Showing posts with label family. Show all posts
Showing posts with label family. Show all posts

Saturday, March 4, 2023

Acap dah join bola

Acap dah join bola. Setelah tanya (baca:paksa) Ami masukkan dia bola, dia pun join kelab Berjaya Park. Kelab Afiq dan Akmal. Minggu pertama, Ami hantar. Aku tak balik Klang sebab mengisahkan kucing-kucing deekay. Nak bawa pergi vet, mandulkan. Minggu kedua, mama dia yang hantar. Minggu ketiga, aku tolong hantar sebab Ami nak hantar Akmal. 


Alang, boleh cepat sikit?

Angkut kakak sebab ada Melissa

Tak mandi dan tengah berak pun comel

Budak dah habis training 

Budak-budak ni, nak kena ada aktiviti bagi kat diorang. Kalau tak, tengok telefon je. Pastu, kita yang tengok geram. Masuk persatuan ni, dapatlah belajar disiplin bangun pagi, bersosial dan sihat sebab berpeluh. Cuma, masa dan duit ko memang mencurah seperti hujan. Komitmen jaga anak ni memang kena extra. Ami belum balik, Afiq dah siapkan jadual hidup dia. Aku dengar pun penat. Semoga pahala yang mengalir juga untuk ibu-ibu yang selalu memenuhi permintaan anak-anaknya. 

Aku tak boleh lagi kot, sebab tu Allah tangguh dulu. Sekarang, tolong mana yang boleh je. Anak-anak adik-beradik dan nak-anak kucing deekay. Yang penting, enjoy dan appreciate every moment dalam hidup ni. Banyak je sumber-sumber nak tabur pahala. Tak perlu stuck dengan yang satu itu. 

Love..

Friday, April 14, 2017

Filem Adiwiraku

Seperti biasa, cerita ini sudah lama di draft, tetapi tidak dipublish kerana mahu mengisi fakta yang lain konon-kononnya. Tetapi, hampeh. Haha.

Saya agak banyak kerja sekarang di pejabat, tetapi Alhamdulillah masih boleh dihadapi. Saya rasa saya agak membantu senior saya membuat kerja sekarang. Banyak kerja yang saya mampu habiskan cuma perlu supervise. Kelemahan saya masih dalam membuat keputusan untuk kerja-kerja saya. Semuanya perlu pengesahan dari Ai Tee atau Keng Meng atau Khairul atau Mr. Lim. Semua nama itu merupakan pemegang-pemegang kerja-kerja saya. Semua mereka memberi saya kerja atau saya perlu mendapatkan pengesahan mereka. 

Kerja kami agak banyak sehingga perlu meminta pertolongan orang lain. Mujurlah masing-masing bertolak-ansur dan menolong sesama kami. Dalam saya rasa, saya sudah perform, Ai Tee mengeluarkan ayat yang tidak nampak saya berubah. Sama sahaja katanya. Haha. Nasiblah, saya rasa saya sudah perform. Tetapi ada kala saya rasa saya tidak perform, Ai Tee kata saya ok. Tidak tahu saya untuk sedapkan hati dia atau sebagai motivasi? Apa yang penting, saya yang perlu merasa saya menjadi lebih baik atau tidak. 

Oh, jauh saya merapu. Disebabkan sekarang banyak kerja, untuk mengurangkan sedikit tekanan, saya akan divert ke benda-benda yang bukan kerja pejabat dan saya suka. Satunya adalah menulis blog. Maka, saya perlu post yang ini juga.

.......................................................................................

Berkesempatan menonton Adiwiraku bersama ahli keluarga. Filem yang mengingatkan saya kepada filem Laskar Pelangi yang baru-baru ini saya tonton di laptop Naziha. Seperti juga Laskar Pelangi, cerita ini berjaya membuat mata saya bengkak kerana menangis beria-ia.

Saya gemar menonton cerita-cerita manusia seperti ini berbanding fiksyen ataupun lawan-lawan seperti Logan yang saya tonton dengan harga RM10 menggunakan kad debit Maybank. Cerita Adiwira juga saya dapat dengan harga RM10 kerana tayangannya sebelum pukul 12 tengahari.

Adiwira merupakan kisah benar mengenai Ms. Fernando yang dihantar ke sekolah di Kedah untuk mengajar Bahasa Inggeris. Selepas menonton cerita ini, kuasa media sosial menemukan saya dengan instagram Ms. Fernando. Kecil sahaja orangnya. Tetapi berjiwa besar. Selalu sahaja saya cemburu dengan orang-orang yang mampu membuat sehebat ini.

Kenapa saya suka cerita ini?

