Tuesday, March 1, 2016

Impian

Sejak dua menjak ini, Allah terlalu baik dengan saya. Terlalu. Banyak nikmat-nikmat yang saya impikan telah menjadi kenyataan. Silap saya yang perlu dibaiki adalah impian saya kecil sahaja. Mahu berjumpa dengan Syed Azmi dan mahu menyertai Ainie Haziqa memberi sarapan pagi kepada gelandangan.

Minggu lepas, saya sempat menghadiri satu program di Impact Hub Kuala Lumpur. Terlihat poster Adam Adli di Instagram. Maka, dengan kereta yang ada, melencong sahaja bersama waze ke sana. 


Bak kata Aleen, Once you're handsome, you're oppa. Haha.

Cantik kot tulisan tangan Adam

Saya pernah menulis di twitter untuk berjumpa dengan Syed Azmi ketika beliau sibuk menguruskan bantuan kemanusiaan ketika banjir di Kelatan dua tahun lepas. Seorang yang sangat merendah diri, sangat positif dan memandang semua benda pun positif. Termasuk memandang positif haters yang ada di laman facebook sebanyak 20% dari list of friendsnya. Seorang yang praktikal kerana apabila soalan dari penonton mengenai penguatkuasaan undang-undang mengenai ganja kepada speaker yang lain, dia telah memberikan pandangan sebagai seorang ahli farmasi mengenai kesusahan orang yang merana disebabkan ganja. Seorang yang berhati mulia. 
\

Saya seorang yang bias. Tidak ada gambar dua orang lagi panelis wakil dari Parlimen Belia. Hehe. Mereka juga tidak kurang hebat juga sebenarnya. Waktu soalan dari penonton, mereka juga menjawab dengan bijak. Walaupun ada pendapat yang saya tidak setuju, tetapi agree to disagree. 


Di akhir program, satu soalan terhadap Adam, apakah impiannya terhadap Malaysia. Katanya, ingin melihat Malaysia sebagai ini (sambil menunjuk kepada kami semua). "Masih boleh bersama walaupun berbeza pandangan." InsyaALLAH, satu hari nanti. Amin. 

Sabtu pula, antara impian saya mahu mengikuti Ainie Haziqa memberi sarapan pagi kepada gelandangan di area KL. Pernah melihat di twitternya dulu. Tetapi, biasanya hari Sabtu saya adalah di Klang. Alhamdulillah, berjaya sertai kali ini. Memberitahu Miera, dia tanya, "Pukul berapa nak jumpa dekat KL?" "Dalam pukul 5.30 pagi.". "Nak pergi KL pagi-pagi sorang? Orang temanlah." "Okay." 

Sebegitu sahaja Miera mahu menemani saya. Sama juga ketika saya mahu pergi menghadiri kelas menulis artikel hari itu. Walaupun dia tidak menulis, boleh sahaja menemani saya. Terima kasih Miera. Semoga Allah membantu memudahkan urusan Miera kerana selalu memudahkan urusan orang. 

Berbalik kepada memberi makanan kepada gelandangan di KL. Miera dan saya sampai di Masjid Negara jam 5.40 pagi. Beberapa orang sukarelawan telah sampai. Tengah menunggu orang yang membawa air. Setelah sampai air, kami mula membungkus. Nasi lemak/meehon goreng dan air kotak bersama kuih donut. Itu sahaja. Tetapi, kesan kepada penerimanya memang sangat terasa. Sesampai saya di Masjid Negara, terdapat beberapa (agak ramai juga sebenarnya) tidur di dataran di luar. Sejuknya saya rasakan. Tetapi Ainie kata, sejuk masih ok, nyamuk sebenarnya lebih susah.

Tidur duduk - mesti sejuk. HUhu

Dah siap bungkusm tunggu azan Suboh.

Untuk area Central Market

Area Masjid Negara dan lain-lain
Masjid negara ada meja

Ada dalam lebih kurang 12 orang sukarelawan. Kami dibahagikan kepada 4 kawasan. CM (Miera, saya, Ainie dan Farid) sebanyak 30 bungkusan, Menara Maybank, 30 bungkusan, Masjid Negara 50 bungkusan dan Segi College 20 bungkusan. Simple sahaja. Tetapi, kekuatan untuk membuatnya, jika tidak kental memang tak jadilah. Semoga satu hari nanti saya mempunyai kekuatan untuk membuat benda-benda seperti ini. Saya suka aktiviti begini. 

