Tuesday, April 7, 2020

Memasak di musim PKP

Saya baru menghantar e-mail kepada Geak Ting untuk satu tugasan ABWF louvre system. Memang sudah dimaklumkan kami perlu menghantarnya pada hari Isnin 6/4/20. Tanpa menulis masa, saya terlewat setengah jam selepas tarikh itu. Kerana menghantar pada pukul 12.30 pagi 7/4/20. Sanggup saya tidak pulang ke Klang kerana mahu membuatnya pada hujung minggu lepas, tetapi haram. Saya lebih seronok bermain-main di atas katil, memvacuum rumah, mengemop lantai, membasuh baju, memasak dan bermalas-malasan di rumah sendiri. 

Alhamdulillah ada bawa balik 1 set A4, ABWF drawing. 

Kacau my feveret engineer after working hours

Walaupun bekerja di rumah yang lebih linear, tetapi Isnin ke Jumaat, kami memang bekerja. Alhamdulillah, banyak juga kerja dapat dibuat dan tidak perlu mengadap Ai Tee. Cuma perlu mengadap pesanan melalui whatsapp sahaja. Masih boleh diterima. Jadi, nikmat di bersenang-lenang di rumah semasa hujung minggu adalah nikmat yang tidak saya dustakan.

Oleh kerana duduk dengan Deekay di rumah ini, kami mengambil pendekatan bergilir-gilir memasak. Saya merasakan saya adalah orang yang boleh memasak. Tidaklah terlalu tidak pandai. Sekurang-kurangnya jika emak tinggalkan saya di dapur, saya boleh memasak untuk ayah dan keluarga tanpa merasa terlalu tertekan. Di kampung juga begitu. Tetapi, ketika berdua dengan Deekay, tidak pasti kenapa, semua skill memasak saya hilang. Dimulakan dengan memasak sambal ayam. Saya menggunakan paste asam pedas Adabi dan sambal saya menjadi masam. Oleh kerana tolerate saya dengan kemasaman agak tinggi, setelah merasa, saya merasa okay, lalu menghidangkannya. Sesuap sambal dan nasi masuk ke mulut Deekay, mukanya berkerut. Haha. Masam katanya. Masam sehingga tidak boleh makan. Seperti makanan yang masin dan tak boleh makan. Begitulah rasanya, kata Deekay. Katanya, selepas pembedahan otak yang terakhir, deria rasanya semakin sensitif. Maka, terpaksalah saya menghabiskan sambal itu sendirian. Dan dia, makan sedikit sahaja. Bak kata ayah, sedap makan banyak, tak sedap makan sikit. Tetapi, jangan mengkritik makanan. Tak sunnah tu.

Sambal masam. Masih ada baki di dalam peti. 
Kejadian kedua adalah cekodok ikan bilis pula. Termasin pula kerana saya menggunakan garam kasar di dalamnya. Serius masin sehingga saya memerlukan sehingga tiga kali waktu makan untuk menghabiskannya. Sayang hendak dibuang, saya makan sedikit-sedikit. Sarapan, minum petang dan sarapan esoknya. Lawak sungguhlah. Rasa macam dah down sikit dah nak masak ni. Tapi, kekalahan ini mengajar kita untuk bangunkan? Maka, saya masih meneruskan memasak. Cuma kesian kepada Deekay yang terpaksa menjadi mangsa buli akibat masakan saya. 

Cekodok masin. Portion lima orang nak makan. 


Habiskan masa sarapan esoknya.

Saya masak nasi goreng pula pada sekali tengahari kerana ada lebihan nasi semalam. Sedikit pedas kata Deekay, tetapi masih boleh dimakan. Keesokan paginya, saya sakit perut ketika sedang tidur. Saya jarang mahu membuang air besar ketika sedang tidur. Esoknya, Deekay kata dia sakit perut semalam. Samada meminum milo dan kopi yang dicampurnya atau nasi goreng. Saya memberitahu, saya terjaga malam semalam juga, maka ia adalah kerana nasi goreng kerana saya tidak minum minumannya. Ya, apa yang saya takuti telah terjadi. Seseorang sakit akibat masakan saya. Haha. Saya berdoa dia diberi kesembuhan. Alhamdulillah, petang itu sudah selesa sedikit perutnya dan boleh makan seperti biasa. 

Nasi goreng pedas sedikit gais
Semalam, saya mahu memasak cekodok manis pula. Masalah saya yang perlu saya belajar adalah membahagi portion memasak kepada dua orang makan. Sudah biasa memasak untuk keluarga besar, saya akan meletakkan bahan-bahan dengan kuantiti yang banyak. Kali ini, saya melihat resepi di internet pula untuk mendapatkan talian hayat. Resepi Sheila Rusly saya lihat. Katanya menggunakan air panas untuk membuat adunan cekodok. Sekali tidak jadi. Cekodok saya tidak membentuk bulat.  Hancur sahaja. Haha. Sudahlah portion tepung banyak. Sayangnya sarapan itu.

Hancur di kuali

Gagal! Haha

Stress betul saya dibuatnya dengan semua hasil masakan seminggu ini. Mengucap saya dibuatnya. Mahu mengalah dan tidak mahu memasak pun ada juga. Mujurlah Deekay menerima sahaja saya ini. Tanpa membebel panjang dan banyak soal. Dia terus membuat makanannya sendiri dan mengoreng nugget. Agaknya kalau dia membebel, mahu bergaduh rasanya. Haha. Kata Deekay, selepas saya menceritakan yang tiada masalah saya di dapur selama ini. Biasa juga emak ke kursus haji dan saya perlu memasak. Kadang sedap, kadang biasa-biasa sahaja. Tetapi, jarang ia tidak jadi seperti cekodok ini. Dia mengatakan mungkin waktu tu ada orang lain boleh bantu betulkan dan memang biasanya saya mengambil pendekatan selamat dengan memasak benda-benda yang berkuah. Boleh adjust lepas tu. Memang kelakar sungguh dan sedikit stress. Tetapi, sedikit stress itukan bagus untuk jantung?  

Semoga saya semakin pandai memasak, merasa, memasak dengan kadar orang yang ada dan tidak menganiaya orang keliling saya. 


Love..

No comments:

Post a Comment