Saturday, August 2, 2014

Nikmat sihat sebelum sakit

Nenek Sa'abah selamat menjalani pembedahan menukar tulang pinggul beberapa hari sebelum raya akibat terjatuh ketika memasang langsir. Selepas didiagnos retak dan terpaksa melakukan pembedahan, nenek yang ketika itu dirujuk ke Hospital Besar Melaka terpaksa menunggu giliran dan masanya adalah selepas raya baru boleh menjalani pembedahan. Lama sangat untuk nenek menanggung rasa sakit itu. Setelah berbincang dengan Acik Oya dan Busu Bani, maka nenek bersetuju ke Hospital Pantai. Menggunakan simpanan Tabung Haji nenek (setelah Pak Lang menelefon Hospital Pantai untuk mengetahui anggaran kos. Tidak lari dari anggaran sebelumnya, kos semuanya hampir RM16k). Alhamdulillah, sehari selepas masuk ke Hospital Pantai Melaka, nenek terus menjalani pembedahan. Mujur ada Anisah anak Pak Lang yang sedang bercuti semester pulang ke kampung menjaga nenek. Selepas ini nenek perlu melatih kaki supaya dapat berjalan semula. Dengan bantuan bakal pakar fisio, hehe, InsyaAllah Allah permudahkan nenek boleh berjalan semula nanti. Nenek saya orang yang kuat dan tabah. Semoga nenek sayang saya ini cepat sembuh. :)

 Nenek selepas pembedahan. Tetamu yang datang silih-berganti.

 Malam terakhir Ramadhan saya dan Timah menemani nenek menggantikan Nisah. Gmabar ni masa pagi 29 Ramadhan dan tengah tunggu doktor nak bagi nenek raya kat rumah ke tidak. 

 Kami pulang ke kampung pada Sabtu pagi terus ke Hospital Pantai Melaka.

Fisio datang mengajar nenek teknik-teknik berjalan dengan betul untuk lebih cepat sembuh.

Menaiki ambulan untuk berpindah ke Hospital Pantai.

Satu lagi cerita sakit adalah ketika beraya di rumah kawan baik saya yang bakal berkahwin minggu depan (Along, orang doakan semoga bahagia sampai syurga), Habibah kami sempat berkongsi cerita adik perempuan (satu-satunya adik beradik sama ibu dan bapa) yang mengalami tortikolis (lebih kurang slipdisk tetapi di tulang tengkorak C5 & C6 yang terlari dari landasannya) menyebabkan kepalanya sentiasa senget ke sebelah kanan dan tidak dapat kembali ke posisi asal. Terpaksa menggunakan tangan untuk menolak kembali mukanya. Mendapat sakit ini akibat terjatuh dari bilik air dan tidak merasa sakit. Selepas hampir tiga bulan kemudian mula merasa simpton-simpton seperti tegang di bahagian bahu (dalam fikiranya mungkin stress akibat bekerja) dan yang paling menyedihkan adalah apabila sujud, bahagian yang menyentuh sejadah adalah pipi. Hampir tiga bulan juga kawan saya dan emaknya memujuk adik mereka, setiap hari mereka bergenang airmata. Pastinya masa itu sangat kritikal emosi keluarga ini. Allah. Alhamdulillah, adiknya semakin positif sekarang. Hidup bergantung dengan ubat dan sekarang membuat rawatan fisio di KL. Saya mendoakan ketabahan dan kekuatan untuk keluarga kawan baik saya ini. Umur adiknya baru 23 tahun. Jangan ingat umur menjamin kehidupan sihat kita. Gunakanlah segala kelebihan yang Allah berikan untuk membuat amal kebaikan dan mengutip pahala-pahala untuk mendapat rahmat Allah kelak. 

Semakin banyak kes fisio di sekeliling saya sekarang. Naziha, ilmu awak tidak kurang hebat. Banyak dapat tolong orang. Semoga menjadi ladang pahala kamu di akhirat kelak. Sedang bercerita mengenai adik kawan saya, ingatan saya teringat sepupu kesayangan saya Muhammad. Dia telah dua kali mengalami kemalangan jalanraya dan tiada sebarang kecederaan teruk yang dilihat. Saya telah menasihatinya untuk ke hospital supaya dapat membuat rawatan lanjut setelah mendengar cerita adik kawan saya ini. Semoga awak dengar Mad dan semoga awak selamat dari sebarang kecederaan dalaman. 

Bersama-sama mereka sepanjang cuti raya seminggu ini menginsafkan saya. Betapa saya tidak menggunakan nikmat sihat yang Allah berikan untuk saya melakukan yang lebih baik untuk diri sendiri. Saya perlu untuk mengurangkan kemalasan, mengurangkan merungut, sentiasa bersyukur, lebih bertanggungjawab terutamanya kepada ahli keluarga saya, membuat sesuatu pekerjaan dengan ikhlas dan sehabis baik dan banyak lagi yang perlu saya baiki untuk menjadi muslim yang lebih baik dari hari ke sehari. Doakan saya dan saya juga doakan kamu semua. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan yang Rasulullah s.a.w kata celaka di mana hari ini lebih buruk dari hari semalam. Semoga kita berusaha menjadi orang yang beruntung di mana hari ini adalah lebih baik dari semalam. :) 

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jika hasil tulisan saya ini menyinggung perasaan kamu. Tidaklah membawa maksud itu melainkan semuanya adalah kenangan kasih sayang dan pengajaran untuk diri saya. Semoga semua amal kita semasa bulan puasa diterima Allah. 

Love..