Thursday, July 23, 2015

Raya 2015

Raya tahun ini merupakan raya yang tak berapa nak raya di sebelah emak saya. Semua beraya di belah pasangan masing-masing. Malam raya hanya ada Mak Ina dan nenek sahaja. Mujurlah kampung ayah dekat sahaja. Maka, bolehlah kami lari-lari sekejap untuk memeriahkan rumah nenek Rammelah pada ambang raya. 

Pak Long beraya pertama di PJ. Mak Ngah di Subang, Pak Amjah di Rawang, Mak Chah di Kedah, Pak Chim di Koyan, Pak Busu di Tangkak dan Achik Iza di Kelantan. Kami di Kesang Tua. 

Oleh sebab masing-masing beraya berjauhan, gambar adalah pengubat rindu. Maka, semua menghantar gambar raya dari tempat masing-masing. 

Keluarga Pak Long bersama cucu dan Lina yang masih di dalam pantang.

Keluarga Mak Ngah tanpa Aiman. 

Keluarga Mak Chah. Beberapa hari selepas raya pertama.

Pak Busu. Juga tidak mahu ketinggalan.

Pak Amjah sudah balik dan singgah ke Kelantan.

Achik Iza yang jauh di mata, tetapi tetap doa di hati. Semoga tabah. 

Paling klasik. Pengantin baru. :)

Hari raya pertama, masing-masing dah balik kampung, penuh rumah nenek. Sehingga kami tidur di rumah nenek Sa'abah kerana full house. Hehe. Selesakan diri sendiri disamping tidak menyusahkan nenek untuk berfikir tempat tidur kami.

Cerita raya di Instagram. Sekian.   

Love..

Sunday, July 19, 2015

Doa Ramadhan Ayah

Doa yang ayah baca bila menjadi imam di surau dan semasa menjadi imam terawih kami di rumah nenek. 

Ya Allah, sesungguhnya kami mohon padaMu Ya Allah, dalam bulan yang mulia lagi penuh dengan keberkatan ini Ya Allah, moga Engkau jadikanlah kami dalam keadaan iman kami iman yang sempurna dan menyempurnakan apa-apa jua perkara yang difardukan oleh agamaMu Ya Allah. Solat kami solat yang diterima, zakat kami zakat yang tertunai, puasa kami puasa yang dapat mendatangkan kami lebih ketaqwaan kepadaMu dengan sebenar-benar taqwa Ya Allah. Kehidupan kami semoga diberkati dan akhirat kami moga selamat dan terpelihara dan terlepas kami dari api nerakaMu Ya Allah.

Dan apa jua ketentuan qada' yang datang dariMu semoga kami meredhai dan semua nikmat yang kami kecapi semoga kami mensyukurinya. Ya Allah, dan di bawah kemuliaan penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. yang menyenangkan Ya Allah. 

Dan kepada telaga Daud agar kami didatangi dan semoga kami masuk ke dalam syurga bersama-sama dengan mereka yang dikurniakan nikmat, terdiri daripada para-para Nabi, para-para siddiqin, para-para syuhada dan para solihin.

Ya Allah, Engkau kurniakanlah kami Ya Allah dalam malam bulan yang mulia lagi berkat ini dengan kebahagiaan dan amal-amal kami amal yang diterima. Dan janganlah Engkau jadikan kami dalam keadaan malang dan celaka yang tidak kami kehendaki Ya Allah. 

Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami, dosa-dosa anak isteri kami, kaum keluarga kami, dosa sahabat2 kami, guru kami, datuk nenek kami, muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat lebih-lebih lagi Engkau ampunkan dosa kedua ibu bapa kami. Semoga Engkau ampunkan Ya Allah. 

Dan kepada saudara-mara kami yang telah pergi meninggalkan kami, semoga Engkau lapangkanlah kubur-kubur mereka dan kurniakan cahaya di dalamnya dan tempatkanlah roh-roh mereka bersama dengan roh-roh para solihin. Engkau permudahkanlah urusan mereka dan urusan kami di dunia ini.

Dan kepada yang masih hidup, Engkau peliharalah dan pimpinlah kami Ya Allah. Engkau pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai Ya Allah. Juga Engkau bantulah kami agar kami selalu mengingati akan kebesaranMu Ya Allah, selalu mensyukuri akan nikmat-nikmatMu da sentiasa memperbaiki segala amal-amal kami.

Ya Allah, Engkau peliharalah kami, pimpinlah kami dan jauhkanlah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim, juga dari kejahatan kaum2 kafirin. Dan juga, lindungilah kami dari kejahatan orang yang mempunyai hasad dengki terhadap kami.

