Monday, January 23, 2012

Cuti ke tak? :D

Alhamdulillah, semalam saya sempat menghadiri (walaupun duduk kat khemah je masa majlisnya) pertunangan sepupu saya Ani Masturah binti Zahri bersama tunangnya. Ketibaan orang sebelah lagi awal dari kami yang tinggal berdekatan menyebabkan kami tidak dapat masuk ke rumah Mak Lang saya. Majlis berjalan lancar, dan ayah saya bertindak sebagai jururunding pada waktu itu. InsyaALLAH, majlis perkahwinan akan diadakan pada bulan May nanti. Nenek, Acik Oya dan keluarga serta Pak Busu saya datang dari kampung untuk memeriahkan majlis. Juga anak arwah Pak Ngah saya dari UIAM Gombak, Fatimah dan abangnya Dolah berjaya sampai untuk majlis ini. Setelah selesai majlis hampir ke pukul 3 petang, kami pulang ke rumah untuk merehatkan diri. Semua bantai tertidur kerana kepenatan. Mujur lauk kenduri tadi masih banyak, jika tidak pasti akan ada lagi urusan ke dapur untuk menyediakan makan malam. Penat. Haha. Selepas makan malam, Pak Busu saya yang memang teringin ke I-City di Shah Alam mengajak kami ke sana. Sebanyak empat buah kereta yang membawa saudara-saudara kami telah memenuhi I-City pada malam itu. Kami menangkap gambar menggunakan kamera Timah. Tiada langsung gambar di dalam simpanan saya (Masa inilah saya merindui telefon yang mempunyai kemudahan kamera).

Hari ini (Ahad), merupakan hari pertunangan budak rumah saya merangkap budak pejabat juga iaitu Nur Faizah binti Masran di Mentakab. Saya tidak dapat menghadirkan diri. Kita datang majlis perkahwinan nanti yer Paie. Tahniah menjadi tunangan orang. :). Program saya bertukar pula ke lawatan ke asrama sepupu saya Fatin Aini dan Hafizah di Rawang kerana nenek saya telah pulang pada siang harinya ke kampung. Saya dan Alin berjumpa dengan Sobri dan Mubarak di Carrefour Subang dan seterusnya ke Rawang terus. Setelah membeli sedikit barang keperluan Atin dan Ijah di Carrefour, kami ke KFC untuk membeli makanan tengahari seterusnya menyambut hari jadi Sobri di Rawang nanti. Berpandukan googlemap Alin sehingga ke exit Rawang dan seterusnya dipandu arah oleh Sobri dan Mubarok sehingga ke Rawang Country Homes. Perjalanan hanya memakan masa lebih kurang 30 ke 40 minit sahaja melalui NKVE. Dekat juga rupanya Rawang ini. Sobri memberitahu, sekolah mereka mempunyai program dan tidak membenarkan pelajarnya pulang. Tidak mengapa, kami boleh melawat sahaja. Sekurang-kurangnya memberi sedikit kegembiraan kepada Atin dan Ijah. Yelah, pengalaman orang melawat kita semasa kita di asrama. Pastinya menarik.

Malangnya, sesampai di sana, Atin tiada. Dia telah dihantar ke Kedah untuk pengkhususan membuat kek kerana telah habis tingkatan lima. Ijah pula sedang tidur kerana pada hari ini merupakan giliran team usrahnya untuk memasak tengahari dan dia keletihan. Kami menunggu di bawah asramanya dan selepas Ijah turun, kami makan di kedai makan berdepan dengan asrama Ijah kerana tempat lain basah disebabkan hujan semalam. Waktu ni agak segan ok. Makan KFC di kedai makan. Untuk mencover, kami membeli teh o ais satu. Hehe. Sedang makan, kami bertanya kepada Ijah sama ada beliau boleh di bawa pulang atau tidak. Ijah kata, kena ada saudara datang mengambil. Ok, Sobri merupakan abang Ijah. Haha. Hasilnya, selepas bertanya dengan Ustazah, kami berjaya melarikan Ijah dari asramanya dan berjanji akan menghantarnya pada keesokan harinya. Program kami untuk esok adalah ke Petrosains di KLCC. Saya tinggalkan Ijah, Sobri dan Mubarok di rumah Mak Ngah. Esok kami akan berjumpa lagi untuk program seterusnya. Balik dari rumah Mak Ngah, Nafisah telefon dan meminta saya menjemputnya di Sungai Udang kerana menyertai program di sana. Sampai di rumah sudah jam 6 petang. Esok jadual sudah ada. Hari Selasa, saya akan menemani Lyza untuk ke rumah saudaranya di Cheras pula. Hari Rabu pula saya bercadang untuk membuat passport dan pergi ke bank.

