Friday, August 30, 2013

Hari Raya Pertama 2013

Hari pertama raya akan berada di rumah nenek Sa'abah. Kami mulakan pagi dengan sarapan ketupat dan rendang. Kali ini ada lauk special iaitu perut masak lemak. Suka. Suka. Selepas bersarapan masing-masing mencari bilik air untuk bersiap ke masjid. Biasanya siapa yang tidak dapat ke masjid akan ditugaskan mengemas rumah dan megisi kuih ke dalam bekas untuk tetamu nanti. Saya dapat ke masjid. Bersama my baby dan pengantin baru. Hehe. Ani dan Taqi beraya di kampung kami tahun ini. Pertama kali dia sampai ke sini semenjak berkahwin dengan Ani bulan 6 yang lepas.

Lepas solat sunat hari raya, biasanya nenek akan ke kubur. Tetapi tidak tahun ini. Saya juga tidak sempat melawat kubur tahun ini kerana sibuk beraya. Memang mahu menyinggah sebelum pulang ke Klang, tetapi tidak sempat. Balik masjid, kami makan lagi. Berapa kali sudah mengulang makan. Biasanya, anak-anak ayah saya akan bersiap masa ini. Pernah sekali, kami teringin memakai selendang untuk raya. Baru pertama kali mahu pakai semasa raya terus. Makanya, lama gila masa diambil untuk bersiap. Ayah saya yang dari makan dah sudah makan, solat dhuha juga sudah, anak-anak dia masih membelit selendang lagi. Hehe. Tapi, sekarang sudah pakar sikit. Tak ambil masa yang lama pun. Setelah bersiap, bersalaman bersama saudara-mara yang ada.

Perjalanan beraya dimulakan. Kali ini, agenda utama memperkenalkan menantu Mak Lang. Mak, sabar yer. InsyaAllah tahun hadapan. Haha. Kami mulakan dengan rumah Mak Tam sebelah. Kemudian Tok Hashim, rumah ayah mentua Achik Oya, rumah Nek Ngah, rumah Nek Siah dan Nek Cik. Enam rumah sahaja kami beraya kali ini. Semakin tahun semakin kurang. Jika tiada orang tua di situ, maka ayah akan skip. Hehe. Apa yang menarik adalah kami berjalan. Rupa-rupanya menarik juga berjalan-jalan ini. Selama ini rasa biasa sahaja. Setiap tahun pun begitu. Tetapi, Taqi tidak pernah jalan kaki beraya. Biasa jika mahu ke rumah saudara, mesti menaiki kenderaan. Bak kata sepupu saya yang tinggal berdekatan dengan rumah saya di Klang. Takkan mahu ke rumah saya berjalan kaki, motor ada kan?

Rumah pertama. Jiran sebelah rumah. Mak Tam.

Afiq punya cermin mata kira macam props untuk bergambar untuk tahun ini. 

Bukan tujuan meletakkan gambar Nisah yer, tetapi untuk mengambil gambar Mak Tam di belakang itu ya. Harap maklum. 

Di rumah Wo. Rumah mak mertua Acik Oya. Acik lagi untunglah dari ayah. Rumah mak mertua sekangkang kera je. 



Dah selesai rumah Wo.

Next pit stop.

Cucu-cucu nenek Sa'abah. Korang dah besar.

Meneruskan perjalanan. Nisah, dah macam YB. Yang Berjalan. 

Sempat bergambar dengan bekas bus stand. Kenapa bekas? Sekarang sudah tiada lagi bas melalui jalan ini (Selandar ke Jasin). 

Budak yang sentiasa berkerut sahaja. Kami jumpa semasa solat di masjid. Alih-alih saudara rupanya. Hehe. 

Belakang rumah Nek Siah. Nek apa yer? Lupa pula. Haha. 

Nek, doakan orang. :D

Fahmi. Berlakon je tu. Hihi. ;p

Sebelum ke rumah nenek Rammelah. :D

Setelah habis beraya di sebelah ayah, tengaharinya kami ke rumah sebelah emak pula. Untungnya kampung berdekatan. Tidak perlu bergaduh-gaduh ya. Tahun ni tahun pertama kereta saya digunakan untuk raya. Kegembiraan untuk mak dan ayah. Firdaus memandu kereta saya bersama ayah, emak dan adik. Kami yang ladies ni naik kereta Aminah. Geng bergosip kata ayah saya. Menarik.  