  1. Cerita sebenar mengenai masyarakat yang susah untuk mendapat ilmu. Kisah Kemboja yang terpaksa bekerja kerana tidak punya duit untuk makan sangatlah menghibakan.
  2. Kisah pelajar yang terpaksa tinggal bersama emaknya yang sakit mental juga menyebakkan dada. Sekuat manakah kita mampu bertahan? 
  3. Permulaan menangis saya adalah ketika seorang budak yang mahu menarik diri dari Choral Speaking dan Ms. Fernando menanyakan alasannya. Dia selamba sahaja menjawab, "No reason, just do not want." Pelakon wanita Sangeeta itu sangat hebat lakonannya sehingga saya juga merasa sakitnya perasaan kecewa itu.
  4. Kehebatan Ms. Fernando menggali potensi anak-anak muridnya memang sesuatu yang mengujakan. Mengingatkan saya kepada Ai Tee. Dia merupakan orang yang mampu membuatkan kau percaya ada sesuatu yang hebat dalam diri kau yang kau tak nampak.
  5. Sikap memberi tanpa sebarang pengharapan. Apakah yang dapat diterima oleh Ms. Fernando dan kawannya.
  6. Mengetahui yang sebenarnya Ms. Fernando bukan berlatar-belakang seorang guru menimbulkan kekaguman bagaimana dia mempunyai semangat dan cita-cita untuk merubah manusia melalui pendidikan.
Setakat ini sahaja.






Love..

Tuesday, January 29, 2013

K-Fiqh Wanita & Islam - MAEPS Serdang

Pada dua minggu yang lalu, Nafisah, Anis (budak pejabat saya) dan saya sempat menghadiri satu seminar mengenai wanita yang dianjurkan oleh K-Fiqh. Seminar dua hari itu sangat penuh dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan saya. Ada ilmu yang baru saya dengar dan ada juga ilmu yang pernah saya dengar tetapi kali ini pemahaman saya dalam konteks yang lain pula. Benarlah ilmu ALLAH ini sangat luas. Banyak slot yang dibahagi-bahagikan sepanjang dua hari ini.
  
Orang mengajar kat depan tu, main-main kat belakang. ;p

Antara banyak-banyak slot, saya lebih terkesan dengan perkongsian cerita hijrah oleh Oki Setiana Dewi. Seorang aktres dari Indonesia yang diterbangkan khas ke Malaysia. Cerita Oki, dia dijemput oleh Ustaz Zaharudin untuk berkongsi perjalanan hijrahnya. Berpandukan beberapa slaid yang memaparkan kisah hidupnya sebelum dan kemudian berhijrah dan seterusnya masih meneruskan kehidupan sebagai seorang muslimah. Saya terkesan dengan ceritanya yang membantu mengajar mengaji orang tahanan di penjara. Menceritakan saat gembira mereka di penjara dengan kehadiran Oki dan kawan-kawannya kerana telah lama diabaikan oleh orang keliling tetapi Oki dan kawan-kawannya datang memberikan ilmu dan kasih sayang kepada mereka. Juga ceritanya mengenai pembelajarannya di Makkah tanpa wang saku yang mencukupi. Tetapi dengan niat dan tekad yang tinggi dan kebergantungan kepada ALLAH menyebabkan dia berjaya menghabiskan talaqi di Makkah tanpa biaya sesen untuk tempat tinggal dan pembelajaran. Semua dibiaya oleh insan-insan yang diutus ALLAH untuk membantunya. ALLAH, ceritanya sangat menyentuh hati. Selain itu, sering merasakan amalnya tidak cukup untuk di bawa berjumpa ALLAH kelak dan ini menyebabkan dia selalu memperbanyakkan amalannya. Dia belajar dari orang dan alam sekeliling. Pesannya, berkawan biar dengan sesiapa sahaja. Tetapi bersahabat biar dengan orang-orang yang dapat membantu kita untuk dekat kepada ALLAH dan syurga tempat kekal kita. Semua kisah-kisah hidupnya dan pengajaran yang diambil ditulis dalam buku-bukunya seperti Sejuta Pelangi, Melukis Pelangi dan Cahaya Atas Cahaya.

Antara buku tulisan Oki. Masih belum ada dalam koleksi buku saya. 

Saya juga mula meminati Ustaz Zahazan. Beliau sangat banyak ilmunya dan agak kelakar. Ini kali pertama saya mendengar ceramahnya secara langsung. Pernah mendengarnya di radio IKIM seperti serius sahaja, tetapi di sini lebih santai. Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang memberikan ilmu di sini, saya dapati hadis-hadis dan ayat Al-Quran bermain-main di bibir mereka sahaja. Saya sungguh kagum.  