Selepas membungkus sarapan, masuk waktu Subuh, kami bersolat di masjid sahaja. Saya bersama Zetty pergi bersolat bersama-sama kerana Miera tidak solat. Zetty dari Kajang, tetapi bekerja di KL dan hari ini dia bekerja juga. Selepas program ini, dia akan terus ke tempat kerja. Juga ada sukarelawan dari Rawang. Jauhnya mereka datang untuk membantu. 


Selepas Subuh, kami berpisah ke tempat pengagihan masing-masing. Hampir jam 7, makanan kami sudah habis diberikan kepada semua. Mereka sedang tidur, kami meletakkan sahaja di tepi mereka. Semoga dapat memberikan senyuman kepada mereka sedikit.

Di jambatan bersebelahan CM




Pulang dari Masjid Negara, saya dan Miera pergi berjogging di Taman Jaya. Setelah dua pusingan, kami pulang untuk bersarapan roti canai. Biasalah, selepas berjogging, kegembiraan diri adalah sarapan yang menarik. Terjumpa budak rumah saya, Atikah. Kami bersarapan bersama. Balik rumah, kami membalas tidur sebelum tengahari nanti meneruskan kehidupan kami. Miera mahu ke Langkawi dan saya ke majlis perkahwinan budak pejabat saya. 

Petangnya pula, saya membuat kuih keria di rumah sendiri. Selepas menolong orang lain di pagi hari, bukankah Rasulullah s.a.w suka kepada orang yang berbuat baik terhadap ahli keluarganya sendiri? Keria buatan saya dibantu pekerja cilik Afifah dan Asyraf. 

"Orang miskin itu juga manusia dan mereka harus dimanusiakan. Menolong orang itu tidak perlu menunggu. Apa yang kita mampu lakukan, itulah yang seharusnya dilakukan." - Jokowi, 2015


Love..

Tuesday, February 23, 2016

Sambutan Hari Jadi Ili

Saya membuat ucapan hari lahir kepada sahabat baik saya Ili di Instagram. Tiba-tiba, ada pesanan Instagram daripada Farini isteri Adli. Katanya mahu membuat surprise party untuk Ili dan mengajak saya. Ini merupakan kali pertama saya membuat 'parti kejutan' dalam kehidupan saya. Menarik. Mari kita cuba. Tetapi, oleh kerana kali pertama membuat, haruslah saya mengajak orang yang selalu membuatnya supaya menjadi kenyataan. Jika mengharapkan saya, takut tidak kesampaian idea Farini ini. Setelah mengajak bersama Ebah, kami berjaya membuat parti kejutan untuk Ili.

Pada hari Rabu di mana semua Gamuda staf bercuti kerana masih bercuti, kami membuat kejutan kepada Ili. Mujurlah Ili di rumah memang cun (satu benda yang kau perlu belajar), kalau aku memang baju kelawarlah. Pada masa yang sama, ibu-bapa Ili berada di luar negara. Cuma Ili bersama adik-adiknya sahaja di rumah. Faezah yang pada mulanya tidak pasti akan kehadiran, turut memeriahkan majlis. Tugasan diberi sama rata. Ebah mencari belon, Farini membeli kek, Faezah membeli kfc dan saya membeli hadiah di groupon iaitu pedicure and manicure berharga RM35 seorang. Kami membeli dua supaya Ili boleh pergi bersama ibunya atau rakannya.

Ili sememangnya seorang yang sangat kuat. Walaupun sedang berjuang dengan jantungnya akibat sakit yang jarang kita dengar, Ili yang saya kenal adalah seorang yang akan mendahulukan perasaan orang berbanding dirinya sendiri. Banyak contoh yang saya dapat pelajari daripadanya. Kesabaran dia, ilmu dia yang memang banyak mengenai pengetahuan am, meletakkan kehendak orang melebihi kehendak sendiri dan banyak lagi. Agaknya itulah sebab kenapa Farini beria-ia mahu menyambutnya. Jika dahulu, jika Farini tidak dapat mencari Adli di pejabat, dia akan bertanya kepada Ili. 

