Monday, February 14, 2011

Kotak Sakti

Boleh dikatakan hampir setiap bulan, pasti dua minggu saya akan pulang sangat lewat dari pejabat. Sangat lewat beerti hampir pagi. Sampai tidak berjumpa matahari. Sungguh tidak sihat kerjaya seperti ini. Saya seperti mahu menyuruh Naziha mengambil jurusan ini selepas SPM nanti, tetapi memikirkan betapa tidak sihatnya kerjaya ini. Saya batalkan niat itu. Kita cari kerja lain ya Kak Chik.

Kotak Sakti

Kotak ini merupakan claim dari site. Setiap kali membuat claim ini, pasti akan timbul niat untuk berhenti kerja. Saya berkongsi perasaan untuk berhenti kerja ini bersama-sama dengan Faezah. Kami mempunyai senior QS yang berlainan. Cara mereka juga berbeza. Kakak saya agak tegas dari segi suara dan agak pengemas dan teratur kerjanya. Jika memanggil saya, pasti satu PMC boleh mendengarnya. Berbanding dengan Faezah, kakaknya juga tegas tetapi cara yang berbeza. Jarang mendengar dia dimarahi, tetapi segala kata-kata kakaknya jenis makan dalam. Huhu. Lain orang, lain pendekatannya. Yang penting, kami akan sentiasa belajar.

Saya gembira di pejabat ini. Antara sebab saya tidak mencari pekerjaan lain adalah kerana persekitaran dan teman sekerja di pejabat saya. Bos saya sangat baik. Senior Manager kami, Mr. Looi sangat berpengalaman dan pemurah. Jika mahu kami pulang lewat, beliau akan memasak untuk kami. Antara lalu dan tidak sahaja kami memakan masakannya. Encik Nadzri yang sangat membantu. Manager yang kami boleh berkongsi apa sahaja dengan beliau. Sangat senang bekerja bersama beliau. Kenny yang pasti sangat comel semenjak saya datang ke Gamuda. Tanya apa sahaja soalan, 95%nya pasti ada jawapan. Sudah naik pangkat menjadi Assistant Manager tahun ini. Tahniah Kenny.

Juga menjadikan kehidupan di pejabat saya menarik, pastinya Kak Morni. Akak yang duduk di hadapan meja saya ini merupakan teman berborak menghilangkan tension semasa bekerja. Kami sering berkongsi roti untuk sarapan pagi. Biasanya, saya yang akan memintanya dari Kak Morni. Kak Morni rajin memasak dan berkongsi makanan bersama saya. Saya hanya mampu berkongsi biskut sahaja bersamanya. Itupun terpaksa bertukar sekarang kerana Kak Morni sudah jemu dengan perasanya. Hehe. Nanti saya cari biskut yang sedap ye akak.


Am, Faezah, Kak Morni dan saya.

Selain itu, kegembiraan di pejabat pastinya dari kumpulan GSC kami. GSC adalah nama yang diberikan oleh Ili sempena nama boyfriend tak jadi saya dan geng kami yang comel. Maka wujudlah Geng Sri Comel. Ahli-ahli kami pastinya comel-comel semuanya. Saya mulakan dengan ahli kumpulan yang pertama iaitu Ebah atau nama penuhnya Syuibah Mohamad. Beliau merupakan antara tukang masak dan tukang penyelesai masalah kumpulan kami. Bawalah apa sahaja cerita atau masalah kepada beliau. InsyaALLAH, ada sahaja jawapan atau idea mencari jalan keluar dari masalah tersebut. Ala-ala problem-solverlah. Pakar rujuk. Hehe. Ebah merupakan budak rumah, budak pejabat dan bermacam-macam lagilah ikatan dengan saya. Saya mengenali beliau semenjak mengambil diploma di Perak dan seterusnya ijazah di Shah Alam dan kini di Gamuda. Ditambah juga ikatan dengan menjadi budak rumah saya juga. Seorang yang akan menyapu dan membasuh bilik air kami rumah kami pada hujung minggu. Terima kasih Ebah. Sangat rajin memasak di rumah kami pada hujung minggu. Katakan sahaja kami teringin makan apa, jika mempunyai kelapangan. Pasti beliau akan cuba memenuhinya. Bakal berkahwin pada bulan Jun ini, tiadalah 'emak' di rumah sewa kami. :(


