Hari Rabu yang lepas, saya mendapat perkhabaran kematian ayah Najwa melalui Faezah. Faezah melihat status whatsapp Am dan memberitahu saya. Bersyukur mempunyai seorang sahabat yang saling mengingatkan seperti dia kerana saya jarang melihat status whatsapp seseorang. Terlalu banyak media sosial yang aktif sehingga tidak boleh menambah lagi yang lain. Sekarang ini, cukuplah instagram dan youtube penjahanam masa saya. Kita jangan menambah lagi yang lain. Haha.
Berbalik kepada kisah ayah Najwa. Rupanya sudah lama tidak sihat dan seminggu ini terkena lung infection dan ditahan di hospital. Am cerita mudahlah pemergiannya, tak sampai seminggu pun sakit teruk. Allah. Ayah dan ibu Najwa selalu ada posisi khas di hati saya. Saya belajar untuk menyayangi anak orang lain tanpa batas melalui mereka. Kali pertama berjumpa, terus mereka menggelarkan diri mereka ayah dan ibu. Pertama kali jumpa ibu dan ayah kawan saya begitu. Haruslah saya terus membiasakan diri menggelarkan mereka ibu dan ayah. Terus abang Najwa jadi Along saya dan adik juga. Diorang pun gelarkan diri diorang ke saya tu. Keluarga yang penuh kasih sayang. Saya suka orang yang banyak kasih sayang dan nak berkongsi sesama makhluk kat dunia ni.
Saya teringat ketika kami di UiTM Perak, Najwa akan menelefon ibu tiga kali atau lebih sehari. Sehari yer. Pagi sebelum pergi kelas, tengahari masa balik tengahari dan malam itu biasa. Jika ada hal-hal lain, dia akan ada extra. Saya bila dengar tu, kagum. Saya cuma menelefon emak saya seminggu. Itu pun kadang-kadang takde topik nak borak. Hehe.
Saya text Ebah bertanya adakah dia akan ke Muar? Saya mahu mengirim sedikit duit. Dia berkata ya, dia akan memandu ke sana. Najwa dan Ebah sudah tiada kedua ibu-bapa. Ya, saya sudah di fasa itu. Ibu bapa sahabat saya dan saya sudah tua. Bertuahnya saya masih mempunyai kedua-duanya. Alhamdulilllah. Semoga saya sempat membawa mereka menunaikan haji tahun hadapan.
Tetapi, Allah Maha Kaya, mereka mempunyai ibu dan ayah mertua untuk meminta doa dan menumpang kasih-sayang. Walaupun pastilah tidak sama, sekurang-kurangnya status doa ibu ayah tu masih boleh diperolehi.
Semoga roh ayah dan ibu ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan dijumpakan di syurga bersama Rasulullah s.a.w.. Mendoakan juga Najwa sekeluarga tabah dan sabar menghadapi ujian dan kasih-sayang Allah ini.
No comments:
Post a Comment