Ili, kita doakan awak sentiasa sihat, diberikan kesihatan yang baik, ketenangan diri, kegembiraan menjalani kehidupan, ketabahan dan kuat. InsyaALLAH, ganjaran syurga tertinggi untuk awak disebabkan redha dengan qada' dan qadar Allah. 










Cuti Raya Cina saya yang penuh. Alhamdulillah.

Love..

Kenduri Kesyukuran Afiq

Sudah lama Achik Oya kami tidak membuat kenduri dan memasak kenduri. Sempena majlis kesyukuran pertunangan anak sulungnya Afiq, Pakcik Isa meminta Achik membuat kenduri dan memasak bersama otai-otai masak di kampung. Awal-awal lagi Acik telah menghantar pesanan supaya kami tiba seawal pagi Ahad di kampung. Hal ini kerana, Nek Som selaku ketua tukang masak akan datang pada hari itu. Dukacita, Kak Cik pula perlu bekerja pada hari Ahad. Maka, saya dengan segan silunya telah meminjam kereta kawan baik saya Miera untuk pulang ke kampung. (Kamu tahu kamu adalah kawan baik, bila ada masalah, kamu tanpa segan, teringat nak pinjam kereta dia yang duduk di rumah sewa tanpa digunakan. Hehe, Miera, you're the best. Sila jangan segan dengan orang sebab orang dah tak segan dengan Miera). Miera berkata ya. Kak Mi anak-beranak dan saya pulang pada hari Sabtu. Sampai di rumah Nenek Rammelah lebih kurang jam 8. Waktu itu, Firdaus, Along dan Nafisah telah awal sampai semasa maghrib.


Keesokannya, selepas bersarapan, kami ke rumah Achik Oya. Nenek Som sudah sampai. Nampak tak, hebatnya tukang masak? Dah sampai dan terus membuat kerja. Nenek saya tiada kerana menghadiri majlis pertunangan saudara kami yang tinggal berdekatan. Makcik Semek merupakan anak buah nenek, iaitu anak kepada adik arwah atuk. Anaknya Juli yang mahu bertunang selepas Zuhur.








Kami, sepantas kilat (haha.percaya ke?) membantu Nek Som. Membuat apa yang perlu. Perlu ke saya menceritakan kepakaran yang saya sukai itu lagi? Hehe. Maaf, jika anda bosan, tetapi kita perlu sentiasa menyatakan kekuatan kita sebagai motivasi sendiri (sila nangis secara berjemaah semua). Kepakaran membantu di dapur memang sangat diperlukan sewaktu ini. Juga kepakaran melayan nenek-nenek itu supaya setiap pertanyaan mengenai diri sendiri bila lagi tidak berakhir dengan sebarang ketidakpuasan di hati orang lain, terutama di hati sendiri. Mereka sayang, sebab itu bertanya. Saya faham. Doakan saya. 
















Setelah bertungkus lumus pada hari Ahad, maka waktu yang ditunggu-tunggu pun tiba. Hehe. Hari Isnin orang Cina sedang makan besar, kami pun juga. Keluarga Mok Teh telah datang sekeluarga pada Sabtu petang. Mak Usu juga semalam sudah tiba. Mak dan Ayah selepas kenduri di Klang baru hadir bersama adik kesayangan kami. Pak Lang dan Mak Lang juga selamat tiba pada hari Isnin. Semua adik-beradik ayah saya berkumpul. Kemeriahan mana lagi yang kamu dustakan? (Saya perlu menulis mengenai hari keluarga kami tahun lepas. Nenek menangis waktu itu kerana kami semua dapat berkumpul.)

Banyak ruang rumah Acik ni.


Bebudak, tengok TV

Makan lauk pagi tadi yang sedap sangat!

Keesokan harinya, Acik Oya belanja sarapan pagi pertama di luar. Tak perlu masak-masak. Masing-masing dah penat. Terima kasih semua.

Yang bangun pagi. Hehe.

Yang lain bungkus.

Jom balik. :)

Kenduri dan penat adalah benda yang tidak dapat dipisahkan. Tetapi, kerana semua buat kerana kasih-sayang, buat bersama orang yang kita suka, orang yang kita sayang, kepenatan ini berbayar dengan harga yang sangat mahal. Semoga perhubungan ini tidak di sini sahaja. Kami bermohon padaMu, Tuhan Pencipta Alam, Yang Maha Pengasih lagi lagi Penyayang. 

Love..

