Thursday, August 1, 2013

Kisah Ramadan

Saya mempunyai seorang sahabat yang sangat kuat dan tabah. Beliau telah didiagnos dengan satu penyakit yang hanya boleh dirawat dengan melakukan transplan hati. Pada usia yang muda 25 tahun, beliau telah diuji Allah dengan satu penyakit yang tidak dapat dikesan punca penyakitnya oleh doktor. Ili Shazwani Adlin, seorang sahabat yang sangat baik. Beliau mengetepikan kesihatannya hanya untuk merealisasikan dan meraikan kegembiraan sahabatnya yang lain. Sangat jarang berkata tidak untuk semua permintaan orang ke atasnya. Seboleh-bolehnya mahu menunaikan permintaan tersebut. Kisah awal penyakitnya di sini dan ini. Alhamdulillah, tahun ini beliau tidak dimasukkan ke hospital sehingga beberapa minggu sebelum berpuasa. Beliau kembali batuk berdarah dan dimasukkan ke hospital selama hampir dua minggu. 

Doktor yang baik hati telah memberikan kebenaran untuknya pulang ke rumah semasa puasa. Di rumah, masih lagi batuk berdarah. Alhamdulillah, dikurniakan Allah keluarga yang sangat membantu. Walaupun begitu, ada kalanya beliau merasa tidak kuat untuk menjadi kuat lagi. Allah. Saya berdoanya diberikan kekuatan oleh Allah menghadapi semua ujian ini. Saya mendoakan ketabahan keluarganya juga. Teringat pesan Ustaz Pahrol, yang semua ujian Allah ini tidak lari dari kasih sayang-Nya. Juga, Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi keupayaan hamba-Nya. 

(Surah Al Baqarah : 286 ..لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا )


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"- Surah Al-Baqarah : 286


Kami (Ebah, Paie, Faezah, Anis dan saya) berkesempatan melawat Ili semasa beliau sedang bercuti. Rumahnya berdekatan dengan pejabat kami. Senanglah kami berlari sebentar semasa waktu rehat. Sesampai kami di rumahnya, ibunya menyambut kami dengan tangisan. Kata Ebah, semalamnya Ili batuk berdarah dari selepas berbuka sehingga jam 5 pagi. Ibu mana yang tidak terkesan dengan kesihatan anaknya sebegitu? Sedih nampak di hati. Ili juga begitu. Tetapi, beliau menggagahkan diri melayan kami. Kami menghabiskan masa selama lebih sejam di rumah Ili menghapdate perkembangan pejabat dan cerita-cerita semasa. Gembira melihat kegembiraannya. Ketika kami mahu pulang, ibunya berterima kasih kepada kami. Katanya, beliau sudah lama tidak melihat Ili gembira sebegitu. Ibunya mengajak kami berbuka di rumah jika kami mempunyai kelapangan. Wah, kecil tindakan kami itu. Kami cuma mahu melawat Ili, tidak sangka kesannya sebegitu sekali.  

Saya teringat cerita Pak Busu semasa saya belajar di Perak dan menelefon kampung untuk bertanya khabar. Semasa itu, keadaan di kampung sedang tegang kerana Atok Man baru disahkan menghidapi kanser dan selalu marah-marah. Ketika itu, saya menelefon dan berborak dengan nenek. Saya rasa tidak lama mungkin dalam 5 ke 10 minit, kerana saya juga perlu menelefon nenek Sa'abah. Tetapi, kesannya dapat mengurangkan tekanan kepada nenek saya. Pastinya saya tidak merasa apa-apa ketika menelefon, cuma mahu berkongsi cerita. Kesannya kepada orang lain sangat besar rupanya. Oleh itu, jika kita berniat untuk membuat kebaikan, teruslah tanpa bertangguh. Mungkin tindakan itu mampu menggembirakan orang lain, terutamanya orang yang kita sayang.  