Ili dan Ebah

Ebah dan tunangnya Reza

Ahli GSC yang kedua merupakan Ili Shazwani Adlin bt Mohd Zamri. Nama sedikit punya panjang. Kami panggil, panggilan manjanya Ili. Juga pandai memasak. Selepas SPM, ambil kursus bersama ibu terchenta cara-cara memasak. Beruntung siapa dapat Ili ni. Selain itu, dia juga merupakan seorang problem-detector. Jika ada masalah, Ili merupakan orang pertama yang akan mengetahuinya. Ada sekali, Faezah kemalangan kereta. Muka dah habis neutral dah datang ke pejabat. Dapat juga Ili tangkap air muka bermasalah. Siaplah dengan soalan, 'akak ok?'. Satu GSC tahu masalah Faezah. Well, itu gunanya kami. Tidak dapat menyelesaikan masalah, sekurang-kurangnya kami pendengar yang baik dan penyokong apa pun tindakan Faezah untuk pulang awal membuat laporan polis. Selain itu, Ili juga merupakan penyumbang filem-filem dan drama-drama Inggeris. Portable hard-disknya sering bertukar tangan. Disedut oleh semua geng kami. Dari Merlin ke Junior Master Chef. Tapi, cerita melayu tiada dalam koleksi ya. Hehe. Ili juga terkenal dengan kekreativitian yang tinggi. Siapa yang selalu kena menjadi tukang pembuat kad untuk semua budak PMC yang mahu meletak jawatan Ili? Hehe.

Kepakaran kami. Selca (Self camera). Ili dan Faezah

Beralih ke makcik google kami atau nama penuhnya Nur Faizah bt Masran. Lebih mesra dipanggil Paie. Beliau merupakan sumber maklumat di hujung jari Paie. Sangat suka membaca dan menggoogle sehingga dipanggil bos besar kerana hitz kegunaan internet antara yang tertinggi di dalam 2t. Kalau lawan bercakap dengan Paie, memang kena penuh ilmu di dada. Jika suku ke separuh ke, memang kena hentamlah. Citation needed tu, tolak tepi. Ilmu yang dikongsi memang semuanya fakta. Paie pun seperti Ebah dan Ili, pandai memasak. Masak lemak gulai tempoyak ikan patin merupakan kegemaran kami. Secara langsung dari Mentakab jika beliau pulang ke kampung halaman. Kesedapan masakan Paie sehingga menjilat jari. Sedap. Hehe. Berkongsi minat menangkap gambar bersama Ili. Kamera masing-masing canggih. Jurugambar tak berbayar PMC. Bila kita nak keluar-keluar tangkap gambar ni Paie?

Faezah dan Paie

Seorang lagi ahli comel kami adalah Faezah. Nama penuh beliau ialah NorFaezah bt Muhammad Lip. Merupakan orang yang akan berkongsi suka-duka kotak sakti bersama saya. Setakat pulang lewat, sudah terlalu biasa. Tetapi, saya tiada orang akan telefon dan menyuruh saya pulang. Hehe. Nasiblah kalau sudah ber'punya' dan orangnya yang pekerjaan bukan juruukur bahan. Sehingga saya juga dinasihatkan supaya tidur sahaja di pejabat kerana pulang lewat malam. Kami bekerja En Delan. Huhu. Faezah ini seorang yang sangat membantu. Selain mempunyai networking yang banyak sampai ke Korea. Dia juga seorang penasihat cinta. Seorang yang matang kerana pengalaman yang banyak. Seorang yang sangat observant. Diam-diam berisi. Kami selalu ternanti-nanti apa yang akan diperkatakan. Tetapi jarang boleh bercakap bersamanya kecuali masa rehat. Seniornya seorang yang mementingkan kefokusan dalam bekerja. Jangan terlalu banyak bercakap. Sabar yer awak.


