Thursday, May 20, 2010

Selamat Hari-hari

Saya tidak pernah perasan (saya ini kurang perasan orangnya) yang bulan Mei merupakan bulan yang paling banyak sambutan hari. Jika anda adalah seorang pekerja yang bekerja sebagai guru atau jururawat dan juga seorang ibu serta mempunyai tarikh lahir pada bulan ini, maka sekurang-kurangnya empat kali sambutan akan dibuat untuk anda pada bulan ini. Gembira bukan? Itu jika semua sambutan itu disambut secara berasingan. Tetapi, jika keadaan kewangan tak mengizinkan, maka semua sambutan itu akan disekalikan. Masih gembira juga kerana ianya disambut dari tidak disambut langsung.

Saya telah menyambut Hari Pekerja dan juga bakal menyambut hari lahir pada bulan ini (haha.. iklan secara terlampau di situ). Masih belum menyambut Hari Ibu sebagai seorang ibu. Hehe. Hanya menyambutnya bersama mak saya sebagai ibu yang telah membesarkan kami lapan beradik. Seingat saya, kami sekeluarga jarang menyambut Hari Ibu secara meriah. Hadiah juga saya hampir lupa pernah atau tidak memberi kepada mak saya sempena Hari Ibu. Bukan bermakna kami adik-beradik tidak sayang mak kami. Kami sayang mak kami. Saya perlu bertanya kepada adik-beradik saya mengenai sambutan Hari Ibu pada tahun-tahun lepas. Mungkin kami pernah memberi hadiah kepada mak tetapi saya terlupa hadiahnya. Tahun ini lebih meriah. Nafisah telah membelikan kek dan sambutan disambut bersama dengan kakak saya yang telah bergelar ibu dan bakal bergelar ibu serta makcik saya yang tinggal di Klang. Selamat Hari Ibu, Mak!!

Muka mak tanpa tekanan.. hehe..

Bercerita mengenai mak saya, saya akui kurang rapat dengannya berbanding ayah saya. Adakah saya telah menyetujui pendapat orang ramai bahawa anak lelaki lebih rapat dengan emak dan anak perempuan lebih rapat dengan ayah? Saya kurang pasti. Saya sayang emak saya. Dia telah membesarkan saya menjadi seperti sekarang. Terima kasih emak. Walaupun selalu bertekak dulu-dulu (sekarang dah kurang) semasa saya meningkat remaja. Saya masih selalu diingatkan oleh kakak saya supaya tidak melampaui batas. Terkadang saya selalu merungut, mengakui diri ini sudah hebat dan bertindak melebihi batas seorang anak. Maafkan orang mak.

Saya masih insan yang lemah, selalu berperang dengan perasaan. Apabila Allah berikan saya kesenangan, saya lalai. Seringkali merasa hebat atas nikmat yang diberikan kepada saya. Sedangkan itu merupakan nikmat kepada mak dan ayah saya yang Allah salurkan melalui saya. Saya hanya insan yang bekerja untuk menyampaikan nikmat itu. Tidak perlu merasa hebat kerana mendapatnya dan berbangga atas nikmat itu. Pengalaman mendewasakan saya. Bukankah sebaik-baik manusia adalah yang berjasa kepada keluarganya? InsyaALLAH, orang akan berubah menjadi anak yang lebih baik selepas ini mak.

Telalu sedikit kenangan bersama emak semasa kecil (seperti biasa, kepala telah dihantuk ke dinding menyebabkan separuh ingatan di waktu kecil hilang) untuk saya ingati. Ketika besar, saya jarang merakam kenangan bersama emak juga. Saya perlu mencipta kenangan yang lebih banyak selepas ini sementara emak masih ada. Harap saya dapat menunaikannya.


I love you so much.. :)

Love..

Tuesday, May 4, 2010

Dah Dua Tahun Di Gamuda

Semasa sedang membuat kerja petang semalam, Kenny menumpang meja saya untuk melipat drawing kerana meja saya berdekatan dengan mesin fotostat. Seringkali meja saya menjadi tumpuan semua staff di sini untuk meminjam stapler, pemadam dan sebagainya selepas mengambil bahan yang diprint out. Jika saya mengenakan bayaran untuk setiap penggunaan alat tulis itu, mungkin saya boleh membuat bayaran bil telefon saya setiap bulan. Kembali kepada cerita Kenny, dia berkata kepada saya "Ha, Nadiah sudah dua tahun kat sini". "Yalah Kenny. 19 hb ni dah masuk 2 tahun. Wah! Sekejapnya. Sudah dua tahun. You? Sudah berapa lama kat sini?". "Almost 10 years. Sudah tua. Hehe.." Dia berlalu dari meja saya.

