Post ini sudah lama didraft. Saya mempunyai kebiasaan untuk draft lama-lama dan tidak disiarkan kerana merasakan tak bestnya cerita ini dan mungkin boleh diubah menjadi lebih menarik (macam lepas review boleh jadi macam Pak Busu plak kan?) selepas itu. Tapi, lepas fikir yang blog saya ini, saya juga yang akan membacanya (cuma tak tinggal komen kepada diri sendiri sahaja), dan saya rindukan kenangan itu, maka saya siarkan juga cerita ini. Hehe.
-----------------------------------------------------------------
Setelah tiba lebih kurang jam 2 pagi di Makkah Al-Mukaranah, kami terus membuat umrah diketuai oleh Mutawif yang mengiringi kami. Nenek agak risaukan saya, mungkin kerana kali pertama saya di sini dan ramai orang bertawaf semasa itu. Walaupun jam menunjukkan pukul 2 pagi, tetapi Kota Makkah tidak pernah sunyi dari pengunjungnya. Kaabah sentiasa penuh dengan tetamu-tetamu ALLAH dan pencinta-pencinta Rasulullah S.A.W. Perasaan semasa kali pertama melihat Kaabah tidak seperti kebanyakan yang pernah diceritakan orang. 'Rasa' itu saya tidak dapat. Terfikir sejenak, jahatkah saya ini sehingga ALLAH tidak memberi 'rasa' itu? Saya mengandaikan mungkin kepenatan kerana menaiki bas selama berjam-jam menyebabkan saya tidak merasai perasaan itu. Selepas berehat, mungkin saya akan dapat merasainya. Saya menyenangkan hati sendiri. Alhamdulillah, saya berjaya membuat umrah pertama saya selepas menyelesaikan kesemua tawaf, saie dan bercukur tanpa sebarang masalah - kecuali rasa.
Kami pulang ke hotel untuk berehat dan membersihkan diri sebentar sebelum kembali ke masjid untuk solat subuh. Pagi itu setelah selesai bertawaf sunat sebelum solat subuh, salah seorang nenekku mengajak saya berdoa di hadapan Multazam. Katanya supaya saya dapat berdoa untuk dipercepatkan jodohku. Hehe. Doa yang sentiasa nenek-nenekku doakan ketika saya di sana. Sesampai di hadapan Multazam, saya berdoa untuk ayah dan emakku diberi kesempatan menjejakkan kaki mereka di sana. Doa itu sentiasa menjadi doa utama saya di mana-mana saya berdoa. Kemudian barulah doa mengenai jodohku. Doa yang sempat saya dengar ketika ustazah yang membawa kami ke Raudhah memberi doa pendek supaya dapat memberi peluang kepada orang lain untuk berdoa sama di taman syurga itu. Katanya doa supaya dipercepatkan jodoh dengan lelaki yang soleh. Itu sudah merangkumi ke semua kriteria lelaki yang baik. Seingat saya, sudah banyak tempat mustajab saya berdoa. Tetapi, jodoh, rezeki, umur itukan takdir dan janji ALLAH. Saya pasti ada bahagian saya untuk itu. Tidak di sini, di ‘sana’ kelak. Jauh lebih bahagia. Sedikit ujianku di Makkah adalah perasaan saya yang merasakan biasa-biasa sahaja. Perasaan ini masih biasa ketika berdoa di Multazam. Saya mencari ‘rasa’ yang diceritakan kebanyakan orang itu, perasaan sebak dan sayu melihat Ka’abah dan perasaan tenang berada di Makkah. ALLAH. ALLAH. Saya berdoa kepada ALLAH agar diberi perasaan itu.