K.E.S.A.Y.A.N.G.A.N.  S.A.Y.A

Di rumah Nenek Rammelah hanya ada Mak Ina. Yang lain semua sudah keluar beraya. Selepas bersalam, makan dulu (makan lagi.. wee~~). Lepas itu baru keluar beraya kembali selepas solat Zuhur. Kami ke rumah Tok Long Baharom, tetapi tiada di rumah. Kemudian ke Taman Bahagia rumah Nek Busu Jenab. Juga tiada di rumah. Ayah kata singgahlah, lepas ini memang dah tak singgah lagi dah. Kira macam, dah datanglah walaupun tak jumpa saudara. 

Borak-borak sesama kami sahaja. Nek Busu tiada. Anaknya pula penyegan. Hehe. 

Selepas itu, kami ke rumah Nek Jah. Tempat biasa mengambil gambar di Melaka adalah di tangga. Tiada tangga di rumah lain. Sekarang juga sudah kurang tangga di Melaka. 

Ada Mina. Tiada saya.

Ada saya. Tiada Mina.

One happy family. 

Kami singgah di rumah Nek Busu Lijah di Kesang Jaya sebelum menutup hari raya pada hari itu. Mari pulang ke rumah. Malam ini, tidur di rumah nenek Rammelah. Semalam sudah tidur di rumah nenek Sa'abah. Sehabis adil ayah saya membahagikan waktunya. Tetapi seperti kelam-kabut sedikit raya kali ini. Walaupun tidur di rumah nenek Rammelah, tetapi kami ke rumah nenek Sa'abah juga malam itu kerana abang ipar saya terajin pula. Dia merancang bersama pakcik Isa dan Fahmi untuk membuat BBQ. Abang Hairol ini, geng dia dah ada. Semangat naiklah. Sebelah emak saya kurang lelaki, kami ramai perempuan. Maka, Abang Hairol lebih suka duduk di sini. Haha. Memilih Abang Hairol ini, 

Gazebo Acik yang best ini. Memang bermanfaat. 

Nenek dan cucu barunya. Saya tidak jeles. Haha.

Adik ayah. Pak Lang dan Pok Teh. 

Makanan sangat banyak. Dari pagi ke petang ke malam aktiviti memakan sahaja. Rosak puasa sebulan. Hehe.

Orang kuat di sebalik BBQ malam itu. Kak Cik terkecuali yer. Hihi.

Selesai hari pertama. Bersambung esok. 

Love..

Thursday, August 15, 2013

Kisah Raya

Jika ada tugasan memasak nasi menggunakan periuk nasi yang besar, nama saya akan naik. Serahkan pada yang ahli. Hehe. Ahlilah sangat. Dapat kemahiran mengendalikan alatan itu pun selepas diajar oleh ayah. Maka nenek lebih selesa menyuruh saya memasak nasi. Kira jika syarat untuk berkahwin adalah pandai masak nasi. Saya sudah lulus. Hihi.  Hari itu, nenek menyuruh saya memasak sebanyak 21 gayung. Wah! Memang banyak. Keluarga kami, jika masing-masing pulang memang sudah boleh buat kenduri. Hari itu, nenek kata adiknya mahu datang beraya. Jadi, mahu memasak lebih untuk makan tengahari mereka sekali. 

"Adik nenek nak datang beraya." Cerita nenek ketika saya sedang membantu di dapur.
"Adik nenek yang mana? Kat KL tu ke?" Tanya saya pula.
"Ha'ah. Dah ada kat sini dah. Tidur kat Batu Berendam. Nanti nak datang sekali dengan adik ipar nenek." Nenek menerangkan.
"Ooo." Saya mengiyakan sambil menyambung kerja. 
"Nenek dah tinggal dua beradik sahaja. Adik beradik tak ramai." Nenek menyambung ceritanya.
"Oklah nenek, ada lagi seorang dan sekurang-kurangnya rapat dan boleh bercakap. Nenek Sa'abah dahlah ada dua beradik sahaja, tidak rapat pula." Saya menyambut kata nenek. Teringat nenek sebelah ayah saya. 

