Monday, October 27, 2014

Basic workshop - Subang Jaya

Salahkan media sosial yang lain seperti instagram dan twitter. Mereka merupakan penyebab malasnya diri ini menulis di blog. Haha. Kemudian, baru salahkan diri sendiri kerana sukakan yang cepat tetapi sementara. Tak banyak yang saya boleh tulis di situ. Jadi, saya masih memilih blog  untuk menyimpan kisah hidup berbanding twitter dan insta, dan lagilah bukan di facebook. Cuma rajin dengan tidak sahaja.

Sabtu yang lepas, saya berjaya mengikuti basic workshop untuk program membina rumah orang asli di Hulu Selangor hujung bulan ini. Selepas selalu mengikut trip anjuran Gamuda untuk aktiviti memanjat gunung, Faezah dan saya beralih arah ke aktiviti di bawah tanah pula. Ini merupakan aktiviti Gamuda yang pertama seperti ini dan bergabung bersama EPIC homes.
Saya pernah berhajat untuk menyertai program bersama orang asli apabila melihat program DAP dari twitter Dyana Sofya dan Sepura Othman. Terfikir untuk membuat sesuatu seperti itu. KAMY mungkin masih jauh lagi, tetapi masih ada harapan. MRA biasanya menggunakan hari bekerja untuk program bersama orang asli, saya tidak dapat mengikutnya. Langsung tidak terfikir Allah makbulkan melalui pejabat saya yang tercinta.
Ini merupakan program pertama Gamuda bersama orang asli. Gabungan bersama Epic home. https://epichome.org . Ketika iklan mengenainya dikeluarkan. Teruja gila kot. Allah. Tak sangka secepat ini. Apa lagi,ajak Faezah join. Dia kata yes. Ajak Kerul juga, tetapi dia ada program lain pula tarikh yang sama. Semoga berjaya Kerul! Dalam 30 orang sahaja yang mengikutinya untuk kali ini. Yang datang briefing lebih pula. Maka mereka akan menyertai untuk program yang akan datang.
Sangat teratur bersama Epic Homes ini, kami diwajibkan menyertai bengkel penggunaan alat-alat tangan untuk membuat rumah nanti. Benda-benda asas seperti mengetuk, mendrill, memotong kayu, memasang nut dan lain-lain lagi telah kami pelajari pada Sabtu yang lepas di Subang Jaya. Kursus ini merupakan antara bahagian yang telah kami bayar. Kami bayar sebanyak RM200 untuk program ini. Selebihnya disubsidi oleh Gamuda. Khabarnya banyak juga. Hehe. Terima kasih Gamuda. Selepas bengkel ini, jika mahu melanjutkan ke peringkat seterusnya juga boleh. Ia mempunyai sehingga tahap specialist. Sekarang, kami hanya builder biasa sahaja. 

Biasa melihat ini di bengkel ayah. Cuma tidak pernah menggunakannya sahaja. Potong kayu berani lagi. Kalau besi, pasti terpercik percikan api yang macam bahaya tu. Ayah, terima kasih besarkan kitorang dengan hasil menggunakan mesin ini. Moga ayah sihat selalu.

Yang ni memotong besi yang tidak lurus. Alatannya agak janggal untuk pengguna kidal seperti saya. Tetapi kena konfiden sahaja. 

Nampak tak skil dah ada tu?

Kawan di sebelah saya, Ms. Bu. Dahulu di 2t, dia merupakan sub-con saya di Sungai Siput. Sekarang dah jadi office-mate. :)

Program kami akan berlangsung pada hujung minggu ini di Hulu Selangor. 31hb Oct sehingga 2hb Nov. Selama tiga hari kami akan menyiapkan sebuah rumah untuk sebuah keluarga orang asli di sana. . Doakan program kami berjalan dengan lancar. InsyaAllah. :)

Love..

Wednesday, October 8, 2014

Firdaus Ke India

Saat menulis ini, adik lelaki saya telah selamat (saya doakan) berada di India. Muhammad Firdaus telah keluar selama 4 bulan mengikuti tabligh ke India,Pakistan dan Bangladesh (IPB-kata Pak Busu saya.) Sejak dua menjak ini saya kurang berborak dengannya. (Saya rindukan saat berborak dengan adik-beradik.) Saya kurang mengetahui bagaimana bermulanya keinginannya untuk keluar selama 4 bulan ini kerana sebelum ini beliau agak teruja dengan Public Gold dan penjualan emas. Kami pernah berborak bagaimana beliau boleh menuntut dan bermentor bersama mama selepas kontrak pekerjaannya tamat pada penghujung bulan 9 secara sepenuh masa. Tetapi, tidak pasti di mana saya tertinggal fasanya, balik rumah Jumaat lepas, adik kesayangan saya memberitahu mahu ke India pada esok hari (Sabtu). Emak sudah tahu dia mahu ke India, cuma kurang pastu tarikhnya.  
Pada malam itu juga baru dia memberitahu emak dan ayah saya. Menjadi emak dan ayah yang sentiasa redha dengan perangai anak-anak yang pelik-pelik (esok nak pergi India, bagitau malam tu. 4 bulan pula tu, bukan 4 minggu, India lagi-bukan Kedah okay) dan sifat tawakal yang tinggi, maka tidaklah terjadi drama sangat selepas berita itu tersebar. :) Walaupun nampak sedikit kerisauan di hati emak, sifat tenang ayah berjaya mengurangkan risau emak itu. Saya sedikit menyesal malam itu kerana tidak menemani adik saya mengemas baju. Semakin hari, tenaga saya semakin berkurang. Mungkin juga kerana kepenatan berpuasa. Terasa sangat mengantuk dan terus tidur. Jika tidak, mungkin saya boleh berborak dengannya sambil melihat dia mengemas baju. Maaf Daus. 
Keesokan paginya, kawan adik saya menjemputnya. Mereka akan ke Sri Petaling dahulu sebelum bersama-sama ke Lapangan Terbang pada petangnya. Sangatlah berdikari adik kami ini dan tidak kisah kami,  langsung tidak menghantarnya ke airport. Hehe.
Daus meninggalkan telefonnya di rumah. Katanya mahu mencari diri tanpa sebarang halangan. Setakat ini, setahu saya, kami masih belum mengetahui kedudukannya. Sudah sampai di mana dan dengan siapa. Semoga selamat semuanya. 
Saya sangat percaya, pengembaraan akan lebih membuka minda dan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Di bumi orang yang kita tidak kenal, tentu sahaja pergantungan kepada Allah sangat tinggi. Lagi pula tujuan pengembaraan adik saya untuk berdakwah. InsyaAllah, sentiasa di bawah kasih sayang Allah. Semoga Allah melindungi adik saya dan rakan-rakannya dan memudahkan semua urusannya di tempat orang. Juga semoga adik saya berjaya mencari apa yang dicarinya untuk menjadi muslim yang lebih baik. Juga saya berdoa emak saya diberikan ketenangan (saya tidak nafikan dalam 8 orang adik-beradik, Daus merupakan softspot emak, walaupun selalu bergaduh konon-konon emak lebih sayangkan adik kami yang bongsu. Hehe.) supaya emak tidak terlalu ( risau tiada masalah, cuma jangan terlalu) risau selama 4 bulan ini. 

Baru perasan, tiada gambar berdua bersama my bae.. 

Saat mengemas rumah Kak Mi.

Kerana mereka adalah tempat berkasih sayang.

Maka, nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan? 

Love..