Saturday, June 26, 2010

Datang dan Pergi

Manusia datang dan pergi dalam kehidupan kita. Khamis lepas, di pejabat saya ada sedikit jamuan makan-makan. Sambutan hari jadi teman sepejabat yang lahir pada bulan 6 termasuk saya yang di penghujung bulan 5. Selain itu, sambutan perpisahan Wong dan Mothi di mana Wong yang mahu berhenti kerana mahu membuat perniagaan sendiri dan Mothilal merupakan pemegang biasiswa Gamuda akan menyambung pelajarannya di UTM Skudai Johor setelah tamat 3 bulan praktikal di pejabat kami.

Pooi Lai, Faezah, Zul, Am dan saya

Wong merupakan seorang yang kelakar dan prihatin. Setiap kali jika beliau mahu pulang jika sudah lewat, beliau akan menyinggah di tempat saya dan bertanya jika saya mahu pulang sekali. Biasanya, saya tidak dapat mengikutinya balik sekali, dan dia akan menasihati saya untuk berhati-hati ketika membawa motor. Selepas ini, tidak ada lagi orang akan datang ke tempat saya sambil berkata 'kacau Nadiah, kacau Nadiah' tanpa membuat apa-apa perkara yang mengacau pun dan seterusnya pergi sahaja. Wong, saya pasti rindu kamu. Opps, Wong dah beristeri ya. Hehe. Mothilal, budak skema yang berani dari Selayang. Berani kerana saya menyuruhnya menegur senior-senior kami dan dia melakukannya. Lawak juga orangnya dan kalau dia gelak, memang pecahlah PMC dengar suara dia. Selalu update saya isu bola dan selalu bertekak dengan Pak Guard pasal bola. Kalau saya masih di Gamuda dua tahun lagi, dan nyawa dia dan saya masih panjang, mungkin kami akan berjumpa lagi. Tidak sempat berjumpa dia semalam pada hari terakhir dia di PMC kerana saya bercuti.

Mothi dan Wong. Semoga kalian berjaya!!

Pada malamnya, sedang menonton televisyen bersama Mekna, nenek telah menelefon untuk memberitahu bahawa Tok Tik, kawan rapat atok saya ketika menjadi polis di Singapura telah meninggal dunia. Besoknya, saya dan makcik saya pulang ke kampung. Kami tiba agak lewat, jenazah sudah siap dikebumikan. Kami hanya melawat ke rumah Tok Tik sahaja. Saya mengenali seorang anak arwah kerana pernah mengikuti makcik saya menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan keluarga kami. Cik Ina sangat tenang. Keluarga mereka juga sangat tenang. Cik Ina menceritakan umur Tok Tik sudah 81 tahun dan dua minggu yang lepas baru sahaja menyambut hari jadinya di rumahnya di Pantai Dalam. Pertama kali sepanjang hayat Tok Tik, barulah kali pertama (dan terakhir kalinya) menyambut sambutan hari jadi secara besar-besaran di mana semua adik-beradik Cik Ina datang ke rumah beliau untuk meraikan ayah kesayangan mereka. Mereka bercerita dengan sangat tenang, terasa gembira dapat menggembirakan hati ayah mereka di saat-saat terakhir sebelum arwah meninggal dunia.

Saya melawat datuk sebelah ayah saya selepas pulang dari Bukit Rambai. Atuk Bujang saya sakit. Semakin kurus sekarang. Kali terakhir saya jumpa atok saya adalah ketika hari jadi saya yang lepas. Lain rupa dia dari yang saya jumpa sekarang. Ketika sampai di kampung, atuk sedang baring di depan tv. Saya salam atuk dan atuk tersenyum. Atuk ingat saya. Saya pegang tangan atuk, ternyata dia keseorangan. Nenek saya pergi ke Bemban untuk merewang. Saya tertidur kerana keletihan memandu ketika masih memegang tangan atuk. Saya tersedar 45 minit kemudian. Atuk masih menonton tv. Atuk mahu ke tandas, saya memimpin atuk. Nenek pulang semasa atuk di dalam bilik air. Gembiranya berjumpa nenek saya. Nenek sangat kuat dengan menjaga atuk saya. Nenek kata, biasa atuk tidak sempat ke tandas dan dia akan mengelap najis atuk saya. Tetapi, hari itu atuk gagahkan juga.

Malam raya 2006-ketika Atuk masih sihat

Malam itu, atuk makan sedikit mee rebus yang saya suapkan sambil saya berborak-borak dengan nenek. Saya terfikir, saya tidak tahu apakah keadaan saya ketika tua, apakah keadaan emak dan ayah saya ketika tua, adakah saya kuat untuk menjaga mereka jika keadaan seperti atuk saya atau lebih teruk. Saya berdoa saya kuat dan sabar jika waktu itu tiba. Saya berdoa agar atuk saya sihat dan ALLAH memberikan kekuatan kepada nenek saya untuk menjaga atuk saya. Saya bertolak dari kampung pada jam 8.30 malam.

Semoga selepas kita tidak lagi dipinjamkan di bumi ini, kita akan bersama keluarga kita di akhirat kelak di syurga. Amin.


Love..

6 comments:

Haizir said...

Semoga Tok Bujang dan Nenek Sa'bah sabar dengan ujian ini.

Fadzlin said...

Didoakan semoga atuk Bujang dapat sembuh..

siti khadijah said...

Entri yang sedih, benar Nadiah kita tak tahu bagaimana keadaan kita bila tua kelak, oleh itu sebagai persediaan dari sekarang kita mesti menjaga kesihatan (jaga makan dan beriadhah) juga berdoa semoga kita akan sihat dan tidak membebankan suami, isteri atau anak-anak di penghujung usia kita.Mak Ngah berharap sekurang-kurangnya bila tua nanti boleh menjadi seperti Tun Mahathir atau Prof Ungku Aziz, yang bukan saja sihat malahan boleh menyumbang pula kepada masyarakat.

Hussin said...

Nadiah,

Good entry. We need more of this type of entries which you will definitely cherish a few years from now.

azizah said...

Kecil-kecil cili padi
Sesekali keluar pasti berisi

Thank you for sharing :-)

nadiah said...

Pak Busu, Aleen, Mak Ngah, Pak Long & Achik : InsyaALLAH dan terima kasih atas kasih sayang. Sayang kalian semua. :)