Tok Long (abang nenek sebelah ayah) saya, selepas berkahwin sudah seperti melupakan keluarga. Cerita siapa entah yang saya dengar dulu. Saya rasa semenjak saya bekerja baru saya kembali mengenali abang kepada nenek saya itu. Dahulu seperti tiada sahaja. Mungkin juga kerana dahulu Tok Long duduk di Utara dan baru berpindah ke Sepang beberapa tahun kebelakangan ini. Saya teringat, nenek mahu menyinggah ke rumah Tok Long sewaktu saya menjemput nenek untuk di bawa ke Klang semasa majlis perkahwinan Along saya. Malangnya, tiada rezeki kerana saya telah melalui jalan yang salah. Tetapi, ayah saya sekarang sudah rajin membawa nenek saya ke rumah Tok Long jika nenek turun ke Klang. Dalam perjalanan pulang ke Melaka, nenek akan menyinggah ke rumah abangnya dan ayah akan menemaninya. Setelah itu, nenek pulang ke kampung dan ayah pulang ke Klang. Alhamdulillah. 

Ketika dalam perjalanan ke rumah terbuka sepupu nenek Sa'abah. Saya menceritakan perbualan saya bersama nenek Rammelah kepada nenek Sa'abah saya. Nenek tersenyum sambil berkata yang Tok Long pernah menelefonnya untuk bertanya khabar baru-baru ini. Muka nenek sangat gembira. Nenek mahu menelefonnya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, tetapi terlupa. Alhamdulillah. Di saat-saat terakhir ini Allah membukakan hati Tok Long saya untuk mencari keluarganya. Semoga ianya kekal sehingga selepas kita tidak lagi di dunia ini. Adik-beradik, ibarat air yang dicincang tidak akan putus.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai. Adik-adik di depan mata semuanya. Baru-baru ini saya mendapat khabar adik saya baru bercinta sahaja saya sudah merasakan jauh dengan saya. Apatah lagi jika memang tidak bertegur. Huhu. Macammana agaknya perasaan nenek selama ini? Allah. Walaupun nenek tidak mendapat kasih sayang dari adik beradiknya, tetapi nenek tidak lokek memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak dan cucu-cucunya. Harus contohi ini Nadiah. Nikmat keluarga dan adik-beradik yang ramai dan rapat ini memang sangat-sangat saya syukuri. Saya berdoa kami dikuatkan ikatan kasih-sayang sesama kami di dunia ini dan pastinya untuk bertemu di syurga kelak. 

p/s : Doa diberikan kekuatan dan kemenangan juga saya panjatkan untuk semua para pejuang di Mesir dan Syria yang sedang berjuang mempertahankan hak dan menentang kezaliman di sana. 

Love..

Wednesday, August 14, 2013

Selamat Hari Raya 2013

Saya sangat mahu menulis mengenai hari raya pada tahun ini. Setelah hampir kehilangan semangat raya pada tahun-tahun kebelakangan ini. Alhamdulillah raya kali ini kembali ceria dan terasa perbezaan menyambutnya. Mungkin ramadan telah dilalui dengan sedikit lebih pengertian berbanding tahun sebelumnya. Menyebabkan kegembiraan raya dapat dinikmati lebih sedikit. Atau juga mungkin disebabkan kedatangan saudara baru di dalam keluarga saya. Masa raya adalah sesi untuk memperkenalkannya kepada semua orang menyebabkan makcik dan nenek saya berjalan beraya bersama-sama kami. Adakah itu sebabnya? Saya juga tidak pasti. Yang pasti, kali ini lebih terasa raya berbanding tahun sebelum ini.
    
Saya kembali semula bekerja pada hari ini iaitu Selasa. Hampir seminggu bercuti raya. Seperti juga tahun-tahn sebelum ini, kami beraya di Melaka dan singgah ke Pahang sebelum pulang ke Klang. Kali ini kami berkonvoi bersama keluarga sebelah ayah saya ke Pahang. Perjalanan bersama-sama keluarga tercinta membuahkan banyak perasaan di dalam diri saya. Bersyukur, terharu, sedih dan gembira yang pastinya. Saya hampir tidak tahu hendak dimulakan seperti apa dan bagaimana? Saya mahu menyimpan semua kenangan itu di dalam blog ini.

