Saturday, June 26, 2010

Datang dan Pergi

Manusia datang dan pergi dalam kehidupan kita. Khamis lepas, di pejabat saya ada sedikit jamuan makan-makan. Sambutan hari jadi teman sepejabat yang lahir pada bulan 6 termasuk saya yang di penghujung bulan 5. Selain itu, sambutan perpisahan Wong dan Mothi di mana Wong yang mahu berhenti kerana mahu membuat perniagaan sendiri dan Mothilal merupakan pemegang biasiswa Gamuda akan menyambung pelajarannya di UTM Skudai Johor setelah tamat 3 bulan praktikal di pejabat kami.

Pooi Lai, Faezah, Zul, Am dan saya

Wong merupakan seorang yang kelakar dan prihatin. Setiap kali jika beliau mahu pulang jika sudah lewat, beliau akan menyinggah di tempat saya dan bertanya jika saya mahu pulang sekali. Biasanya, saya tidak dapat mengikutinya balik sekali, dan dia akan menasihati saya untuk berhati-hati ketika membawa motor. Selepas ini, tidak ada lagi orang akan datang ke tempat saya sambil berkata 'kacau Nadiah, kacau Nadiah' tanpa membuat apa-apa perkara yang mengacau pun dan seterusnya pergi sahaja. Wong, saya pasti rindu kamu. Opps, Wong dah beristeri ya. Hehe. Mothilal, budak skema yang berani dari Selayang. Berani kerana saya menyuruhnya menegur senior-senior kami dan dia melakukannya. Lawak juga orangnya dan kalau dia gelak, memang pecahlah PMC dengar suara dia. Selalu update saya isu bola dan selalu bertekak dengan Pak Guard pasal bola. Kalau saya masih di Gamuda dua tahun lagi, dan nyawa dia dan saya masih panjang, mungkin kami akan berjumpa lagi. Tidak sempat berjumpa dia semalam pada hari terakhir dia di PMC kerana saya bercuti.

Mothi dan Wong. Semoga kalian berjaya!!

Pada malamnya, sedang menonton televisyen bersama Mekna, nenek telah menelefon untuk memberitahu bahawa Tok Tik, kawan rapat atok saya ketika menjadi polis di Singapura telah meninggal dunia. Besoknya, saya dan makcik saya pulang ke kampung. Kami tiba agak lewat, jenazah sudah siap dikebumikan. Kami hanya melawat ke rumah Tok Tik sahaja. Saya mengenali seorang anak arwah kerana pernah mengikuti makcik saya menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan keluarga kami. Cik Ina sangat tenang. Keluarga mereka juga sangat tenang. Cik Ina menceritakan umur Tok Tik sudah 81 tahun dan dua minggu yang lepas baru sahaja menyambut hari jadinya di rumahnya di Pantai Dalam. Pertama kali sepanjang hayat Tok Tik, barulah kali pertama (dan terakhir kalinya) menyambut sambutan hari jadi secara besar-besaran di mana semua adik-beradik Cik Ina datang ke rumah beliau untuk meraikan ayah kesayangan mereka. Mereka bercerita dengan sangat tenang, terasa gembira dapat menggembirakan hati ayah mereka di saat-saat terakhir sebelum arwah meninggal dunia.

Saya melawat datuk sebelah ayah saya selepas pulang dari Bukit Rambai. Atuk Bujang saya sakit. Semakin kurus sekarang. Kali terakhir saya jumpa atok saya adalah ketika hari jadi saya yang lepas. Lain rupa dia dari yang saya jumpa sekarang. Ketika sampai di kampung, atuk sedang baring di depan tv. Saya salam atuk dan atuk tersenyum. Atuk ingat saya. Saya pegang tangan atuk, ternyata dia keseorangan. Nenek saya pergi ke Bemban untuk merewang. Saya tertidur kerana keletihan memandu ketika masih memegang tangan atuk. Saya tersedar 45 minit kemudian. Atuk masih menonton tv. Atuk mahu ke tandas, saya memimpin atuk. Nenek pulang semasa atuk di dalam bilik air. Gembiranya berjumpa nenek saya. Nenek sangat kuat dengan menjaga atuk saya. Nenek kata, biasa atuk tidak sempat ke tandas dan dia akan mengelap najis atuk saya. Tetapi, hari itu atuk gagahkan juga.