Pagi itu kami akan membuat umrah bersama rombongan kami. Ada tiga kali umrah yang akan dibuat mengikut rombongan ini. Jika mahu membuat sendiri juga dibenarkan ketika waktu-waktu yang kosong dari jadual bersama kumpulan iaitu hari ke-5 hingga ke-7 kami di Makkah. Waktu inilah yang boleh diperuntukkan untuk membeli-belah atau membuat umrah dan amalan sunat yang lain. Sebelum memasang niat umrah di Ja’ranah, kami melawat Gua Hira - saya terlepas peluang mendaki gua ini, mungkin lain kali perlu mencubanya, Mina-tempat bermalam para jemaah haji yang akan dibuka sekali setiap tahun dan Jabal Rahmah. Di Jabal Rahmah, saya memanjat berseorangan kerana nenek-nenek tidak larat dan sungguh tidak sangka saya fit. Hehe. Sampai ke puncak, seperti biasa saya berdoa. Kemudian kami bertolak ke Ja’ranah untuk memasang niat umrah. Kebanyakan umrah yang saya buat, diniatkan untuk orang lain. Kata mutawif itu, jika kita berniat untuk orang pahala untuk kita akan tetap dikira. Jadi, tiada masalah cuma berniat tawaf badal sahaja. Semoga ALLAH menerima umrah saya. Kemudian kami ke Makkah untuk membuat umrah. Oleh kerana kami mempunyai seorang nenek yang biasa membuat umrah, maka kami melakukan umrah bersama kumpulan kecil (budak-budak – ke nenek-nenek? sebilikku) sahaja. Waktu ini, ketika bertawaf saya merasakan kekerdilan dan betapa beruntungnya saya dijemput ketika usia muda ini. Betapa kita perlu percaya jika ALLAH telah memanggil, maka tiada apa dapat menidakkan panggilannya. Tetapi, kita masih perlu merancang untuk perjalanan Haji atau umrah kerana ia memerlukan wang yang agak banyak. Bonus saya pada tahun lepas memang telah diperuntukkan untuk tujuan ini. Alhamdulillah. Dan betapa jika ALLAH tidak memanggil kita menjadi tetamunya, maka jika kita mendaftar menggunakan orang dalam ataupun sebagainya, kita masih tidak dapat menjejakkan kaki ke sana. ALLAH. Saya sebak mengenangkan mak dan ayah saya. Doa dipanjangkan untuk mereka.
Masalah mencari ‘rasa’ saya berlanjutan sehingga hari ke-2 di sana. Seperti mahu meminta nasihat mutawif akan masalah ini. Nak tanya nenek segan pula rasanya. Tetapi perasaan itu tidak membantutkan saya untuk membuat amalan-amalan sunat di sini dan masih berdoa diberi rasa itu. Malam itu, saya bertawaf seorang diri buat kali pertama selesai solat Maghrib. Nasihat yang dipesan oleh Mak Chah supaya melakukan sebanyak-banyaknya tawaf ketika berada di Masjidil Haram cuba saya ikuti. Di tempat lain tiada Kaabah katanya. Risau juga nenek tidak membenarkan kerana saya seorang, tetapi sangkaan itu meleset. Nenek membenarkan. Alhamdulillah. Nenek-nenek saya hanya duduk membaca Al-Quran sementara menunggu Isyak. Saya memahami keadaan mereka. Lagipun mereka sudah beberapa kali ke sini. Wah, mereka lagi kaya dari saya. Hehe. Saya terus berlari ke Kaabah. Mengejar masa kerana takut akan kemungkinan azan Isyak ketika melakukan tawaf. Sudahlah baru pertama kali dan berseorangan. Tetapi masih nekad mahu bertawaf. Berbekalkan buku panduan, saya memulakan tawaf. Perasaannya, betapa kerdilnya diri saya ketika itu dikelilingi semua orang asing dan bermacam-macam cerita yang pernah didengar, dan yang menyenangkan saya merasa selamat. ALLAHUAKBAR. Doa saya agar mak dan ayah saya sampai juga ke sini dan merasai keindahan dan kenikmatan itu. Doa itu sentiasa menjadi doa utama saya. Selesai mengerjakan umrah dan bersolat sunat selari dengan Multazam, azan Isyak berkumandang. Alhamdulillah. Muslimat telah diarahkan untuk ke atas masjid kerana