Doakan saya diberikan kekuatan untuk menulis semua kenangan dan kasih sayang Allah kepada saya. Untuk kali ini, saya hanya mahu mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara saya yang tercinta (Ini sahaja pun pembaca blog ini. Hehe.). Berakhir ramadhan, dan bermulalah perjuangan kita menempuh 11 bulan yang mendatang. Semoga madrasah ramadhan menjadikan kita umat Muhammad dan hamba Allah yang lebih bertaqwa. InsyaAllah.   

Keluarga sebelah emak.

Keluarga sebelah ayah.

Love..

Friday, August 2, 2013

Iftar di Kampung Halaman

Sempena dengan cuti Nuzul Al-Quran yang jatuhnya pada hari Jumaat, saya sekeluarga dapat berbuka puasa di kampung. Weee~~. Hari Jumaat, saya bersama emak dan kakak pertama saya pulang ke kampung terlebih dahulu. Sementara ayah dan adik bongsu saya pulang selepas bersolat Jumaat. 

Di kampung adik-adik saya iaitu Nafisah dan Naziha sudah terlebih dahulu sampai kerana pulang bersama kawan-kawannya. Budak-budak sekarang, belajar lagi sudah ada kenaikan. Gila hebat. Tidak mengapa. Jika sudah ada kemudahan dan boleh digunakan sebagai amal untuk membantu orang. Silakan mempunyai kenaikan.

Di kampung juga Pak Busu dan Mak Usu serta Achik Didi dan Achik Iza yang sudah sampai. Ini merupakan orang-orang yang bekerja di Selangor ya, kerana Mak Ina bekerja pada hari ini dan tidak dapat pulang. Berbuka puasa di kampung memang heaven. Baru kat dunia dah rasa nikmat syurga, tu baru kecil. Kalau syurga betul-betul. Allah. Tak tergambar. Masukkan kami ke dalam syurgaMu ya Allah. Doa banyak-banyak bulan puasa ini. :D

Nenek dah menjala kuih jala di pagi hari. Petang itu cuma memasak kari dan lauk-pauk yang lain. Saya tidak membantu di dapur langsung. Haha. Kepenatan memandu dalam kesesakan dan kehujanan tadi. Maka, tertidur. Alasan je tu nak tidur. ;p Bangun-bangun mak minta tolong siap-siapkan orang nak berbuka. Okay, yang itu tiada masalah. Anak-anak Mak Chah juga turut membantu. Muiz yang akhirnya telah keluar dari pertapaan, Rahman pun balik, Masyitoh dan Muhammad juga ada. 

Malam itu, kami berterawih di rumah berimamkan ayah saya. Selepas terawih, ada lagi sesi menghabiskan makanan. Seperti di bawah. Hehe.    

Makan

Makanan

Pemakan. :D

Keesokan harinya, atas permintaan siapa entah, nenek membuat kuih belanda atau kuih gulung ada sesetengah orang panggil. Buat adunan sekilo, sekali masak guna sesudu sahaja.. Wuuu~~. Bila nak habis ni? Renyah. Memang tak buatlah nampaknya. Tapi sedap. Kuih tradisional kot. Benda-benda yang susah ini, hasilnya memang superb. Tapi untuk saya, thanks but no thanks.  

Guna dapur gas ok lagi. Cuba bayangkan orang dulu. Mana nak jaga api, nak jaga kuih lagi. *Kagum*

Selepas masak, dikeluarkan dan hendaklah digulung dengan segera.

Seorang kena jaga 4 bekas. Kena fokus. Nanti ada pula yang hitam.

Kena gulung cepat-cepat. Jika tidak, dia keras dan tak boleh digulung lagi. Tangan dah kebas-kebas dah.

Masih lagi dalam mood mengelat. Semasa nenek membuat kuih belanda, Nafisah, Naziha dan saya ke Melaka mencari baju raya. Baju raya kami masih tiada. Hihi. Siapa suruh lambat-lambat fikir? Selepas memusing dari Jasin ke Melaka, berjaya juga kami mencari baju raya. Sekali pakej dengan tudung sekali. Wee~~~.

Semasa sedang dalam perjalanan pulang, emak saya menelefon. Katanya, dia sudah ke rumah nenek Sa'abah saya. Okay, kami akan ke sana setelah pulang. Ada dua kampung di satu kampung. Kena membahagikan masa separuh-separuh. Buka puasa di kampung lagi satu pula malam ini.