Main-main bowling di OU

Wakil kumbang di kalangan bunga kami ialah Mohd Khairul A'mri bin Mohd Salleh. Am merupakan penyeri bunga-bunga di GSC. Bertahan hampir tiga tahun bersama kami, sekarang dalam usaha menarik lebih ramai geng kumbang untuk memasuki kumpulan kami. Setakat percubaan ini, Abdullah macam sudah berjaya menjoin aktiviti-aktiviti kami. Kamal dan Adli, statusnya masih pending. Am ni merupakan orang kuat Encik Nadzri. Kira harapanlah untuk di bawa ke KSET atau KTMB. Selain itu, pemandu yang hebat kerana mampu membawa pergi dan balik kereta dari Damansara Jaya ke Bukit Mertajam pada hari yang sama. Pemain bowling yang handal. Mempunyai bola khas yang dibeli sendiri. Tak nak lawan bowling dengan ko Am. Hehe.

Am dan Abdullah

Jalan-jalan di Bandaraya Bersejarah Melaka

Fahim 4 Course

Makan-makan untuk Din

Alhamdulillah, ALLAH telah memberi kawan dan sahabat yang baik untuk saya. Saya selalu bersyukur dengan persekitaran saya. Semenjak dari sekolah, diploma, ijazah dan kini bekerja, saya selalu dikelilingi oleh orang-orang yang baik. Saya belajar banyak perkara dari orang sekeliling saya. Saya akan belajar dan terus belajar untuk menjadi anak, kawan, pekerja, kakak, dan yang lebih penting hamba ALLAH yang lebih baik. Hari ini seharusnya lebih baik dari semalam.

Benarlah, kawan di sekeliling kita mempengaruhi sikap dan tingkah laku kita. Jadi, marilah kita menjadi seperti penjual minyak wangi. Penjual minyak wangi akan memberikan bau yang wangi kepada orang sekalipun mereka tidak membeli. Semoga saya menjadi seperti penjual minyak wangi yang dapat memberi manfaat kepada orang di sekeliling saya.

Love..

Monday, January 17, 2011

Hujung minggu di Klang

Emak dan ayah saya tiada di rumah hujung minggu yang lepas. Mereka telah pulang ke kampung saya di Melaka. Saya juga pulang ke kampung saya, tetapi di Klang. Perancangan awal untuk pulang ke kampung pada Jumaat malam terpaksa dilupakan kerana kotak sakti saya telah sampai minggu lepas dan saya terpaksa pulang lewat. Jadi saya pulang ke Klang pada hari Sabtu pagi bersama-sama dengan Mekna tercinta. Sesampai kami di rumah, Kak Long saya sedang bersiap untuk ke KL Sentral mencari tiket keretapi ke Kedah bersama anak buah kami. Dia dan suami mahu berjalan-jalan makan angin ke Kedah pada cuti Thaipusam ini. Dia mengajak saya, tetapi saya tidak berkesempatan mengikutnya. Along, orang bagi masa kau berdua-duaan bersama Abang Aidil. Hehe.

Hadiah untuk emak tersayang

Cuma Mekna, saya dan Fikri sahaja yang tinggal. Maka, saya dan Mekna akan bermain masak-masak tengahari itu. Chef kami pada hari itu ialah Chef Hanieliza. Siap ada Chef tu, jangan main-main. Bukan didatangkan khas, tetapi memang ada di rumah kami. Pembantu kami itu pastinya buku memasak yang saya hadiahkan untuk emak bertajuk Satu Hari Satu Resepi. Mekna mencari-cari resepi yang boleh dimasak pada tengahari itu. Selepas mencari, kami akan memasak tiga resepi sekaligus. Maka, menu makan tengahari kami adalah, Sup Cendawan, Salad Tomato dan Sambal Gesek. Mantap bukan? Hehe. Saya ke kedai untuk membeli barang-barang yang kurang. Masakan utama kami pastinya sup cendawan. Tiada ayam atau ikan. Menarik. Memang lain. Kami memasak dengan gembira. Kurang dari sejam masa yang diambil kami di dapur. Lagi menarik. Saya agak kurang suka berada di dapur sangat lama. Hasil masakan kami adalah seperti berikut :-

