Dalam minggu depan, pada hari seperti ini InsyaALLAH saya akan berada di Tanah Suci bersama dengan nenda tercinta. Saya akan berlepas pada hari Rabu bersamaan 11hb April 2012, jam 3 petang. Mekna, Achik dan Achik Didi serta Nenek Rammelah telah selamat berada di sana dan akan pulang pada Ahad ini. Saya doakan urusan mereka dipermudahkan dan sihat apabila kembali ke Malaysia. Pada mulanya, Mekna mengajak saya pergi bersama rombongannya. Setelah saya bersetuju dan memberitahu nenek Sa'abah, rupa-rupanya nenek juga mahu pergi bersama bffnya sekarang, Nek Som. Nenek mengajak saya pergi bersama. Saya bersetuju. Menggunakan duit bonus pada tahun lepas, saya akan terbang pergi ke tempat yang menjadi idaman semua umat Islam di dunia. Saya bersyukur dengan segala nikmat ini. Saya tidak pernah merancang untuk pergi secepat ini kerana saya dan adik-beradik bercita-cita untuk menghantar emak dan ayah dulu ke sana. Saya berdoa semoga rezeki mereka dijemput ALLAH ke sana pada tahun ini. Walaupun duitnya telah cukup pada tahun lepas dan ayah memohon menggunakan kuota Ketua Menteri Melaka, namun jika belum dijemput ALLAH, semua persiapan itu tidak bermakna. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. ALLAH telah tetapkan rezeki ayah bukan pada tahun lepas. Saya doakan ayah berjaya pergi pada tahun ini. Orang pergi dulu yer ayah. Nanti ayah dengan mak menyusul tau. :)
Teruja dengan pemergian ini? Saya belum dapat merasakan keseronokannya lagi. Mungkin masih sibuk di pejabat sehingga belum sempat membuat check-list barang yang perlu di bawa dan dengan perkataan lain belum berkemas lagi. Nadiah, apa ni? Suka buat kerja last minute. Tak elok tu-sila berubah. Tetapi, saya selalu merasa sebak ketika bersolat menghadap sejadah yang mempunyai gambar Ka'abah. Saya akan ke sana nanti jika diizinkan-Mu Ya ALLAH. Mengunjungi rumahMu, bertawaf mengelilingi Ka'abahMu, berkongsi rasa-mungkin tidak sepenuhnya, Siti Hajar mencari air untuk Nabi Ismail, melawat pusara Rasulullah S.A.W dan banyak lagi pengalaman yang semoga dengan segala pengalaman itu dapat membentuk saya menjadi Muslimah yang diredhaiMu Ya ALLAH.
Kepada semua pembaca blog saya, terutamanya adik-beradik dan saudara-mara yang saya kasihi dan kawan-kawan yang saya sayangi, maafkan saya jika terdapat kekasaran bahasa, terbuat dosa, termakan/minum, terlupa bayar hutang dan terguris perasaan. Dah nama ter-kan? Tak sengaja. Jadi, minta maaf. Hehe. Tapi, untuk yang saya sengaja juga, saya minta maaf. Jika saya berhutang dan lupa bayar, minta dihalalkan atau jika tidak, boleh meminta sendiri dengan saya. Tiada masalah, saya akan bayar. :). Doakan saya dan rombongan saya selamat pergi dan kembali dan semoga saya mendapat umrah yang mabrur.
Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH. Aku bersyukur dengan semua rahmat dan kasih-sayang yang Kau berikan. Aku memohon pada-Mu Ya ALLAH janganlah Kau jadikan aku seorang yang kufur ke atas semua nikmat-Mu ini Ya ALLAH. Amin.
Love..