Sampai di rumah nenek Sa'abah, mereka sedang memasak. Wau! Ada laksa, meehon sup dan nasi. Ayah sila makan kenyang-kenyang. Hehe. Ayah saya selalu menyuruh kami adik-beradik belajar memasak dari nenek kerana lauk nenek sedap. Saya tahu cara nenek saya membuat asam pedas, tetapi masih tidak sama dengan rasa air tangan nenek. Saya katakan kepada ayah saya, 'nak makan sedap baliklah kampung selalu'. Ayah saya senyum saja. Tau dah. Malas nak balik kampunglah tu. Ayahku.

Malam itu, sekali lagi ayah menjadi imam kami. Maka, inilah imam solatku. Haha.Sebelum solat, ber'perang' dengan saya sebab saya nak menonton Oh, My English. Keesokan harinya ada episod finale (tapi, tak finale sangatlah. Ada to be continued.. Apakah??), jadi Astro menayangkan episod-episod sebelumnya. Saya belum menonton episod itu lagi. Huhu. Kemudian ayah saya menyuruh adik saya iqamat. Haha. Ayah bijak. Melompat-lompat baru saya nak tutup tv.        

Ya Allah, hidupkan kami dalam iman, matikan kami dalam iman dan tempatkan kami di tempat orang-orang yang beriman.

Cik Pipah ini, behave gila kat kampung. Bagus. Dulu punyalah takut dengan orang. Sekarang tidak lagi.

Selesai solat, bersalam-salaman sebelum hari raya.

Masih kecomelan dimenangi oleh Afifah. Maaf Kak Chik dan Kak Fisha.

Kami pulang ke Klang pada hari Ahad pagi. Ayah menghantar Fisha ke Kajang kerana dia sedang menjalani praktikal di sana. Sementara Naziha menumpang Achik Didi kerana Puncak Alam sejalan dalam perjalanan pulang ke Kuala Selangor.

Cuma tinggal kurang dari seminggu lagi, Ramadan akan melabuhkan tirainya. Bertemu lagikah kita  di Ramadan akan datang? Sementara masa masih ada, mari kita bersama-sama menambah amal dan berdoa dipertemukan dengan Ramadan akan datang. Selamat beramal. 

Saya tinggalkan dengan doa yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Kata beliau kepada Aisyah R.A, banyakkan membaca doa ini ketika bertemu Lailatul Qadar. Marilah kita bersama-sama mengejar keampunan Allah sebelum berakhir ramadan.


 Saya ambil dari google image sebab dia comel. Terima kasih littleMuslimah2013. :D
 
Love.

Thursday, August 1, 2013

Kisah Ramadan

Saya mempunyai seorang sahabat yang sangat kuat dan tabah. Beliau telah didiagnos dengan satu penyakit yang hanya boleh dirawat dengan melakukan transplan hati. Pada usia yang muda 25 tahun, beliau telah diuji Allah dengan satu penyakit yang tidak dapat dikesan punca penyakitnya oleh doktor. Ili Shazwani Adlin, seorang sahabat yang sangat baik. Beliau mengetepikan kesihatannya hanya untuk merealisasikan dan meraikan kegembiraan sahabatnya yang lain. Sangat jarang berkata tidak untuk semua permintaan orang ke atasnya. Seboleh-bolehnya mahu menunaikan permintaan tersebut. Kisah awal penyakitnya di sini dan ini. Alhamdulillah, tahun ini beliau tidak dimasukkan ke hospital sehingga beberapa minggu sebelum berpuasa. Beliau kembali batuk berdarah dan dimasukkan ke hospital selama hampir dua minggu. 

Doktor yang baik hati telah memberikan kebenaran untuknya pulang ke rumah semasa puasa. Di rumah, masih lagi batuk berdarah. Alhamdulillah, dikurniakan Allah keluarga yang sangat membantu. Walaupun begitu, ada kalanya beliau merasa tidak kuat untuk menjadi kuat lagi. Allah. Saya berdoanya diberikan kekuatan oleh Allah menghadapi semua ujian ini. Saya mendoakan ketabahan keluarganya juga. Teringat pesan Ustaz Pahrol, yang semua ujian Allah ini tidak lari dari kasih sayang-Nya. Juga, Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi keupayaan hamba-Nya. 