Entri sebelum ini merupakan tahun 2008, dan saya baru mengaktifkan kembali pada tahun 2010. Pertama kali menulis entri ketika baru masuk ke alam pekerjaan. Ketika itu, saya dan hampir sepuluh orang rakan-rakan dari UiTM diterima untuk projek Double Track (2T). Ipoh - Padang Besar. Satu hari saya akan menulis juga kisah temuduga itu di blog ini. Saya dan seorang rakan saya ditugaskan di HQ, Damansara Jaya. Kami mendapat bilik. Macam gempak je bunyi. Tapi sebenarnya adalah stor yang menempatkan drawing yang banyak. Hehe. Rakan-rakan yang lain, semua dapat ke site. Cuma Ebah dan Din sahaja mendapat projek luar negara. Din dapat projek Bahrain dan Ebah dapat projek India. Jadi, kami setempat di HQ. Mulanya, saya berharap dapat pergi ke site. Sangat berharap. Sehingga pada temuduga confirmation saya, Manager saya bertanya keadaan kerja saya, saya masih mengharap dapat pergi ke site.

Tapi, sekarang tidak lagi. Tekanan yang terlalu banyak di site kerana semua pekerjaan hendak dilakukan dengan segera, persekitaran kerja tak berapa harmoni, dan tentulah di utara sana kurang aktiviti sosial kepada sesiapa yang suka bersosial serta cerita dari rakan-rakan di site yang kurang enak di dengar menyebabkan saya bersyukur di tempatkan di HQ. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-NYA. Saya tidak kuat untuk berada di site. Di sini, saya lebih dekat dengan keluarga. Seperti kata budak rumah saya, kampung saya paling jauh. Sebab tu tiap-tiap minggu kena balik. Dan Alhamdulillah, saya menjadi saya sepanjang dua tahun ini. Banyak yang berlaku (ya, saya memang perlu mengupdate blog ini selalu).

Berbalik kepada kerja saya di Project Management Consortium (PMC), secara keseluruhannya, saya memang membuat benda yang saya belajar ketika di UiTM. Cuma ia tidak sebanyak jika anda seorang juruukur bahan dan bekerja di syarikat perunding. Pernah saya menyatakan kepada rakan saya yang mahu membuka syarikat perunding sendiri untuk mengambil saya bekerja di pejabat yang akan dibuka nanti. Dia dengan selambanya mengatakan tidak kerana pengalaman saya yang tidak banyak jika dibandingkan dengan juruukur bahan di syarikat perunding yang selalu menghadiri mesyuarat bersama-sama kontraktor dan klien dan lebih terdedah kepada aktiviti luar. Ketika itu, saya terasa kecil jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang lain. Tetapi, bila memikirkan semula, skop kerja saya yang tidak memerlukan saya menjadi seaktif itu. Saya kembali ceria. Saya cuma perlu menjadi pakar untuk skop kerja saya di PMC sahaja. Tak memasal orang kata, kalau saya minta bos saya untuk mengikuti beliau menghadiri mesyuarat. Huhu.

Lain orang, lain corak pembelajaran dan pengalaman kerjanya. Saya tidak sehebat kawan-kawan yang sudah selalu masuk mesyuarat, marah-marah sub-kontraktor, berurusan dengan klien dan sebagainya. Tetapi, saya masih memenuhi setiap arahan yang diberikan oleh superior saya dan melaksanakan tugasan dengan jayanya (walaupun kadang-kadang buat silap juga). Saya tidak perlu sehebat kawan-kawan saya di hadapan bos saya. Saya cuma perlu belajar dan terus belajar dari semua senior-senior saya di PMC. Sebagai bukti saya juga masih hebat seperti mereka adalah bonus yang saya perolehi pada tahun lepas, melebihi kawan-kawan saya di Gamuda (yang sepatutnya P&C hehe..). Motivasi untuk setiap kali kemurungan bila memikirkan betapa jauhnya pengalaman dan ilmu QS saya berbanding dengan rakan-rakan saya yang lain. Syabas Nadiah! Teruskan usaha menjadi pekerja yang lebih berdedikasi di tahun akan datang. Selamat Hari Pekerja 2010.

Beberapa gambar tempat kerja saya.


Meja saya yang memang selalu penuh. Tandanya orang rajin bekerja. ;)


Mesin photostat yang menyebabkan meja saya menjadi perhatian.

Belakang meja saya merupakan bilik bos-bos besar. Sangat tidak strategik untuk ular-ular secara terlampau.



Love..