Monday, July 19, 2010

Mari Belajar Memasak


Sabtu yang lepas, saya telah menghadiri program KAMY. Programnya adalah di sini. Cik Leha dan Nazifah masing-masing telah mempunyai menu. Saya bercadang untuk membuat trifle. Saya pernah membawa trifle ke program KAMY yang lepas, tetapi bukan saya yang membuatnya. Oleh kerana pulang lewat dari pejabat, Ebah telah membuatnya bagi pihak saya. Jadi, kali ini saya akan membuatnya sendiri. Menarik. Pertama kali merasa trifle adalah ketika di rumah Mak Long. Tidak sempat belajar bersama Mak Long, tetapi budak pejabat saya telah mengajar Ebah, dan Ebah mengajar saya. Terima kasih cikgu. Tiada gambar trifle yang saya buat. Jadi, saya telah menggoogle. Ini merupakan gambar yang sangat hampir dengan resepi yang saya belajar dari Ili.

kredit gambar - hanieliza.fotopages.com

Bahan-bahannya adalah :-
1- Kek-boleh pilih antara kek span, kek mentega, kek marble atau swiss roll.
2- Agar-agar segera
3- Buah-buahan dalam tin
4-Sedikit Tepung kastard

Cara-caranya :-
1- Potong kek ikut ketebalan yang diinginkan. Jangan terlalu tebal atau nipis. Sesedap rasa orang kata. Letak di dalam bekas. Tekan-tekan untuk memampatkannya dan untuk menghalang agar-agar jatuh ke permukaan bekas.
2-Kacau dua sudu tepung kastard bersama air buah-buahan di dalam tin. Kemudian spreadkan di atas kek tadi.
3-Letak buah-buahan campuran. Kali kedua membuatnya, saya meletakkan Nata De Coco Laici juga. Ikut kreativiti anda ya.
4-Masak agar-agar tadi mengikut arahan pada kotak. Tunggu sejuk, dan letak di atas buah-buahan campuran itu untuk mengelakkan agar-agar tadi meresap ke kek jika masih panas.
5- Siap!! Sesuai makan ketika sejuk. Masukkan dalam peti sejuk dahulu.

Menarik bukan? Senang sahaja. Saya suka makanan yang saya suka dan tidak susah untuk dibuat. Malam itu, saya bertemu Mak Long ketika kenduri meraikan hari jadi nenek. Cara Mak Long lain pula. Kastard dijadikan satu lapisan lain. Saya akan belajar dengan Mak Long juga lepas ini. Semasa mencari gambar trifle tadi, banyak cara rupanya untuk membuatnya. Hehe. Sedap2. Saya akan cuba cara yang lain pula nanti.

Hari Ahadnya pula, saya memasak Masak Lemak Pucuk Ubi. Tetapi, saya tukang kacau saja. Kakak saya telah menumbuk bahan-bahan rencahnya. Oleh kerana saya tidak menumbuknya, saya terlupa bahan-bahannya. Mungkin bawang merah dan putih, dan ikan bilis kalau tidak silap saya. Masukkan semua ke dalam periuk dan masukkan santan. Kacau sehingga mendidih. Letakkan garam secukup rasa dan sebiji cili merah yang dihiris. Setelah mendidih, masukkan pucuk ubi yang telah siap direbus dan ditoskan. Siap. Mudah dan sedap juga. Haha. Asyik memuji masakan sendiri sahaja. Hehe. Hujung minggu yang penuh dengan aktiviti ke dapur. Menarik. Boleh diteruskan.

Love..

