Monday, March 31, 2014

Idola

Khamis lepas saya makan malam bersama Kak Fareen. Jalan pulang ke rumahnya di Sungai Buloh dari Jalan Duta adalah melalui lebuhraya berhadapan dengan pejabat saya. Kira sejalanlah. Kadang-kadang, dia akan mengajak saya makan malam bersama di sekitar pejabat saya. Setiap kali berjumpa dengannya, saya berdoa semoga dia dan Achik akan berbaik seperti dulu. Saya kurang pasti alasan keregangan ini, tetapi saya berdoa yang terbaik (untuk peminat) agar hubungan itu dapat bersambung kembali.

Semasa makan, Kak Fareen bercerita ketika dia berjumpa dengan Muhammad (sepupu saya) sebelum ini, Muhammad asyik bercerita mengenai saya kepadanya. Apa yang saya buat dan apa yang saya katakan semua diceritakannya. Kira saya ini, idola Mamatlah. Haha. Tergelak saya mendengar cerita itu. Baru saya perasan benda itu, selama ini memang kerja saya membebel (menasihati) dengan Mamat. Kira macam adik-adik sayalah. Dan Kak Fareen kata, mungkin dia nampak saya seperti kakak dia. Figura yang dia tiada, tetapi Allah datangkan melalui saya. Lama dah tak jumpa dia. Semoga dia sentiasa sihat dan dipermudahkan Allah semua urusan dia di dunia dan akhirat. Dia orang yang baik. Tidak kisah untuk membantu orang dan seperti saya dahulu, sukar untuk mengatakan tidak. Itu adalah nilai yang saya sangat value sebenarnya. Seperti juga adik-adik saya, suka hati dia saja nak menasihati saya mengenai apa-apa. Kahwinlah, makanlah, perangailah. Sukati awak saja kan Mad. ;p Alhamdulillah saya jenis yang tidak kisah dan boleh je mendengar nasihat dari adik-adik. Kalau nak ubah, saya ubahlah. Kalau tidak, saya berdoa dia tidak membawa kemudaratan kepada saya.

Allah. Saya melihat itu sebagai tanda kebesaran Allah. Mendatangkan orang sekeliling sebagai idola kita. Saya mempunyai ramai idola saya kira. Ada kebaikan yang boleh saya belajar, kira jadi idola sayalah. Jika saya dapat mengikutinya, pasti gembira. Jika tidak, kira saya kagum sahajalah. Ketabahan emak membesarkan kami adik-beradik yang ramai, mesti menjadi kekaguman saya. Lapan orang dengan perangai masing-masing. Jarak kami juga tidak jauh beza. Macammanalah melayan agaknya zaman itu. Saya dah lupa. Hehe. Tetapi kagum juga. Ayah pula mempunyai semangat melakukan kebaikan yang terlampau dan sentiasa memandang orang dengan kebaikan juga. Saya memang mengidola ayah disebabkan itu semenjak dahulu. Walaupun kadang-kadang geram dengan ayah sebab terlalu baik. Hehe. Nampak tak masih kena belajar lagi mendidik hati nak jadi macam ayah? 

Sikap ambil berat Along kepada adik-beradik dia memang mengkagumkan saya. Saya suka saja lepaskan tanggungjawab itu. Sehingga Along saya berkahwin, saya mulai mengambil sedikit rasa tanggungjawab itu. Sedikit kekurangnya, Along ini jenis yang suka mengarah, jadi saya tukar yang itu. Saya belajar dari orang lain juga nilai itu. Kak Mi saya sangat pandai berlawa. Yang itu saya kagum, tetapi masih tidak boleh mengikutinya. Selalu sahaja selekeh-mekeh. Hihi. Adik-adik saya pastinya selalu menjadi idola saya di kala suka dan duka. Idola suka duka? Apa tu? Lantak. Hehe. Walaupun kami kurang melakukan aktiviti bersama kerana saya seorang yang sibuk, dan juga adik-adik saya sibuk. Masa bersama akan dihabiskan dengan bergaduh. Sekian. Haha. Nafisah, semenjak dari Maktab memang tersangat sibuk. Ada sahaja program yang dia harus ikuti. Saya kagum itu. Sekarang akak dah join club awaklah sayang. Semoga menjadi amal. Firdaus sekarang sedang sibuk dengan pelaburan emasnya. Semakin bermanfaat untuk ummat adik saya itu. Juga idola saya. Bapak kaya nak mampus budak tu sekarang. Pantang minta duit, ada sahaja. Kaya-kaya. Teruskan. Sayang, akak doakan rezeki awak dimurahkan dan diberkati supaya keluarga kita dapat menikmatinya sekali. Go Firdaus GOLD! :D. Kak Chik saya kagum kepetahan dia juga. Budak bijaklah katakan. Semoga tidak manipulate orang sayang. Akak tahu awak tidak akan. Adik, haha. Kagum akak awak boleh main game sampai pukul 4 pagi. Semoga selepas ini bangun solat tahajud pula. Selamat ber PLKN! 