(Surah Al Baqarah : 286 ..لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا )


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"- Surah Al-Baqarah : 286


Kami (Ebah, Paie, Faezah, Anis dan saya) berkesempatan melawat Ili semasa beliau sedang bercuti. Rumahnya berdekatan dengan pejabat kami. Senanglah kami berlari sebentar semasa waktu rehat. Sesampai kami di rumahnya, ibunya menyambut kami dengan tangisan. Kata Ebah, semalamnya Ili batuk berdarah dari selepas berbuka sehingga jam 5 pagi. Ibu mana yang tidak terkesan dengan kesihatan anaknya sebegitu? Sedih nampak di hati. Ili juga begitu. Tetapi, beliau menggagahkan diri melayan kami. Kami menghabiskan masa selama lebih sejam di rumah Ili menghapdate perkembangan pejabat dan cerita-cerita semasa. Gembira melihat kegembiraannya. Ketika kami mahu pulang, ibunya berterima kasih kepada kami. Katanya, beliau sudah lama tidak melihat Ili gembira sebegitu. Ibunya mengajak kami berbuka di rumah jika kami mempunyai kelapangan. Wah, kecil tindakan kami itu. Kami cuma mahu melawat Ili, tidak sangka kesannya sebegitu sekali.  

Saya teringat cerita Pak Busu semasa saya belajar di Perak dan menelefon kampung untuk bertanya khabar. Semasa itu, keadaan di kampung sedang tegang kerana Atok Man baru disahkan menghidapi kanser dan selalu marah-marah. Ketika itu, saya menelefon dan berborak dengan nenek. Saya rasa tidak lama mungkin dalam 5 ke 10 minit, kerana saya juga perlu menelefon nenek Sa'abah. Tetapi, kesannya dapat mengurangkan tekanan kepada nenek saya. Pastinya saya tidak merasa apa-apa ketika menelefon, cuma mahu berkongsi cerita. Kesannya kepada orang lain sangat besar rupanya. Oleh itu, jika kita berniat untuk membuat kebaikan, teruslah tanpa bertangguh. Mungkin tindakan itu mampu menggembirakan orang lain, terutamanya orang yang kita sayang.  

Impian ibu itu kami realisasikan (hamboi, macam rancangan Memburu Impian pula) selang beberapa hari kemudian. Pada waktu itu, keluarga Ili mahu memenuhi undangan berbuka di luar, dan Ili tidak mahu mengikutnya. Jadi, Faezah, Anis dan saya yang bujang-bujang ini mengambil peluang berbuka di rumah Ili. Kawan-kawan lain ada anak dan suami yang perlu diuruskan. Hehe. Kami membeli makanan dari pejabat di Restoran Baloh untuk bekalan berbuka. Sesampai kami di sana, keluarga Ili sedang bersiap untuk keluar. Kami melepak di bilik Ili sambil menonton Masterchef Australia. Okay, kagumnya dengan mereka. Muda lagi kot. Dah pandai memasak sebegitu. Keadaan ibu dan Ili semasa kami datang, berbeza dari hari kami melawat Ili. Mereka nampak ceria. Ili juga semakin sihat. Nak kata sebab kami datang beliau bertambah sihat, riak pula. Mungkin dalam 60% adalah sebab kami kot. Haha. Nak juga tu. ;p

Plastik beg IJN. Jantung Anda, Prihatin Kami.

Kakak Faezah datang melawat adiknya. 

Anis pulang awal kerana mempunyai tuntutan berbuka bersama makciknya. 

Faezah dan saya menunggu sehingga keluarga Ili pulang. Ibu dan ayahnya mengajak kami tidur di situ sahaja. Kebetulan esoknya Sabtu bercuti. Katil dah cukup dah tadi semasa menonton Masterchef semua pun dok berbaring atas katil tu. Hehe. Lain kali mungkin. 

Keesokan harinya, Faezah, Anis dan saya mengikuti program yang dianjurkan oleh Gamuda Sport Club, Lawatan ke Persatuan Rumah Caring di Kajang. Kami tiba jam 10 pagi dan berada di sana sehingga jam 12 tengahari. Tempat ini merupakan pertempatan orang-orang tua yang tidak mempunyai keluarga. Biasa kes diambil dari hospital-hospital yang tidak tahu ke mana mahu dihantar selepas mereka menerima rawatan. Mereka juga menjaga single parent, down syndrome, disabled & drug rehab. Tetapi rumahnya di tempat lain.