Tuesday, July 13, 2010

World Cup 2010

Untuk memasukkan dalam kenangan saya mengenai World Cup 2010, saya tulis entri ini. Cuma dua perlawanan yang saya tengok secara penuh. Berpuluh-puluh perlawanan yang lain, budak pejabat saya akan tolong meng'update'kan maklumat pemenang dan perlawanannya kepada saya. Dua perlawanan itu ialah perlawanan Brazil menentang Ivory Coast dan Sepanyol menentang Belanda. Perlawanan pertama saya lihat siaran ulangan ketika menemani budak rumah saya merangkap budak pejabat, dan bekas budak bilik masa di UiTM Sri Iskandar serta bekas budak kelas masa di UiTM Shah Alam, Syuibah ke hospital kerana sakit perut. Dia mengadu sangat sakit perut pada tengahari dan meminta seorang lagi kawan sepejabat kami menghantarnya ke hospital. Ili dan saya menghantarnya ke Damansara Specialist kerana berdekatan dengan pejabat kami dan Gamuda menyediakan insurance yang membolehkan kami ke hospital swasta. Menarik. :)

Kami ke bahagian kecemasan. Malangnya, suasana di bahagian tersebut langsung tidak menggambarkan detik-detik cemas. Selepas mendaftar, kami terpaksa menunggu sehingga nama kawan saya dipanggil. Mungkin hampir 15 minit juga kami menunggu untuk dipanggil, dan ingatkan akan selesai. Rupa-rupanya tidak. Ebah disuruh berjalan sendiri dengan keadaan yang sakit untuk mengambil ujian darah, scan, dan macam-macam lagi. Hospital berbayar pun macam tu perkhidmatannya. Sementara menunggu Ebah selesai semua urusan, saya dan Ili sempat melihat perlawanan bola sampai habis. Setelah semua urusan selesai, selepas tiga jam barulah Ebah dibenarkan ke biliknya. Tiga jam?! Sangat menggambarkan ketidakcemasan unit kecemasan tersebut. Ebah disahkan appendix dan terpaksa dibedah pada keesokan harinya. Jumlah kos rawatan dan pembedahan Ebah adalah sebanyak RM11,000. Haha. Agak gila di situ. Boleh buat downpayment nak beli Vios. Nasib baik insurance tolong bayarkan. Terima kasih Gamuda! Itulah kali pertama saya menonton perlawanan bola secara penuh. Kaka sangat comel berjalan keluar padang setelah dilayangkan kad merah.

Kali kedua, perlawanan terakhir Piala Dunia 2010. Saya melihat bersama Aleen, tetapi dia di Subang dan saya di Petaling Jaya. Aleen ada mengajak saya menonton bersama-sama. Mesti lagi menarik. Tetapi, saya kepenatan kerana paginya saya menghadiri kursus di Jalan Klang Lama sepanjang hari. Kemudian menemani Sze Zee ke Amcorp mencari beg tangan dan hanya sampai di rumah hampir 9 malam. Setelah bergayut bersama Aleen sehingga pukul 12 malam, saya tidur kerana memang bercadang mahu melihat perlawanan bola malam nanti, jadi saya perlu tidur dahulu. Jam loceng saya berjaya mengejutkan saya pada jam 2.30 pagi. Kalau sembahyang tahajud ni mesti banyak pahala. Ini, menonton bola Nadiah? Hehe. Untuk mengurangkan rasa bersalah, saya memenuhkan aktiviti ketika menonton bola dengan melipat baju yang telah seminggu di dalam bakul, kemudian menggosok baju untuk ke pejabat esoknya. Teringat adik kecil saya, mesti sedang menonton juga bersama abangnya dan mungkin bersama ayah saya juga. Adik saya itu memang kaki bola. Ada sekali, ketika Pak Busu tinggal bersama kami dan mahu menonton perlawanan bola pada malam hari, beliau terpaksa melihat tanpa suara untuk mengelakkan Fikri terjaga kerana dia perlu ke sekolah keesokan harinya. Tetapi, Fikri terjaga juga. Hehe. Pada jam 4 pagi, budak rumah saya bangun untuk bersahur dan menemankan saya menonton perlawanan sehingga habis. Maka, itulah dua perlawanan yang saya tonton sepenuhnya.

Adikkk.... Rindu.... :)

Macam bukan entri pasal bola. Tiada langsung ulasan bola. Haha.

Love..