Disamping itu, saya juga banyak mengidola orang sekeliling saya. Yang boleh saya belajar dari mereka. Mak Ina pastinya. Ketabahan dan kerajinan Mekna belajar amat saya kagumi. Saya memang ikuti kerajinan itu, cuma tidak meresap sahaja. Buku berlambak-lambak atas katil. Baca sahaja tidak. Cis sungguh. Hehe. Banyak sebenarnya benda positif dari Mekna yang saya ambil. Alhamdulillah. Alin pastinya kebijaksanaan dia. Memang tidak terjangkau akalku. Beza saya dengannya setahun sahaja. Ilmu tu kira macam jauhnya macam kutub utara dengan kutub selatanlah. Dia juga merupakan sumber rujukan saya sebab saya kurang membuat rujukan. Sila rajin melayan saya ya. Terima kasih. Ketabahan Mak Ngah dan Mak Chah juga merupakan antara sebab saya menjadikannya semangat itu idola saya. Cik Lia yang pandai memasak juga idola dalam bab memasak. Selain Mak Lang, Achik Oya dan kedua-dua Mak Usu saya. Mak Long pula pasti kerendahan hatinya. Achik Iza, saya suka cara dia memberikan respon kepada statement orang lain. Sangat bijak. Achik pernah menjawab ketika saya berkata yang saya mahu berjumpa bakal suami saya di Mekah seperti Irma Hasmie. Achik kata, itu Irma Hasmie ok. Irma Hasmie. Haha. Saya jadi tergelak besar. Nenek Rammelah pastinya kerajinan memasak untuk orang lain itu harus dikagumi. Nenek Sa'abah sangat banyak rasanya dapat dari dia. Yang paling bermakna pastinya sikap yang turut sama membantu membuat sesuatu pekerjaan jika tiada pekerjaan yang sedang dilakukan. Contoh jika saya sedang melipat baju, dia akan turut sama membantu walhal baju sedikit sahaja. Lain adalah apabila nenek menyuruh Fahmi memesin rumput, nenek akan menyapu rumput itu semasa Fahmi sedang mesin. Saya sangat suka itu. Kira contoh walk the talk yang baiklah.

Saya sangat bersyukur dengan orang-orang yang dihantar Allah untuk saya menghadapi ujian di dunia yang hanya sementara ini. Geng-geng YPU, En. Anuar, Cik Jamaliah, Cik Leha, geng-geng KAMY, budak pejabat saya, budak sama belajar di UiTM, di sekolah semuanya orang yang baik. Dia membentuk peribadi saya sekarang ini. Budak pejabat saya Faezah, selalu berkata, Nadiah ini memang kawan-kawan dia orang yang baik. Berbanding dia yang selalu jumpa orang yang bukan jahat, tetapi pelik. Huhu. Dia selalu menceritakan perangai orang-orang yang pernah dia jumpa kepada saya. Aminah juga pernah bercerita kisah kawan-kawannya yang pelik semasa di asrama dahulu. Semasa saya di asrama, Alhamdulillah kawan-kawan saya semuanya baik. Mungkin saya tidak kuat, mungkin saya akan terpengaruh atau mungkin saya akan menangis. Saya tidak pasti. Saya belajar dari penceritaan mereka. Mereka menjadi lebih kuat sebenarnya. Allah tidak akan membebankan seseorang melebihi kemampuan hambaNya bukan? 

Harusnya idola kita semua adalah Nabi Muhammad S.A.W. Merupakan contoh tauladan yang tiada tolok bandingnya. Semasa lawatan saya ke Jogja 2007 yang lepas, hampir semua peserta dari Indonesia mengatakan idola mereke adalah Rasulullah. Boleh tidak, dalam hati saya katakan poyo. Astaghfirullah. Kerana saya tidak dibesarkan dengan kisah-kisah Rasulullah. Sejak beberapa tahun ini, saya mula membaca biografi insan teragung itu dan masih lagi membaca. SubhanAllah. Idola terhebat. Orang Islam sudah mempunya contoh tauladan yang terbaik. Semoga kita dapat mengaplikasi dalam kehidupan kita.
 
