Friday, April 14, 2017

Cinta dan Kasih Sayang

Naziha mengajak saya pulang ke kampung hujung minggu lepas. Saya pun okay sahaja. Berjanji dengannya pulang lewat sedikit kerana perlu menghadiri farewell Steven Soo yang bakal menjadi bos bersebelahan NU Sentral. Selamat berjaya Steven.





Selepas program itu, baru kami bergerak ke kampung bersama kawan Naziha yang tinggal di Melaka. Kami tidur di rumah Acik Oya malam itu. Al-maklum bertolak jam 10 malam. Beritahu nenek nanti, pasti tidak tidur dia memikirkan kami. Jika Acik, dia tidur, anak-anak bujangnya masih berjaga.

Semasa memandu kereta kesayangan saya pulang, bunyi dari enjin sangat kuat. Berdoa saya selamat sampai ke kampung jika mahu terjadi apa-apa sekalipun. Alhamdulillah, sampai kami di kampung jam 1 pagi setelah menghantar kawan Naziha di Taman Maju dan Chenderah.

Keesokkan harinya, saya meminta tolong Safwan memeriksa kereta saya. Kerja di pusat servis kereta Proton, apa lagi? Tunjukkan kehebatan awak Wan. Mujur Safwan sedang cuti rehat kerana demam campak. Jika tidak, pasti Sabtu begini, dia sudah ke pejabatnya. Selepas membawa kereta saya, Safwan berkata brake disc saya sudah terlekat di tayar. Nak kena tukar. Memang hebat awak Safwan. Hehe. Saya seperti biasa, nak tunggu servis baru nak beritahu semua masalah ke pomen. Jika tidak mudarat, saya bawa sahaja. Untuk ke servis seterusnya saya memerlukan hampir 2000 km. Safwan takut tiba-tiba terberhenti di tengah jalan. Lagi banyak kos yang diperlukan. Saya meminta Safwan tolong fikirkan cara penyelesaian kerana saya mahu membawa nenek ke Melaka melihat anak Pokteh yang baru membuka gerai makanan di Klebang.

Semasa saya membawa  nenek ke Klebang, Safwan telah menggadai nyawa membawa kereta saya ke tempat kerjanya. Katanya, jika tayar belakang, dia boleh membuatnya di rumah sahaja. Tetapi, tayar hadapan. Sementelah, saya telah membawanya berjalan jauh semalam. Saya bertanya jika okay dia membawa kereta saya ke pejabatnya. Umpama mengumpan diri sendiri kerana mahu ke pejabat tatkala doktor memberikan cuti. Katanya mahu lalu pintu belakang. Saya mendoakannya sahaja.

Selepas pulang dari Melaka, Acik memberitahu yang Safwan telah berjumpa dengan bosnya semasa membetulkan kereta saya. Allah. Maaflah Safwan, menyusahkan awak. Selepas meminta maaf dan memberi sedikit upah yang tidak seberapa jika nak dibandingkan dengan apa yang dia telah buat untuk kereta saya, Safwan rileks sahaja mukanya. Semoga urusan awak dipermudahkan Wan.


Anak-anak Acik memang boleh diharap untuk membantu. Walaupun ada masa-masanya untuk meminta tolong, secara amnya akan membantu menyelesaikan masalah. Dahulu, Safwan akan memandikan arwah Atok Bujang setiap pagi. Pendek kata, boleh diharap dalam menyelesaikan masalah orang.

Esoknya Nenek Sa'abah mengajak saya melawat Nenek Sareah. Saya okaykan saja. Sebelum kami ke rumah Tok Ali, nenek Yot menelefon nenek mengatakan yang dia tidak sihat kerana darah tinggi. Nasib untuk kami melawat nek Yot juga nampaknya kerana kami belum keluar dari rumah. Maka, nenek mengajak saya menyinggah sebentar di sana sebelum melawat nek Sareah. Mendengar perbualan nenek-nenek ini melahirkan rasa syukur dapat menjenguk mereka walau hanya sebentar. Sebelum pulang, sempat saya memberi sedikit duit saku kepada mereka. Benda ini saya belajar dari cerita nenek Sa'abah semasa saya tinggal di kampung bersekolah dahulu. Ada seorang kenalan atok Bujang melawat kami dan kemudian sebelum balik, anak kenalan atok memberi duit kepada nenek dan atok saya. Walaupun RM10 sahaja, nenek menceritakan betapa besarnya hatinya menerima duit tersebut.

Sebelum pulang, saya dan Naziha singgah di rumah nenek Rammelah. Maaf nenek, walaupun tiada perancangan untuk pulang, tetapi banyak pula programnya. Tidak sempat menyinggah di rumah nenek. Minggu ini juga rumah nenek penuh kerana Pak Long dan keluarganya pulang. Pak Long baru melancarkan kedai barunya di Melaka. Semoga berjaya Pak Long. Serta Mak Ngah kerana Insan mengambil bahagian dalam Musabaqah di Melaka. Tahniah Insan menang.

Alhamdulillah untuk nikmat masa, kereta, keluarga, kesihatan dan semua yang Allah berikan. Semoga lebih bermanfaat untuk orang lain. Dan Naziha, semoga dipermudahkan urusan awak sayang.


Love..

No comments:

Post a Comment