Jadual yang agak penuh untuk sepanjang cuti tahun baru ini. Saya isi masa saya dengan hal-hal yang menarik. Alhamdulillah. Selain itu, saya bersyukur adik-beradik saya masih berada di depan mata saya dan jika tidak pun, saya masih boleh menghubungi mereka jika saya mahu. Saya sudah lama ingin menulis entri mengenai adik-beradik kesayangan saya dan keluarga saya. Insya-ALLAH jika diberi kesempatan. Satu entri mengenai mereka kelak.

Love..

Tuesday, January 17, 2012

Aisyah Kamilah Zakaria.

Saya mengenali hamba ALLAH ini ketika bersama-sama menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 tahun lalu. Beliau sangat bersemangat kerana turun ke Kuala Lumpur seorang diri pada waktu itu. Perancangan awalnya, dia akan bertemu dengan kakaknya yang turun dari UIA Kuantan, tetapi oleh kerana terlalu banyak sekatan jalan menyebabkan dia tidak berjumpa kakaknya sehingga ke sudah. Sedang kami berjalan-jalan, dia berjumpa dengan Mekna dan meminta izin untuk mengikuti kami semasa itu. Memandangkan tujuan kami di Kuala Lumpur itu sama, kami boleh 'masuk' dengan senang. Umurnya baru sahaja 20 tahun ketika itu dan sedang mengikuti pengajian di HELP University tajaan JPA. Tetapi sudah sangat kental jiwanya apabila mahu bersama-sama BERSIH waktu itu. Kami bersamanya sehingga ke akhir program kami. Tidak terfikir dapat berjumpa kembali dengannya selepas itu.


Sudah jodoh untuk bertemu dengannya barangkali Perancangan awal saya dan Mekna adalah makan laksa yang dibeli di pasar malam untuk malam ini. Namun, ketika Mekna bersolat Maghrib di masjid bulat, Mekna dapat berjumpa sekali lagi dengan Aisyah. Dia telah datang ke Seksyen 14 untuk mencari tiket ke forum yang boleh didapati di kedai buku berhampiran rumah kami. Kami makan malam di Cafe 14 di belakang rumah kami. Sangat teruja berjumpa dengan budak ini kerana beliau sangat happy go lucky. Mengambil pendekatan yang sangat berbeza untuk semua masalah dengan menjadikan jalan cerita masalah sebagai lawak. Seperti menceritakan adiknya yang tidak sihat dan terpaksa di tahan di wad dan terpaksa dijaga oleh beliau kerana sedang bercuti semester. Beliau menceritakan kepada kami sambil ketawa. Beliau merupakan anak ke-3 dari 8 orang adik beradik, dan telah kematian ibu dan bapa. Kehidupan yang saya kira mencabar ini, dilalui dengan tenang oleh Aisyah. Tidak langsung terpancar kesusahan dalam aksi mukanya. Kental budak ini kata saya dalam hati saya. Harus belajar sikap itu.


Selepas makan, Mekna menghantarnya ke asrama HELP di Pusat Bandar Damansara. Kami sempat menyinggah di bilik hostel Aisyah. Sedang dalam perjalanan ke biliknya, kami di sapa seniornya yang memang mahu ke bilik Aisyah. Kak Dina panggilnya Aisyah. Jadi saya fikir pasti umurnya dalam 22 tahun. Setelah beberapa minit di dalam biliknya, budak biliknya baru balik dari mengambil peperiksaan kerana mereka mahu melaraskan waktu peperiksaan dengan waktu di UK. Budak biliknya dpanggil Aini. Saya teringat zaman-zaman di UiTM dahulu. Melepak-lepak di bilik member memanglah benda yang paling menyeronokkan. Tempat lepak saya pastinya bilik Najwa dan Ida. Saya memang suka menjadikan katil bawah di bilik mereka umpama katil saya sendiri. Sampai pernah tertidur di katil Ida dan Ida terpaksa tidur di katil budak biliknya yang lain dan mujur ketika itu budak biliknya tidak bermalam di bilik. Ok, saya rindu waktu itu. :) Kawan-kawan Aisyah sangat baik. Walaupun baru berkenalan, kami telah berjaya 'masuk' bersama-sama. Berkongsi minat video Mat Lutfhi yang kelakar dan mengenakan Aisyah secara berjamaah. Hehe. Semua budak-budak pandai tu, belajar tajaan JPA dan MARA.