Cadang mahu bercerita sedikit sahaja. Rasa macam bukan seperti yang difikir juga. Sepertinya saya mahu bercerita mengenai Mamat dan Kak Fareen sahaja. Dah melalut entah ke mana entah. 

Tiada pujian atau terima kasih yang saya dapat saya ucapkan atas semua nikmat dan kasih-sayang Allah kepada saya. Alhamdulillah. AllahuAkbar. SubhanAllah. Segala puji dan syukur hanya padaMu Tuhan semesta alam. Bantulah kami meneruskan perjalanan yang hanya sementara ini supaya kelak kami dapat bertemu kembali di tempat yang kekal abadi, syurga firdausMu Ya-ALLAH. Juga kepada semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370, berikan mereka ketabahan dan keredhaan menghadapi semua ujian dan kasih-sayangMu ini. Ampunilah semua yang terlibat. Ya Allah, kau berikan keberkatan kepada bumi Malaysia dan ampunilah segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya, kami semua adalah pendosa, maka ampunilah kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus dan jalan yang diredhaiMu ya Allah. Amin.           

Love..

Thursday, March 20, 2014

Berani

Dalam kehidupan saya, saya sering kagum dengan orang yang mempunyai self-esteem yang tinggi. Yang berani menyatakan apa yang dirasakan dan apa yang difikirkan begitu sahaja. Saya jarang begitu dahulu. Mungkin juga kerana saya juga tidak tahu apa yang saya mahu atau fikir ketika itu. Masalah juga kalau kita tidak boleh tahu apakah perasaan kita sebenarnya. Saya sekarang sedang mengexplore perasaan-perasaan di dalam diri. Suka, minat, rindu, sayang, tidak suka, marah, takut, geram, sedih, bengang, dan berbagai-bagai lagi perasaan yang kita boleh cuba. Hehe. Macam pakaian. Kali ini, saya mencuba keberanian saya pada dua keadaaan.

Keadaan pertama apabila senior saya dimasukkan ke wad akibat tekanan kerja. Sakitnya agak teruk kali ini berbanding sebelumnya. Kata budak pejabat saya dia mengalami mild stroke. Tangannya tidak dapat digerakkan semasa hari Sabtu dan kemudian dimasukkan ke hospital pada hari Ahad jika tidak silap saya. Selepas hampir dua minggu cuti, dia memulakan kerja seperti biasa. Saya ada bertanya khabar mengenai penyakitnya, tetapi seperti dia tidak suka bercakap mengenai sakitnya kepada orang yang dia tidak rapat. Jadi, saya tidak menyebutnya lagi. Perubahan selepas dimasukkan ke dalam wad kali ini adalah berbeza dengan sebelum ini. Sebelum ini, dia lebih tenang dan lebih mengawal kemarahannya berbanding kali ini. Asyik marah saya atas benda yang kecil-kecil sahaja. Saya malas untuk melawan kerana takut akan menyebabkannya sakit kembali. Maka, saya hanya diam sahaja dan membuat kerja. Setiap kali saya bertanya soalan, jawapan yang saya terima tidak menyelesaikan masalah malah dia memarahi saya pula kerana tidak mengetahui hal tersebut. Saya jadi semakin risau jika penyakitnya semakin mudarat kelak. Bagi saya, ini adalah kerja sahaja. Boleh tak tak payah marah beria-ia? Bertambah sakit nanti siapa yang susah? Setelah beberapa kali bertanya dan jawapannya sama, saya terus senyap dan malas mahu melayan dia. Semakin lama, saya terfikir, oh, tidak boleh jadi. Kerja saya tidak selesai tanpa pengesahan dia. Kalau saya terus ke bos besar, nanti pasti ada kesannya selepas itu (berdasarkan pengalaman sebelumnya). Saya perlu berbuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah saya.

Setelah berkira-kira, saya menulis e-mel yang panjang untuk dia. Sehabis baik saya menggunakan ayat yang sedap-sedap supaya nampak tidak seperti memarahi dia. Saya risaukan kesihatan dia dan kerja saya. Kami tidak mempunyai banyak masa lagi untuk membuat kerja dengan teliti satu persatu. Bulan Jun, kami akan dipindahkan dan site akan kosong. Jika tidak disudahkan sekarang, orang yang akan mengambil alih projek ini akan mengalami kesusahan. Saya tidak suka begitu, maka saya harap saya tidak akan memberikan orang lain perasaan itu. Setelah merangka e-mel itu, saya berkira-kira mahu menghantarnya. Entah di mana datangnya keberanian, saya menghantar e-mel tersebut. Berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan dia dan urusan saya juga.