Perkongsian Ustaz Hasrizal juga tidak kurang hebatnya. Menceritakan srikandi-srikandi muslimah semasa zaman Rasulullah S.A.W yang tidak kurang hebat dalam membantu perkembangan ekonomi dan agama Islam. Saidatina Khadijah r.a dan Saidatina Aishah r.a. sudah pasti termasuk dalam senarai antara muslimah yang hebat di zaman Rasulullah S.A.W dari segi ekonomi dan ilmu. Selain itu, Ummu Sulaim (saya kurang pasti ejaan sebenarnya), Sumayyah, Asma' dan banyak lagi tokoh muslimah yang kurang saya beri perhatian selama ini. Baru saya merasakan pembelajaran sejarah ini sangat menarik sebenarnya. Sebelum ini, saya kurang meminati, bukan kurang malah memang tidak gemar kerana merasakannya subjek yang bosan ketika di sekolah. Tetapi, apabila sejarah mengenai tokoh-tokoh ini disamping cerita-cerita zaman Rasulullah S.A.W, saya berminat untuk mengetahui sejarah supaya lebih mudah menyerap dan memahami situasi sebenar yang terjadi dan akibat dari peristiwa tersebut. Sejarah Islam ini menambahkan keimanan dan membuatkan saya mensyukuri nikmat Islam dan Iman dalam yang telah diberikan ALLAH kepada saya.

Handout yang disediakan oleh pihak penganjur.

Seorang lagi tokoh yang baru saya kenali dan saya kagumi adalah Dr. Harlina Halizah Siraj. Seorang doktor yang hebat dari segi ilmunya dan cara penyampaiannya yang lebih sempoi menarik minat saya. Menitik beratkan kesihatan dalam kehidupan seharian. Kita seharusnya mengambil tahu penyakit-penyakit yang mudah menyerang wanita dan kaedah-kaedah mencegahnya seperti membuat pemeriksaan di hospital atau klinik dalam keadaan berkala. Saya sekarang sudah rajin ke gym walaupun hasil awal mendapati berat saya bertambah sekilo dan daya makan saya bertambah selepas bersenam. Hehe. Saya berdoa usaha saya ini akan membuahkan hasil dan diberi kesihatan yang baik di masa tua kelak. :D

Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang boleh saya ambil sepanjang program ini. Saya berdoa diberi kekuatan untuk mengamalkannya dan tidak jemu mencari ilmu untuk memperbaiki diri sendiri menjadi lebih baik selepas ini. Selepas program, saya menghantar Nafisah pulang ke Bangi dan saya pulang ke PJ. Langkah dah semakin panjang sekarang. :p
  
My precious.. Preciouslah sangat..;p
Love..

Tuesday, September 25, 2012

La Familigia

Saya rindukan keluarga saya. Walaupun dekat sahaja kampung saya, kesibukan yang diada-adakan ketika hujung kadang-kadang tidak menjanjikan saya bermesra berlama-lama dengan kelurga. Alhamdulillah, saya mensyukuri segala masa yang digunakan, sekurang-kurangnya saya memenuhi masa cuti saya dengan aktiviti yang berfaedah.
 
Berbalik kepada keluarga saya yang dirindui, kami akan berjumpa pada Sabtu malam ini untuk sambutan hari jadi emak dan Aminah bertempat di restoran yang selalu Pak Long pelawa nak belanja, Rebus-rebus di Padang Jawa (bolehlah petik nama Pak Long untuk dapat harga yang istimewakan? Hehe. ) Majlis ini sepatutnya menjadi rahsia daripada mak saya, tetapi tidak mengapa, mak saya tidak membaca blog kecuali diceritakan oleh anak-anaknya. Hehe. Begitu juga Aminah. Saya sungguh tidak sabar untuk ke majlis ini. Terima kasih Kak Long saya yang akan menganjurkan majlis ini. Saya berdoa semuanya berjalan lancar nanti.
 
Sambutan ulang tahun perkahwinan emak dan ayah.
 
Hari Raya bertema PAS
 
Hari Raya bertema BERSIH
 
Family day bersama Atuk Bujang di Melaka
 
Bergambar sebelum pulang bersama anak Pok Teh
 
Mengajak Nafisah dan Naziha ke majlis ilmu KAMY
 
Raya di rumah Tok Long Kelubi

Tempat wajib bergambar. Tangga rumah Nenek Ramlah.
 
Terjadi pula. Biasa tak jadi gambar lompat-lompat ni. Depan rumah Busu Jalil.
 

