Deekay sudah lama sakit. Sakit pening yang hanya orang yang rapat sahaja tahu. Yang sukar ditafsir kesakitannya kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pening kepala. Siapa yang boleh justify kamu pening kepala? Sukar bukan. Deekay pernah berjumpa doktor dan doktor bertanya darjah kesakitan sakit kepala dari satu hingga sepuluh. Dia menjawab 10. Sangat sakit. Saya juga pernah pening kepala berdenyut-denyut. Waktu itu juga sudah tak larat, mungkin 2/10 perasaannya.
Kelmarin, Deekay pening sangat teruk. Luarbiasa dari selalu katanya. Deekay menyuruh saya menghantarnya ke hospital. Kami ke bahagian Kecemasan. Saya mengambil kerusi roda dan menolak Deekay ke dalam. Ramai juga orang waktu itu. Bukan sahaja untuk kemalangan, tetapi juga sakit pening seperti Deekay juga. Terserempak juga dengan seorang makcik yang membawa anaknya yang batuk. Tetapi, telah menunggu dari pukul 6.30 petang hingga 9.00 malam. Kes anaknya tidak dikira kritikal. Jadi, lambat dirawat.
Saya berjumpa seorang kakak ketika di sana. Ketika dia duduk bersebelahan saya, saya dapat rasakan badannya berbau. Berborak-borak dengannya, saya suspek dia tidak punya rumah. Ibu bapanya sudah tiada. Adik-beradik sudah berkeluarga. Dia menyewa di Keramat katanya. Dia datang ke situ untuk mengurut kawannya yang sedang menjaga emaknya di wad. Semasa sedang berborak, nama Deekay dipanggil.
Selepas disaring, berjumpa doktor, diberikan ubat tahan sakit, muntah di wad kecemasan, melihat drama seorang pakcik yang mahu membuka tempat masuk jarum, polis datang bersama mangsa kemalangan, doktor-doktor muda menjalankan kerja, misi yang berlari ke sana ke mari, menunggu dua jam untuk ujian darah, dan yang malangnya keputusannya Deekay masih juga pening. Apabila doktor melihat MRI yang sebenarnya akan diambil oleh Deekay pada esok pagi, doktor memanggil seorang pakar neuro Dr. Larry. MRI menunjukkan sesuatu yang tidak normal di tulang belakang yang bersambung dengan otak. Dalam hati saya, doktor pakar juga berkerja malam ya. Deekay ditahan di wad. Setelah selesai urusan Deekay dan ditolak untuk ke wad, saya melihat kakak yang saya berborak tadi sudah tidur di kerusi menunggu. Semoga yang baik-baik sahaja untuk kakak itu.
Pengalaman malam itu berakhir jam 2.30 pagi untuk saya. Untuk semua pekerja-pekerja yang bekerja semasa kami sedang enak tidur, didoakan kamu semua dirahmati dan diberikan pahala syurga yang tinggi untuk tanggungjawab yang dijalankan itu. Bersyukur dengan nikmat boleh tidur di katil, boleh tidur di rumah, punya keluarga dan kerjaya.
Semalam, doktor pakar memberitahu penyakitnya adalah Chiari Malformation yang telah ada semenjak dilahirkan. Biasa terjumpa di kalangan kanak-kanak. Doktor menyarankan untuk Deekay membuat pembedahan. Semoga dipermudahkan semuanya. Allah sayang, dia uji. Dia tidak akan uji melebihi kemampuan hambaNya.
Love..
Malam kejadian. |
Melawat bersama Miera |
Budak puasa |
2 comments:
ALLAH,.. semoga Allah kurniakan kesembuhan buat kak Deekay. Ya, ujian itu pastinya setimpal dengan kemampuan hambaNYA. Doa yg baik2 utk Kak Deekay
Amin. Untuk awak juga sayang. :)
Post a Comment