Sunday, November 21, 2010

Ahad - Kenduri Abul & EG

Terasa masa sekarang sangat mencemburui kita. Sudah hampir memasuki ke bulan terakhir dalam tahun 2010. Apakah yang dapat saya perolehi sepanjang tahun ini? Banyak perkara yang terjadi tetapi tidak dicatatkan di blog saya ini. Apa lagi alasan yang perlu saya beri kepada diri sendiri atas kemalasan meng'update' blog sendiri. Dahulu, akibat ketiadaan internet. Tetapi sekarang di rumah sewa saya telah memasang Streamyx. Terima kasih Nafisah kerana meminjamkan kakakmu ini nama kamu sebagai seorang pelajar. Tetapi, masih malas. Saya perlu rajin. Jika tidak, saya yang akan terlupa setiap momen yang saya cipta untuk diri sendiri.

Seperti hari ini, untuk pertama kalinya dalam tahun ini saya menghadiri majlis perkahwinan kawan saya Abul Hai&Syida di Seremban dan EG&Nasa di Kepong. Sudah ramai kawan-kawan seperjuangan saya di UiTM dahulu menamatkan zaman bujang mereka dari awal tahun. (Agak-agak berapa ya Ebah? Lebih dari 10 ada tak?) Tetapi seringkali saya tidak dapat menghadirkan diri kerana mempunyai hal-hal lain. Abul telah secara peribadi menelefon saya untuk menjemput ke majlis pertunangannya pada Raya Cina yang lepas. Oleh kerana saya ke Kelantan waktu itu, saya tidak dapat menghadirkan diri. Saya berkata kepadanya untuk datang ke majlis perkahwinannya sahaja. Tetapi, pada majlis perkahwinannya sebelah perempuan yang diadakan di Selangor, saya tidak dapat pergi kerana ada hal lain. Hampir sahaja saya melanggar kata yang telah dibuat kerana pada hari ini, saya sepatutnya berjumpa seorang teman dan ini menidakkan pemergian saya ke kendurinya di Seremban. Ebah menelefon saya semalamnya mengatakan Am akan pergi ke kenduri Abul dan jika saya mahu mengikut sama. Ebah telah menghadiri 2 majlis perkahwinan pada semalam hari (sabtu) iaitu ke Shah Alam-Imah dan Seremban-Syida. (Juga saya tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di kampung). Dia sudah tidak mampu untuk ke Seremban pada Ahad pula. Saya baru sahaja sampai di Klang pada hari Sabtu kerana pulang dari kampung berhari raya. (Saya perlu coretkan juga perihal raya di kampung ini-sebagai ingatan untuk diri sendiri)

Pada pagi tadi, teman yang sepatutnya saya jumpa menundakan masa ke sebelah petang. Saya bercadang untuk 'berlari' sebentar ke Seremban. Lantas menghantar pesanan ringkas ke Am bertanya jika dia sudah bergerak ke Seremban. Tengah bersiap balasnya. Dia akan pergi bersama Mas, seorang lagi kawan kami. Saya menelefon Lyza untuk pergi bersama-sama, tetapi dia mahu ke majlis EG di Kepong sahaja bersama Ebah. Jadi cuma kami bertiga sahaja. Meminta adik saya Firdaus menghantar ke tempat perjumpaan dan kami pun bergerak pada pukul 12.30 tengahari. Sampai di Seremban, pada pukul 1.30 petang. Abul sedang bersantap. Raja seharilah katakan. Kami makan dan menangkap gambar sebentar bersama Abul lalu terus ke Kepong. Hampir selesai majlis EG, apabila kami tiba di sana. Kami tiba jam 3.30 petang. EG sedang di dalam sesi menangkap gambar bersama ahli keluarga. Kami makan sedikit sebagai alas perut kerana saya telah melantak-tak-ingat-nak-pergi-kenduri lain di rumah Abul. EG sangat cantik. Saya suka bajunya yang putih dan simple itu. (Ruginya tiada gambar bersamanya. Sangat tergesa-gesa tadi menyebabkan saya tidak sempat mencapai kamera) Dia sangat gembira. Setelah menangkap gambar bersama pengantin, kami pun pulang. Pertemuan dengan teman saya itu, saya tunda ke minggu depan. Satu hari yang penuh tetapi menarik. Akhirnya saya menghadiri majlis perkahwinan kawan saya. Haha.