Juga kami bermohon padaMu agar bantulah kami agar jangan ada di dalam hati kami perasaan hasad dengki sesama kami lebih-lebih lagi terhadap orang yang beriman. 

Engkau peliharalah kami, pimpinlah kami, ampunkan dosa kami dan lepaskan kami dari azab api nerakaMu Ya Allah. 

Tiada daya dan upaya kami melainkan dengan pertolonganMu jua Ya Allah.

Ayah menulis doa ini di kertas dan saya mahu menyimpan ia sebagai kenangan saya. Banyak doa yang boleh diminta sebenarnya. Ini, lepas solat nak cepat-cepat je. Doalah. #notetoself

Adik beradik ayah yang tinggal. Tanpa arwah Pok Teh tahun ini.

Keluarga Pak Long

Keluarga Pak Long

Keluarga Acik

 Keluarga Pak Busu

Love..

Tuesday, July 7, 2015

Majlis berbuka puasa 2015

Seperti tahun-tahun lepas, emak akan meraikan kedatangan Ramadhan bersama-sama dengan mengadakan majlis berbuka puasa di rumah kami. Tahun ni, kami menyambutnya tanpa Nafisah yang berada di Sarawak. Semangat dan kerajinan awak, kami bawa bersama sayang. Semoga awak tabah di sana. Enjoy sahaja pengalaman di sana atau di mana sahaja awak menyambutnya. :)

Kali ini, kami menyediakan menu baru yang tidak pernah terfikir dek kepala kerana selalu gagal membuat sambal dan nasinya. Tetapi, dengan kebijaksanaan Kak Mi, telah berjaya memujuk Aminah supaya memujuk suaminya memasak nasi lemak untuk berbuka puasa kali ini. Wah! Adik ipar saya boleh memasak! Ini sudah sangat bagus. Niat di hati memang teringin ada skil memasak itu. Supaya bakal adik/kakak ipar saya gembira juga nanti. Hehe. Tetapi, masih belum kesampaian. Jangan risau, kami masih mempunyai kepakaran membantu di dapur yang tip-top. Sangat membantu okay. Maka, hari Sabtu yang lalu, gigihlah adik ipar saya memasak. Sudahlah baru pulang bekerja, terus sahaja memasak. Muzakir, semoga urusan awak dipermudahkan Allah. Aminah, sila bersyukur dapat suami macam tu. 

Tengah-tengah masak, bunyi kereta sampai. Aik, awal lagi. Siapa yang semangat sangat nak membantu ni? Rupa-rupanya nenek dan Mak Chah sekeluarga. Rahman yang bawa. Status nenek sebelum ini samar-samar datang ke tidak. Tiba-tiba je sampai. Ada Pakcik sekali. Menarik. Orang jauh dan dinanti sebenarnya. Kiranya, adik-beradik emak saya dapat berjumpa ibunya. Kegembiraan bukan?

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Tengoklah floor manager siapa. Siap ada tentatif bagai. Memang patut bagi sesuatu pekerjaan kepada ahlinya. Memudahkan orang lain. Terima kasih Mekna. Moga sentiasa dirahmati Allah. Dahlah bawa penceramah juga.

Tentatif

Tajuk taqwa yang Muiz bawa, samar-samar je saya dengar dari atas bilik sebab baru nak mandi. Miera dengan Lyza dah pandang suruh tukar baju. Hehe. Mak menjemput Miera kerana dia tidak dapat berbuka puasa bersama keluarganya lagi sepanjang Ramadhan ini. Hujung-hujung nanti baru merasa. Nikmat tau dapat berbuka puasa bersama keluarga. Tetapi, jika tidak, sila merasa sahaja semua pengalaman lain supaya kita lebih menghargai detik-detik berbuka bersama keluarga itu. :) 

Ketika ini, Lina dan Ani sedang berpantang anak kedua. Selamat berpantang sepupu. Masing-masing raya berempat tahun ini. Sudahlah selang sehari sahaja tarikhnya. Dan juga baru tahu tarikh lahir Anisah dan Maryam sama. Pada 5 Julai. Kebetulan saudara emak dan ayah sama. Amir dan Fahmi juga berkongsi tarikh lahir yang sama. Lagi pula tahun juga sama. Tetapi saya tidak ingat. Haha. Achik Iza pula sedang menunggu hari. Semoga dipermudahkan Achik.  







Hari Jadi Safiyah juga.
Nasi lemak. :)
Ehem. 




