Tuesday, September 3, 2013

Bro, Nampak Petrol Gua?

Sudah melepasi jam 12.00 tengah malam. Maka, hari ini secara rasminya minyak RON95 di Malaysia menaik sebanyak RM0.20 menjadikan harganya RM2.10 seliter.

Kata Perdana Menteri kesayangan kita, tujuan kenaikan harga adalah untuk pengukuhan ekonomi. "Kita mesti faham, ini bukan soal politik, tapi soal masa depan negara, jika ekonomi terjejas ia akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat." Datuk Seri Najib Tun Razak - Kredit 

Tidak pasti sama ada kenaikan harga minyak kali ini masih tidak mendatangkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia atau tidak dengan kenyataan itu. Mungkin jika tidak naik, akan bertambah buruk ekonomi Malaysia. Bagi saya sudah cukup buruk kesan kenaikan harga minyak ini. Saya mahu membeli roti di Petronas dalam perjalan pulang dari tempat kerja, tetapi hampir semua stesen minyak penuh dengan kenderaan sedang beratur mahu membeli minyak sebelum kenaikan harga. 

Perasaan saya seperti diragut. Saya pernah melihat seorang pakcik tua mengisi minyak motornya dengan cuma RM1. Dapat saya rasakan kesusahan pakcik itu sehingga terpaksa mengisi seringgit sahaja. Jika sekarang, pastinya lagi kurang perjalanan yang dapat digunakan dengan minyak RM1 itu. Doa saya semoga Allah mempermudahkan hidup pakcik itu.  

Menjadi pemimpin ini sebenarnya amanah. Kita adalah pemimpin diri kita sendiri. Maknanya kita adalah pemegang amanah ke atas badan kita sendiri. Kelak, kita akan dipersoalkan apakah yang telah kita lakukan dengan amanah yang telah Allah berikan kepada kita. Jika baik, maka bergembiralah dengan pahala yang Allah ganjarkan kepada kita kelak. Jika sebaliknya, maka dosa yang kita akan hadapi dan azab Allah sangatlah berat. 

Seperti juga pemimpin. Amanahnya dalam kapasiti yang lebih besar. Boleh menjadi ladang pahala juga boleh menjadi ladang dosa. Saya melihat kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor. Oleh kerana pengurusan yang baik, menyebabkan rakyat dapat menikmati keuntungan Selangor bersama. 20m3 air percuma untuk rakyat Selangor yang selama ini tidak dapat merasa semasa zaman kerajaan sebelumnya. Menunjukkan jika diuruskan ekonomi maka ramai orang mendapat hasilnya. Cuba bayangkan pahala yang berjaya diperolehi oleh Tan Sri Khalid akibat pengurusan beliau. Beratus-ratus ribu pengguna air di Selangor mendapat air percuma setiap bulan, setiap tahun. Allah. Pahala berganda-ganda. Semoga Allah merahmati hidup beliau. 

Saya tidak pasti pengurusan Petronas dalam hal minyak ini. Jika amanah ini dilaksanakan dengan sehabis baik, tetapi masih tidak dapat membantu orang ramai tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kamu tidak menganiaya orang. Cuma, pahala tidak banyak seperti penggunaan air tadi. Tetapi, jika kamu tidak menjalankan amanah dengan sewajarnya, malah kamu menyusahkan orang ramai dengan ketidakcekapan kamu menguruskan amanah itu, maka sama seperti pahala yang banyak tadi, dosa kamu juga banyak. Beratus-ratus ribu orang menderita akibat perbuatan kamu. Jika kamu 'di sini' bermain dengan kata-kata ekonomi dan sebagainya, ingatlah bahawa 'di sana' kelak kamu tidak akan terlepas. Allah Maha Adil. 

Semoga Allah merahmati pemimpin-pemimpin di Malaysia dan memberikan kami rakyat marhaen ini kekuatan untuk berhadapan dengan semua akibat dan kesan daripada pemimpin yang telah dipilih. Doa saya juga dimurahkan rezeki dan diberkati rezeki-rezeki kami. Antara amalan yang boleh membawa kepada kemurahan rezeki adalah Solat Dhuha. Selain itu, solat tersebut juga merupakan antara sunnah terbesar Rasulullah s.a.w. Mari kita pertajamkan solat kita.  

Love..

No comments:

Post a Comment