Love..

Friday, October 29, 2010

Merapi Berapi Lagi

26 Oktober 2010, Merapi meletus sekali lagi. Setelah kali terakhir pada 2006. Saya mempunyai kenangan yang sangat indah bersama Merapi. Kenangan yang tidak mungkin saya lupakan, tetapi semakin hari semakin lupa secara telitinya. Sudahlah semua gambar saya ketika di sana tiada dalam simpanan kerana laptop terpaksa diformat menyebabkan semua gambar kenangan dan kasih sayang saya hilang begitu sahaja.

Pada Jun 2007, saya bersama kawan, Badt mengikuti rombongan Temu Pemuda Serantau (TPS-01) di Jogja anjuran YPU. Masih teringat ketika Mekna dan Achik menghantar saya dan Badt semasa subuh-subuh sapie ke LCCT. Pemergian bersama sebahagian anak-anak dan kenalan dari sukarelawan Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) dan sebahagian dari PKPIM. Tanpa mengetahui aktiviti yang terdapat di sana dan sepanjang ingatan hanya mahu berjalan dan menaiki kapal terbang menyebabkan saya bersetuju apabila Makcik saya mengajak saya menyertai program ini. Sebahagian dari duit tiket juga dari mereka. Terima kasih Mekna dan Achik. Seminggu sebelum ke sana, keluarga saya dijangkiti sakit mata dan saya juga tidak terkecuali. Saat itu, hanya berserah dan masih berdoa diberi kesempatan untuk ke Jogja. Alhamdulillah, saya masih dapat ke sana walaupun mata masih merah sedikit.

Menghabiskan hampir seminggu di sana, saya sangat bersyukur. Banyak pengalaman dan kenangan yang saya kutip untuk menjadi lebih matang. Pelbagai program dianjurkan bersama dengan pelajar-pelajar Indonesia di sana. Bersyukur sangat. Saya melihat keindahan Islam di bumi Indonesia. Tak lupa dari ingatan pastilah saat solat subuh berjamaah di surau. Oleh kerana budak-budak bilik saya tidak dapat mengikutinya, maka saya ke surau yang terletak di chalet kami di Kaliurang bersendirian. Encik Anuar sudah pergi bersama-sama budak lelaki yang lain. Ketika masuk ke surau, saya mencari tempat solat wanita. Apabila masuk ke dalam surau, tiada bahagian untuk wanita. Saya keluar semula dan mencari jika terdapat kawasan lain untuk wanita bersolat. Hampa. Saya hampir mahu solat ke bilik sahaja kerana tidak tahu di mana mahu bersolat. Mujur ada seorang makcik yang saya kira merupakan penduduk tempatan datang untuk bersolat berjamaah. Rupa-rupanya, bahagian wanita dan lelaki hanya dipisahkan oleh jarak tanpa sebarang tabir seperti di Malaysia. Kami bersolat di bahagian belakang surau. Terasa lebih dekat dan rapat bersama imam. Syahdu pagi masih terasa. Selesai solat, sesiapa sahaja boleh memberikan kultum(kuliah tujuh minit). Sesiapa saja boleh menyampaikan nasihat ketika ini. Pastinya pelajar Indonesia yang bangun kerana mereka memang agak terkenal suka bercakap. Ketika itu, saya merasakan keindahan Islam. Encik Wan sedang solat kerana masbuk. Datang seorang kawan baru kami, Mujahid masuk ke surau. Dia menyentuh bahu Encik Wan, dan beliau bergerak sedikit ke belakang dan menjadi imam. Jemaah bersambung. Kali pertama saya menyaksikannya. Saya sangat kagum. Islam sangat indah.

Selepas bersolat, kami akan berjalan kaki. