Assalamualaikum w.b.t.
Saya memulakan terawih malam pertama di Masjid KLIA kerana mahu mengambil cikgu Nafisah pulang dari perantauan. #fishapostingsarawak
Selepas solat Isyak berjemaah, saya yang berkesempatan mendapat saf ke-3 dari hadapan hanya memandang sekeliling sebelum imam memulakan solat terawih. Kami bersolat di ruang legar utama masjid di mana mereka membahagikan saf lelaki di hadapan dan saf perempuan di belakang. Kami dapat melihat imam dan saf lelaki. Cuci-cuci mata sikit tengok kalau ada mamat hensem ke. Haha. Saya melihat ada seorang lelaki berbaju melayu hijau datang dari arah pintu dan masuk ke dalam saf dan bersolat Isyak seorang diri. Kemudian datang seorang pemuda memakai t-shirt dari pintu yang sama. Pemuda itu datang dari sebelah kiri lelaki berbaju melayu hijau dan terus berdiri di belakangnya sedikit dan mengikut pergerakan lelaki berbaju hijau tadi (yang ketika itu sedang sujud). Tanpa menepuk bahu seperti yang biasa saya tahu jika mahu masbuk bersama orang. Allah. Pengalaman ini mengingatkan saya keadaan di Jogja yang lalu. Oleh kerana masjid di sana tiada pembahagian tabir atau bilik untuk lelaki dan perempuan. Saf perempuan hanya di belakang ruang legar solat. Saya melihat En. Wan yang ketika itu sedang menambah solat Subuh yang tertinggal satu rakaat kerana masuk pada rakaat kedua kami bersolat Subuh. Ketika itu, datang Mujahid dan menepuk bahu En. Wan dan En. Wan ke belakang sedikit mengimamkan Mujahid. Saya menulisnya di sini.
Kembali kepada kisah lelaki berbaju melayu dan pemuda ber t-shirt di Malaysia. Hehe. Dalam fikiran saya, cuaknya jadi lelaki berbaju melayu tadi. Jika dia sudah biasa, pastinya dia akan menjadi makmum kepada orang yang bersolat di sebelah kanannya tadi. Tetapi dia bersolat sendirian. Memandang dengan kacamata belajar, pastinya lelaki berbaju melayu itu akan mula membaca mengenai menjadi imam atau makmum kepada orang yang sedang bersolat. Bagus juga tindakan pemuda ber t-shirt tadi. Tindakan tidak menepuk dan terus bersolat juga saya puji. Tidak memeranjatkan orang yang mungkin tidak biasa. Hanya menyambung sahaja pergerakan solat.
Kisah itu tidak berakhir di situ. Datang seorang lelaki berjubah putih dan dua orang anaknya yang kecil. Dia mahu bersolat berjemaah juga. Dia berdiri di belakang sedikit lelaki berbaju melayu dan anak-anaknya di sebelah kanannya. Selepas mengangkat takbir, pemuda ber t-shirt tadi melangkah ke belakang. Melangkah dua langkah sebelum bersama sebaris dengan lelaki berjubah tadi. Allah. Allah. Saya menitiskan airmata. Cantiknya aturan. Perlunya ilmu untuk melakukan itu dan juga keberanian. Untuk lelaki berbaju melayu hijau itu, jika ini adalah pengalaman pertamanya, saya pasti tidak akan berakhir di situ. Pemuda ber t-shirt itu mengajar saya keindahan dan kemudahan mendapatkan 27 pahala. Pahala berjemaah bersambung. Pahala saf juga.
Kemudian kami mahu bersolat terawih. Ketika sedang merapatkan saf wanita, ada seorang wanita yang bersolat hanya menggunakan baju yang sedia dipakai tanpa memakai telekung. Ber t-shirt muslimah dan berkain serta stokin tangan dan kaki serta tudung labuh. Sudah cukup untuk menutup aurat. Dia sudah bersolat ketika saf di hadapan saya itu sedang merapatkan saf. Ada ruang kosong di tepinya. Dia bergerak ke kanan secara perlahan. Tidak mahu pergerakannya membatalkan solatnya. Tetapi pada masa yang sama, merapatkan saf adalah keperluan. Pergerakan yang tidak membatalkan solat boleh di baca di sini.
Allah. Saya bersolat terawih dan kemudian mengambil Fisha di KLIA 2. Alhamdulillah untuk ilmu yang baru itu. Alhamdulillah kerana kita diberi kesempatan untuk berada di dalam bulan yang penuh keampunan dan rahmat ini.
Kepada semua, saya mendoakan selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik dalam memperbaiki diri dan hubungan kita bersama Allah dan Al-Quran dan menjadi hambaNya yang lebih baik. InsyaAllah.
p/s : Semoga saya juga mempunyai kerajinan untuk menulis mengenai percutian di KL kami tempohari.
p/s : Semoga saya juga mempunyai kerajinan untuk menulis mengenai percutian di KL kami tempohari.
Makan malam di KL |
Bergembiralah kamu. |
Emak dan ayah mahu ke kelas. |
Love..