Monday, January 17, 2011

Hujung minggu di Klang

Emak dan ayah saya tiada di rumah hujung minggu yang lepas. Mereka telah pulang ke kampung saya di Melaka. Saya juga pulang ke kampung saya, tetapi di Klang. Perancangan awal untuk pulang ke kampung pada Jumaat malam terpaksa dilupakan kerana kotak sakti saya telah sampai minggu lepas dan saya terpaksa pulang lewat. Jadi saya pulang ke Klang pada hari Sabtu pagi bersama-sama dengan Mekna tercinta. Sesampai kami di rumah, Kak Long saya sedang bersiap untuk ke KL Sentral mencari tiket keretapi ke Kedah bersama anak buah kami. Dia dan suami mahu berjalan-jalan makan angin ke Kedah pada cuti Thaipusam ini. Dia mengajak saya, tetapi saya tidak berkesempatan mengikutnya. Along, orang bagi masa kau berdua-duaan bersama Abang Aidil. Hehe.

Hadiah untuk emak tersayang

Cuma Mekna, saya dan Fikri sahaja yang tinggal. Maka, saya dan Mekna akan bermain masak-masak tengahari itu. Chef kami pada hari itu ialah Chef Hanieliza. Siap ada Chef tu, jangan main-main. Bukan didatangkan khas, tetapi memang ada di rumah kami. Pembantu kami itu pastinya buku memasak yang saya hadiahkan untuk emak bertajuk Satu Hari Satu Resepi. Mekna mencari-cari resepi yang boleh dimasak pada tengahari itu. Selepas mencari, kami akan memasak tiga resepi sekaligus. Maka, menu makan tengahari kami adalah, Sup Cendawan, Salad Tomato dan Sambal Gesek. Mantap bukan? Hehe. Saya ke kedai untuk membeli barang-barang yang kurang. Masakan utama kami pastinya sup cendawan. Tiada ayam atau ikan. Menarik. Memang lain. Kami memasak dengan gembira. Kurang dari sejam masa yang diambil kami di dapur. Lagi menarik. Saya agak kurang suka berada di dapur sangat lama. Hasil masakan kami adalah seperti berikut :-

Sup Cendawan

Salad Tomato


Sambal Gesek

Pencapaian kami sangat memberangsangkan. Kakak-kakak, abang ipar dan anak buah saya semua suka dengan menu pada tengahari itu. Salad tomato habis. Malamnya, perancangan tanpa dirancang kami adalah ke Kuala Selangor. Achik Iza ada di Bukit Badong minggu ini. Jadi, kami akan berjumpa dengan Achik dan seterusnya melihat kelip-kelip. Melihat kelip-kelip merupakan impian Kak Long saya dari dahulu. Dia mengimpikan untuk membawa emak dan ayah dan tidur di sana untuk salah satu percutian kami. Sudah lama kami merancang, tetapi tiada kesempatan. Akhirnya, tanpa dirancang, saya berjaya juga pergi ke sana. Kak Long saya tidak mengikut kami. Tidak mengapa Along, kita pergi lain kali bersama mak, ayah dan adik beradik yang lain juga. Kami bergerak dari Klang lebih kurang jam 5.45 petang. Cadangnya mahu singgah di masjid Aiman untuk bersolat maghrib dan terus melihat kelip-kelip.

Di masjid sementara menunggu Achik dan Achik DD

Kami sampai di masjid Kuala Selangor hampir jam 7 malam. Semasa solat maghrib, Achik DD berjumpa dengan Aiman. Kami mengajaknya untuk bersama-sama melihat kelip-kelip dan ustaznya membenarkan. Kami ke Kampung Kuantan untuk melihat kelip-kelip. Untuk melihat kelip-kelip, kami akan menaiki sampan. Satu sampan hanya mampu dinaiki oleh 4 orang. Satu sampan berharga RM40 ringgit. Saya berkongsi sampan bersama Mekna, Aiman dan Fikri. Manakala Kak Mi, Akmal, Afiq berkongsi bersama Achik dan Achik DD. Pengalaman pertama untuk semua orang, termasuk Achik DD walaupun dari kecil tinggal di Kuala Selangor. Haha. Standardlah, saya dulu juga tidak melawat Melaka, sedangkan kawan saya dari PJ datang ke Melaka, semata-mata untuk melawat Melaka Bandaraya Bersejarah.

Mengikut kata pendayung sampan kami, tempat melihat kelip-kelip itu merupakan yang pertama terbesar di dunia. Ya, di dunia dan kami orang Klang tidak tahu. Sungguh kesian. Yang kedua terbesar merupakan di Brazil. Tetapi, kerajaan Brazil tidak berani mengeluarkan lesen untuk orang melihat kerana sungainya merupakan habitat piranha. Sepanjang Sungai Selangor itu, kami melihat kelip-kelip di pokok berembang yang sungguh cantik. Besar sungguh kuasa ALLAH, pokok-pokok kelihatan seperti pokok yang diletakkan dengan lampu kelip-kelip sempena hari raya. Cantik. Setelah hampir sepuluh minit kami dibawa pusing ke kawasan sekeliling, perjalanan kami tamat. Walaupun pendek, tetapi memang berbaloi. Selepas itu, Achik DD membawa kami ke Taman Malawati. Seperti rombongan sekolah ke Kuala Selangor. Jika di siang harinya, akan kelihatan banyak monyet di situ. Tempat sejarah kata Achik DD. Haha. Maaflah, saya ini agak buta sejarah sedikit. Banyak rupanya kawasan yang menarik di Selangor jika kita rajin mencarinya.

Keesokan harinya, Cik Lia datang ke rumah untuk bersarapan. Kami memasak mihun sup untuk makan tengahari. Chef kami pada hari itu merupakan Cik Lia. Belajar satu lagi cara baru membuat sambal kicap iaitu dengan membakar bawang putih dahulu. Petang harinya, ayah saya pulang dari kampung. Selepas makan petang, kami pulang. Memang menarik hujung minggu kali ini. Saya memenuhi hujung minggu dengan penuh sekali.


Love..

5 comments:

Haslina Othman said...

Saya juga sangat suka pulang ke kampung anak buah terchenta saya ini. ;)

Lain kali kita cuba mukasurat selain 181, 204 dan 212 ek :)

siti khadijah said...

Seronok lah Aiman dapat keluar dari sekolah, Nadiah, kenapa Kak Long awak susah-susah pergi KL Sentral ambil tiket, Mak Ngah dulu ambil tiket keretapi ke Alor Setar di stesen komuter Subang Jaya je..

nadiah said...

Mekna : Baik. Ada lagi 362 muka surat lagi tu nak cuba. Hehe.

Mak Ngah : Ustaz Aiman sangat comel sebab bagi dia ikut. Kata Achik, cakap nak keluar pergi makan dengan makcik dari Kelantan. Hehe. Ada juga tanya Kak Long masa tu, tak boleh beli kat Shah Alam ke. Dia kata macam tak boleh. Tak tahulah tu.

Nafisah said...

sangat menarik..fisha yang jadi tak sabar-sabar nak cuba resepi dalam buku tu. Rasanya sangat seronok kalau kita habiskan hujung minggu dengan aktiviti yang menarik dan aktiviti itu dilakukan bersama-sama dengan orang yang tersayang..RAsa rugi di situ.

nadiah said...

Fisha, tidak perlu rasa rugi. Lepas ni, memang awaklah yang akan masak semua masakan dalam buku resepi tu. Kitorang order je muka surat berapa. haha.