Saturday, June 26, 2010

Datang dan Pergi

Manusia datang dan pergi dalam kehidupan kita. Khamis lepas, di pejabat saya ada sedikit jamuan makan-makan. Sambutan hari jadi teman sepejabat yang lahir pada bulan 6 termasuk saya yang di penghujung bulan 5. Selain itu, sambutan perpisahan Wong dan Mothi di mana Wong yang mahu berhenti kerana mahu membuat perniagaan sendiri dan Mothilal merupakan pemegang biasiswa Gamuda akan menyambung pelajarannya di UTM Skudai Johor setelah tamat 3 bulan praktikal di pejabat kami.

Pooi Lai, Faezah, Zul, Am dan saya

Wong merupakan seorang yang kelakar dan prihatin. Setiap kali jika beliau mahu pulang jika sudah lewat, beliau akan menyinggah di tempat saya dan bertanya jika saya mahu pulang sekali. Biasanya, saya tidak dapat mengikutinya balik sekali, dan dia akan menasihati saya untuk berhati-hati ketika membawa motor. Selepas ini, tidak ada lagi orang akan datang ke tempat saya sambil berkata 'kacau Nadiah, kacau Nadiah' tanpa membuat apa-apa perkara yang mengacau pun dan seterusnya pergi sahaja. Wong, saya pasti rindu kamu. Opps, Wong dah beristeri ya. Hehe. Mothilal, budak skema yang berani dari Selayang. Berani kerana saya menyuruhnya menegur senior-senior kami dan dia melakukannya. Lawak juga orangnya dan kalau dia gelak, memang pecahlah PMC dengar suara dia. Selalu update saya isu bola dan selalu bertekak dengan Pak Guard pasal bola. Kalau saya masih di Gamuda dua tahun lagi, dan nyawa dia dan saya masih panjang, mungkin kami akan berjumpa lagi. Tidak sempat berjumpa dia semalam pada hari terakhir dia di PMC kerana saya bercuti.

Mothi dan Wong. Semoga kalian berjaya!!

Pada malamnya, sedang menonton televisyen bersama Mekna, nenek telah menelefon untuk memberitahu bahawa Tok Tik, kawan rapat atok saya ketika menjadi polis di Singapura telah meninggal dunia. Besoknya, saya dan makcik saya pulang ke kampung. Kami tiba agak lewat, jenazah sudah siap dikebumikan. Kami hanya melawat ke rumah Tok Tik sahaja. Saya mengenali seorang anak arwah kerana pernah mengikuti makcik saya menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan keluarga kami. Cik Ina sangat tenang. Keluarga mereka juga sangat tenang. Cik Ina menceritakan umur Tok Tik sudah 81 tahun dan dua minggu yang lepas baru sahaja menyambut hari jadinya di rumahnya di Pantai Dalam. Pertama kali sepanjang hayat Tok Tik, barulah kali pertama (dan terakhir kalinya) menyambut sambutan hari jadi secara besar-besaran di mana semua adik-beradik Cik Ina datang ke rumah beliau untuk meraikan ayah kesayangan mereka. Mereka bercerita dengan sangat tenang, terasa gembira dapat menggembirakan hati ayah mereka di saat-saat terakhir sebelum arwah meninggal dunia.

Saya melawat datuk sebelah ayah saya selepas pulang dari Bukit Rambai. Atuk Bujang saya sakit. Semakin kurus sekarang. Kali terakhir saya jumpa atok saya adalah ketika hari jadi saya yang lepas. Lain rupa dia dari yang saya jumpa sekarang. Ketika sampai di kampung, atuk sedang baring di depan tv. Saya salam atuk dan atuk tersenyum. Atuk ingat saya. Saya pegang tangan atuk, ternyata dia keseorangan. Nenek saya pergi ke Bemban untuk merewang. Saya tertidur kerana keletihan memandu ketika masih memegang tangan atuk. Saya tersedar 45 minit kemudian. Atuk masih menonton tv. Atuk mahu ke tandas, saya memimpin atuk. Nenek pulang semasa atuk di dalam bilik air. Gembiranya berjumpa nenek saya. Nenek sangat kuat dengan menjaga atuk saya. Nenek kata, biasa atuk tidak sempat ke tandas dan dia akan mengelap najis atuk saya. Tetapi, hari itu atuk gagahkan juga.