Sup Cendawan

Salad Tomato


Sambal Gesek

Pencapaian kami sangat memberangsangkan. Kakak-kakak, abang ipar dan anak buah saya semua suka dengan menu pada tengahari itu. Salad tomato habis. Malamnya, perancangan tanpa dirancang kami adalah ke Kuala Selangor. Achik Iza ada di Bukit Badong minggu ini. Jadi, kami akan berjumpa dengan Achik dan seterusnya melihat kelip-kelip. Melihat kelip-kelip merupakan impian Kak Long saya dari dahulu. Dia mengimpikan untuk membawa emak dan ayah dan tidur di sana untuk salah satu percutian kami. Sudah lama kami merancang, tetapi tiada kesempatan. Akhirnya, tanpa dirancang, saya berjaya juga pergi ke sana. Kak Long saya tidak mengikut kami. Tidak mengapa Along, kita pergi lain kali bersama mak, ayah dan adik beradik yang lain juga. Kami bergerak dari Klang lebih kurang jam 5.45 petang. Cadangnya mahu singgah di masjid Aiman untuk bersolat maghrib dan terus melihat kelip-kelip.

Di masjid sementara menunggu Achik dan Achik DD

Kami sampai di masjid Kuala Selangor hampir jam 7 malam. Semasa solat maghrib, Achik DD berjumpa dengan Aiman. Kami mengajaknya untuk bersama-sama melihat kelip-kelip dan ustaznya membenarkan. Kami ke Kampung Kuantan untuk melihat kelip-kelip. Untuk melihat kelip-kelip, kami akan menaiki sampan. Satu sampan hanya mampu dinaiki oleh 4 orang. Satu sampan berharga RM40 ringgit. Saya berkongsi sampan bersama Mekna, Aiman dan Fikri. Manakala Kak Mi, Akmal, Afiq berkongsi bersama Achik dan Achik DD. Pengalaman pertama untuk semua orang, termasuk Achik DD walaupun dari kecil tinggal di Kuala Selangor. Haha. Standardlah, saya dulu juga tidak melawat Melaka, sedangkan kawan saya dari PJ datang ke Melaka, semata-mata untuk melawat Melaka Bandaraya Bersejarah.

Mengikut kata pendayung sampan kami, tempat melihat kelip-kelip itu merupakan yang pertama terbesar di dunia. Ya, di dunia dan kami orang Klang tidak tahu. Sungguh kesian. Yang kedua terbesar merupakan di Brazil. Tetapi, kerajaan Brazil tidak berani mengeluarkan lesen untuk orang melihat kerana sungainya merupakan habitat piranha. Sepanjang Sungai Selangor itu, kami melihat kelip-kelip di pokok berembang yang sungguh cantik. Besar sungguh kuasa ALLAH, pokok-pokok kelihatan seperti pokok yang diletakkan dengan lampu kelip-kelip sempena hari raya. Cantik. Setelah hampir sepuluh minit kami dibawa pusing ke kawasan sekeliling, perjalanan kami tamat. Walaupun pendek, tetapi memang berbaloi. Selepas itu, Achik DD membawa kami ke Taman Malawati. Seperti rombongan sekolah ke Kuala Selangor. Jika di siang harinya, akan kelihatan banyak monyet di situ. Tempat sejarah kata Achik DD. Haha. Maaflah, saya ini agak buta sejarah sedikit. Banyak rupanya kawasan yang menarik di Selangor jika kita rajin mencarinya.

Keesokan harinya, Cik Lia datang ke rumah untuk bersarapan. Kami memasak mihun sup untuk makan tengahari. Chef kami pada hari itu merupakan Cik Lia. Belajar satu lagi cara baru membuat sambal kicap iaitu dengan membakar bawang putih dahulu. Petang harinya, ayah saya pulang dari kampung. Selepas makan petang, kami pulang. Memang menarik hujung minggu kali ini. Saya memenuhi hujung minggu dengan penuh sekali.


Love..