Terdapat hampir 30 orang tua di sini. Kami di sana cuma menghadirkan diri dan bermesra dengan mereka sahaja. Itu juga tidak lama, tetapi terpancar kegembiraan di wajah mereka. Gamuda menyerahkan beberapa barang keperluan seperti kipas, makanan, tisu, kelengkapan kebersihan dan sedikit wang sumbangan. Kata Wendy (pengurus rumah kebajikan ini), mereka gemar jika penderma bertanya apa yang mereka perlukan kerana kadang-kadang, mereka masih mempunyai stok yang masih banyak seperti beras. Jadi, lebih kepada apa yang mereka perlukan. Anne (pengelola dari Gamuda) telah terlebih dahulu menelefon dan bertanya mengenai benda yang diperlukan oleh rumah ini. 

Menurunkan barang yang diberikan oleh Gamuda. Terima kasih. :D


Wendy (berbaju pink dan berambut panjang) seorang yang sangat hebat. Sudah lama berkecimpung dalam aktiviti sukarelawan ini. Sebelum ini menjaga anak yatim. Tetapi katanya, anak yatim sekarang sudah senang. Banyak bantuan dari orang ramai. Berbeza dengan warga tua ini dan ibu tunggal, tidak banyak diberi perhatian. Katanya lagi, bantuan untuk anak-anak yatim sudah banyak sebenarnya. Kagum saya dengan orang yang sanggup menolak segala hal dirinya untuk membela dan menjaga orang lain. Orang yang tiada kaitan dengan mereka. 

Auntie berbaju biru ini down syndrome tetapi masih mahu beramah mesra dengan kami. 

Bergambar kenangan bersama sebahagian warga di sini.

Ketika bersama mereka, saya berasa sangat bertuah dan bersyukur. Bertuah kerana dapat menghadiri aktiviti sebegini. Bersyukur dengan nikmat keluarga yang ramai dan kami mempunyai antara satu sama lain ketika menghadapi kesukaran. Semoga saya diberi peluang membantu menceriakan mereka lagi. Saya berdoa Allah memberikan kesihatan yang baik untuk emak dan ayah saya. Juga diberikan kekuatan untuk menjaga emak dan ayah semasa mereka masih ada. 

Love..

Berbuka Puasa di Masjid

Ramadan tahun lepas Mak Ina sedang mengambil peperiksaan, maka Mak Ina mengajak saya berbuka di masjid kerana beliau dapat mengulangkaji sementara menunggu waktu berbuka. Tahun ini, walaupun tidak menjalani peperiksaan, kami mahu meneruskan aktiviti ini.

Berbuka puasa membolehkan saya bersolat di awal waktu dan berjemaah. Saya berbuka di Masjid bulat bersebelahan rumah sewa saya. Alhamdulillah diberikan kesempatan menyewa berdekatan dengan masjid. Saya suka. Jika subuh, selepas bersahur, saya akan berjemaah di masjid sepanjang ramadan ini. Pada hari pertama saya ke masjid untuk solat subuh, seorang makcik berkata "Ada orang baru". Saya hanya tersenyum. Di dalam hati berkata, "Ramadan je makcik". Hehe. Perkara yang saya belajar dari nenek saya semasa di kampung. Selepas bersahur, saya dan kakak saya akan ke masjid menaiki motor, manakala nenek akan menaiki motor bersama arwah Atok Bujang. 

Di masjid, kami mulakan dengan berbuka kurma, air mineral dan air zam-zam yang telah disediakan sebelumnya oleh petugas. Kemudian, kami akan solat maghrib berjemaah dan baru turun ke dewan makan untuk menjamu selera. Kami pernah merasai nasi ambang, mee goreng, nasi berlauk dan beberapa menu yang disediakan. Saya mendoakan dimurahkan rezeki kepada semua orang yang membantu menyedia dan memberikan makanan kepada semua kami yang berbuka di masjid. Semoga Allah merahmati kamu semua. 