Malam raya 2006-ketika Atuk masih sihat

Malam itu, atuk makan sedikit mee rebus yang saya suapkan sambil saya berborak-borak dengan nenek. Saya terfikir, saya tidak tahu apakah keadaan saya ketika tua, apakah keadaan emak dan ayah saya ketika tua, adakah saya kuat untuk menjaga mereka jika keadaan seperti atuk saya atau lebih teruk. Saya berdoa saya kuat dan sabar jika waktu itu tiba. Saya berdoa agar atuk saya sihat dan ALLAH memberikan kekuatan kepada nenek saya untuk menjaga atuk saya. Saya bertolak dari kampung pada jam 8.30 malam.

Semoga selepas kita tidak lagi dipinjamkan di bumi ini, kita akan bersama keluarga kita di akhirat kelak di syurga. Amin.


Love..

Sunday, June 20, 2010

Perkelahan Keluarga

Semalam, saya telah membawa separuh ahli keluarga saya ke Sungai Congkak iaitu Mak, Along, Kak Mi sekeluarga dan Fikri. Selain itu, Pak Chim sekeluarga dan Safwan sepupu saya dari kampung. Markah menjadi pemandu jalan kepada abang ipar dan pakcik saya adalah B. Abang Hairol tersesat kerana saya telah membuat aksi 'drifter' di atas jalan raya dan dia tidak sempat mengikutnya. Pengalaman namanya. Saya sering tertanya-tanya setiap kali mengikut konvoi kereta, jenis pemandu jalan macammana agaknya saya kerana ayah saya selalu menjadi pemandu yang bagus. Jalan yang dipilih mengikut kemampuan semua pengikut-pengikut konvoi dan senang diikuti. Kini, saya mendapat jawapannya. Tidak berapa bagus. Tetapi masih boleh diperbaiki di masa hadapan.


Sampai di Sungai Congkak dengan selamat (tarikh tidak tepat ya)



Mendaki bukit untuk mencari 'port' yang best.

Mak dan Cik Lia

Selepas hampir dua jam berendam sambil bermain bola, kami naik ke darat. Saya makan pulut bersama rendang yang di bawa oleh Cik Lia sementara menunggu baju kering. Mak membawa nasi putih bersama ayam masak merah. Kak Chik membuat kek batik yang kebetulan sama dengan Cik Lia. Di sebelah kami, ada sekumpulan budak sekolah yang comel baru sampai. Sebelum mandi, guru mereka mengajak mereka solat zuhur berjemaah di situ kerana telah masuk waktu. Surau yang ada, agak jauh iaitu di pintu masuk utama Sungai Congkak ini. Semua ahli keluarga saya telah solat di surau. Oleh kerana Naziha paling lambat keluar dari dalam air, maka dia tertinggal untuk mengikut rombongan kami ke surau dan Cik Lia menyarankan dia bersolat sahaja di tempat kami duduk kerana surau agak jauh. Mak saya menyuruh dia bersolat sahaja di situ. Ada contoh, iaitu budak-budak sekolah tadi.


Mak : Kak Chik sembahyang je kat sini macam adik-adik kat sebelah tu.
Kak Chik : Taknaklah. Nanti orang tengok.
Mak : Biarlah orang tengok. Kak Chik sembahyang je.
Kak Chik : Bukan orang tengok Kak Chik. Kak Chik tengok orang nanti.


Kak Chik dan Akmal

Naziha terpaksa juga solat di situ. Mujur, dia tidak melihat orang lalu-lalang seperti yang dikatakan tadi. Kami selesai mengemas dan pulang pada lebih kurang jam 3 petang. Sampai rumah hampir 5 petang kerana kesesakan jalanraya. Satu hari yang menarik. Alhamdulillah, dapat memenuhkan cuti yang saya rancang untuk tidur sahaja dengan aktiviti bersama keluarga.