 
Seingat saya, saya kurang membuat sambutan makan-makan di luar bersama keluarga saya. Lebih banyak bersama budak pejabat rasanya. Bukan kurang kasih sayang ya. Saya jarang bersama mereka. Saya juga kurang bersama mereka untuk aktiviti bersama keluarga. Tambahan pula, ayah saya kurang gemar makan di luar. Jadi, kami kurang membuatnya bersama keluarga- tetapi bersama rakan-rakan selalu. Haha. Seperti mana sahabat baik, masa bersama mereka akan saya manfaatkan sepenuhnya. Pada hujung minggu, jika saya ditugaskan memasak untuk makan tengahari saya akan mengajak bersama-sama adik saya yang berada di rumah. Jika Nafisah atau Naziha ada, pasti dia akan membantu saya. Aminah akan mengikut mood dia jika rajin, dia akan menolong tanpa disuruh. Jika tidak, maka tidak perlulah memekak memanggil dia membantu. Pasti dia membatu sahaja di dalam bilik. Sudah masak dengan perangai mereka, saya bersyukur mendapat mereka dalam hidup saya.
 
Kak Long saya merupakan seorang kakak yang sangat prihati. Semasa saya bersekolah bersamanya di kampung, dia merupakan seorang yang kaki belajar. Dia mula bersekolah di kampung ketika Tingkatan 4. Ketika itu, dia sudah tahu apa yang dia inginkan dalam hidup. Dia mahu menjadi akauntan dan sekolah lama dia (Sekolah Agama Sungai Bertih) dia tidak menawarkan jurusan itu. Maka dia berpindah. Saya semasa Tingkatan 4 masih tidak tahu mahu menjadi apa. Haha. Saya pernah dibandingkan dengan kakak saya oleh Nenek kerana rajin belajar seperti kakak saya yang sulung itu. Kata nenek, tak nampak saya memegang buku ketika mahu periksa besar juga. Sampai saya pernah berlakon masuk di dalam bilik mahu belajar, tetapi tidur. Sekurang-kurangnyya tidaklah saya menonton televisyen di hadapan nenek saya. Tenang sikit hati nenek. Kak Long saya juga selalu menjadi penasihat kewangan saya. Oleh kerana dia memaksa saya membeli rumah ketika tahun pertama saya bekerja, maka sekarang saya sudah ada komitmen. Sampai umur 60 tahun nanti. wa¬¬¬. Tetapi saya bersyukur kerana telah membelinya. Harga rumah sekarang memang mencekik darah manusia. (doa pakatan rakyat menang supaya pentadbiran negara lebih terurus untuk golongan bawahan).
 
Saya mula rapat dengan Kak Mi selepas saya bekerja dan semakin matang. Saya pernah bergaduh bersama dengan dia ketika tidak matang dahulu. Hehe. Semua cerita itu kan menambah sejarah dalam diri saya dan menjadikan saya semakin bijak. Aha. Kak Mi merupakan kakak yang penyayang. Selalu mengambil berat hal kami adik beradik. Sangat tidak berkira untuk membuat kerja rumah. Ketika sedang pantang juga mampu membuat kerja-kerja yang ringan. Adik saya yang tersayang pula ialah Muhammad Firdaus yang merupakan adik lelaki yang boleh diharap. Semasa Alin, Lina Arep dan saya membuat perancangan untuk Hari Keluarga, saya menganggap Arep merupakan abang yang best. Biasalah, manusia akan melihat padang lain lagi hijau berbanding padang sendiri. Itu dulu. Sekarang tidak lagi, Hehe. Sekarang saya merasakan Daus juga merupakan abang yang sangat baik untuk adik-adik dan kakak-kakaknya. Tidak dinafikan untuk emak dan ayah kami sendiri. Dari segi pelajaran, Daus masih lagi tidak menyambung pelajarannya ke peringkat seperti saya. Tetapi, dari segi rezeki saya merasakan rezekinya lebih berkat kerana sangat tidak berkira dengan adik beradik terutama dengan mak dah ayah. Saya punya baby ini sangat rajin membantu saya terutamanya dari segi kewangan. Haha. Nampak tak kekurangan berkat di situ?
 