Buat Aisyah Kamilah, semoga awak tabah menghadapi peperiksaan dan kehidupan ini, dan semoga dapat menyambung pelajaran ke UK. Teruskan semangat dan cita-cita awak. Panjang umur, kita berjumpa lagi kelak. :)

Love.

Thursday, January 12, 2012

Kegembiraan 2011

Sudah 11 hari di tahun baru 2012. Terlalu banyak perkara yang terjadi pada tahun lepas yang tidak berkesempatan dicoretkan di dalam blog. Antaranya perkahwinan kedua-dua sepupu saya Nurlina dan Ahmad Arif. Perkahwinan bersama orang jauh menyebabkan kami berjaya membuat cuti-cuti Kelantan bersama Achik di sana. Kehadiran nenek Sa'abah memeriahkan majlis menambah kegembiraan. Kenangan menaiki pesawat bersama mak dan ayah untuk pertama kalinya (Yeay, ayah saya dah naik kapal terbang. Selalu kata asyik hantar orang kat airport je kan ayah. Hehe.) Di sana, Tok Ali dan Nenek Sareah juga menghadirkan diri untuk ke majlis Zarizi. Walaupun mengalami sedikit kemalangan semasa menuju ke Kelantan bersama Pakdik, tetapi Atok tetap sampai ke Kelantan. Kata Atok, masa berkumpul ramai-ramai ni yang seronok.


Nenek-nenek saya yang comel. :)

Selain itu, majlis perkahwinan Ahmad Arif juga sangat meriah. Kami menjadi semakin rapat dengan anak Pak Amjah. Masa lebih banyak dihabiskan bersama saudara-mara. Pasukan bola dan pasukan bowling telah berjaya dibentuk untuk sebarang pertandingan yang akan datang. Hehe. Saya suka kenduri, kami saudara dapat berkumpul dan bermesra.


Selain itu, tahun lepas juga saya telah berjaya membawa Nenek Sa'abah berjumpa dengan abangnya yang lama tak jumpa. Cita-cita nenek itu terlahir semenjak perkahwinan Kak Long saya ketika saya menjemput nenek dari kampung. Akhirnya, berjaya juga ayah saya mencari rumah Tok Long saya di Sepang. Itu merupakan kali pertama juga saya berjumpa dengan satu-satunya adik beradik nenek saya. Alhamdulillah.




Tahun lepas juga saya diperkenalkan kepada Mat Lutfhi oleh Naziha. Vlogger lawak yang bijak dan sinis. Video-videonya menjadi ubat mengelak ngantuk ketika di pejabat. Selain itu, vlogger lain seperti Anuar Hadi juga menjadi carian saya di internet sekarang.



Gambar Raya


Di pejabat, saya telah mengikuti satu aktiviti bersama dengan anak yatim anjuran Gamuda di Kuala Selangor Nature's Park. Aktiviti menarik ini saya kongsi bersama dengan dua lagi teman sepejabat iaitu Faezah dan Anis. Pengalaman menanam pokok bakau juga akan menjadi sebahagian kenangan dan kasih sayang saya kepada bumi ini. Aktiviti tahun ini pula adalah memanjat Gunung Kinabalu pada bulan Jun nanti. InsyaALLAH.



Semoga hiduplah pokok bakau ini. :)


Kami juga untuk kesekian kalinya pindah pejabat lagi. Kali ini, kami berpindah ke Menara MK di Damansara Perdana. Bangunan yang dari jauh nampak cantik tetapi bila tengok dekat-dekat macam rumah tidak siap kerana bertema 'Bangunan Hijau'. Tetapi menarik. Pejabat saya di tingkat 15. Dari pejabat saya boleh kelihatan Menara Telekom.


