Tuesday, January 29, 2013

K-Fiqh Wanita & Islam - MAEPS Serdang

Pada dua minggu yang lalu, Nafisah, Anis (budak pejabat saya) dan saya sempat menghadiri satu seminar mengenai wanita yang dianjurkan oleh K-Fiqh. Seminar dua hari itu sangat penuh dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan saya. Ada ilmu yang baru saya dengar dan ada juga ilmu yang pernah saya dengar tetapi kali ini pemahaman saya dalam konteks yang lain pula. Benarlah ilmu ALLAH ini sangat luas. Banyak slot yang dibahagi-bahagikan sepanjang dua hari ini.
  
Orang mengajar kat depan tu, main-main kat belakang. ;p

Antara banyak-banyak slot, saya lebih terkesan dengan perkongsian cerita hijrah oleh Oki Setiana Dewi. Seorang aktres dari Indonesia yang diterbangkan khas ke Malaysia. Cerita Oki, dia dijemput oleh Ustaz Zaharudin untuk berkongsi perjalanan hijrahnya. Berpandukan beberapa slaid yang memaparkan kisah hidupnya sebelum dan kemudian berhijrah dan seterusnya masih meneruskan kehidupan sebagai seorang muslimah. Saya terkesan dengan ceritanya yang membantu mengajar mengaji orang tahanan di penjara. Menceritakan saat gembira mereka di penjara dengan kehadiran Oki dan kawan-kawannya kerana telah lama diabaikan oleh orang keliling tetapi Oki dan kawan-kawannya datang memberikan ilmu dan kasih sayang kepada mereka. Juga ceritanya mengenai pembelajarannya di Makkah tanpa wang saku yang mencukupi. Tetapi dengan niat dan tekad yang tinggi dan kebergantungan kepada ALLAH menyebabkan dia berjaya menghabiskan talaqi di Makkah tanpa biaya sesen untuk tempat tinggal dan pembelajaran. Semua dibiaya oleh insan-insan yang diutus ALLAH untuk membantunya. ALLAH, ceritanya sangat menyentuh hati. Selain itu, sering merasakan amalnya tidak cukup untuk di bawa berjumpa ALLAH kelak dan ini menyebabkan dia selalu memperbanyakkan amalannya. Dia belajar dari orang dan alam sekeliling. Pesannya, berkawan biar dengan sesiapa sahaja. Tetapi bersahabat biar dengan orang-orang yang dapat membantu kita untuk dekat kepada ALLAH dan syurga tempat kekal kita. Semua kisah-kisah hidupnya dan pengajaran yang diambil ditulis dalam buku-bukunya seperti Sejuta Pelangi, Melukis Pelangi dan Cahaya Atas Cahaya.

Antara buku tulisan Oki. Masih belum ada dalam koleksi buku saya. 

Saya juga mula meminati Ustaz Zahazan. Beliau sangat banyak ilmunya dan agak kelakar. Ini kali pertama saya mendengar ceramahnya secara langsung. Pernah mendengarnya di radio IKIM seperti serius sahaja, tetapi di sini lebih santai. Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang memberikan ilmu di sini, saya dapati hadis-hadis dan ayat Al-Quran bermain-main di bibir mereka sahaja. Saya sungguh kagum.  

Perkongsian Ustaz Hasrizal juga tidak kurang hebatnya. Menceritakan srikandi-srikandi muslimah semasa zaman Rasulullah S.A.W yang tidak kurang hebat dalam membantu perkembangan ekonomi dan agama Islam. Saidatina Khadijah r.a dan Saidatina Aishah r.a. sudah pasti termasuk dalam senarai antara muslimah yang hebat di zaman Rasulullah S.A.W dari segi ekonomi dan ilmu. Selain itu, Ummu Sulaim (saya kurang pasti ejaan sebenarnya), Sumayyah, Asma' dan banyak lagi tokoh muslimah yang kurang saya beri perhatian selama ini. Baru saya merasakan pembelajaran sejarah ini sangat menarik sebenarnya. Sebelum ini, saya kurang meminati, bukan kurang malah memang tidak gemar kerana merasakannya subjek yang bosan ketika di sekolah. Tetapi, apabila sejarah mengenai tokoh-tokoh ini disamping cerita-cerita zaman Rasulullah S.A.W, saya berminat untuk mengetahui sejarah supaya lebih mudah menyerap dan memahami situasi sebenar yang terjadi dan akibat dari peristiwa tersebut. Sejarah Islam ini menambahkan keimanan dan membuatkan saya mensyukuri nikmat Islam dan Iman dalam yang telah diberikan ALLAH kepada saya.

Handout yang disediakan oleh pihak penganjur.

Seorang lagi tokoh yang baru saya kenali dan saya kagumi adalah Dr. Harlina Halizah Siraj. Seorang doktor yang hebat dari segi ilmunya dan cara penyampaiannya yang lebih sempoi menarik minat saya. Menitik beratkan kesihatan dalam kehidupan seharian. Kita seharusnya mengambil tahu penyakit-penyakit yang mudah menyerang wanita dan kaedah-kaedah mencegahnya seperti membuat pemeriksaan di hospital atau klinik dalam keadaan berkala. Saya sekarang sudah rajin ke gym walaupun hasil awal mendapati berat saya bertambah sekilo dan daya makan saya bertambah selepas bersenam. Hehe. Saya berdoa usaha saya ini akan membuahkan hasil dan diberi kesihatan yang baik di masa tua kelak. :D

Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang boleh saya ambil sepanjang program ini. Saya berdoa diberi kekuatan untuk mengamalkannya dan tidak jemu mencari ilmu untuk memperbaiki diri sendiri menjadi lebih baik selepas ini. Selepas program, saya menghantar Nafisah pulang ke Bangi dan saya pulang ke PJ. Langkah dah semakin panjang sekarang. :p
  
My precious.. Preciouslah sangat..;p
Love..

No comments: