan kerana perlu menyediakan makanan dan pinggan mangkuk semua. Tetapi, sekarang masing-masing dah tahu tanggungjawab nak buat kerja semua. Walaupun ada jugalah bergaduh-gaduh dalam nak siapkan semua, tetapi masih di dalam kawalan. Kalau dulu, emak mungkin akan tertekan sahaja sepanjang penyediaan kerana perangai anak yang seorang-seorang nak ikut kepala masing-masing sahaja. Sekarang sudah kurang. Alhamdulillah untuk nikmat adik-beradik yang saling menasihati, memarahi, mengeji, memerli, mengingati dan yang penting melengkapi. Kali ini, Daus tidak dapat bersama kerana berada di Kedah. Tidak mengapa. Di mana pun kita, semua nikmat-nikmat berbuka perlu kita syukuri.
Petang Jumaat semasa berbuka, emak telah mengajak saya ke pasar pada Sabtunya. Biasa kerja Daus ni. Pahala untuk saya kali ini. Selesai membeli barang mentah, kami diberitahu yang air tiada di rumah. Nak berkenduri dan tiada air memang cabaran. Tetapi, tenang je kami. Along ke rumah Cik Lia mengambil sedikit air. Di petang-petang sedikit ketika air tangki sudah semakin surut, Abu datang menjengah kami sedang memasak. Dia mencadangkan untuk mengambil air dari pejabat Pak Lang di rumah kedai di hadapan rumah kami (tingkat dua tu). Pucuk di cita ulam mendatang. Seperti kata ayah, menyerah diri Abu ni. Hehe. Dia dan Taqi menolong mengambil air di dalam baldi dan kami memenuhkan baldi di dalam bilik air dan semua tempat yang boleh dijadikan stok. Abu dan Taqi, moga syurgalah buat kamu kerana membantu kami.
Sedang saya mandi kerana hampir selesai semua makanan yang perlu disediakan, nenek datang dari kampung bersama Muhammad. Mak Chah dan Pakcik tidak datang bersama. Semoga diberikan kesembuhan untuk Pakcik akibat kemalangan tempohari. Alhamdulillah, majlis bersungkai berlangsung dengan lancar. Terima kasih pakcik, makcik, sepupu, nenek, anak buah dan semua. Semoga semua kita ditempatkan di syurga bersama-sama kelak.
“Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa tanpa mengurangi pahala orang yang puasa itu sedikit pun.” HR. Tirmidzi.)
Love..
No comments:
Post a Comment