Bersantai-santai semasa makan tengahari. Am pergi haji waktu ni.



Dinner Gamuda. Tak dapat cabutan bertuah sebab datang lambat. :(


Terima kasih kepada sepupu kesayangan saya yang memperkenalkan twitter di sms. Permulaannya supaya saya boleh bermesej dengannya secara unlimited dengan hanya bayaran RM1 seminggu. Tetapi, sejak kebelakangan ini seperti sudah tidak berfungsi mesej di twitter itu. Antara orang terawal yang saya follow adalah Sham Kamikaze dan Wardina Saffiya. Seperti bulan jatuh ke riba, Encik Anuar telah menganjurkan program untuk orang muda di kampung beliau di Perlis dan di antara jemputannya ialah Sham. Saya dan Mekna berkesempatan ke sana dan yang paling mengujakan, Mekna telah membaca sajak diiringi petikan gitar oleh Abang Sham (ok, agak gedik di situ.haha). Saya pulang ke Selangor bersama adik saya Firdaus yang kebetulan bekerja di Perlis.



Sangat humble. Abang Sham? Ahaks. Dah menjaga pandangan dah sekarang ya.


Melalui twitter Sham (pergh, macam kawan-kawan) juga saya mengenali seorang tokoh motivasi yang hebat iaitu Prof. Dr Muhaya. Beliau telah meng-retweet status Prof Dr Muhaya dan menyebabkan saya mencari maklumat mengenai proffesor tersebut dan sekarang telah mengikuti program beliau di IKIM.fm. Saya juga pernah berjumpa dengannya semasa program di Stadium Shah Alam dan di masjid bersebelahan rumah sewa saya. Banyak yang boleh dipelajari dari profesor ini. Semuanya bermula dari apa yang kita fikir. Maka, fikirlah yang baik-baik sahaja.


Dua benda yang paling mengujakan pada saya pada tahun lepas adalah menyertai dua perhimpunan yang saya kira merupakan sejarah untuk diri saya sendiri (bak kata Alin, i'm part of the history) dan sejarah Malaysia juga iaitu Bersih 2.0 dan Sambutan Tahun Baru 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.


Saya bersama-sama Mekna, Aminah, Encik Anuar dan seorang kawannya telah bersama-sama hampir berpuluh ribu rakyat Malaysia yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil telah bersama-sama berjalan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011. Saya dapat merasakan semangat satu malaysia ketika bersama-sama berjalan tanpa mengira kaum dan warna kulit. Berkongsi garam dan air ketika disembur gas pemedih mata dan lari dari polis sesama kami, berteduh di Tung Shin Hospital dan bersolat di situ. Setiap kali membaca buku Kisah Sebenar 9 July 2011, saya pasti menitiskan airmata. Betapa susahnya kita untuk menyuarakan pendapat di dalam negara demokrasi ini dan yang pastinya kematian Allahyarham Baharudin menyentuh perasaan saya.


The best!!


Saya tutup tahun 2011 dengan menghadiri satu program yang berilmiah dan santai. Program hiburan yang saya kira sangat menghiburkan tetapi objektifnya masih tidak lari dari berkongsi ilmu untuk orang muda. Sebanyak hampir 70 ribu ke 80 ribu orang memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Saya bersama-sama sepupu saya, makcik saya, adik-adik saya dan kakak saya berjaya menghadirkan diri ke majlis ilmu ini. Bersolat beramai-ramai di padang dan mendengar hiburan selagi tidak melalaikan disamping berkongsi ilmu agama merupakan penutup yang baik untuk diri saya tahun lepas.


Semoga InsyaALLAH, tahun ini akan menjadikan saya hamba ALLAH yang lebih hebat lagi di sisi ALLAH dan memperbanyakkan membuat kebaikan untuk mencari redha ALLAH dan bukan untuk penghargaan manusia.


Selamat Tahun Baru Semua. Minta maaf jika terbuat salah dan silap kepada anda semua sepanjang mengenali diri saya. Semoga kita semua berjumpa di syurga kelak. :)

Love..