Untuk mengelakkan ketegangan selepas itu, saya memberitahu En. Nadzri manager saya berkenaan situasi saya. Supaya jika apa-apa berlaku kepada saya kelak, En. Nadzri akan mendapat idea yang sayalah pemula segalanya. Haha. Tanpa menunjukkan e-mel tersebut saya cuma bercerita apakah perasaan saya dan apa yang telah saya tulis. En. Nadzri sudah lama mengetahui masalah kami berkenaan kakak-kakak kami. Jadi, saya cuma memberitahunya kerana tidak dapat mengandaikan apakah yang akan terjadi selepas senior saya membaca e-mel tersebut. En. Nadzri sangat comel. Dia memberitahu, boleh jadi teruk dan boleh jadi sangat baik. Dia memberi saya buku doa untuk diamalkan. Katanya, kita hanya boleh berdoa sahaja selepas ini. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Comel! Saya mendoakan Allah memudahkan urusannya di dunia dan akhirat kerana selalu menjadi saviour saya dan Faezah.

Alhamdulillah, selepas pulang dari cuti sakit, senior saya membaca e-mel tersebut dan kami mengadakan sesi berbicara dari hati ke hati. Beliau tidak puas hati dengan hasil kerja saya yang lambat dan ada beberapa lagi argument yang saya kira sebagai kecil sahaja. Tetapi baginya seperti besar. Okay, saya belajar di situ. Tidak semua orang seperti awak yer Nadiah. Sila take it into consideration. Komunikasi. Itu yang penting untuk semua perhubungan. Bos-anak buah, mak-anak, suami-isteri, kakak-adik, mak saudara-anak saudara, kawan-kawan dan berbagai lagi perhubungan. Semoga lebih harmoni semuanya. Itu keberanian saya yang kira besar juga. Berani meluahkan perasaan saya. Dan perasaannya selepas itu adalah lega. Allah permudahkan. Alhamdulillah.

Selain itu, saya mencuba keberanian saya sekali lagi selepas tercuak apabila mendengar pengalaman Miera ditemuduga di Cypark Phileo Damansara II. Saya hanya pernah sekali sahaja ditemuduga. Maka pengalaman ditemuduga zero. Semasa ditemuduga, Miera ditanya mengenai kelebihan dan kekurangan Miera. Wah.. Macammana nak jawab jika saya? Apa kelebihan saya yang melayakkan saya mendapat pekerjaan tersebut? Lepas itu, jika cakap mengenai kelemahan saya, ada kemungkinan tak saya ditolak dari pekerjaan itu?  Kena cari sekarang ini. Perasaan cuak datang ketika Miera bercerita kepada saya dalam perjalanan kami pulang ke rumah. Berjayakah saya jika ditemuduga? Dapatkah saya mengatasi rasa takut itu? 

Pada malam selepas ditemuduga, kami menonton teater. Teater anjuran kakiseni itu murah dan berdekatan dengan rumah sewa saya. Cuma RM15 sahaja. Ini merupakan kali pertama Miera menonton teater. Tidaklah segah di Istana Budaya saya kata kepadanya. Tetapi, cukuplah untuknya merasai pengalaman itu.

Sudah duduk bersama saya ini, saya angkut ke mana sahaja saya mahu pergi. Hehe. Nasiblah Miera. Ada sekali saya mengajaknya mendengar kisah Pak Wan Khazim di Radio Bangsar Utama. Saya dan Miera sahaja perempuan. Selepas itu datang Cikgu Mina dan anak perempuannya menemani Pak Wan. Itu sahajalah geng perempuannya. Sebab dah kenal Pak Wan melalui En Anuar, saya turut memeriahkan majlis malam itu. Pak Wan menasihati kami untuk berpolitik kerana Allah. Bukan kerana seseorang idola atau sesebuah persatuan. Untuk mengelakkan kebosanan/kebengangan berpolitik. Hujung minggu ini pula, InsyaALLAH saya akan menyertai Dapur Jalanan dan Miera akan bersama-sama menyertainya. Hehe.

 Sesi borak santai bersama Pak Wan yang terlibat di dalam politik semenjak berumur 14 tahun. Sekarang Pak Wan berumur 84 tahun. Lama kot. 
Semangat sampai ke sekarang. Kata anaknya, dengan berpolitik ini, Pak Wan merasa sihat. Esoknya mereka akan ke Kajang untuk penamaan calon dan membantu berkempen. 

