Saturday, October 9, 2010

Malam-malam yang sibuk

4hb Oktober (Isnin) - Balik ofis awal. Pukul 6.45 petang. Gembira nak dapat netbook baru hasil penyewaan bersama Telekom selama dua tahun. Orang yang nak hantar netbook telefon dan nak bercakap dengan Nafisah. Sedangkan minggu lepas telefon katanya boleh ambil bagi pihak, samada mak ayah ataupun adik-beradik. Bila tanya kenapa tak boleh, katanya sebab polisi baru. Dalam masa 4 hari saja, HP dah tukar polisi. Sengal. Mereka akan telefon Nafisah untuk mengesahkan, saya merupakan kakak Nafisah. Malas nak layan. Makan buka puasa dengan Biha dan Fad. Alhamdulillah, dapat buat puasa ganti dalam masa 6 hari Syawal. Malam ni, detik jam 12 malam, buat projek rahsia. Berlakon untuk sambut hari jadi Fad, budak baru ahli No. 86. Bincang sikit-sikit babak yang perlu dilakonkan. Memang hampeh. Pertama kali nak mengenakan budak rumah untuk sambut hari jadi. Nak kena tunggu sampai pukul 12 malam. Nasib baik dipercepatkan ke jam 11.30 malam. Tidur lewat.

5hb Oktober - Balik macam biasa. Lewat sikit. Malam ni pun ada projek lagi. Harijadi mekna a.k.a budak bilik saya. Sementara tunggu waktu sambutan, tengok Gossip Girl kat komputer riba dalam bilik. Mekna dah kata dah, taknak sambut. Dia mengantuk dan nak tidur. Mana boleh kata budak-budak rumah saya. Mesti kena juga. Ebah kejutkan Mekna kata Shima muntah-muntah. Shima kurang disayangi. Lakonan tak bejaya. Hehe. Sambut juga hari jadi mekna. Tidur lambat lagi.

6hb Oktober - Buat surprise party untuk Mekna dekat rumah Mak Ngah. Kerja saya, bawa birthday girl ke tempat yang dijanjikan. Macam-macam idea. Nak hantar barang kat rumah Ili sebab pagi tadi ada makan-makan untuk budak ofis yang samabut harijadi bulan 10 ni dengan Mr Toh yang dah berhenti. Kemudian Alin kata buat ayat yang dia nak belanjalah. Berjaya juga bawa Mekna, walaupun terlambat. Balik lewat, tetapi majlis yang menarik. Sangat seronok walaupun pagi tadi penat uruskan majlis kat pejabat. Seronok jumpa mak dengan ayah sebab minggu ni tak dapat balik kampung. Hujung minggu ni agak sibuk.

7hb Oktober - Dapat netbook. Yeay! Sempat setup sebelum keluar. Pergi rumah Kak Ina kat Cheras dengan budak-budak rumah. Kak Ina buat makan-makan. Kak Ina masak tom yam. Makan dengan seronok. Makan kuih raya yang sangat sedap. Semuanya Kak Ina buat sendiri. Mantap. Kita sekarang, kuih dah main tunjuk-tunjuk saja. Hehe. Sampai rumah pukul 11 malam. Tengok kejap netbook tadi, sempat mesej Kenny minta masukkan Microsoft Office kat pejabat besok. Sampai pukul 12.30 malam. Tidur lambat lagi.

8hb Oktober - Terpaksa tangguhkan untuk jadi Reader dengan Cikgu Iran. Penat. Baju berlambak dalam bakul. Cadangnya nak bermalas-malasan atas katil dan membasuh baju. Habibah telefon nak ajak pergi hantar mak Khariani di Kompleks Tabung Haji. Nak pergi Haji. Menariknya. Bilalah boleh hantar mak dengan ayah ni? InsyaALLAH ada rezeki mak ayah tu. Lepas teman Mekna buka kat luar, Habibah datang jemput. Oleh kerana kenaikan saya kurang sesuai bergerak waktu malam, maka saya terpaksa dijemput seperti puteri ya. Haha. Di sana, tunggu sehingga mak Khariani mahu masuk check-in. Katanya pukul 1 pagi, pukul 1.30 pagi masih tidak masuk. Terpaksa mengundurkan diri. Keesokan hari mahu kerja. Masih lewat juga tidur malam ini.

Penuh dengan aktiviti malam. Hehe. Minggu yang penat tetapi menarik. Macam-macam kegiatan boleh dibuat rupanya di malam hari.

Love..

Friday, October 8, 2010

Sisi Lain Saya - Episod 2

Projek 10.10.10 : Mengurangi Kepanasan Global - Agenda Lokal

Pada 10.10.10 di setiap pelusuk dunia, pelbagai usaha akan dilakukan bagi mengurangkan masalah kepanasan global. Antaranya ialah dengan menanam pokok, mengusahakan kebun secara organik, menggunakan tenaga solar, menaiki basikal, kitar semula dan banyak lagi.