Buat semua yang datang, terima kasih diucapkan. Maaf jika ada kekurangan. Semoga kita semua dikumpulkan juga di syurga kelak bersama-sama. Dan selamat mengejar ganjaran-ganjaran yang Allah berikan kepada kita di bulan Ramadhan ini. Semoga keluar dari madrasah Ramadhan ini, dosa kita diampunkan, taqwa kita semakin tinggi dan kita semakin kuat menghadapi cabaran yang mendatang. 

Love..

Monday, July 6, 2015

Teristimewa untuk sahabat. Selamat Ulang Tahun.

Tahun ni, saya dapat hadiah handbag dari dia. Tahu-tahu saja yang saya jarang beli beg. Tapi, mungkin lepas ini akan pandai membeli beg juga awak. Hehe. Sayakan sedang membina imej. Ahaks. Hari jadi Faezah pada 29 Jun yang lepas. Jadi, saya pun tak pasti nak bagi hadiah apa dekat awak. Sebab tak tahu awak minat apa. Dan tak keluar sekarang. Al-maklum Ramadhan. Kalau ada, adalah hadiah untuk awak. Kalau tiada, harap menerima saya seadanya. Haha. Rasionalkan perbuatan sendiri.


Sebagai ganti hadiah beg, maka saya akan menulis satu entri untuk awak. Special tak awak di hati saya? Tiada lagi saya tulis pasal orang dalam satu-satunya entri. Rasanya. Entah. Lupa sudah. Tapi, gembira sajalah saya tulis pasal awak ni. :) Nak taip ni. Jaga-jaga.



Faezah yang saya kenal adalah seorang yang bersaiz kecil tetapi berjiwa tersangatlah besar. Kalah saya yang bersaiz sederhana ini. Mula mengenal awak semasa mula-mula masuk Gamuda. Tetapi tidak rapat kerana awak mulanya berkawan dengan Nurul. Sehinggakan kawan saya berkata yang awak sombong. Masa itu, awak duduk di sebelah Valerie (kalau tidak silap) dan saya dan Am di dalam bilik. Kita tidak bertegur sapa. Walaupun Melayu kurang waktu itu. Kita eksaitedlah dapat jumpa melayu juga. Tapi, sayang. Awak sangat fokus membuat kerja. Hehe. Saya tiada masalah kalau awak tidak menegur saya. Tak kacau saya pun.

Sambut birthday kita katanya - Arsyaf

Sehingga satu hari, saya telah membuat kerosakkan pada shredder machine yang terletak berdekatan dengan awak. Awak telah membantu membuang kertas yang tersangkut dengan berjayanya. Habis semua screwdriver yang datang entah dari mana digunakan. Kita dahlah tak pernah borak. Dan waktu itu, pastilah saya cuak yang teramat. Baru masuk Gamuda kot. Dah rosakkan harta syarikat. Tapi, awak sedaya upaya membantu saya walaupun kita tak pernah bertegur sapa. Dan semenjak itu saya suka awak. Walaupun muka nampak sombong, saya tahu awak sangat baik. Kita masih tidak rapat selepas itu. Awak sudah mempunyai geng sendiri, begitu juga saya.


Sehingga kita berpindah ke bangunan baru untuk team PMC sahaja berdekatan dengan RHB bank dan kemudian Nurul berhenti dan kemudian kita ditugaskan menjaga N7 dan N8. Waktu itu, kita mulai rapat. Berkongsi kakak yang sama pada awalnya menyebabkan saya rasa tidak selesa kerana awak kerap dimarah. Saya kurang pasti kenapa, mungkin kerana background academic awak arkitek menyebabkan awak kurang faham kehendak kakak kita. Tapi, kakak kita waktu itu memang susah hendak difahami. Semoga dia berubah menjadi lebih baik sekarang. Puncak kesabaran awak adalah sewaktu awak melawan kembali apa yang kakak kita katakan. Pasal kalkulator. Haha. Barulah buku bertemu dengan ruas. Dan hari itu, saya melihat airmata awak gugur. Sudah terlalu lama agaknya awak bersabar.


Akibat dari itu, awak mendapat kakak baru. Yeay. Mula-mula pun susah juga. Tetapi lama-lama, sudah geng dengan kakak baru awak. Dan saya, masih bertahan bersama kakak saya itu. Sehingga kita berpindah lagi ke Menara Mustapha Kamal, kisah perjalanan N7 dan N8 merapatkan lagi. Suka duka melayan karenah kakak-kakak dan bos besar kita hadapi bersama. Menjawab dengan Manager lagi lepas tu kenapa tidak pergi ke site. Yang bos tak bagi, yang kakak pun juga. Manager suruh pergi. Niat hati memang nak pergi. Punyalah bergaduh sampai ke sudah, tak dapat tengok construction box culvert dari awal hingga akhir. Airmata berguguran itu biasa. Awak juga pernah lihat saya menangis. Kita menguatkan sesama kita. Dan rakan-rakan di pejabat yang sangat-sangat membantu untuk kita kekal di situ selama 6 tahun.