Tuesday, June 14, 2011

Cuti Sekolah

Sempena cuti sekolah yang lepas, nenek Sa'abah saya datang ke Klang bersama keluarga Achik Oya dan Pak Busu saya. Oleh kerana, pada hari bekerja nenek saya akan menjaga anak Pak Busu saya yang bekerja sebagai cikgu di sekolah lama saya, Sekolah Menengah Datuk Bendahara. Mujur ada pakcik saya menghantar anaknya untuk dijaga oleh nenek saya. Bolehlah menjadi peneman nenek saya selepas datuk saya meninggal dunia. Maka apabila waktu cuti sekolah merupakan waktu terbaik untuk nenek saya berjalan. Ditambah kehadiran keluarga baru kami, alasan yang kuat untuk mengajak nenek turun ke Klang. Tengok cicit nek.


Setelah mencadangkan kepada makcik saya, dia bersetuju untuk berbincang dengan pakcik saya dan mungkin akan turun pada hujung minggu. Tambahan lagi, kesihatan Pak Busu saya yang tiba-tiba sakit diserang penyakit yang berkaitan saraf dan menyebabkan dia dinasihatkan oleh doktor supaya tidak memandu selama dua tahun, menyebabkan suasana di kampung agak tertekan sedikit. Saya mencadangkan mereka turun juga ke Klang bagi mengurangkan sedikit tekanan. Macam bolehkan? Hehe. Alasan untuk suruh nenek turun juga.

Dalam perjalanan saya pulang dari majlis perkahwinan Ebah, Kak Mi menelefon saya dan memberitahu nenek saya sudah sampai di Klang. Dia bertanya sama ada saya akan pulang atau tidak ke Klang. Oleh kerana rumah saya terlalu banyak (rumah sewa PJ, rumah Mak Ngah-kira rumah sendiri juga ke? hehe, rumah Klang) dan jadual hujung minggu saya sentiasa penuh sampai tak tahu kat mana saya berada hujung minggu menyebabkan kakak saya bertanya soalan itu. Ok, nanti orang balik kata saya. Dalam pada nak balik rumah dari Pahang itu, saya dan Lyza sempat menyinggah ke Subang Parade menghabiskan kupon Parkson yang saya dapat semasa family day pejabat saya dan membeli sepotong kek untuk Lyza sempena menyambut hari jadinya pada hari itu. Dengan berayu-ayunya kami ke Subang Parade. Kak Mi saya menelefon saya lagi dan memberitahu mereka sedang berBBQ di rumah dan cadangan untuk mandi air terjun pada esok hari. Haha. Terlepas BBQ . Itulah bahana tidak memberitahu mak aktiviti semasa yang ingin dilakukan. Selepas itu, dalam pukul 9 malam, kami pulang ke Klang. Haha. Memang tak boleh ada kereta Nadiah ni. Langkah panjang.

Sesudah sampai rumah, nenek sudah tidur. Achik sedang berborak dengan ayah. Lama tidak berjumpa dan ayah saya ini bukan jenis yang akan telefon kampung untuk bertanya khabar orang kampung. Jadi, banyak perkara yang ingin diceritakan. Keesokan harinya, kami ke pantai Morib. Cadangannya pada mula ialah air terjun, entah macammana lokasinya berubah ke Morib semasa saya menghantar adik saya pada pagi ahad itu ke Puncak Alam. Adik saya yang sorang ini homesick terlebih apabila masuk ke asrama yang dekat. Semasa di Jasin, tidak pula dia merasa begini katanya. Mungkin sudah terlalu lama duduk di rumah selepas SPM. Tidak mengapa Naziha, belajar rajin-rajin tau. Jangan hampakan harapan ayah nak tengok awak jadi pakar fisioterapi satu hari nanti. Hehe. Jika dia tiada aktiviti kokurikulum, mungkin dia akan mengikut kami. Tetapi, dia terlibat dengan aktiviti universitinya. Sekarang, Puncak Alam itu, kami rasakan dekat sahaja. Setakat mahu ke rumah Achik Didi, InsyaALLAH. Boleh saja. Dulu masa mula-mula hantar Achik, rasanya jauh betul Bukit Badong tu. Sekarang tidak lagi.