Thursday, January 13, 2011

Aku & Motor

Jika mahu dikatakan jodoh, memang jodoh saya dan motor saya masih panjang. Jumaat lepas, saya tertinggal kunci motor di motor. Oleh kerana, saya meletakkan baju hujan di bawah seat motor pagi itu, saya terlupa untuk menarik kembali kunci dari tempat pembuka seat. Masa yang diambil untuk mengingat kembali perihal kehilangan kunci saya ialah 10 jam, atau lebih tepat setiap kali saya mahu menggunakan semula kunci itu. Jika saya balik jam 11.30 malam, mungkin ia akan menjadi 15 jam. Haha. Nadiah memang sangat hampeh. Selalu makan semut agaknya. Setelah mahu pulang dari pejabat, saya mencari kunci motor. Sudah. Tak jumpa kat meja. Dalam beg tiada, dalam loker tiada, bawah timbunan kertas, tiada. Fikir-fikir balik, kali terakhir pegang masa nak simpan baju hujan. Dalam hati dah fikir. Selamatlah motor aku tu. Lupa lagi Nadiah ni. Aish. Nak balik rumah macammana ni? Nak call siapa? Motor apa nak beli lepas ni? Skuter macam comel, tapi tak boleh bawa jauh. Nak kena bayar bulan-bulan? Huhu.

Saya menuju ke parkir motor saya. Pengesahan kehilanganlah kiranya. Dari jauh saya nampak. Eh, ada lagi motor saya. Alhamdulillah. Tapi, mana saya letak kunci motor? Dah puas mencari kat pejabat tadi. Tak jumpa. Setelah hampir, saya ternampak bungkusan plastik tergantung di raga motor. Saya pegang plastik itu. SubhanALLAH. Kunci motor saya. Di dalam plastik itu, kunci motor saya dibalut bersama kertas dan nota. Seorang hamba ALLAH yang baik telah menyimpankan kunci motor saya. Saya menangis. Dalam hati bersyukur. ALLAH Maha Besar. Saya menelefon ayah saya dan menceritakan hal ini. Ayah kata, " Kamu kena buat baik. Baru orang akan buat baik dengan kamu". "Ya ayah, orang takkan ambil motor orang lain kalau diorang tertinggal kunci". Hehe. Saya menelefon nombor yang tertera pada nota itu. Caller ringtone lagu Hindustan. Pada hemah saya, mungkin orang yang mencuci kereta di kawasan ini. Panggilan tidak berbalas. Saya meninggalkan pesanan ringkas mengucapkan terima kasih. Malam kemudian, dia menelefon saya semula. Dia merupakan wanita Indonesia yang menyapu sampah di kawasan pejabat saya. Dia ternampak kunci motor saya tergantung semasa sedang menyapu dan menyimpankannya.

Nota comel. Terima kasih Tia.

Tia, terima kasih banyak-banyak. Hanya ALLAH yang bisa membalas budi kamu. Semoga dipermudahkan segala urusan kamu di dunia ini dan akhirat kelak. Ya, masih ada orang yang baik di dunia sekarang ini dan kita wajib menjadi sebahagian dari mereka. Sebelum ini, sudah beberapa kali saya meninggalkan kunci di motor sahaja. Jika mahu hilang, memang sudah lama. Itu belum lagi, di bilik air fakulti masa belajar dulu, ketika ke pusat membeli-belah dan taman permainan. Allah membantu saya. Motor itu masih rezeki saya. Tetapi, ini sebagai peringatan kepada diri sendiri supaya lebih berhati-hati di masa hadapan Nadiah. Berhati-hati ke? Mungkin lebih kepada, kurangkan sikit lupa tu. Haha.

Love.

Saturday, January 8, 2011

Kau Pergi Jua

Saya pernah menulis mengenai kesihatan Atok saya Bujang bin Mohd Amin di entri sebelum ini. Pada tanggal 27hb Disember 2010 bersamaan 21 Muharam 1432H, jam lebih kurang 11.30 pagi, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di kampung saya, Kesang Tua, Jasin Melaka. Setelah hampir lapan bulan terlantar sakit, akhirnya atok saya pergi. Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari kampung setelah menghantar nenek-nenek saudara. Saya pulang bersama Pak Lang saya yang tinggal di kampung untuk menjaga datok saya ketika kami menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya di Pahang. Ketika sudah melepasi Seremban, Achik saya menelefon Pak Lang dan menyuruh kami berpatah balik. Ya, Atok saya sudah tiada. Pak Lang dan saya terus berpatah balik ke kampung. Pak Lang sungguh tenang, mungkin berbaloi dapat menjaga Atok saya selama 3 hari pemergiaan kami ke Pahang. Oleh kerana perancangan utama saya pulang ke kampung hanya menghantar nenek dan terus pulang, semua baju saya telah dibawa oleh keluarga saya. Saya menelefon kakak saya supaya membawa baju kurung untuk saya.