KAMY tidak ketinggalan menyambut baik idea Projek 10.10.10 ini dengan menanam pokok. Untuk itu, KAMY mengundang semua AJK, aktivis KAMY & YPU, serta sesiapa yang berminat untuk sama-sama menjayakan misi menyelamatkan dunia!

Projek 10.10.10 akan diadakan di kawasan kediaman Pn. Siti Zaleha Syed Idris, seorang aktivis YPU. Maklumat program adalah seperti berikut:


Projek 10.10.10
di Lot 53A, Kg. Pasir Baru, Petaling, Kuala Lumpur
9:00a.m. - 11:00a.m.

9.00a.m. - 9.30a.m :
Pertandingan Mewarna oleh Anak-anak murid Taski Kg. Pasir

9.30a.m. - 10.00a.m:
Ucapan oleh Sdr. Hj. Ahmad Kamal Mohd Ali
(Ahli lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Ummah)

10.00a.m. - 10.30a.m:
Acara Menanam Pokok

10.30a.m - 10.35a.m:
Ucapan AJK KAMY

10.35a.m - 11.00a.m:
Minum pagi


KAMY tidak bersendirian dalam misi murni ini. Terdapat lebih 5987 persatuan yang turut menjayakannya. Sila layari laman web ini. Marilah menyinsing lengan menanam pokok seperti mungai atau kelor, neem atau mambu, buluh madu dan sebagainya serta bersama-sama mengikuti perkembangan pertumbuhannya sekerap yang mungkin.

Ayuh selamatkan dunia dengan usaha kecil ini!

Kita jumpa di Kg. Pasir Baru jam 9 pagi pada Ahad, 10 Oktober 2010. :)



Nadiah Zainal
Setiausaha KAMY

Wednesday, September 22, 2010

Sisi Lain Saya

Achtung!

Bercerita tentang Jerman, apa yang terbayang di fikiran kita? Michael Ballack? Miroslav Klose? Hmm..adakah pengetahuan kita tentang Jerman sekadar berkisar dua pemain bola sepak tersebut? Bagaimana tentang musimnya, makanannya, cara hidup masyarakat Jerman juga budaya mereka dan banyak lagi?

Nah, kita tidak perlu menempah tiket penerbangan terus ke Berlin untuk mempelajari tentang negara tersebut. Kita bertuah kerana di kalangan aktivis KAMY terdapat seorang jejaka tampan lagi berkarisma yang sedang melanjutkan pengajian di Albstadt dalam bidang kejuruteraan. 'Afif Mohd Anuar telah berada di Jerman semenjak 2007 dan kini beliau berada di tahun akhir pengajian. 'Afif amat berbesar hati berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau sepanjang di negara kelahiran Adolf Hitler ini.

Ini bukan 'Afif Anuar

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama menelusuri pengembaraan 'Afif. Marilah kita menambah lagi ilmu di dada menerusi Siri Sarasehan KAMY 04/2010 pada Ahad, 26hb September 2010 jam 3 petang di YPU.

Bagi memeriahkan lagi majlis ilmu KAMY, semua aktivis KAMY dialu-alukan membawa juadah hari raya secara pot-luck. Apa sahaja makanan boleh dibawa. Ringan atau berat bukan ukuran. ;)

Akhir kata, jumpa di YPU Ahad malam nanti. Datang jangan tak datang tau.

Danke!

NADIAH ZAINAL
Setiausaha
Kumpulan Aktivis Muda YPU (KAMY)

Sumber asal di sini.

Tuesday, August 31, 2010

PENGALAMAN BERPUASA

Saya teringat kenangan Ramadhan ketika berpuasa di rumah lama kami di tepi sungai (sekarang masih juga di tepi sungai), saya mula berpuasa ketika di tadika. Saya ingat yang ketika rakan-rakan lain makan, saya akan bermain di bahagian permainan kerana berpuasa. Selain itu, saya juga pernah bersama-sama jiran saya mencuri-curi makanan ketika berpuasa. Oleh kerana, kawan saya merupakan anak tokey buah, dia telah mengambil beberapa biji buah epal dan kami makan bersama-sama di perumahan TNB yang lama. Punyalah jauh perjalanan kami, takut ditangkap. Malamnya, kami akan berterawih di dewan. Ayah saya menjadi imamnya. Saya dan kawan baik, Ila akan datang awal untuk membentang tikar. Ayah saya akan membuat lapan rakaat terawih dan tiga rakaat witir. Pada setiap rakaat, ayah saya akan sujud lama untuk berdoa. Selepas solat, saya dan kawan saya akan menyediakan makanan yang diberikan oleh orang kampung sebagai more. Selepas itu, kami akan membasuh pinggan dan mengemas dewan. Semenjak saya bekerja dan belajar, sudah lama saya tidak berimamkan ayah untuk terawih. Sabtu lepas, kami telah membuat buka puasa di rumah. Ayah saya mengimamkan kami. Rindu saya pada suara ayah saya.

