Perjalanan pekerjaan semua orang tidak sama. Saya selalu memaksa diri tidak memandang rendah terhadap orang lain yang tidak bekerja bagus. Yang pasti, kamu kena bekerja. Tidak kira di bidang yang kamu ambil atau tidak, sekurang-kurangnya kamu menggunakan tulang empat kerat mencari kerja. Ketika Firdaus mula-mula pulang dari India Oct 2014 yang lepas, dia belum mempunyai kerja agak lama. Memang susah mendapat kerja sekarang ini. Tetapi, saya selalu membebel kepada dia supaya buat sahaja kerja apa-apa. Janji bekerja. Satu sahaja yang saya hal yang saya beratkan, perasaan ayah. Apabila Daus duduk di rumah dan ayah saya pulang makan tengahari dan minum petang. Apakah perasaan ayah saya? Kalau saya adalah ayah, haruslah saya marah. Di saat umur ayah pun, ayah masih bekerja, apakah dikira umur semuda Daus itu? Mungkin ayah tidak berfikir begitu kerana ayah baik. Tetapi, saya yang fikir lebih-lebih. Hehe. Bilalah kami boleh memberi kelapangan kepada ayah untuk tidak perlu bekerja. Itu cerita lain.
Selepas menghantar resume ke syarikat-syarikat telekomunikasi dan gagal. Akhirnya Daus diterima bekerja mengangkat air tin dan menghantarnya ke tempat-tempat seperti hospital dan sekolah-sekolah. Amatlah lari dari bidangnya, tetapi sekurang-kurangnya dia bekerja. Kadang-kadang terdengar dia mengadu penat, dan saya menjadi saya yang dahulu tanpa mendengar masalah yang dialami terus memarahinya. Sehingga Naziha pernah menegur saya kerana terus marah tanpa melihat sendiri keletihan adik saya setiap kali pulang lewat malam. Keesokan harinya, saya berkata dengan Daus, jika mahu berhenti, carilah kerja lain dahulu. Janji beliau bekerja. Daus hanya mendiamkan diri.
Baru-baru ini beliau menghadiri temuduga Telekom di Subang Jaya. Temuduga tertutup untuk tiga kekosongan di Alor Setar, Johor Bahru dan Subang Jaya. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya. Dia adalah seorang yang baik. Sangat tidak berkira dengan kami adik-beradik. Semasa bekerja di Masterplan dahulu, terlalu banyak sumbangan kepada kami sekeluarga terutamanya emak dan ayah. Semasa selalu berulang-alik ke tapak bina di Johor, beliau akan singgah di rumah nenek di Melaka. Emak berpesan supaya dia bangun malam untuk jawatan itu. Sabtu lepas, dia memberitahu emak yang dia diterima jawatan itu. Akan memulakan pekerjaannya pada 1hb Jun ini di Alor Setar. Kesemua yang diterima pekerjaan itu, hanya Daus yang bekerja. Yang lain tidak. Allah, kenapa begitu ramai orang tidak bekerja sekarang ini di saat kita sedang bergelut dengan ekonomi yang gawat? Mungkin mereka sudah mencuba sehabis baik. Fikir saya untuk menjaga hati supaya tidak berfikir buruk.
Sekarang adik saya sedang keluar tabliqh sebelum memulakan pekerjaannya yang baru. Menarik betul mempunyai masa senggang yang tidak terikat dengan mana-mana pekerjaan. Saya juga mengimpikannya. InsyaALLAH perancangan saya dan Miera untuk mencari arah baru tahun depan. Mungkin sebelum memulakan pekerjaan di tempat baru, saya akan mengambil sebulan senggang masa supaya boleh berjalan-jalan dahulu. Kena kumpul duit dari sekarang.
|
Menghantar Daus ke Sri Petaling |
Love..