Thursday, February 11, 2016

Hati

Penyewa rumah ayah saya sudah beberapa bulan lambat bayar, beberapa bulan kurang bayar dan masih tidak membayar deposit rumah. Saya pernah menelefonnya sekali untuk meminta bayaran darinya kerana ayah, haruslah baik dan tidak sanggup menelefon orang, lagi-lagi memarahi orang. Dan kali ini merupakan kali kedua saya menelefonnya. Alasannya masih sama, menunggu rumah yang di kampung untuk dijual baru boleh membayar deposit. Ok, deposit kita tolak tepi. Yang bayaran bulan-bulan ni, boleh tak bayar on time? Katanya, masih sukar. Saya pun memberinya peluang dua bulan jika dia tidak dapat membayar, mereka terpaksa keluar dari rumah itu. 

Saya menceritakan kepada ayah peristiwa itu pada hujung minggu semasa sedang menyangkut baju di hanger. Ayah pula sedang memberi kucing makan. Ayah hanya mengiyakan kerana mungkin dia juga pernah memberitahu mereka dan jawapan yang sama diperolehi. 

Saya : Orang dah call dah kakak tu. Dia jawab nanti dia cuba.
Ayah : Itulah, jawapan yang sama. 
Saya : Entah-entah inilah sebab dia kena keluar rumah sewa dia dulu. Dia tak bayar, bukanlah tuan rumah nak balik rumah tu. 
Ayah : Ish. Inilah yang taknak. Boleh jadi berburuk sangka dengan orang. (Sambil menolong saya mengangkat baju yang telah dihanger ke tengah laman) 
*Saya tersentap dan beristighfar. Inilah yang jadi. Hati ni senang sahaja berburuk sangka. Cepat-cepat saya tidak memanjangkan kisah. 

................................................................................................................................

Firdaus, Kak Long dan saya mengikuti satu kursus di Melawati. Selepas habis kursus, kami mengambil keputusan untuk makan tengahari sebelum pulang. Emak tiada di rumah kerana pulang ke kampung, Peluang untuk nasi tiada di rumah tinggi. Jadi, isi sahaja perut kami dahulu. Setelah sampai di Medan Selera berdekatan, Kak Long dan saya turun dahulu. Firdaus masih ada benda yang mahu diselesaikan. Kami memilih satu kedai makan nasi ayam hainan di medan selera itu.

Selepas kami membuat pesanan, Firdaus pun sampai. Dia kemudian membuat pesanan untuk dirinya. Mukanya ketika membuat pesanan memang kurang menyenangkan saya lihat. Tidak tersenyum dan hanya membuat pesanan seperti bos. Saya hanya diam sahaja. Sesudah makan, Firdaus membayar kepada pakcik yang menjual nasi ayam itu. Dari jauh, saya melihat mukanya yang ketat itu. Lagi, adik saya tidak boleh begini. Pakcik itu sedang sibuk mengira makanan yang kami bayar. Sebelum sampai di kereta, saya menegur Firdaus. Kenapa perlu bermuka sebegitu? Dia memberitahu perkara sebenar. Rupa-rupanya dia mengesyaki pakcik yang membuat nasi ayam itu bukan Islam. Memang mukanya seperti seorang cina. Kak Long juga telah memberitahu saya sebelum itu. Saya kata, orang Cina tidak boleh Islam ke? Di hadapan kedainya ada perkataan Allah dan Muhammad juga mengiyakan andaian saya. Maka, kami makan sahaja selepas itu. Rupanya, perkara yang sama dialami oleh Firdaus.

Saya berkata kepada Firdaus, apa yang dia boleh buat sepatutnya ketika hati telah tertanya-tanya status kehalalan ayam yang kami makan adalah bertanya kepada pakcik peniaga tersebut. Tidak perlu membuat muka dan merasa ragu-ragu. Selesaikan masalah hati itu sendiri. Janganlah membuat muka seperti itu. Saya yang melihatnya juga rasa tidak berkenan, apatah lagi yang merasainya.

.....................................................................................................

"Ya Allah, yang membolak-balikkan hati. Tetapkanlah hati kami di atas agamaMu."


Love..

Thursday, February 4, 2016

Fraser Hills - Percutian yang cepat

Jika anda mendapat seorang rakan yang tidak memerlukan perancangan yang teliti dan suka berjalan dan anda juga seorang yang tidak kisah, maka dapatlah satu percutian yang cepat seperti percutian kami. Cepat sangat. Haha.