Adik saya yang saya sayangi seterusnya merupakan teman bergaduh saya. Aminah. Saya berkongsi banyak kenangan dengan dia kerana dia masih duduk di Klang. Potensi untuk berjumpanya hujung minggu sangat tinggi. Adik saya yang seorang ini ada anginnya. Kalau pandai ikut rentak, boleh jadi penyelamat contohnya seperti mengemas baju untuk hari raya. Tetapi, jika tidak memang boleh dibuat gaduh. Aminah merupakan tempat saya bercerita mengenai budak-budak pejabat saya dan semua yang berlaku pada saya sepanjang minggu. Oh, saya memang suka bercerita kepada semua orang. Hehe. Dia tidak berapa menyukai saya memandu keretanya. Saya masih kurang arif penggunaan cluth dan menyebabkan pergerakannya tidak smooth. Maka, dia lebih rela memandunya dan saya menjadi penumpang. (Siapa adik kat sini? Saya kan? Haha.) Seorang lagi adik saya yang baik. Nafisah yang paling Islamik dalam adik beradik kami. Dari segi auratnya. Mungkin kerana dia bersekolah di Maktab Islam (ok Nadiah alasan tak munasabah tu). Dia akan menjaga aurat kakak-kakaknya selalu. Ikut kamilah sama ada mahu mendengar atau tidak. Menjadi penasihat saya juga (Alhamdulillah, saya menganggap adik-beradik saya seperti kawan saya dan boleh mendengar nasihat mereka) kadang-kadang jika saya mempunyai masalah. Yang gemar sikap Nafisah adalah dia mempunyai kawan yang ramai. Tidak kira di mana sahaja dia berada, dia begitu mudah berkawan. Bukan kawan setakat di sekolah sahaja, malah sampai boleh bawa ke rumah dan akan terpaksa membantu memasak sekali jika masa itu terdapat kenduri di rumah kami. Hehe. Pernah dia menceritakan seorang kawannya di UiTM Dungun menangis ketika dia mahu meninggalkan UiTM untuk meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Bangi. Walaupun baru seminggu berkenalan. Ukhwah yang dibina Nafisah memang terbaiklah.
 
Adik saya yang hampir bongsu tetapi bukan ialah Naziha yang kini menuntut di UiTM Puncak Alam. Naziha merupakan seorang yang bijak bagi saya. Dia lebih awal keluar dari rumah kami untuk belajar kemahiran hidup dan Alhamdulillah bersama dengan kawan-kawan yang elok. Semenjak Tingkatan 1, Naziha sudah bersekolah asrama di kampung. Cuma hujung minggu akan pulang ke rumah nenek saya dan dia masih di bawah pengawasan Pak Busu dan Mak Usu saya yang bekerja sebagai guru di sekolahnya. Naziha lebih bijak dan tenang menghadapi masalah, mungkin kerana pengalaman tinggal di asrama mematangkan dia. Saya berbangga dengan dia. Walaupun mengambil jurusan yang agak susah dan tidak langsung berminat untuk mengambil jurusan sains ketika di universiti pada awalnya. Saya melihat kekentalan dia meneruskan perjuangan dan saya doakan dia berjaya menjadi pakar fisioterapi yang mampu membantu orang lain. Fikri merupakan adik bongsu saya. Saya berkongsi cerita bola dan sukan bersama dia. Merupakan pelajar contoh di sekolah dan Ketua Tingkatan, saya juga berbangga dengan kejayaan dia. Adik saya yang senang diminta tolong untuk ke kedai membeli barang dapur ini sangat baik. Rajin ke surau untuk solat, walaupun ada kalanya menjadi malas dan kita terpaksa menyuruhnya berkali-kali.
 
Walau apa pun perangai adik beradik saya, saya masih bersyukur dikurniakan mereka. Melalui mereka saya menjadi matang, lebih bijak menghadapi orang lain juga dan ia merupakan satu nikmat ALLAH yang tidak saya dustakan. Doa saya semoga kami semua kelak dipertemukan di syurga. Syurga ALLAH sangat luas. Bak kata Ustaz Pahrol, waktu ini kita boleh dan patut mengamalkan kronisme dan nepotisme untuk membawa seberapa ramai ahli keluarga kita ke syurga. Semoga pengakhiran yang baik untuk kita semua kelak. Amin.
 
 
 
 
Love..

Saturday, July 14, 2012

Kasih sayang untuk Adli dan Farini.

Seminggu selepas perkahwinan Ila, budak pejabat saya pula melangsungkan majlis perkahwinan. Amir Adli telah selamat dinikahkan bersama Farini pada bulan Mac yang lalu dan majlis di sebelah perempuan dibuat pada minggu tersebut. Majlis di pihak lelaki ditangguhkan kerana mahu disekalikan bersama adik perempuan Adli. Kira dua pengantin sekali jalan. Menarik. Jimat pun jimat. Kami sebudak pejabat berjanji untuk berjumpa di Kompleks Sukan Bukit Jalil sebelum Adli berarak. Semasa sedang menunggu Ebah, Kenny juga sampai tanpa berjanji dengan kami. Tepat masa, Adli dan Farini datang berarak. Mereka sungguh cantik berpakaian ungu dan sangat sepadan. Sama kecil-kecil cili padi sahaja orangnya.

