Thursday, July 18, 2013

Berkat



Dalam perjalanan pulang dari pejabat semalam, saya terserempak dengan tea lady pejabat saya yang berasal dari Indonesia. Dia sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya yang lebih kurang 15 minit berjalan kaki dari pejabat kami. Saya menumpangkannya untuk pulang hari itu. Di dalam perjalanan dia bercerita sambil menunjukkan lokasi kejadian di mana pada semalam harinya dia ditahan seorang polis yang menaiki motorsikal dan meminta untuk melihat pasportnya. Lokasi pejabat saya memang ramai pendatang asing kerana terdapat construction site dan berdekatan dengan perumahan flat murah.


Saya memang mengetahui pasportnya telah hilang kerana dia pernah bercerita kepada Kak Morni mahu menyimpan duit untuk membuat pasport yang baru. Oleh kerana tidak dapat menunjukkan pasportnya, maka polis itu mahu menahannya. Tetapi Ju diberi pilihan akan dilepaskan jika dia memberikannya 'duit kopi'.  Saya bertanya jumlah yang diberi? Adakah RM20? Ju berkata, polis itu tidak mahu RM20, dia mahu RM50. Terpaksa Ju memberikannya RM50. Wah, jika seorang RM50, 10 orang ditahan sudah boleh mendapat RM500. Senangnya pekerjaan dengan menyusahkan orang ini. Walaupun dia memang bersalah kerana tidak mempunya pasport, tetapi itu bukan caranya menghukum. Tak hormat ramadhan langsung pakcik polis itu. Saya berkata dalam hati. 

Petang tadi Ju bercerita lagi di surau. Ju berkata, pernah ada kawannya yang mempunyai pasport dan permit kerja juga ditahan polis. Dan polis itu masih memintanya duit kopi. Kawannya berkeras untuk tidak memberi. Setelah diasak beberapa kali, barulah kawannya dilepaskan tanpa perlu membayar apa-apa wang. Belum lagi dengan cerita suaminya yang pernah diminta RM1000. Kata suaminya, dia tidak mempunyai duit sebanyak itu. Polis itu menyuruhnya menelefon kawan-kawannya dan membawa duit tambahan. Terpaksalah suaminya menelefon kawan-kawannya dan meminta tolong. Wang berjaya dikumpul hanya RM800 setelah meminjam dengan kawan-kawannya. Setelah dibentak-bentak oleh polis, maka polis itu melepaskan juga suaminya dengan bayaran RM800.

Saya bertanya, 'Kenapa diberi pada mereka duitnya?'. Nadiah, bijaknya soalan kamu. Mestilah tak boleh, mana lepas nanti. Jawapan Ju mengkagumkan saya. Ju dengan tenang menjawab, 'Tidak apalah, bukan rezeki saya duit itu'. Allah. Saya dapat merasakan kesusahannya mereka mendapatkan duit itu. Gaji Ju hanya RM900 sebulan. Semua itu termasuk penghantaran ke Indonesia untuk anak dan ibunya. Dia ke sini untuk mencari rezeki yang halal, tetapi telah disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, bagi Ju bukan banyak atau sedikit duit itu. Tetapi keberkatan itu yang dia perolehi walaupun gajinya sedikit. 

Berkat mengikut Kamus Pelajar membawa maksud 'kurnia atau rahmat Allah yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia'. Semoga kita semua mendapat keberkatan daripada Allah lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini. 




Love..

No comments:

Post a Comment