Love..

Thursday, May 20, 2010

Selamat Hari-hari

Saya tidak pernah perasan (saya ini kurang perasan orangnya) yang bulan Mei merupakan bulan yang paling banyak sambutan hari. Jika anda adalah seorang pekerja yang bekerja sebagai guru atau jururawat dan juga seorang ibu serta mempunyai tarikh lahir pada bulan ini, maka sekurang-kurangnya empat kali sambutan akan dibuat untuk anda pada bulan ini. Gembira bukan? Itu jika semua sambutan itu disambut secara berasingan. Tetapi, jika keadaan kewangan tak mengizinkan, maka semua sambutan itu akan disekalikan. Masih gembira juga kerana ianya disambut dari tidak disambut langsung.

Saya telah menyambut Hari Pekerja dan juga bakal menyambut hari lahir pada bulan ini (haha.. iklan secara terlampau di situ). Masih belum menyambut Hari Ibu sebagai seorang ibu. Hehe. Hanya menyambutnya bersama mak saya sebagai ibu yang telah membesarkan kami lapan beradik. Seingat saya, kami sekeluarga jarang menyambut Hari Ibu secara meriah. Hadiah juga saya hampir lupa pernah atau tidak memberi kepada mak saya sempena Hari Ibu. Bukan bermakna kami adik-beradik tidak sayang mak kami. Kami sayang mak kami. Saya perlu bertanya kepada adik-beradik saya mengenai sambutan Hari Ibu pada tahun-tahun lepas. Mungkin kami pernah memberi hadiah kepada mak tetapi saya terlupa hadiahnya. Tahun ini lebih meriah. Nafisah telah membelikan kek dan sambutan disambut bersama dengan kakak saya yang telah bergelar ibu dan bakal bergelar ibu serta makcik saya yang tinggal di Klang. Selamat Hari Ibu, Mak!!

Muka mak tanpa tekanan.. hehe..

Bercerita mengenai mak saya, saya akui kurang rapat dengannya berbanding ayah saya. Adakah saya telah menyetujui pendapat orang ramai bahawa anak lelaki lebih rapat dengan emak dan anak perempuan lebih rapat dengan ayah? Saya kurang pasti. Saya sayang emak saya. Dia telah membesarkan saya menjadi seperti sekarang. Terima kasih emak. Walaupun selalu bertekak dulu-dulu (sekarang dah kurang) semasa saya meningkat remaja. Saya masih selalu diingatkan oleh kakak saya supaya tidak melampaui batas. Terkadang saya selalu merungut, mengakui diri ini sudah hebat dan bertindak melebihi batas seorang anak. Maafkan orang mak.

Saya masih insan yang lemah, selalu berperang dengan perasaan. Apabila Allah berikan saya kesenangan, saya lalai. Seringkali merasa hebat atas nikmat yang diberikan kepada saya. Sedangkan itu merupakan nikmat kepada mak dan ayah saya yang Allah salurkan melalui saya. Saya hanya insan yang bekerja untuk menyampaikan nikmat itu. Tidak perlu merasa hebat kerana mendapatnya dan berbangga atas nikmat itu. Pengalaman mendewasakan saya. Bukankah sebaik-baik manusia adalah yang berjasa kepada keluarganya? InsyaALLAH, orang akan berubah menjadi anak yang lebih baik selepas ini mak.

Telalu sedikit kenangan bersama emak semasa kecil (seperti biasa, kepala telah dihantuk ke dinding menyebabkan separuh ingatan di waktu kecil hilang) untuk saya ingati. Ketika besar, saya jarang merakam kenangan bersama emak juga. Saya perlu mencipta kenangan yang lebih banyak selepas ini sementara emak masih ada. Harap saya dapat menunaikannya.


I love you so much.. :)

Love..