Setiba di kampung, Atok saya sudah diletakkan di bawah dan nenek saya di sebelah beliau sangat tenang. Pak Busu sudah tiba kerana tinggal di Bemban. Teringat kata Achik saya, yang nenek sudah berkira-kira siapa yang hendak memandikan Atok saya selepas cuti sekolah telah berakhir. Sebelum ini, semua hal dilakukan oleh sepupu saya yang juga merupakan anak Achik saya iaitu Safwan dan juga dibantu oleh abangnya jika dia pulang bercuti dari kampusnya di Kuantan. Kita merancang, ALLAH juga merancang. Perancangan DIA lebih baik. Atok saya menghembuskan nafasnya setelah semua urusan perkahwinan sepupu saya selesai. Alhamdulillah. Saya sempat membantu makcik saya menyediakan barang untuk menyiapkan jenazah seperti menyediakan bantal dari daun pandan yang dicarik-carik. Pok Teh yang tiba dari Klebang jug sudah sampai. Anak nenek yang lain semua sudah ada, cuma tinggal ayah saya sahaja. Ketika imam menyiapkan kain kapan, nenek menyuruh menelefon ayah dan bertanya di mana dia sekarang. Ayah masih di Seremban dan menyuruh, kami meneruskan dahulu. Nenek nampak sedikit kecewa.

Ketika saat mahu memandikan arwah, adik lelaki saya sampai dari Johor Bharu. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya wakil ayah saya ada (walaupun tidak sama). Proses memandikan Atok saya sangat cepat. Mungkin kerana Atok saya telah dimandikan pagi tadi oleh Safwan dan memang Atok saya akan mandi pada tiap-tiap hari. Setelah dikafankan, sekali lagi nenek bertanya ayah saya di mana. Setelah menelefon, nyata ayah saya masih jauh di Restoran Jejantas Air Keroh. Imam menyuruh di bawa dahulu ke Masjid, dan akan dibukakan kain kafan ketika di masjid. Sepupu saya Fatimah baru tiba bersama Abu Hurairah dan Abdullah dari UIA. Risau kerana ayah saya masih lagi jauh. Kak Long dan Kak Mi juga sudah tiba. Jenazah telah di bawa ke masjid. Saya menelefon ayah saya untuk terus ke masjid apabila tiba nanti. Saya ke masjid lewat sedikit kerana waktu Asar sekitar 15 minit lagi dan kebetulan saya sudah menjamak Zuhur Asar tadi. Saya ke simpang membeli sayur untuk dimasak oleh Nek Som.

Di Masjid, semua orang sedang menunggu solat Asar. Sesampai saya bersama Naziha, sudah kelihatan van ayah saya. Alhamdulillah. Di masjid kelihatan Mak Ngah saya (kakak mak saya) dan Mak Usu (adik ipar mak). Sebelum itu, Pak Long (abang mak) sekeluarga telah tiba semasa jenazah hendak di bawa ke masjid. Kecuali Achik di Kelantan, semua adik beradik mak saya telah datang menziarahi nenek saya. Terima kasih semua. Ayah saya mengimamkan solat jenazah. Sebak. Perasaannya adalah sama ketika Pak Long saya mengimamkan solat jenazah Atok Man saya. Selesai semua urusan di tanah perkuburan. Kami pulang. Makanan sudah tersedia. Oleh kerana Atok saya meninggal hampir tengahari. Kami semua tidak sempat makan dan menyebabkan semua orang kelaparan. Nek Som telah memasak untuk kami. Lauk asam dan telur goreng. Nek Som sangat banyak membantu. Terima kasih nenek. Terima kasih semua.