Miera teringin ke Fraser Hills selepas menonton cerita Kau Aku Kita. Cameron Highlands sudah pergi, Bukit Tinggi juga sudah kami pergi. Ok, Fraser Hills belum lagi sampai kami berdua. Alang-alang dah di Pahang, mari kita singgah. Maka, sekembali kami dari Kuala Lipis, wuuu melencong ke Fraser Hills. 

Miera memandu pergi, boleh tahan juga jalannya. Lagi dahsyat saya rasa kalau kita menaiki dari Bentong. Kalah jalan ke Cameron Highlands dari Tapah. Saya memandu turun yang akan tembus di  Kuala Kubu Baru, jalannya sudah besar dan lebih elok berbanding dari Bentong. Terjumpa papan tanda tanah runtuh untuk jalan dari Bentong dan tidak dibenarkan melalui jalan itu di malam hari. Bahaya saya kira. Dari Lipis, perjalanan ke Fraser Hills mengambil masa 2 jam. Dari Fraser Hills ke Petaling Jaya juga mengambil masa 2 jam. Kami sampai di atas lebih kurang jam 4.30 petang. Selepas bergambar sekejap dan bertanya harga semalam di hotel (Park Inn Hotel) yang berharga RM180 semalam, kami menunaikan solat Asar di masjid. Berkira-kira untuk tidur di atas kerana sayangnya, esok saya mahu bersarapan bersama Mak Ina dan Encik Anuar. Boleh dapat tidur tiga malam di Lipis dengan harga itu. 

Selepas solat, kami berbincang untuk tidur atau tidak. Miera mengatakan kalau tidur, kita perlu sekurang-kurangnya pulang tengahari, barulah berbaloi. Alamak, macam tidak boleh. Tidak mengapa, mari kita berjalan sambil mengambil gambar dahulu. Kami membawa kereta untuk melihat di sekitar kawasan Fraser Hills dan singgah di kedai cenderamata. Saya bertanya kepada pekedai jika terdapat hotel selain dari Park Inn Hotel. Katanya ada lagi satu hotel lagi. Yang lain semua rumah banglo. Memang terdapat ramai keluarga di sana. Percutian untuk keluarga memang seronoklah. Tetapi, untuk couple seperti saya dan Miera memang kurang berbaloi. Selepas berjalan-jalan, hai, dah habis dah tempat yang kami boleh pergi. Kerana jalannya sehala, ada beberapa tempat yang kami tidak lalu. Tetapi, memang kecillah tempat itu. Sekejap pusing sudah habis. 

Tiba-tiba emak saya menelefon saya. Haha. Sudahlah tidak memberitahu saya mahu ke sana. Kantoi di situ. Emak bertanya, adakah saya sudah sampai Gombak? Tergelak saya sambil memberitahu saya di Fraser Hills. Cuma tidak tahu mahu bermalam atau tidak. Jam sudah menunjukkan jam 6.15 petang. Kata emak, turun sahaja jika tiada apa-apa lagi mahu dilawat. Esokkan mahu bersarapan bersama Mak Ina. Memang jika saya memberitahu emak saya jadual kehidupan, memang dia ingatlah. Saya pun meng'okay'kan sahaja. Berbincang dengan Miera, kami mengambil keputusan untuk turun selepas membeli aiskrim dan jagung rebus di atas Fraser Hills. Kurang dari tiga jam kami di atas sana. 

..................................................

Saya : Okay, cerita melayu lain pergi mana pula? Kita boleh buat trip pergi sana.
Miera : Haha. Orang pernah terbaca status fb seorang ni. Katanya, orang perempuan yang single ni, kerja dia melancong sahaja.
Saya : Sukahatilah. Macammana nak habiskan masa masing-masing. Hehe.

.....................................................

Semasa perjalanan ini juga, sepupu saya telah selamat bertunang. Barakallah Muiz. Didoakan semoga urusan awak dipermudahkan semuanya. Doa banyak-banyak supaya jodoh saya juga dipermudahkan Allah kelak. 

Rasulullah s.a.w bersabda,
"Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir" (Riwayat Ahmad)
















Penangan Kau Aku Kita. Hehe. 

Love.