Saya rindukan keluarga saya. Walaupun dekat sahaja kampung saya, kesibukan yang diada-adakan ketika hujung kadang-kadang tidak menjanjikan saya bermesra berlama-lama dengan kelurga. Alhamdulillah, saya mensyukuri segala masa yang digunakan, sekurang-kurangnya saya memenuhi masa cuti saya dengan aktiviti yang berfaedah.
Berbalik kepada keluarga saya yang dirindui, kami akan berjumpa pada Sabtu malam ini untuk sambutan hari jadi emak dan Aminah bertempat di restoran yang selalu Pak Long pelawa nak belanja, Rebus-rebus di Padang Jawa (bolehlah petik nama Pak Long untuk dapat harga yang istimewakan? Hehe. ) Majlis ini sepatutnya menjadi rahsia daripada mak saya, tetapi tidak mengapa, mak saya tidak membaca blog kecuali diceritakan oleh anak-anaknya. Hehe. Begitu juga Aminah. Saya sungguh tidak sabar untuk ke majlis ini. Terima kasih Kak Long saya yang akan menganjurkan majlis ini. Saya berdoa semuanya berjalan lancar nanti.
Sambutan ulang tahun perkahwinan emak dan ayah.
Hari Raya bertema PAS
Hari Raya bertema BERSIH
Family day bersama Atuk Bujang di Melaka
Bergambar sebelum pulang bersama anak Pok Teh
Mengajak Nafisah dan Naziha ke majlis ilmu KAMY
Raya di rumah Tok Long Kelubi
Tempat wajib bergambar. Tangga rumah Nenek Ramlah.
Terjadi pula. Biasa tak jadi gambar lompat-lompat ni. Depan rumah Busu Jalil.
Seingat saya, saya kurang membuat sambutan makan-makan di luar bersama keluarga saya. Lebih banyak bersama budak pejabat rasanya. Bukan kurang kasih sayang ya. Saya jarang bersama mereka. Saya juga kurang bersama mereka untuk aktiviti bersama keluarga. Tambahan pula, ayah saya kurang gemar makan di luar. Jadi, kami kurang membuatnya bersama keluarga- tetapi bersama rakan-rakan selalu. Haha. Seperti mana sahabat baik, masa bersama mereka akan saya manfaatkan sepenuhnya. Pada hujung minggu, jika saya ditugaskan memasak untuk makan tengahari saya akan mengajak bersama-sama adik saya yang berada di rumah. Jika Nafisah atau Naziha ada, pasti dia akan membantu saya. Aminah akan mengikut mood dia jika rajin, dia akan menolong tanpa disuruh. Jika tidak, maka tidak perlulah memekak memanggil dia membantu. Pasti dia membatu sahaja di dalam bilik. Sudah masak dengan perangai mereka, saya bersyukur mendapat mereka dalam hidup saya.
Kak Long saya merupakan seorang kakak yang sangat prihati. Semasa saya bersekolah bersamanya di kampung, dia merupakan seorang yang kaki belajar. Dia mula bersekolah di kampung ketika Tingkatan 4. Ketika itu, dia sudah tahu apa yang dia inginkan dalam hidup. Dia mahu menjadi akauntan dan sekolah lama dia (Sekolah Agama Sungai Bertih) dia tidak menawarkan jurusan itu. Maka dia berpindah. Saya semasa Tingkatan 4 masih tidak tahu mahu menjadi apa. Haha. Saya pernah dibandingkan dengan kakak saya oleh Nenek kerana rajin belajar seperti kakak saya yang sulung itu. Kata nenek, tak nampak saya memegang buku ketika mahu periksa besar juga. Sampai saya pernah berlakon masuk di dalam bilik mahu belajar, tetapi tidur. Sekurang-kurangnyya tidaklah saya menonton televisyen di hadapan nenek saya. Tenang sikit hati nenek. Kak Long saya juga selalu menjadi penasihat kewangan saya. Oleh kerana dia memaksa saya membeli rumah ketika tahun pertama saya bekerja, maka sekarang saya sudah ada komitmen. Sampai umur 60 tahun nanti. wa¬¬¬. Tetapi saya bersyukur kerana telah membelinya. Harga rumah sekarang memang mencekik darah manusia. (doa pakatan rakyat menang supaya pentadbiran negara lebih terurus untuk golongan bawahan).