Oleh kerana bercuti lama sempena Nuzul Quran dan Merdeka, hampir tiga hari saya di Klang. Saya sempat solat subuh di surau berdekatan rumah saya (antara nenek saya ajar ketika saya di kampung semasa berpuasa adalah subuh di masjid, kerana kata nenek waktu Ramadhan ini sahaja kita akan bangun awal pagi). Ada tazkirah selepas subuh. Saya sudah lama tidak menghadiri kuliah agama. Semakin cetek ilmu agama saya. Antara yang saya belajar adalah "Kita akan masuk syurga dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH". Sudah dua kali saya mendengar frasa ini. Pertama, ketika siri wacana KAMY bersama kawan Pak Busu, Lutfi dan kali ini dengan Ustaz di surau. Adik saya Firdaus juga mengiyakan dengan memberi contoh seorang wanita kafir yang memberi minum anjing yang dahaga dan dia dimasukkan ke dalam syurga atas kasih sayang ALLAH. Juga seorang alim yang telah mengurung seekor kucing tanpa memberi makan dan minum hingga mati telah dimasukkan ke dalam neraka kerana menganiaya binatang. Pesan adik saya, apa sahaja yang kita lakukan, hendaklah untuk mendapat rahmat dan kasih sayang ALLAH. Adik saya itu, sungguh banyak ilmu dia. Semakin saya belajar, terasa semakin kurang ilmu saya. Benarlah ilmu ALLAH ini sangat banyak. Masih banyak yang perlu saya pelajari.


Love..

Monday, July 19, 2010

Mari Belajar Memasak


Sabtu yang lepas, saya telah menghadiri program KAMY. Programnya adalah di sini. Cik Leha dan Nazifah masing-masing telah mempunyai menu. Saya bercadang untuk membuat trifle. Saya pernah membawa trifle ke program KAMY yang lepas, tetapi bukan saya yang membuatnya. Oleh kerana pulang lewat dari pejabat, Ebah telah membuatnya bagi pihak saya. Jadi, kali ini saya akan membuatnya sendiri. Menarik. Pertama kali merasa trifle adalah ketika di rumah Mak Long. Tidak sempat belajar bersama Mak Long, tetapi budak pejabat saya telah mengajar Ebah, dan Ebah mengajar saya. Terima kasih cikgu. Tiada gambar trifle yang saya buat. Jadi, saya telah menggoogle. Ini merupakan gambar yang sangat hampir dengan resepi yang saya belajar dari Ili.

kredit gambar - hanieliza.fotopages.com

Bahan-bahannya adalah :-
1- Kek-boleh pilih antara kek span, kek mentega, kek marble atau swiss roll.
2- Agar-agar segera
3- Buah-buahan dalam tin
4-Sedikit Tepung kastard

Cara-caranya :-
1- Potong kek ikut ketebalan yang diinginkan. Jangan terlalu tebal atau nipis. Sesedap rasa orang kata. Letak di dalam bekas. Tekan-tekan untuk memampatkannya dan untuk menghalang agar-agar jatuh ke permukaan bekas.
2-Kacau dua sudu tepung kastard bersama air buah-buahan di dalam tin. Kemudian spreadkan di atas kek tadi.
3-Letak buah-buahan campuran. Kali kedua membuatnya, saya meletakkan Nata De Coco Laici juga. Ikut kreativiti anda ya.
4-Masak agar-agar tadi mengikut arahan pada kotak. Tunggu sejuk, dan letak di atas buah-buahan campuran itu untuk mengelakkan agar-agar tadi meresap ke kek jika masih panas.
5- Siap!! Sesuai makan ketika sejuk. Masukkan dalam peti sejuk dahulu.

Menarik bukan? Senang sahaja. Saya suka makanan yang saya suka dan tidak susah untuk dibuat. Malam itu, saya bertemu Mak Long ketika kenduri meraikan hari jadi nenek. Cara Mak Long lain pula. Kastard dijadikan satu lapisan lain. Saya akan belajar dengan Mak Long juga lepas ini. Semasa mencari gambar trifle tadi, banyak cara rupanya untuk membuatnya. Hehe. Sedap2. Saya akan cuba cara yang lain pula nanti.

Hari Ahadnya pula, saya memasak Masak Lemak Pucuk Ubi. Tetapi, saya tukang kacau saja. Kakak saya telah menumbuk bahan-bahan rencahnya. Oleh kerana saya tidak menumbuknya, saya terlupa bahan-bahannya. Mungkin bawang merah dan putih, dan ikan bilis kalau tidak silap saya. Masukkan semua ke dalam periuk dan masukkan santan. Kacau sehingga mendidih. Letakkan garam secukup rasa dan sebiji cili merah yang dihiris. Setelah mendidih, masukkan pucuk ubi yang telah siap direbus dan ditoskan. Siap. Mudah dan sedap juga. Haha. Asyik memuji masakan sendiri sahaja. Hehe. Hujung minggu yang penuh dengan aktiviti ke dapur. Menarik. Boleh diteruskan.

Love..