Selepas itu, kami akan terus bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Masa ini biasanya saya menghabiskan dengan membaca Al-Quran. Tidak panjang rupanya waktu antara Maghrib dan Isyak. Saya hanya berjaya membaca paling kurang 4 muka surat sahaja. Jika di rumah, lama benar masanya. Sempat lagi tengok tvlah, makan-makan tahap tak ingat nak terawih lepas tu kenyang. Terjaga sedikit perangai jika berbuka di masjid. Hehe. 

Saya pernah berborak dengan seorang kakak kerana waktu itu, saya berbuka seorang di masjid. Kakak ini bekerja di UM dan tinggal di Pantai Dalam. Anak-anaknya seramai 3 orang bersekolah berdekatan dengan masjid ini. Maka, selepas menjemput mereka pulang dari sekolah, mereka sekeluarga akan berbuka di sini. Katanya, jika mahu pulang berhadapan dengan kesesakan lalulintas dan memerlukan waktu untuk menyediakan juadah lagi. Berbuka puasa di sini mudah. Betapa besarnya pahala orang yang memberi makanan kepada kami ini. Sementara menunggu waktu Isyak, saya melihatnya mengajar anaknya mengaji di belakang sudut masjid di bahagian solat wanita dan pernah melihat seorang anaknya membuat kerja sekolah di sebelahnya sementara dia mengajar mengaji kakaknya. Menggunakan masa berkualiti bersama keluarga walau di mana jua. Kecil-kecil jika sudah dijinakkan dengan masjid, InsyaAllah mereka akan merasa dekat apabila besar kelak.

Saya pernah bercita-cita untuk berbuka puasa di masjid lain. Mahu juga tengok cara masjid lain. Tetapi segan kerana tiada teman. Saya pernah mengajak Faezah, jika mahu berbuka di masjid berdekatan dengan rumahnya. Faezah tidak pernah melakukannya. Katanya, jika perempuan berbuka di masjid seperti perempuan itu malas kerana di tempatnya yang pernah dilihat hanya lelaki. Haha. Faezah, saya tidak malaslah.  

Dalam minggu lepas, Liza mengajak saya berbuka puasa bersama. Cun. Saya mengajaknya berbuka di masjid Shah Alam. Mahu merasai pengalaman di sana. Liza ini, sahabat yang sungguh senang di bawa ke sana ke mari. Tanpa banyak alasan, beliau mengikutnya. That's why i love you so much dear. Hehe. Saya dan Liza sampai di masjid, semua orang sudah duduk menghadap makanan. Bersama-sama kami, datang sepasang suami isteri sedang membawa kotak makanan yang mahu disedekahkan kepada orang ramai. Dia meletakkan di tempat bersama makanan-makanan lain. Orang lain cuma perlu mengambilnya sahaja. Terdapat pelbagai cara bersedekah di bulan ramadan. Kami berjalan-jalan sekitar masjid untuk melihat keadaan keliling. Ramai juga orang berbuka di sini. Terdapat ruangan keluarga, ruangan wanita, ruangan lelaki, dan sekolah-sekolah tahfiz atau anak yatim juga disediakan.

Kami memilih bersama-sama di ruangan wanita. Di sini sementara menunggu waktu berbuka, kami ditontonkan dengan ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai bulan ramadan.

Ceramah Ustaz Youtube.
  
Mengambil peluang menunggu waktu berbuka sambil membaca Al-Quran


Makanan yang disediakan. Banyak saya rasa. Nasi berlauk, buah oren dan kurma. Oh, kuih melaka juga. Banyaknya.

My best friend. :D

Di ruangan wanita.

Bersusun Al-Quran di atas botol. Mereka berehat sebentar dan kemudian menyambung membacanya kembali.


Ustaz membincangkan mengenai tahlil, tazkirah atau tiada apa-apa pendekatan semasa bersolat terawih. Katanya, tidak ada nas yang mengatakan Rasulullah S.A.W membuatnya, tetapi jika membuatnya mendapat pahala, tiada salah jika mahu membuatnya. Toksah nak bergaduh sangatlah. 

Sementara menunggu Isyak. 


Ada terjemahan dan hukum tajwid sekali.


Ya Allah, saya sayangkan sahabat saya ini keranaMu. Ketemukan kami semula di syurgaMu kelak Ya Allah. Amin.

Love..