Saya mula rapat dengan Kak Mi selepas saya bekerja dan semakin matang. Saya pernah bergaduh bersama dengan dia ketika tidak matang dahulu. Hehe. Semua cerita itu kan menambah sejarah dalam diri saya dan menjadikan saya semakin bijak. Aha. Kak Mi merupakan kakak yang penyayang. Selalu mengambil berat hal kami adik beradik. Sangat tidak berkira untuk membuat kerja rumah. Ketika sedang pantang juga mampu membuat kerja-kerja yang ringan. Adik saya yang tersayang pula ialah Muhammad Firdaus yang merupakan adik lelaki yang boleh diharap. Semasa Alin, Lina Arep dan saya membuat perancangan untuk Hari Keluarga, saya menganggap Arep merupakan abang yang best. Biasalah, manusia akan melihat padang lain lagi hijau berbanding padang sendiri. Itu dulu. Sekarang tidak lagi, Hehe. Sekarang saya merasakan Daus juga merupakan abang yang sangat baik untuk adik-adik dan kakak-kakaknya. Tidak dinafikan untuk emak dan ayah kami sendiri. Dari segi pelajaran, Daus masih lagi tidak menyambung pelajarannya ke peringkat seperti saya. Tetapi, dari segi rezeki saya merasakan rezekinya lebih berkat kerana sangat tidak berkira dengan adik beradik terutama dengan mak dah ayah. Saya punya baby ini sangat rajin membantu saya terutamanya dari segi kewangan. Haha. Nampak tak kekurangan berkat di situ?
Adik saya yang saya sayangi seterusnya merupakan teman bergaduh saya. Aminah. Saya berkongsi banyak kenangan dengan dia kerana dia masih duduk di Klang. Potensi untuk berjumpanya hujung minggu sangat tinggi. Adik saya yang seorang ini ada anginnya. Kalau pandai ikut rentak, boleh jadi penyelamat contohnya seperti mengemas baju untuk hari raya. Tetapi, jika tidak memang boleh dibuat gaduh. Aminah merupakan tempat saya bercerita mengenai budak-budak pejabat saya dan semua yang berlaku pada saya sepanjang minggu. Oh, saya memang suka bercerita kepada semua orang. Hehe. Dia tidak berapa menyukai saya memandu keretanya. Saya masih kurang arif penggunaan cluth dan menyebabkan pergerakannya tidak smooth. Maka, dia lebih rela memandunya dan saya menjadi penumpang. (Siapa adik kat sini? Saya kan? Haha.) Seorang lagi adik saya yang baik. Nafisah yang paling Islamik dalam adik beradik kami. Dari segi auratnya. Mungkin kerana dia bersekolah di Maktab Islam (ok Nadiah alasan tak munasabah tu). Dia akan menjaga aurat kakak-kakaknya selalu. Ikut kamilah sama ada mahu mendengar atau tidak. Menjadi penasihat saya juga (Alhamdulillah, saya menganggap adik-beradik saya seperti kawan saya dan boleh mendengar nasihat mereka) kadang-kadang jika saya mempunyai masalah. Yang gemar sikap Nafisah adalah dia mempunyai kawan yang ramai. Tidak kira di mana sahaja dia berada, dia begitu mudah berkawan. Bukan kawan setakat di sekolah sahaja, malah sampai boleh bawa ke rumah dan akan terpaksa membantu memasak sekali jika masa itu terdapat kenduri di rumah kami. Hehe. Pernah dia menceritakan seorang kawannya di UiTM Dungun menangis ketika dia mahu meninggalkan UiTM untuk meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Bangi. Walaupun baru seminggu berkenalan. Ukhwah yang dibina Nafisah memang terbaiklah.
Adik saya yang hampir bongsu tetapi bukan ialah Naziha yang kini menuntut di UiTM Puncak Alam. Naziha merupakan seorang yang bijak bagi saya. Dia lebih awal keluar dari rumah kami untuk belajar kemahiran hidup dan Alhamdulillah bersama dengan kawan-kawan yang elok. Semenjak Tingkatan 1, Naziha sudah bersekolah asrama di kampung. Cuma hujung minggu akan pulang ke rumah nenek saya dan dia masih di bawah pengawasan Pak Busu dan Mak Usu saya yang bekerja sebagai guru di sekolahnya. Naziha lebih bijak dan tenang menghadapi masalah, mungkin kerana pengalaman tinggal di asrama mematangkan dia. Saya berbangga dengan dia. Walaupun mengambil jurusan yang agak susah dan tidak langsung berminat untuk mengambil jurusan sains ketika di universiti pada awalnya. Saya melihat kekentalan dia meneruskan perjuangan dan saya doakan dia berjaya menjadi pakar fisioterapi yang mampu membantu orang lain. Fikri merupakan adik bongsu saya. Saya berkongsi cerita bola dan sukan bersama dia. Merupakan pelajar contoh di sekolah dan Ketua Tingkatan, saya juga berbangga dengan kejayaan dia. Adik saya yang senang diminta tolong untuk ke kedai membeli barang dapur ini sangat baik. Rajin ke surau untuk solat, walaupun ada kalanya menjadi malas dan kita terpaksa menyuruhnya berkali-kali.
Walau apa pun perangai adik beradik saya, saya masih bersyukur dikurniakan mereka. Melalui mereka saya menjadi matang, lebih bijak menghadapi orang lain juga dan ia merupakan satu nikmat ALLAH yang tidak saya dustakan. Doa saya semoga kami semua kelak dipertemukan di syurga. Syurga ALLAH sangat luas. Bak kata Ustaz Pahrol, waktu ini kita boleh dan patut mengamalkan kronisme dan nepotisme untuk membawa seberapa ramai ahli keluarga kita ke syurga. Semoga pengakhiran yang baik untuk kita semua kelak. Amin.
Love..