Selama ini mendengar keluhan dari kawan-kawan yang mempunyai rumah sewa mengenai penyewa masing-masing. Tak bayarlah, tak angkat telefonlah, tak bayar duit api airlah dan macam-macam lagi perangai manusia yang memang ada dalam dunia ni. Tak bermakna kita tak jumpa lagi, tiada orang macam tu. Dengar dari orang lain, sampai terfikir 'Ada juga orang macam ini. Dah duduk tu, bayarlah'. Tak kisahlah macammana kita nak klasifikasi ambil perempuan sahaja supaya terjaga rumah atau ambil yang dah berkeluarga, senang nak uruskan (tiadalah dia telefon minta betulkan apa-apa ke?) atau taknak ambil pelajarlah, nanti tak pandai jaga rumah. Mungkin ada benarnya, tetapi tidak semestinya. Perangai manusia ini tidak bergantung kepada yang dah keluarga, jadi matang sikit ke, perempuan pandai jaga rumah ke lelaki kurang sikit dan lain-lain. Perangai dan kematangan ini tidak bersandarkan pada status itu semua ya. Kalau awak seorang lelaki yang pembersih, kalah perempuan juga tau. Kalau awak dah berkeluarga, jadi bertanggungjawab membayar sewa bulan-bulan, sebab dah ada keluarga kot, takkan nak bagi keluarga duduk percuma sahaja, tidak juga ya, kalau memang culas nak bayar culas juga.
Selama setahun saya menyewakan rumah kepada sepasang suami-isteri dengan amannya. Hanya mengambil bulanan sewa tanpa pernah tertinggal, tiga bulan yang lepas mula berlaku drama-drama kecil melibatkan mereka. Sudah mula tidak membayar duit elektrik, kerana saya menerima satu salinan yg dihantar ke rumah saya di Klang dan emak mulai pening. Rupa-rupanya penyewa saya sudah bercerai dan tidak mahu menyewa lagi. Baru juga tahu yang penyewa saya telah menyewakan dua lagi bilik di dalam rumah sewa itu kepada orang lain. Orang semakin susah untuk menyewa sebuah rumah. Terpaksa berkongsi rumah bersama orang lain.
Selepas mereka berpindah, saya melihat rumah. Terdapat kebocoran paip sehingga menyebabkan rumah di tingkat bawah rumah saya dimasuki air. Terima kasih Asyraf kerana membantu saya menyelesaikan masalah tandas bocor itu. Macam-macam perlu dibuat selepas itu dan pada masa yang sama saya juga perlu membetulkan kerosakan rumah yang ditinggalkan. Paip bocor, dinding bertampal dan berpaku, pintu tidak boleh berkunci. Haha. Barulah nak mula fikir semuanya. Selama ini tenang sahaja mengambil duit rumah sewa. Kak Cik sudah mula bising menyuruh saya meneliti semua kerosakan di rumah itu sebelum menyewakan kepada penyewa baru. Itu adalah aset saya katanya. Haha. Selama ini tidak terfikir pun untuk mengambil tahu. Penyewa senyap, saya pun senyap sahaja. Semoga Kak Cik dapatlah bekerja di Hospital Sungai Buloh, dia dah ada rumah yang boleh diduduki. Boleh juga dia tengok-tengokkan rumah itu nanti. Mengambil kira sebagai aset saya, perlu menjaga sekarang. Terima kasih keluarga saya yang turut membantu menyelesaikan masalah rumah saya.
Hampir dua bulan saya tiada penyewa, harap-harap selesailah semuanya bulan hadapan. Boleh dikatakan, saya punya belanja bulanan juga dari situ. Selain saya terpaksa bayar ansuran bulanan kepada bank, nak belanja lebih juga mula tersekat. Kemahiran mengurus wang saya memang ke laut. Kenapalah tiada matapelajaran Kemahiran Mengurus Wang semasa sekolah dahulu. Jadikan ia subjek yang perlu lulus cemerlang kerana ia adalah kemahiran yang sangat PENTING sehingga kita mati. Salahkan diri kerana suka tidak mengambil berat selama ini. Hehe. Saya pernah mengikuti satu talk MLM bersama kawan sekerja. Speaker bertanya berapakah banyak duit yang masing-masing nak ada? Kawan saya menjawab lebih dari RM1 juta. Saya, hanya perlu RM100 ribu sahaja. Haha. Nampak tak, duit juga tidak bercita-cita tinggi? Jom ubah.
Azam tahun baru ini untuk mempunyai kira-kira belanja sendiri, mempunyai simpanan, dapat membantu orang lain dan konsisten untuk meneruskan azam itu. Konsisten itu minta aminkan lebih sikit ya. Seperti kata kawan saya, mungkin selama ini tidak susah, jadi rasa biasa sahaja. Dah susah baru nak berubah. Manusia. Sudah terantuk, baru terngadah.