di perkarangan Kaabah merupakan tempat solat kaum muslimin sahaja. Saya berusaha untuk kembali ke tempat nenek-nenekku di tingkat atas tadi, tetapi tidak berjaya kerana telah dikepung oleh pengawal wanita. Terpaksa saya mencari tempat solat di tingkat bawah sahaja. Selepas solat, saya kembali ke tempat nenek-nenekku tadi, tetapi mereka sudah tiada. Kasut saya tinggalkan bersama dengan uncang nenek tadi terlupa untuk saya ambil kerana mahu cepat . Maka, saya pulang berkakikan stokin. Di tengah perjalanan saya ditegur seorang kakak. Sangkaan saya, tiada yang melihat kerana saya berjalan agak laju. Ada juga rupanya. Hehe. Saya juga mempunyai kisah berjalan kaki ayam pulang ke hotel. Walaupun tidak kehilangan kasut. ;p
Kebiasaan hari sepanjang kami di sana, kami akan bertawaf sunat sebelum solat Subuh dan saya akan menambah dengan tawaf sunat selepas maghrib. Setelah solat sunat taubat, sunat hajat dan berdoa dan berdoa diberi perasaan itu, akhirnya saya mendapatnya pada hari ke-3 ketika sedang tawaf sunat sebelum subuh. Ketika itu, saya memegang nenek seperti kebiasaan tawaf dan biasanya nenek akan mengikut bacaan bukunya sendiri. Pada mulanya saya mengikutnya tetapi kemudian membaca buku panduan saya sendiri dan nikmat dan rasa itu ALLAH beri. Pada hari ke-3. Saya menitiskan air mata sepanjang-panjang pusingan umrah sebanyak tujuh kali itu. ALLAH. Pusingan itu saya rasakan sungguh sekejap. Sungguh nikmat rasa itu. Solat subuh saya lebih khusyuk hari itu. Tetapi rasa nikmat tidak lama. Saya kembali lalai dalam solat.
Subuh pertama di Makkah. Alhamdulillah.
Hotel saya di Makkah.
Mutawif menerangkan kisah Rasulullah mendapat wahyu di Gua Hira'
Berlatarbelakang Gua Hira'
Jabal Rahmah.
Pandangan dari atas bukit Jabal Rahmah.
Saya memanjat tangga-tangga itu seorang diri. Tahniah Nadiah.
Khemah yang digunakan untuk wukuf semasa musim haji.
Terowong yang akan dilalui ketika musim haji juga.
Nenek, kena belajar lagi ni cara-cara tangkap gambar sendiri. Hehe.
Nek Som terjumpa saudaranya ketika sedang saie. SubhanALLAH.
Laluan saie. Dah luas dah nenek kata. Dahulu macam satu lane sahaja.
Budak bilik saya. Rindu nenek-nenek ini. :D
Di dewan makan di hotel diadakan ceramah selepas Asar.
Waktu subuh pun masih ramai umat manusia di Kaabah.
Nak tukar selera. Minum ais di pagi hari.
Jalan-jalan cari sarapan selepas subuh.
Lepak depan Masjidilharam.
Kebab apa entah. Haha. Saya makan sahaja.
Berselisih dengan jenazah. Semoga rohnya di tempatkan bersama orang-orang beriman.
Miqat di Tan'im. Juga dikenali sebagai Masjid Saidatina Aisyah R.A.
Seorang jemaah di sini sedang meletakkan kurma untuk diberikan kepada jemaah lain di dalam masjid
Menunggu waktu Maghrib.
Laluan tawaf untuk pengguna kerusi roda. Berapa lama agaknya masa diambil untuk menghabiskan satu tawaf? Nenek kata, jika musim haji tawaf di tingkat atas adalah biasa kerana di bawah sudah penuh.
Juadah berbuka saya.
Budak ini sedang memberikan kurma kepada jemaah di sini.
Besarnya pahala bekerja di sini. Berada di dalam masjid. Niat iktikaf sambil bekerja.
Walaupun tidak sihat, masih gagah ke masjid. SubhanALLAH.
Seorang budak yang mahu ke sekolah.
Menaiki van ke tempat miqat untuk umrah.
Ketika menemani nenek bershopping. Pekerja ini sedang menyiapkan makanan tengahari mereka. Sempoi sahaja.
Subuh terakhir di sini.
Airport Jeddah.
Kak Nona. Geng saya di sana. Walaupun nampak muda, anak yang paling besar sudah mengambil SPM.
Bye bye. InsyaALLAH, ada rezeki kita berjumpa lagi.
Love.