Malam raya 2006-ketika Atuk masih sihat

Malam itu, atuk makan sedikit mee rebus yang saya suapkan sambil saya berborak-borak dengan nenek. Saya terfikir, saya tidak tahu apakah keadaan saya ketika tua, apakah keadaan emak dan ayah saya ketika tua, adakah saya kuat untuk menjaga mereka jika keadaan seperti atuk saya atau lebih teruk. Saya berdoa saya kuat dan sabar jika waktu itu tiba. Saya berdoa agar atuk saya sihat dan ALLAH memberikan kekuatan kepada nenek saya untuk menjaga atuk saya. Saya bertolak dari kampung pada jam 8.30 malam.

Semoga selepas kita tidak lagi dipinjamkan di bumi ini, kita akan bersama keluarga kita di akhirat kelak di syurga. Amin.


Love..

Sunday, June 20, 2010

Perkelahan Keluarga

Semalam, saya telah membawa separuh ahli keluarga saya ke Sungai Congkak iaitu Mak, Along, Kak Mi sekeluarga dan Fikri. Selain itu, Pak Chim sekeluarga dan Safwan sepupu saya dari kampung. Markah menjadi pemandu jalan kepada abang ipar dan pakcik saya adalah B. Abang Hairol tersesat kerana saya telah membuat aksi 'drifter' di atas jalan raya dan dia tidak sempat mengikutnya. Pengalaman namanya. Saya sering tertanya-tanya setiap kali mengikut konvoi kereta, jenis pemandu jalan macammana agaknya saya kerana ayah saya selalu menjadi pemandu yang bagus. Jalan yang dipilih mengikut kemampuan semua pengikut-pengikut konvoi dan senang diikuti. Kini, saya mendapat jawapannya. Tidak berapa bagus. Tetapi masih boleh diperbaiki di masa hadapan.


Sampai di Sungai Congkak dengan selamat (tarikh tidak tepat ya)



Mendaki bukit untuk mencari 'port' yang best.

Mak dan Cik Lia

Selepas hampir dua jam berendam sambil bermain bola, kami naik ke darat. Saya makan pulut bersama rendang yang di bawa oleh Cik Lia sementara menunggu baju kering. Mak membawa nasi putih bersama ayam masak merah. Kak Chik membuat kek batik yang kebetulan sama dengan Cik Lia. Di sebelah kami, ada sekumpulan budak sekolah yang comel baru sampai. Sebelum mandi, guru mereka mengajak mereka solat zuhur berjemaah di situ kerana telah masuk waktu. Surau yang ada, agak jauh iaitu di pintu masuk utama Sungai Congkak ini. Semua ahli keluarga saya telah solat di surau. Oleh kerana Naziha paling lambat keluar dari dalam air, maka dia tertinggal untuk mengikut rombongan kami ke surau dan Cik Lia menyarankan dia bersolat sahaja di tempat kami duduk kerana surau agak jauh. Mak saya menyuruh dia bersolat sahaja di situ. Ada contoh, iaitu budak-budak sekolah tadi.


Mak : Kak Chik sembahyang je kat sini macam adik-adik kat sebelah tu.
Kak Chik : Taknaklah. Nanti orang tengok.
Mak : Biarlah orang tengok. Kak Chik sembahyang je.
Kak Chik : Bukan orang tengok Kak Chik. Kak Chik tengok orang nanti.


Kak Chik dan Akmal

Naziha terpaksa juga solat di situ. Mujur, dia tidak melihat orang lalu-lalang seperti yang dikatakan tadi. Kami selesai mengemas dan pulang pada lebih kurang jam 3 petang. Sampai rumah hampir 5 petang kerana kesesakan jalanraya. Satu hari yang menarik. Alhamdulillah, dapat memenuhkan cuti yang saya rancang untuk tidur sahaja dengan aktiviti bersama keluarga.




Love..