Impian ibu itu kami realisasikan (hamboi, macam rancangan Memburu Impian pula) selang beberapa hari kemudian. Pada waktu itu, keluarga Ili mahu memenuhi undangan berbuka di luar, dan Ili tidak mahu mengikutnya. Jadi, Faezah, Anis dan saya yang bujang-bujang ini mengambil peluang berbuka di rumah Ili. Kawan-kawan lain ada anak dan suami yang perlu diuruskan. Hehe. Kami membeli makanan dari pejabat di Restoran Baloh untuk bekalan berbuka. Sesampai kami di sana, keluarga Ili sedang bersiap untuk keluar. Kami melepak di bilik Ili sambil menonton Masterchef Australia. Okay, kagumnya dengan mereka. Muda lagi kot. Dah pandai memasak sebegitu. Keadaan ibu dan Ili semasa kami datang, berbeza dari hari kami melawat Ili. Mereka nampak ceria. Ili juga semakin sihat. Nak kata sebab kami datang beliau bertambah sihat, riak pula. Mungkin dalam 60% adalah sebab kami kot. Haha. Nak juga tu. ;p

Plastik beg IJN. Jantung Anda, Prihatin Kami.

Kakak Faezah datang melawat adiknya. 

Anis pulang awal kerana mempunyai tuntutan berbuka bersama makciknya. 

Faezah dan saya menunggu sehingga keluarga Ili pulang. Ibu dan ayahnya mengajak kami tidur di situ sahaja. Kebetulan esoknya Sabtu bercuti. Katil dah cukup dah tadi semasa menonton Masterchef semua pun dok berbaring atas katil tu. Hehe. Lain kali mungkin. 

Keesokan harinya, Faezah, Anis dan saya mengikuti program yang dianjurkan oleh Gamuda Sport Club, Lawatan ke Persatuan Rumah Caring di Kajang. Kami tiba jam 10 pagi dan berada di sana sehingga jam 12 tengahari. Tempat ini merupakan pertempatan orang-orang tua yang tidak mempunyai keluarga. Biasa kes diambil dari hospital-hospital yang tidak tahu ke mana mahu dihantar selepas mereka menerima rawatan. Mereka juga menjaga single parent, down syndrome, disabled & drug rehab. Tetapi rumahnya di tempat lain.

Terdapat hampir 30 orang tua di sini. Kami di sana cuma menghadirkan diri dan bermesra dengan mereka sahaja. Itu juga tidak lama, tetapi terpancar kegembiraan di wajah mereka. Gamuda menyerahkan beberapa barang keperluan seperti kipas, makanan, tisu, kelengkapan kebersihan dan sedikit wang sumbangan. Kata Wendy (pengurus rumah kebajikan ini), mereka gemar jika penderma bertanya apa yang mereka perlukan kerana kadang-kadang, mereka masih mempunyai stok yang masih banyak seperti beras. Jadi, lebih kepada apa yang mereka perlukan. Anne (pengelola dari Gamuda) telah terlebih dahulu menelefon dan bertanya mengenai benda yang diperlukan oleh rumah ini. 

Menurunkan barang yang diberikan oleh Gamuda. Terima kasih. :D


Wendy (berbaju pink dan berambut panjang) seorang yang sangat hebat. Sudah lama berkecimpung dalam aktiviti sukarelawan ini. Sebelum ini menjaga anak yatim. Tetapi katanya, anak yatim sekarang sudah senang. Banyak bantuan dari orang ramai. Berbeza dengan warga tua ini dan ibu tunggal, tidak banyak diberi perhatian. Katanya lagi, bantuan untuk anak-anak yatim sudah banyak sebenarnya. Kagum saya dengan orang yang sanggup menolak segala hal dirinya untuk membela dan menjaga orang lain. Orang yang tiada kaitan dengan mereka. 

Auntie berbaju biru ini down syndrome tetapi masih mahu beramah mesra dengan kami. 

Bergambar kenangan bersama sebahagian warga di sini.

Ketika bersama mereka, saya berasa sangat bertuah dan bersyukur. Bertuah kerana dapat menghadiri aktiviti sebegini. Bersyukur dengan nikmat keluarga yang ramai dan kami mempunyai antara satu sama lain ketika menghadapi kesukaran. Semoga saya diberi peluang membantu menceriakan mereka lagi. Saya berdoa Allah memberikan kesihatan yang baik untuk emak dan ayah saya. Juga diberikan kekuatan untuk menjaga emak dan ayah semasa mereka masih ada. 

Love..

No comments:

Post a Comment