Thursday, August 1, 2013

Berbuka Puasa di Masjid

Ramadan tahun lepas Mak Ina sedang mengambil peperiksaan, maka Mak Ina mengajak saya berbuka di masjid kerana beliau dapat mengulangkaji sementara menunggu waktu berbuka. Tahun ini, walaupun tidak menjalani peperiksaan, kami mahu meneruskan aktiviti ini.

Berbuka puasa membolehkan saya bersolat di awal waktu dan berjemaah. Saya berbuka di Masjid bulat bersebelahan rumah sewa saya. Alhamdulillah diberikan kesempatan menyewa berdekatan dengan masjid. Saya suka. Jika subuh, selepas bersahur, saya akan berjemaah di masjid sepanjang ramadan ini. Pada hari pertama saya ke masjid untuk solat subuh, seorang makcik berkata "Ada orang baru". Saya hanya tersenyum. Di dalam hati berkata, "Ramadan je makcik". Hehe. Perkara yang saya belajar dari nenek saya semasa di kampung. Selepas bersahur, saya dan kakak saya akan ke masjid menaiki motor, manakala nenek akan menaiki motor bersama arwah Atok Bujang. 

Di masjid, kami mulakan dengan berbuka kurma, air mineral dan air zam-zam yang telah disediakan sebelumnya oleh petugas. Kemudian, kami akan solat maghrib berjemaah dan baru turun ke dewan makan untuk menjamu selera. Kami pernah merasai nasi ambang, mee goreng, nasi berlauk dan beberapa menu yang disediakan. Saya mendoakan dimurahkan rezeki kepada semua orang yang membantu menyedia dan memberikan makanan kepada semua kami yang berbuka di masjid. Semoga Allah merahmati kamu semua. 

Selepas itu, kami akan terus bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Masa ini biasanya saya menghabiskan dengan membaca Al-Quran. Tidak panjang rupanya waktu antara Maghrib dan Isyak. Saya hanya berjaya membaca paling kurang 4 muka surat sahaja. Jika di rumah, lama benar masanya. Sempat lagi tengok tvlah, makan-makan tahap tak ingat nak terawih lepas tu kenyang. Terjaga sedikit perangai jika berbuka di masjid. Hehe. 

Saya pernah berborak dengan seorang kakak kerana waktu itu, saya berbuka seorang di masjid. Kakak ini bekerja di UM dan tinggal di Pantai Dalam. Anak-anaknya seramai 3 orang bersekolah berdekatan dengan masjid ini. Maka, selepas menjemput mereka pulang dari sekolah, mereka sekeluarga akan berbuka di sini. Katanya, jika mahu pulang berhadapan dengan kesesakan lalulintas dan memerlukan waktu untuk menyediakan juadah lagi. Berbuka puasa di sini mudah. Betapa besarnya pahala orang yang memberi makanan kepada kami ini. Sementara menunggu waktu Isyak, saya melihatnya mengajar anaknya mengaji di belakang sudut masjid di bahagian solat wanita dan pernah melihat seorang anaknya membuat kerja sekolah di sebelahnya sementara dia mengajar mengaji kakaknya. Menggunakan masa berkualiti bersama keluarga walau di mana jua. Kecil-kecil jika sudah dijinakkan dengan masjid, InsyaAllah mereka akan merasa dekat apabila besar kelak.

Saya pernah bercita-cita untuk berbuka puasa di masjid lain. Mahu juga tengok cara masjid lain. Tetapi segan kerana tiada teman. Saya pernah mengajak Faezah, jika mahu berbuka di masjid berdekatan dengan rumahnya. Faezah tidak pernah melakukannya. Katanya, jika perempuan berbuka di masjid seperti perempuan itu malas kerana di tempatnya yang pernah dilihat hanya lelaki. Haha. Faezah, saya tidak malaslah.  

Dalam minggu lepas, Liza mengajak saya berbuka puasa bersama. Cun. Saya mengajaknya berbuka di masjid Shah Alam. Mahu merasai pengalaman di sana. Liza ini, sahabat yang sungguh senang di bawa ke sana ke mari. Tanpa banyak alasan, beliau mengikutnya. That's why i love you so much dear. Hehe. Saya dan Liza sampai di masjid, semua orang sudah duduk menghadap makanan. Bersama-sama kami, datang sepasang suami isteri sedang membawa kotak makanan yang mahu disedekahkan kepada orang ramai. Dia meletakkan di tempat bersama makanan-makanan lain. Orang lain cuma perlu mengambilnya sahaja. Terdapat pelbagai cara bersedekah di bulan ramadan. Kami berjalan-jalan sekitar masjid untuk melihat keadaan keliling. Ramai juga orang berbuka di sini. Terdapat ruangan keluarga, ruangan wanita, ruangan lelaki, dan sekolah-sekolah tahfiz atau anak yatim juga disediakan.

Kami memilih bersama-sama di ruangan wanita. Di sini sementara menunggu waktu berbuka, kami ditontonkan dengan ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai bulan ramadan.

Ceramah Ustaz Youtube.
  
Mengambil peluang menunggu waktu berbuka sambil membaca Al-Quran


Makanan yang disediakan. Banyak saya rasa. Nasi berlauk, buah oren dan kurma. Oh, kuih melaka juga. Banyaknya.

My best friend. :D

Di ruangan wanita.

Bersusun Al-Quran di atas botol. Mereka berehat sebentar dan kemudian menyambung membacanya kembali.


Ustaz membincangkan mengenai tahlil, tazkirah atau tiada apa-apa pendekatan semasa bersolat terawih. Katanya, tidak ada nas yang mengatakan Rasulullah S.A.W membuatnya, tetapi jika membuatnya mendapat pahala, tiada salah jika mahu membuatnya. Toksah nak bergaduh sangatlah. 

Sementara menunggu Isyak. 


Ada terjemahan dan hukum tajwid sekali.


Ya Allah, saya sayangkan sahabat saya ini keranaMu. Ketemukan kami semula di syurgaMu kelak Ya Allah. Amin.

Love..

No comments:

Post a Comment