Semoga roh Atok ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

Sunday, November 21, 2010

Ahad - Kenduri Abul & EG

Terasa masa sekarang sangat mencemburui kita. Sudah hampir memasuki ke bulan terakhir dalam tahun 2010. Apakah yang dapat saya perolehi sepanjang tahun ini? Banyak perkara yang terjadi tetapi tidak dicatatkan di blog saya ini. Apa lagi alasan yang perlu saya beri kepada diri sendiri atas kemalasan meng'update' blog sendiri. Dahulu, akibat ketiadaan internet. Tetapi sekarang di rumah sewa saya telah memasang Streamyx. Terima kasih Nafisah kerana meminjamkan kakakmu ini nama kamu sebagai seorang pelajar. Tetapi, masih malas. Saya perlu rajin. Jika tidak, saya yang akan terlupa setiap momen yang saya cipta untuk diri sendiri.

Seperti hari ini, untuk pertama kalinya dalam tahun ini saya menghadiri majlis perkahwinan kawan saya Abul Hai&Syida di Seremban dan EG&Nasa di Kepong. Sudah ramai kawan-kawan seperjuangan saya di UiTM dahulu menamatkan zaman bujang mereka dari awal tahun. (Agak-agak berapa ya Ebah? Lebih dari 10 ada tak?) Tetapi seringkali saya tidak dapat menghadirkan diri kerana mempunyai hal-hal lain. Abul telah secara peribadi menelefon saya untuk menjemput ke majlis pertunangannya pada Raya Cina yang lepas. Oleh kerana saya ke Kelantan waktu itu, saya tidak dapat menghadirkan diri. Saya berkata kepadanya untuk datang ke majlis perkahwinannya sahaja. Tetapi, pada majlis perkahwinannya sebelah perempuan yang diadakan di Selangor, saya tidak dapat pergi kerana ada hal lain. Hampir sahaja saya melanggar kata yang telah dibuat kerana pada hari ini, saya sepatutnya berjumpa seorang teman dan ini menidakkan pemergian saya ke kendurinya di Seremban. Ebah menelefon saya semalamnya mengatakan Am akan pergi ke kenduri Abul dan jika saya mahu mengikut sama. Ebah telah menghadiri 2 majlis perkahwinan pada semalam hari (sabtu) iaitu ke Shah Alam-Imah dan Seremban-Syida. (Juga saya tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di kampung). Dia sudah tidak mampu untuk ke Seremban pada Ahad pula. Saya baru sahaja sampai di Klang pada hari Sabtu kerana pulang dari kampung berhari raya. (Saya perlu coretkan juga perihal raya di kampung ini-sebagai ingatan untuk diri sendiri)

Pada pagi tadi, teman yang sepatutnya saya jumpa menundakan masa ke sebelah petang. Saya bercadang untuk 'berlari' sebentar ke Seremban. Lantas menghantar pesanan ringkas ke Am bertanya jika dia sudah bergerak ke Seremban. Tengah bersiap balasnya. Dia akan pergi bersama Mas, seorang lagi kawan kami. Saya menelefon Lyza untuk pergi bersama-sama, tetapi dia mahu ke majlis EG di Kepong sahaja bersama Ebah. Jadi cuma kami bertiga sahaja. Meminta adik saya Firdaus menghantar ke tempat perjumpaan dan kami pun bergerak pada pukul 12.30 tengahari. Sampai di Seremban, pada pukul 1.30 petang. Abul sedang bersantap. Raja seharilah katakan. Kami makan dan menangkap gambar sebentar bersama Abul lalu terus ke Kepong. Hampir selesai majlis EG, apabila kami tiba di sana. Kami tiba jam 3.30 petang. EG sedang di dalam sesi menangkap gambar bersama ahli keluarga. Kami makan sedikit sebagai alas perut kerana saya telah melantak-tak-ingat-nak-pergi-kenduri lain di rumah Abul. EG sangat cantik. Saya suka bajunya yang putih dan simple itu. (Ruginya tiada gambar bersamanya. Sangat tergesa-gesa tadi menyebabkan saya tidak sempat mencapai kamera) Dia sangat gembira. Setelah menangkap gambar bersama pengantin, kami pun pulang. Pertemuan dengan teman saya itu, saya tunda ke minggu depan. Satu hari yang penuh tetapi menarik. Akhirnya saya menghadiri majlis perkahwinan kawan saya. Haha.

Love..