Hypokrites was a technical term for a stage actor and was not considered an appropriate role for a public figure (sumber : wikipedia)


Berbalik kepada cerita keberanian tadi, selepas menonton teater itu, penonton diberikan peluang untuk  sesi Q&A. Hal ini kerana semua pelakon teater itu merupakan part-timer. Mereka mempunyai profesion yang lain tetapi berminat dengan teater. Maka, kakiseni dan beberapa geng Namrom mengajar mereka pada malam hari dan hujung minggu. Dan ini merupakan tugasan pertama mereka. Jadi, mereka memerlukan kritikan yang membina untuk lebih berjaya dan untuk tayangan-tayangan seterusnya. Miera menyuruh saya bertanya soalan. Hehe. Biasa juga Mak Ina menyuruh saya bertanya soalan ketika kami mendengar ceramah-ceramah di luar. Biasanya saya tidaklah. Tetapi kali ini, saya mahu mencuba. Merangka-rangka soalan di dalam kepala, berkali-kali mengangkat tangan sebab antara nak dengan tidak. Akhirnya, saya bertanya soalan. Wee~~. Soalan simple sahaja. Tetapi lebih kepada mahu mencuba keberanian diri. Terdengar getaran di suara saya ketika bertanya soalan. Haha. Pengalaman betul. Selepas berjaya bertanya walaupun jawapannya seni juga dan susah nak faham untuk orang yang kurang seni seperti saya, tidak mengapa. Janji saya melawan rasa cuak itu. *tepuk-bahu-sendiri*

Saya rasa, kita perlu ada maklumat untuk kita berani bercakap. Berani akan datang dengan maklumat itu. Misi saya selepas ini, mahu mencuba temuduga pula. Mencuba market diri. Dah kena fikir kelebihan dan kelemahan diri ini.:)

Love..

Monday, March 10, 2014

Jumpa lagi Mr. Hong

Setelah diwar-warkan department kami akan dipindahkan ke projek lain, list of demob sudah keluar. Orang yang pertama merupakan bos besar. Mr. Hong. Orang pertama yang akan mengemudi projek MRT Line 2. Seperti biasa, kami akan mengadakan makan-makan sebagai tanda kasih-sayang sesama insan. Terima kasih kepada Kak Morni yang mengarrange makan-makan ini. Satu benda yang akan sangat saya rindukan setelah berpindah nanti adalah makan-makan seperti ini. 

Kami bahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan semuanya mengambil bahagian untuk membawa sedikit makanan. Potluck untuk bersarapan pagi. Ada roti canai, nasi lemak, meehon goreng, ubi dan jagung rebus dan kek kasih sayang Ili untuk Mr. Hong. Tara!

Kek kasih sayang Ili. Oh Menarik Giler!

Periuk nasi siap keluar. Jagung dan keledek rebus dalam tu.

Inilah orang yang sayang Mr. Hong lebih tu.

Mr. Hong terharu sangat. Nampak cam bergenang je air mata dia. Dia kata, ini pertama kali orang raikan dia macam ni.


Mr. Hong, we are going to miss you. :D

Team Infra dan PMC.

Ini sahaja cara kami bersatu. Makan-makan. Kalau tidak masing-masing sibuk bekerja di meja sendiri.

Mr. Hong dan Mr. Koo Kok Seng. Ketua bos.

Saya masih makan di dalam bilik meeting masa ini.

 Masa ini pun saya tak keluar lagi dari bilik meeting. Haha. Benar-benar menikmati makanan.

Dijangkakan saya dan Faezah akan ditransfer pada 1hb Mei ini. Kerja masing-masing masih berlambak. Semua seperti tidak siap lagi. Mujurlah Mr. Looi sudah mengambil tampuk kepimpinan. Semoga kami dapat menyelesaikan hampir kesemua final quantity sebelum berpindah. Jika tidak semua, yang besar-besar sudah kami selesaikan Kasian orang yang kena sambung kerja kami kelak. Berita perpindahan itu merupakan kegembiraan kepada saya. Saya sudah berada di PMC selama hampir 8 tahun. Bermula 20hb Mei 2008. Terlalu lama. Kisah saya kemudian.

Takziah kepada semua ahli keluarga dan sahabat handai untuk penerbangan MH370. Walaupun sudah masuk hari ketiga pencarian, masih tidak menunjukkan apa-apa. Saya mendoakan semuanya dipermudahkan dan diberikan ketabahan menempuhi dugaan ini. Waktu-waktu ini merupakan wakti gelap untuk Malaysia bagi saya. Krisis air, jerebu, keputusan mahkamah mengenai kes Anwar dan misteri kehilangan pesawat MH370. Mengingatkan betapa kecilnya saya. Ya Allah, hanya kepadaMu kami berserah dan hanya kepadaMu kami mohon pertolongan. Lindungilah kami dan limpahkanlah rahmat dan kasih-sayangMu kepada kami. Amin. 


Love..