Setelah saya sampai di rumah, kami terus bertolak ke Morib. Empat buah kereta. Saya membawa kereta Pak Busu saya. Bersama saya adalah nenek dan keluarga Pak Busu. Pak Busu duduk di belakang, dan buat julung-julung kalinya duduk di belakang. Oh, tidak. Kali pertama duduk di belakang. Best juga katanya. Selesa. Hehe. Ada hikmah setiap kejadian. Dia bagi peluang Busu jadi bos. Harapan saya semoga Busu saya sembuh dan Mak Usu saya tabah. Mereka semua telah bersarapan semasa saya menghantar Kak Chik. Perjalanan yang hampir sejam itu menyebabkan saya sangat lapar. Sesampai di sana, mereka mengejar air, saya mengejar nasi lemak.

Cari nasi lemak

Makanan dan Nadiah. Macam tak boleh dipisahkan. Hehe.

Antara orang yang terawal masuk dalam air.

Comellah tu konon-kononnya Akmal? Mula-mula masuk air takut.

Yang ni baru comel. Inul bak kata ayah.

Hanya bersantai-santai. Aktiviti percuma bak kata Achik Oya.

Memulakan aktiviti tanah setelah aktiviti air membosankan (surut).

Safwan mangsa emosi mereka terhadap tanah.

Tidak lama kami di situ. Ada dalam dua jam sahaja kami bermain-main. Air laut telah surut. Air Morib memang sangat kotor. Masuk sahaja sudah berbau. Ditambah rasa melekit seperti minyak. Masih berbangga dengan air laut di Melaka kata Busu saya. Ok. Setuju. Air Morib memang sudah tercemar. Sudah lama tidak datang ke sini. Kali terakhir saya pergi adalah ketika bersekolah rendah, Ketika itu, masih bersih lagi airnya. Dua jam bermain, dua jam perjalanan. Hehe. Macam kurang berbaloi je kata nenek saya. Air dah surut nek. Nak buat macammana? Tetapi, menarik dan bermakna. Bukan selalu dapat berkumpul beramai-ramai.

Love..

Sunday, June 12, 2011

Selamat Pengantin Baru Ebah.

Pada hujung minggu lepas, saya ke Pahang menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya Syuibah Mohamad dan pasangannya. Saya ke sana bersama Lyza dan Faezah pada tengahari Jumaat kerena Faezah bekerja pada pagi harinya. Saya seperti biasa akan menjadi pemandu dan membawa kereta Lyza. Faezah meninggalkan keretanya di Stesen Minyak Gombak Kami berjaya sampai semasa Ebah sedang bersiap-siap untuk dinikahkan sebelum Asar.

Wajah-wajah ceria di bilik pengantin

Pengantin in the making

Sesampai kami di sana, Ili, Paie dan Najwa sudah ada. Najwa sudah berada di rumah Ebah semenjak Khamis lagi. Pengapit dan juga orang kuat rumah waktu itu. Ili sampai tengahari bersama Am dan Kerul. Tetapi singgah di rumah Paie di Mentakab yang telah dulu pulang pada Khamis malam. Tidak lama kami duduk sambil melihat Ebah disolek oleh kakaknya, rombongan Reza tiba. Dengan sekali lafaz, akhirnya, penantian selama lebih 5 tahun dimakbulkan Allah. Berbagai ujian ditempuhi oleh pasangan ini. Jodoh akhirnya menyebelahi mereka. Tahniah Ebah dan Reza.

Ya, ini lagi ceria

Sekali lafaz sahaja. Yeay. Alhamdulillah.

Selesai majlis nikah, Ebah dan Reza keluar untuk bergambar di tasik terdekat kalau tidak silap saya. Kami yang tinggal telah dilayan oleh tuan rumah, Najwa. Hehe. Itu pentingnya sahabat yang boleh menjadi tuan rumah. Ahli keluarga semua sudah letih dan sibuk menguruskan hal masing-masing. Saya memang tengah lapar waktu itu kerana tengahari tadi cuma sempat membekal KFC sahaja. Tambah melaparkan lagi kerana sarapan saya hanya air sahaja. Sesampai di Klang pagi itu, Kak Long saya mengajak saya menemaninya membuat pemeriksaan Nur Afifah di Taman Botanic sehingga pukul 11.30 pagi. Sesampai di rumah, emak saya sedang memasak dan tidak sempat saya makan, Lyza telah sampai menjemput saya.

