Thursday, January 10, 2019

Sihat

Antara nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan kepada hambaNya, nikmat sihat adalah nikmat yang sangat besar. Ayah mengajarkan kami berdoa semoga diberikan kesihatan yang baik, dijauhkan penyakit yang dapat menyusahkan diri sendiri (dari beramal) lagi-lagi menyusahkan orang lain.

Saya pernah mendengar masalah kesihatan sahabat saya di UiTM melalui facebook dan kawan-kawan baik saya. Sharizat merupakan geng kami semasa diploma. Selepas diploma, beliau berkahwin dan berkeluarga. Dua tahun lepas, beliau menghidapi strok. Di dalam bulan August begitu, beliau menghantar pesanan kepada saya mahu meminjam duit. Saya menghulurkan sedikit. Kemudian, bulan berikutnya, masih juga meminjam. Memahami keadaannya yang sakit dan bekeluarga, saya hanya mampu membantu sedikit sahaja. Satu hari, Liza mengajak saya ke majlis perkahwinan sahabatnya di Perak. Oh, terus saya mengajak Liza singgah ke rumah Ijad. Jarak perjalanan adalah 40 minit dari rumah pengantin. Tidak mengapa, alang-alang dah sampai Perak.

Betapa gembiranya Ijad dengan kehadiran kami. Mengulang cerita yang sahabat-sahabatnya yang datang melawat. Disebutnya beberapa nama. Kurang sepuluh. Ya, itulah perasaan orang sakit yang dilawat. Sangat menghargai dan suka. Ada lagi seorang kawan saya yang mahu saya lawat. Halim, suami Cuna. Belum sempat lagi. Semoga diberi kesempatan. Rumah Ijad sungguh bersih. Walaupun anak yang empat orang. Simple sahaja, tak banyak barang. Suka saya lihat. Tidaklah serabut. Walaupun berkerusi roda, Ijad melayan kami dengan baik sekali. Rumahnya pun kemas sahaja.

Dua tahun lepas katanya, sementara menunggu untuk mandi pagi sebelum pergi ke tempat kerja, dia disahkan strok. Koma beberapa hari. Sempat kawan-kawan lelaki uitm kami melawatnya di Cheras. Oleh kerana tiada penyakit kritikal seperti darah tinggi atau kencing manis, doktor mengklasifikasikan akibat stress terlampau. Kata Ijad, biasa sahaja kerjanya. Memanglah stress kerana bekerja di Pusat kebajikan Masyarakat dan deal dengan orang. Tetapi itu perkara biasa sahaja. Allah. Memang Allah mahu uji hambaNya untuk darjat yang lebih tinggi. Isterinya juga nampak tenang sahaja. Kata isterinya, dah penat menangis, teruskan sahaja kehidupan. Allah. Kuatnya masing-masing.

Semoga kembali sihat Ijad. Saya doakan Allah memberi pahala yang banyak untuk kesabaran menghadapi kasih sayang Allah ini. Buat Hidayah, syurga tertinggi untuk awak sebab membesarkan anak-anak dan menjaga suami sebaiknya. Semasa pulang dari Perak, saya dan Liza memikirkan yang kami perlu membuat sesuatu untuk membantu. Simpati kerana anak-anaknya masihnya kecil. Saya berkata kepada Liza, "Kita ni pun, kalau nak sakit pun, sorang-sorang. Takde anak lagi nak kena tanggung. Kalau dah ada anak ni, lain."



.............................

Seorang lagi sahabat saya yang diuji dengan masalah kesihatan adalah Deekay. Sudah hampir setahun membuat pembedahan otak. Deekay. Selepas pembedahan, tiada rezeki lagi sembuh. Doktor di PPUM mencadangkan untuk pembedahan kali kedua. Memandangkan dia tidak boleh bekerja dan duit simpanannya telah susut membayar pembedahan yang pertama, dia tidak bersetuju. Maka, sekarang dia menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur. Selepas semua check-up, doktor mencadangkan untuk membuat pembedahan juga. Tetapi, harganya tidaklah semahal di PPUM. Sementelah, dia perlu membeli sejenis besi, tetapi pihak HKL akan membuat rayuan di Baitulmal untuk meminta bantuan kerana Deekay tidak bekerja sudah lebih setahun. Saya mendoakan semua kebaikan ke atas sahabat saya ini.

...............................

Ada sehari saya di kampung, mendapat pesanan dari budak rumah, seorang bekas budak rumah kami baru meninggal dunia. Saya mengenali Zarith sebagai seorang yang happy go lucky. Sempat melawatnya semasa dia ditahan di PPUM sebelum ini. Katanya, ada ketumbuhan dan doktor akan mengeluarkannya sahaja. Saya okay sahaja. Tidak sangka ia adalah sejenis kanser. Allah. Semoga Allah menempatkan Zarith di kalangan orang-orang beriman.

..........................

Betapa kerdilnya hati ini. Betapa kecilnya nyawa kita. Sebentar sihat. Sebentar sakit. Sebentar lagi sudah tiada. Lagi apa yang saya kejar di sini? 

Love..

No comments: