Friday, October 29, 2010

Merapi Berapi Lagi

26 Oktober 2010, Merapi meletus sekali lagi. Setelah kali terakhir pada 2006. Saya mempunyai kenangan yang sangat indah bersama Merapi. Kenangan yang tidak mungkin saya lupakan, tetapi semakin hari semakin lupa secara telitinya. Sudahlah semua gambar saya ketika di sana tiada dalam simpanan kerana laptop terpaksa diformat menyebabkan semua gambar kenangan dan kasih sayang saya hilang begitu sahaja.

Pada Jun 2007, saya bersama kawan, Badt mengikuti rombongan Temu Pemuda Serantau (TPS-01) di Jogja anjuran YPU. Masih teringat ketika Mekna dan Achik menghantar saya dan Badt semasa subuh-subuh sapie ke LCCT. Pemergian bersama sebahagian anak-anak dan kenalan dari sukarelawan Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) dan sebahagian dari PKPIM. Tanpa mengetahui aktiviti yang terdapat di sana dan sepanjang ingatan hanya mahu berjalan dan menaiki kapal terbang menyebabkan saya bersetuju apabila Makcik saya mengajak saya menyertai program ini. Sebahagian dari duit tiket juga dari mereka. Terima kasih Mekna dan Achik. Seminggu sebelum ke sana, keluarga saya dijangkiti sakit mata dan saya juga tidak terkecuali. Saat itu, hanya berserah dan masih berdoa diberi kesempatan untuk ke Jogja. Alhamdulillah, saya masih dapat ke sana walaupun mata masih merah sedikit.

Menghabiskan hampir seminggu di sana, saya sangat bersyukur. Banyak pengalaman dan kenangan yang saya kutip untuk menjadi lebih matang. Pelbagai program dianjurkan bersama dengan pelajar-pelajar Indonesia di sana. Bersyukur sangat. Saya melihat keindahan Islam di bumi Indonesia. Tak lupa dari ingatan pastilah saat solat subuh berjamaah di surau. Oleh kerana budak-budak bilik saya tidak dapat mengikutinya, maka saya ke surau yang terletak di chalet kami di Kaliurang bersendirian. Encik Anuar sudah pergi bersama-sama budak lelaki yang lain. Ketika masuk ke surau, saya mencari tempat solat wanita. Apabila masuk ke dalam surau, tiada bahagian untuk wanita. Saya keluar semula dan mencari jika terdapat kawasan lain untuk wanita bersolat. Hampa. Saya hampir mahu solat ke bilik sahaja kerana tidak tahu di mana mahu bersolat. Mujur ada seorang makcik yang saya kira merupakan penduduk tempatan datang untuk bersolat berjamaah. Rupa-rupanya, bahagian wanita dan lelaki hanya dipisahkan oleh jarak tanpa sebarang tabir seperti di Malaysia. Kami bersolat di bahagian belakang surau. Terasa lebih dekat dan rapat bersama imam. Syahdu pagi masih terasa. Selesai solat, sesiapa sahaja boleh memberikan kultum(kuliah tujuh minit). Sesiapa saja boleh menyampaikan nasihat ketika ini. Pastinya pelajar Indonesia yang bangun kerana mereka memang agak terkenal suka bercakap. Ketika itu, saya merasakan keindahan Islam. Encik Wan sedang solat kerana masbuk. Datang seorang kawan baru kami, Mujahid masuk ke surau. Dia menyentuh bahu Encik Wan, dan beliau bergerak sedikit ke belakang dan menjadi imam. Jemaah bersambung. Kali pertama saya menyaksikannya. Saya sangat kagum. Islam sangat indah.

Selepas bersolat, kami akan berjalan kaki. Chalet kami terletak di kaki Gunung Merapi dan suasana sejuk seperti di Cameron Highlands semasa saya pergi ke sana bersama usrah ayah ketika sekolah rendah. Sekarang saya dengar yang Cameron sudah tidak sejuk lagi. Agak jakun kerana apabila kami bercakap akan berasap mulut. Hehe. Saya dan Badt seperti berada di luar negara. Walhal memang luar negara pun. Sambil mengajuk-ajuk seperti naga yang keluar api. Kami cuma asap sahaja.

Acara wajib, menangkap gambar bersama sebahagian peserta

Berlatarbelakang Gunung Merapi

Masih berlatarbelakang Merapi pada hari yang lain

Banyak juga program saya di sana. Kami melawat tempat-tempat yang dilanda gempa. YPU telah mengutip derma untuk membina masjid dari buluh untuk kemudahan penduduk di sana. Kali ini, saya kurang pasti. Kami melawat satu kampung yang terletak di Bantul dan sebahagian rumah yang rosak akibat gempa tahun lalunya masih lagi kelihatan. Mereka sekampung beramai-ramai bergotong-royong membina rumah penduduk kampung secara giliran. Hal ini bertujuan membolehkan semua rumah penduduk kampung akan siap pada waktu yang sama. Semangat kerjasama dan kekitaan sangat menebal waktu ini. Saat ketua kampung bercerita mengenai saat gempa, saya turut merasa sedih. Walaupun kurang memahami ceritanya. Sudah setahun pengalamannya, tetapi ketika dia bercerita seperti sahaja berlaku. Saya berkawan rapat dengan seorang pelajar dari Indonesia bernama Neneng di sana. Saya berjaya berkongsi cerita dan mendekati penduduk setempat di sana. Walaupun penggunaan bahasa melayu yang agak sama. Saya kurang menangkap maksud perkataan mereka. Maka, Neneng akan menjadi penterjemah saya. Di wajah mereka tidak terpancar kesedihan walaupun kemusnahan masih kelihatan. Kanak-kanak masih riang bermain. Mereka perlu meneruskan kehidupan walau apa pun yang telah terjadi.

Selain itu, kami juga mempunyai aktiviti di dalam kumpulan. Team Sang Surya telah dijemput menjadi trainer untuk aktiviti kami. Berbagai aktivti memantapkan diri telah dilakukan. Seperti berjalan di atas gelas kaca kaca, menutup mata dan hanya bergantung kepada kawan yang telah kita pilih selama beberapa jam di mana makan dan jalan semua atas arahan rakan ini. Kepercayaan sangat diperlukan saat ini kerana kita seperti orang buta yang perlu dipimpin ke mana sahaja. Antara aktiviti-aktiviti yang dibuat, aktiviti ini yang saya pasti tidak akan lupa :-

Saya hampir tidak membuatnya. Dah bergenang air mata dah. Tetapi Badt telah meyakinkan saya.

Berjaya berjalan di atas bara api!! Terima kasih Badt.

Kami telah dibahagikan kumpulan juga untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Yang memeranjatkan dan menunjukkan betapa kecilnya dunnia ialah saya telah berjumpa kawan sekolah rendah saya di sini. Afif merupakan budak kelas saya ketika bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Klang. Dia datang bersama-sama wakil PKPIM dan menegur saya semasa kami dibahagikan kumpulan. Tetapi malangnya, saya tidak mengingatinya. Hehe. Maaf Afif. Saya mempunyai daya ingatan yang kurang baik.

Kelompok Agustus. Afif (kanan sekali, barisan belakang)

Kami juga sempat berjalan-jalan di Malioboro. Tempat yang menjual segala cenderamata dan barang-barang keperluan lain yang diperlukan. Tempatnya mungkin juga seperti Jalan TAR di negara kita. Tetapi mungkin lebih panjang. Selain itu, kami juga sempat ke Candi Borobodor. Menaiki anak tangga ke puncaknya memang mencabar. Anak tangganya lebih tinggi dari yang biasa. Tetapi, kepuasan setelah berjaya sampai ke atas itu, tidak terucap. Encik Anuar kata, jika tidak mendung, Merapi boleh dilihat dari sini. Kami tidak bernasib baik.

Terbang di Borobodor.

Kami juga berkesempatan melawat Mbah Marijan. Berdasarkan cerita penduduk di sana dan kawan-kawan dari Indonesia kami, Mbah Marijan merupakan pemegang kunci Gunung Merapi. Berita terbaru yang diberitahu Neneng adalah, Mbah Marijan telah meninggal dunia akibat gempa bumi lalu dalam keadaan sujud. Kami tidak berjumpa dengan beliau secara peribadi. Hanya melalui pengikutnya sahaja. Selepas itu, kami berjalan kaki pulang ke bas kami kerana beliau tinggal hampir ke puncak Gunung Merapi yang tidak boleh dimasuki oleh bas.

