Sudah lama saya tidak mencoret di sini. Kebanyakan cerita saya simpan di instagram. Tetapi, saya masih mahu membaca hasil tulisan yang tiada batasnya di sini. Ditambah pula, Nafisah pula memberitahu, dia menantikan post saya di sini. Terimalah sayang, untuk peminat. Haha.
Terlalu banyak benda terjadi tahun ini. Saya kini menjadi anak perantau di Australia. Alhamdulillah untuk semua nikmat yang Allah berikan. Cita-cita selama ini tercapai. Tiada kata puji-pujian untukNya. Saya jarang bercita-cita besar. Tetapi, Alhamdulillah kehidupan saya dipandu Allah dengan sehabis sempurna. Tahun-tahun sebelum ini, saya cuma punya dua cita-cita iaitu bekerja ke Australia dan mahu berkahwin. Selepas Allah memakbulkan impian saya yang satu ini, saya bersyukur sehingga tidak mahu meminta impian yang satu lagi. Siapalah saya yang hanya biasa-biasa sahaja ibadahnya mahu meminta lebih-lebih? Tetapi, saya kerap kali terbaca pesan Rasulullah s.a.w, jika inginkan sesuatu, minta yang paling besar seperti bila meminta syurga, syurga firdaus. Juga terbaca yang Allah bertindak mengikut sangkaan hambaNya.
Jika mengimbau kembali perjalanan hidup saya semasa sekolah menengah, saya berpindah ke kampung di Melaka kerana jika saya bersekolah di Klang, saya perlu menaiki bas dan sepupu saya juga bersekolah di Jasin waktu itu. So, ikut orang juga. Haha.
Selepas tamat sekolah menengah, semasa mahu mengisi borang memohon ke universiti, kawan Achik Iza mencadangkan untuk saya mengambil Quantity Surveying kerana matematik saya kuat. Saya hanya mengisi tanpa banyak bicara. Saya diterima di UiTM Sri Iskandar. Selepas diploma, ayah dan emak tidak memaksa atau menyuruh saya menyambung pelajaran juga. Tetapi, melihat kawan-kawan menyambung, saya turut menyambungnya kerana memikirkan jika saya menyambungnya di kemudian hari, saya akan keseorangan. Baiklah bersama teman-teman sekarang. Nak buat assignment pun senang nanti. Maka, saya menyambung degree di UiTM Shah Alam.
Semasa di semester akhir, Miera mengajak saya menemaninya ke interview Gamuda. Saya yang biasa-biasa sahaja pada awalnya menyangka tidak layak masuk ke company besar itu dan tidak bercita-cita mahu pergi. Tetapi disebabkan Miera tiada teman, saya menemaninya juga. Lagipun mahu mengambil pengalaman interview kerja. Lepas ni nak keluar cari sendiri. Perancangan Allah, saya diterima bekerja di Gamuda. Semasa mendapat panggilan telefon dan mengatakan saya berjaya, saya berharap Miera juga mendapatnya. Tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengannya jika dia tidak dapat sedangkan saya pergi menemaninya. Alhamdulillah Miera dapat sekali jadi Gamudian.
Di Gamuda, perjalanan saya tak sukar sangat dan tidak juga mudah sangat. Cukuplah mematangkan dan menjadikan Nadiah hari ini. Dikelilingi dengan ramai orang yang baik hati, engineer yang membantu, company yang menjaga hal-ehwal pekerjanya (walaupun mereka kata, dia akan jaga type C sahaja, sebagai type M yang bekerja di situ, secara tidak langsung, saya juga turut terjaga. eg: Vaccine, bonus, incentive dan lain-lain.) dan bos yang efficient.
Perjalanan dengan Ai Tee ada bermacam jalur. Sebelum menjadi ibu dan selepas menjadi ibu. Saya melihat perubahan itu. Fasa garang dan fokus kerja sebelum dan selepas menjadi ibu. Transition yang saya kira menenangkan dan memenangkan. Akibat bersabar dengan sikap fokus mahu menyiapkan kerjanya dan sanggup memarahi anak buah-buahnya, saya diberikan habuan yang saya inginkan. Iaitu bekerja di Australia.
Walaupun cerita saya mahu berpindah ke Australia boleh dibuat siri, tetapi pengakhirannya berjaya. Ai Tee tidak teragak-agak melepaskan saya untuk menggapai impian. Beliau mahu melihat anak buahnya terbang tanpa mementingkan diri sendiri. Memang kita sudah biasa membuat kerja bersama, jika dia perlu mencari pekerja baru, perlu diberi tunjuk ajar lagi. Tetapi, itu kemudian hari. Janjinya dan Alice pada saya untuk menghantar saya ke Australia telah ditunaikan.
Saya bersyukur berjumpa dengan dia. Dia baik, telah tenang dan memahami. Walaupun pada mulanya beliau adalah kategori garang dan mahukan semua dengan cepat. Dia telah mengubah pendekatan selepas mendapat anak. Dan mungkin jika masih menggunakannya kepada saya, agak membazir tenaga. Saya lepas kena marah pun masih tenang. Haha.
Saya tidak mempunyai impian yang banyak. Membazir sebenarnya saya kira tidak mempunyai cita-cita. Kerana apabila saya sampai di Sydney, terlalu banyak impian-impian kecil yang saya inginkan dan Allah berikan kepada saya tanpa perlu saya berusaha bersungguh-sungguh. Jika saya mempunyai impian yang banyak dan berusaha, pasti hidup ini lebih berwarna-warni. Sekarang juga sudah seperti pelangi, tetapi kebanyakan masa adalah langit biru terang sahaja. Banyak yang mahu saya coretkan. Saya mempunyai nikmat masa lapang yang banyak sekarang. Semoga saya dapat membuat perkara-perkara yang bermanfaat dan menulis lebih kerap.
Ye, Alang rindu |
Salam sayang dan rindu untuk semua peminat. 😃
Sydney,
14/6/2024
Love..
No comments:
Post a Comment