Cantik. Cantik.

Dua pasang pengantin yang jelita.  

 Kami se-GSC.


Untuk hadiah Adli, Faezah dan saya telah ditugaskan khas menjadi pencari hadiah. Kerja-kerja ini biasanya dilakukan oleh Ebah sebelum dia berkahwin. Tetapi, memandangkan sudah ada komitmen lain, maka kami yang kurang komitmen ini pergilah ke The Curve untuk mencari hadiah. Hadiah yang sesuai dengan perkongsian ramai-ramai yang terlekat di kepala pastinya comforter. Hehe. Sangat praktikal. Boleh guna nanti selepas berkahwin. Warna pilihan, kami memberi peluang kepada Adli dan Farini untuk memilih. Sayang Adli lebihlah katakan. Adli ini istimewa sikit. Beliau mempunyai rabun warna. Orang pertama saya jumpa di dunia ini yang rabun warna. Beliau tidak dapat membezakan warna yang carah-cerah. Baginya semua warna cerah sama. Kecuali yang gelap seperti merah dan biru. Beliau membuat partition untuk meletakkan duit di dalam wallet untuk mengelakkan tersalah guna duit kerana baginya semua warna duit kertas adalah sama. Salah satu contoh kekuasaan ALLAH bukan? ALLAHUAKBAR.
Setelah dipujuk untuk memilih warna, akhirnya Farini memilih hijau atau pink. Maka, skop kami sudah mengecil. Ingatkan akan memudahkan tugasan kami, rupa-rupanya ianya lebih mencabar. Benda apa-apa sahaja, kalau kita nak beli memang tiada. Masa taknak tu, berlambak-lambak cadar warna hijau. Kami ke Aussino untuk mencari cadar. Untuk Adli, Aussino pun Aussino ar. Mujur kongsi ramai-ramai. Mujur ada jualan murah. Murah pun tak murah sangatlah. Dalam RM400 semua sekali. Tetapi menarik. Kami dapat membeli quilt, quilt cover dan juga bedsheet berwarna hijau. Setelah turun naik Ikano kerana jualan murah terdapat di ground floor manakala kedainya di 1st floor untuk membandingkan harga selain berperang dengan masa kerana kedai akan ditutup pada jam 10 malam. Kami berusaha sehabis mampu selain meminta pendapat rakan-rakan melalui whatsapp.  

Kain cadarnya. Eh, bukan. Quilt cover.

Cadarnya yang ada sale. Tetapi kami tidak membeli yang ini.

Hadiah kasih sayang dari Geng Sri Comel. :D

Masa memilih kad pula.

Muktamad.

Maka selamatlah hadiah untuk Adli bersama wrapper dan kad yang dibeli di Popular. Apabila mahu pulang, kami mahu meletakkan barang yang dibeli di kereta Faezah. Tiba-tiba:-



Haha. Kena clamp. Letak di tempat orang cacat. Setelah 5 kali berpusing mencari parkir, Faezah nekad meletakkan di sini. Maka, hasilnya. Setelah selesai merayu kepada pak guard untuk membuka clampitu dan berjanji tidak akan mengulanginya ditambah dengan lakonan oleh artis ini, maka kami terlepas dari membayar denda. Rupa-rupanya masih ada lagi kasih sayang ALLAH kepada kami malam itu. Kereta tidak boleh start. Bateri kong. Terpaksa memanggil semula pak guard tadi. Mujur pak guard mempunyai jumper. Mungkin banyak kes terjadi di tempat parkir ini menyebabkan mereka mempunyai standby unit. Betul jangkaan kami, ada seorang lagi yang keretanya juga tidak berjaya dihidupkan. Jumper ni murah je Mekna kata. Tapi, kebanyakan pemandu perempuan tiada di dalam simpanan kereta. Semoga selepas saya mempunyai VIOS (VIOS terus tu. Haha), saya akan membeli satu jumper dan diletakkan di dalam kereta.
Berakhir perjalanan membeli hadiah Adli dan Farini sehingga di situ. Semoga kalian suka dengan hadiah kasih sayang itu kerana di situ terlalu banyak pengalaman dan cubaan yang kami hadapi.  Kepada kalian berdua. SELAMAT BERCINTA SAMPAI KE SYURGA. :D
Love..