Selepas kami selesai makan, kami ke rumah Paie untuk membalut hadiah Ebah. Kemudian saya dan Lyza ke Lanchang untuk bermalam di rumah Mak Ngah saya. Mak Ngah saya tinggal bersama emaknya yang kami panggil Mek. Mek tidak berapa sihat kerana sakit pinggang. Mak Ngah saya merupakan isteri kepada arwah Pak Ngah saya (adik ayah saya). Kebiasaan kami akan datang ke rumahnya setahun sekali iaitu pada hari raya setelah balik dari kampung di Melaka. Kata ayah, jangan terputus hubungan. Alang-alang saya sudah berada di sini, saya mengajak Lyza bermalam di sini. Kena minta izin tuan punya kereta dulu. Saya tukang pandu sahaja. Hehe. Lyza bersetuju. Sahabat saya ini memang best. Kami sampai di rumah Mak Ngah sekitar jam 9 malam. Selepas menunjukkan bilik kami, Mak Ngah mengajak kami makan. Alhamdulillah rezeki kami. Memang sudah lapar. Sambil makan, kami berborak. Banyak benda yang diceritakan. Tidak lama lagi, Mak Ngah saya akan menjoin kelab mak ayah saya. Kelab atok nenek. Anak sulungnya yang kini mengajar di Sarawak bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi apabila isterinya sedang mengandung sekarang.

Keesokan paginya, cadangannya adalah ke dewan terus. Jadi kami perlu berada di dewan jam 12 tengahari lebih kurang. Kami tiba ke dewan Ebah agak lewat kerana tersalah jalan. Pengantin juga sudah duduk di atas pelamin bersama pengapitnya Najwa dan Am. Kak Morni awal lagi sudah tiba. Ketika kami tengah bersiap di rumah, beliau sudah menelefon menyatakan bahawa beliau sudah sampai di hadapan dewan. Belum ada orang lagi waktu itu. Yang dilihat cuma banner gambar Ebah dan Reza. Sempat juga Kak Morni membeli-belah barang keperluan emaknya yang akan menunaikan umrah. Budak rumah saya juga sudah tiba. Mekna, Shima, N, Biha dan Alan. Su ada temuduga hari itu. Ili, Paie dan Faezah juga sudah ada.

Kami berjumpa sahabat lama ketika sama-sama belajar, Ja'a yang kebetulan abangnya menghantar rombongan merisik di situ sempat meluangkan masa, Zahir yang juga orang Lanchang, dan Syafiq dan Syida yang datang dari Tangkak. Syida sudah mengandung. Tidak lama lagi bergelar bapalah sahabat kami itu.

Bakal ibu dan ayah. Syafiq dan Syida. Tahniah. Zahir dan Lyza. Ja'a sudah pulang.

Dah tinggal kita je ni Awa, Za. Hehe.

Semoga kekal hingga ke akhir hayat Ebahku sayang.

Selesai majlis Ebah, kami berkonvoi pulang ke KL. 3 kereta. Konvoilah sangat. Masing-masing sibuk menunjuk skil membawa kereta gaya Michael Schumacer, saya tertinggal di belakang kerana saya merupkan pemandu berhemah. Hehe. Faezah kata. tidak mengapalah tidak berkonvoi. Masing-masing tahu jalan pulang. Hampir sampai kami di Genting Sempah, Am menelefon Faezah untuk berhenti di situ dan bersolat. Kami setuju. Selepas solat, ada orang mengidam nak makan McD di Genting Sempah. Singgahlah sekejap.

Yang mengidam, yang paling ceria. Haha.

Muka tunggu Faezah, Am dengan Kerul pergi order.

Tukang belanja McD. Kerul si Senior QS. Terima kasih Kerul. :)

Buat Ebah dan Reza. Selamat Pengantin Baru. Semoga rumah tangga kalian sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayang ALLAH yang banyak. Semoga berbahagia selalu dan selamat bercinta sampai ke Syurga.


Love.