Balik lambat adalah benda yang biasa dahulu. Kerja yang tiada pengakhiran. Aktiviti standard kita lepas maghrib jika tiada kerja urgent adalah berborak dan berkongsi masalah. Di situlah saya mengenali kawan-kawan awak. Betapa awak ini seorang yang sangat suka membantu orang. Sehabis boleh, semua masalah kawan awak, awak mahu bantu selesaikan. Networking yang banyak itu bukan untuk awak sahaja. Akan digunakan jika sahabat-sahabat awak mempunyai masalah. Pergaulan awak, memang tidak terkapai akal saya. Awak berkawan dengan segala jenis kawan tanpa prejudis. Saya belajar banyak benda mengenai orang melalui penceritaan awak. Saya tidak mempunyai kawan-kawan seperti awak. Bak kata awak, kawan saya semuanya baik-baik. Mungkin saya tidak kuat seperti awak.


Kita menghilangkan stress membuat claim dengan menyertai aktiviti anjuran Gamuda Sports Club. Kita mulakan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu. Pesan Rasulullah, untuk mengenal seseorang dengan lebih dalam, bermusafirlah dengan orang itu. Saya mengenali sikap awak yang tak banyak merungut walaupun penat. Walaupun tersangat penat saya kira. Dan saya perasan, saya telah menjadi moody kerana penat. Haha. Hanya orang-orang terpilih je nampak saya in a bad mood. Tahniah sebab anda terpilih. Saya masih ingat saya malas nak layan awak bergambar sangat sebab penat. Tapi awak, masih lagi semangat nak bergambar di atas Gunung KK masa tu. Dan bila dah turun, rupa-rupanya gambar-gambar yang diambil secara paksaan itu yang menarik. Saya sangat suka. Kata awak, kita tak akan naik lagi. Jadi, kenalah bergambar walaupun penat. Terima kasih awak. Semenjak itu, kita seperti duo di dalam trip Gamuda. Bak kata Tak Ming, like a pair, mana ada Faezah di situ ada Nadiah. Dan sebaliknya.


Kita teruskan perjalanan bersama ke Mulu, membuat rumah orang asli dan yang terbaru ke Sabah untuk Whitewaterrafting. Awak pernah tanya saya jika saya akan ke program Gamuda tanpa awak. Kalau melibatkan berhari-hari mungkin tidak. Malas sudah melayan perangai orang yang saya tak berapa nak kenal. Tapi, itukan trip kita masih single yang terakhir, lepas ni trip Gamuda, kita dah berkahwin ya. Haha. 


Jodoh kita panjang rupa-rupanya. Tawaran dipindahkan ke Southgate juga pada bulan yang sama awal bulan Ogos tahun lepas menyebabkan hubungan kita masih rapat. Walaupun berbos yang lain, kita masih boleh makan sekali. Awak nak jumpa bos awak, datang tempat saya dulu. Saya ngantuk, pergi tempat awak sekejap. Kita, masih berkongsi cerita, masih membantu antara satu sama lain, masih menguatkan sesama kita apabila dimarah bos. Walaupun selalunya, saya kurang membantu kalau awak kena. Sebab bos awak entah apa-apa. 


Saya tidak pasti kita akan rapat sehingga bila. Mungkin lepas ni, dah terpisah dan masing-masing punya komitmen yang lain. Terima kasih untuk semua pengajaran dan pengalaman selama berkawan dengan awak. Saya sangat menghargainya. Saya bertanya hadiah apa yang awak inginkan. Susah juga untuk saya berikana. Kebahagiaan. Saya hanya mampu doakan awak diberikan kebahagiaan yang tiada pengakhiran oleh Allah untuk meneruskan kehidupan bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Doa awak kahwin tahun ni. Dan semoga dalam syurga nanti kita berjiran.

Sambut birthday saya. Nanti kita makan kek untuk awak lepas raya. :)

Awak, ketahuilah awak sebenarnya seorang yang sangat hebat, kuat, cekal, kental dan sangaaaat baik hati. Saya doakan awak diberikan kegembiraan yang hakiki, ketenangan hati dan pengakhiran yang baik. Juga dipertemukan jodoh yang sekufu untuk di dunia akhirat secepat mungkin. Alhamdulillah. Terima kasih cinta.


Love..