Thursday, January 12, 2012

Kegembiraan 2011

Sudah 11 hari di tahun baru 2012. Terlalu banyak perkara yang terjadi pada tahun lepas yang tidak berkesempatan dicoretkan di dalam blog. Antaranya perkahwinan kedua-dua sepupu saya Nurlina dan Ahmad Arif. Perkahwinan bersama orang jauh menyebabkan kami berjaya membuat cuti-cuti Kelantan bersama Achik di sana. Kehadiran nenek Sa'abah memeriahkan majlis menambah kegembiraan. Kenangan menaiki pesawat bersama mak dan ayah untuk pertama kalinya (Yeay, ayah saya dah naik kapal terbang. Selalu kata asyik hantar orang kat airport je kan ayah. Hehe.) Di sana, Tok Ali dan Nenek Sareah juga menghadirkan diri untuk ke majlis Zarizi. Walaupun mengalami sedikit kemalangan semasa menuju ke Kelantan bersama Pakdik, tetapi Atok tetap sampai ke Kelantan. Kata Atok, masa berkumpul ramai-ramai ni yang seronok.


Nenek-nenek saya yang comel. :)

Selain itu, majlis perkahwinan Ahmad Arif juga sangat meriah. Kami menjadi semakin rapat dengan anak Pak Amjah. Masa lebih banyak dihabiskan bersama saudara-mara. Pasukan bola dan pasukan bowling telah berjaya dibentuk untuk sebarang pertandingan yang akan datang. Hehe. Saya suka kenduri, kami saudara dapat berkumpul dan bermesra.


Selain itu, tahun lepas juga saya telah berjaya membawa Nenek Sa'abah berjumpa dengan abangnya yang lama tak jumpa. Cita-cita nenek itu terlahir semenjak perkahwinan Kak Long saya ketika saya menjemput nenek dari kampung. Akhirnya, berjaya juga ayah saya mencari rumah Tok Long saya di Sepang. Itu merupakan kali pertama juga saya berjumpa dengan satu-satunya adik beradik nenek saya. Alhamdulillah.




Tahun lepas juga saya diperkenalkan kepada Mat Lutfhi oleh Naziha. Vlogger lawak yang bijak dan sinis. Video-videonya menjadi ubat mengelak ngantuk ketika di pejabat. Selain itu, vlogger lain seperti Anuar Hadi juga menjadi carian saya di internet sekarang.



Gambar Raya


Di pejabat, saya telah mengikuti satu aktiviti bersama dengan anak yatim anjuran Gamuda di Kuala Selangor Nature's Park. Aktiviti menarik ini saya kongsi bersama dengan dua lagi teman sepejabat iaitu Faezah dan Anis. Pengalaman menanam pokok bakau juga akan menjadi sebahagian kenangan dan kasih sayang saya kepada bumi ini. Aktiviti tahun ini pula adalah memanjat Gunung Kinabalu pada bulan Jun nanti. InsyaALLAH.



Semoga hiduplah pokok bakau ini. :)


Kami juga untuk kesekian kalinya pindah pejabat lagi. Kali ini, kami berpindah ke Menara MK di Damansara Perdana. Bangunan yang dari jauh nampak cantik tetapi bila tengok dekat-dekat macam rumah tidak siap kerana bertema 'Bangunan Hijau'. Tetapi menarik. Pejabat saya di tingkat 15. Dari pejabat saya boleh kelihatan Menara Telekom.


Bersantai-santai semasa makan tengahari. Am pergi haji waktu ni.



Dinner Gamuda. Tak dapat cabutan bertuah sebab datang lambat. :(


Terima kasih kepada sepupu kesayangan saya yang memperkenalkan twitter di sms. Permulaannya supaya saya boleh bermesej dengannya secara unlimited dengan hanya bayaran RM1 seminggu. Tetapi, sejak kebelakangan ini seperti sudah tidak berfungsi mesej di twitter itu. Antara orang terawal yang saya follow adalah Sham Kamikaze dan Wardina Saffiya. Seperti bulan jatuh ke riba, Encik Anuar telah menganjurkan program untuk orang muda di kampung beliau di Perlis dan di antara jemputannya ialah Sham. Saya dan Mekna berkesempatan ke sana dan yang paling mengujakan, Mekna telah membaca sajak diiringi petikan gitar oleh Abang Sham (ok, agak gedik di situ.haha). Saya pulang ke Selangor bersama adik saya Firdaus yang kebetulan bekerja di Perlis.



Sangat humble. Abang Sham? Ahaks. Dah menjaga pandangan dah sekarang ya.