Bersama Yan, Badt dan Neneng. 4km lagi ke puncak gunung merapi

Malam terakhir kami di Jogja, diadakan malam kebudayaan. Semua kumpulan ditugaskan membuat persembahan pada malam tersebut. Kumpulan kami menyampaikan boria dan dikir barat. Ada juga yang membuat tarian piring, dan menyanyi lagu ciptaan sendiri menggunakan alatan sedia ada seperti sudu dan bekas air. Pelajar Indonesia memang kreatif dan berbakat dalam muzik. Saya akui itu. Berakhir seminggu aktiviti saya di Jogja, kami meninggalkan Jogja pada Jumaat 8 Jun 2007. dengan menaiki kapal terbang dari Bandara Solo.

Pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. Saya menjadi lebih berani. Saya menjadi Nadiah yang lebih baik. Saya menjadi 'seseorang' selepas pulang dari Jogja. Sekarang, saya memerlukan kekuatan untuk menjadi seperti itu. Semakin hari saya semakin hilang fokus. Membuat kerja di pejabat juga tidak bersungguh-sungguh. Saya mahu Nadiah selepas pulang dari Jogja. Benarlah kita perlu mengembara untuk menambah pengalaman hidup dan sentiasa berubah untuk menjadi lebih baik. Nak kena pergi bercutikah saya?(hehe. alasan). Gempa di Jogja dan kematian Mbah Marijan mengingatkan saya kenangan itu. Saya harus berubah.

Nadiah Fighting!!

p/s : Semoga semua penduduk yang terlibat dengan gempa bumi itu tabah dan sabar dengan ujian Allah ini. Al-fatihah untuk mangsa yang meninggal dunia.


Love..

6 comments:

Haizir said...

Catatan travelogue yang baik, Nadiah. Tahniah kerana masih mengingati peristiwa tersebut walaupun kita tahu Nadiah agak sukar untuk ingat (ini dinyatakan Nadiah sendiri sebagai "ingatan agak kurang"). Pastinya peristiwa ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada Nadiah. Walaupun peristiwa letusan Merapi ingin kita hindari, tetapi ia mampu membuat Nadiah menulis semula peristiwa ini selepas beberapa tahun. Semoga semangat Merapi Nadiah membara semula.

Haslina Othman said...

Nadiah,

Bersetuju dengan Pak Busu. Catatan travelogue yang baik. :)
Satu perasaan yang indah membacanya. Terasa seperti ditulis dengan perasaan yang tenang dan mendalam.
Benar, Nadiah kembali dari Jogja dengan semangat Merapi. :)
Teruskan berkarya Nadiah.

azizah said...

Tepat - Nadiah yang berani, Nadiah yang baik serta penyanyang, juga Nadiah yang mampu mengingat dengan baik bila dia mahukannya.

(p.s. Sekarang kita boleh gugurkan keperluan cakap 'Nadiah comel' dulu'..)

siti khadijah said...

Syabas! Nadiah, cerita-cerita begini lah yang patut kita tulis. Lain kali kalau ada peluang berjalan lagi, catat dan boleh masukkan di dalam blog. Inilah namanya perjalanan yang jadi ibadah.

Hussin said...

congrats Nadiah, good job despite it being three years late. As they say, "better late than never"

Satu saja yang di musykilkan. Mengapa mesti ambik gambar dengan mengangkat dua jari? Apa signifikannya? (Soalan untuk yang berkenaan, tak semestinya penulis catatan)

nadiah said...

Pak Busu : Terima kasih. Sampai sekarang masih tak ingat Afif tu duduk mana kat dalam kelas dulu. Haha.

Mekna : Hasil penulisan lewat malam, orang berperang dengan mata kat pejabat semalam. Hehe.

Achik: Teringat masa melihat foto-foto di Jogja selepas pulang. Achik bertanya yang mana boyfriend orang. Orang pun tunjuk sorang, tetapi orang bukan girlfriend dia. (memilih untuk ingat. haha.)

Mak Ngah: InsyaALLAH. :)

Pak Long: Dua jari=comel!! (comel ke?)Haha..