Melalui twitter Sham (pergh, macam kawan-kawan) juga saya mengenali seorang tokoh motivasi yang hebat iaitu Prof. Dr Muhaya. Beliau telah meng-retweet status Prof Dr Muhaya dan menyebabkan saya mencari maklumat mengenai proffesor tersebut dan sekarang telah mengikuti program beliau di IKIM.fm. Saya juga pernah berjumpa dengannya semasa program di Stadium Shah Alam dan di masjid bersebelahan rumah sewa saya. Banyak yang boleh dipelajari dari profesor ini. Semuanya bermula dari apa yang kita fikir. Maka, fikirlah yang baik-baik sahaja.


Dua benda yang paling mengujakan pada saya pada tahun lepas adalah menyertai dua perhimpunan yang saya kira merupakan sejarah untuk diri saya sendiri (bak kata Alin, i'm part of the history) dan sejarah Malaysia juga iaitu Bersih 2.0 dan Sambutan Tahun Baru 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.


Saya bersama-sama Mekna, Aminah, Encik Anuar dan seorang kawannya telah bersama-sama hampir berpuluh ribu rakyat Malaysia yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil telah bersama-sama berjalan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011. Saya dapat merasakan semangat satu malaysia ketika bersama-sama berjalan tanpa mengira kaum dan warna kulit. Berkongsi garam dan air ketika disembur gas pemedih mata dan lari dari polis sesama kami, berteduh di Tung Shin Hospital dan bersolat di situ. Setiap kali membaca buku Kisah Sebenar 9 July 2011, saya pasti menitiskan airmata. Betapa susahnya kita untuk menyuarakan pendapat di dalam negara demokrasi ini dan yang pastinya kematian Allahyarham Baharudin menyentuh perasaan saya.


The best!!


Saya tutup tahun 2011 dengan menghadiri satu program yang berilmiah dan santai. Program hiburan yang saya kira sangat menghiburkan tetapi objektifnya masih tidak lari dari berkongsi ilmu untuk orang muda. Sebanyak hampir 70 ribu ke 80 ribu orang memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Saya bersama-sama sepupu saya, makcik saya, adik-adik saya dan kakak saya berjaya menghadirkan diri ke majlis ilmu ini. Bersolat beramai-ramai di padang dan mendengar hiburan selagi tidak melalaikan disamping berkongsi ilmu agama merupakan penutup yang baik untuk diri saya tahun lepas.


Semoga InsyaALLAH, tahun ini akan menjadikan saya hamba ALLAH yang lebih hebat lagi di sisi ALLAH dan memperbanyakkan membuat kebaikan untuk mencari redha ALLAH dan bukan untuk penghargaan manusia.


Selamat Tahun Baru Semua. Minta maaf jika terbuat salah dan silap kepada anda semua sepanjang mengenali diri saya. Semoga kita semua berjumpa di syurga kelak. :)

Love..

Thursday, July 24, 2008

Selamat Hari Jadi Nenek!!

Pagi tadi, makcik saya menelefon saya di ofis. Bertanyakan perihal kerja saya di pejabat. Terharu sebentar. hehe.. Kerana semalam saya telah menghantar kerja 'yang sepatutnya' kepada superior saya. Setelah sebulan makan gaji buta di ofis ni, akhirnya saya telah diberikan kerja mengenai apa yang saya belajar dahulu. Best. Tapi pada masa yang sama, saya cuak. Kerja itu terus di bawa masuk ke bilik mesyuarat tanpa pemeriksaan awal. Huhu.. Setelah di bawa masuk ke bilik mesyuarat, saya mengambil keputusan pulang. Biasanya, saya akan menunggu hingga pukul 6. Tetapi, jiwa saya masih tiada kekuatan untuk menerima jika ada kesalahan pada kerja saya. Superior saya pasti kena marah kalau saya silap. Saya pulang awal dan kembali ke rumah, hati masih tidak tenteram. Saya ceritakan pada makcik saya.

Berbalik kepada panggilan makcik saya, setelah berborak mengenai kerja. Paling-paling pun makcik saya kata kena marah. Taknak kena marah jugak. hehe.. Apa tu? Rupa-rupanya, panggilan itu dibuat untuk mengingatkan saya menelefon nenek saya kerana hari ini hari jadinya. Saya kurang pasti yang keberapa tahun. Nenek saya sebelah emak.

Banyak yang saya boleh cerita mengenai nenek saya ini. Tapi, untuk entri akan datang. Entri ini sudah cukup panjang. hehe..

Apa pun, SELAMAT HARI JADI NENEKKU. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat dan keimanan untuk menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Amin. Love u so much. <3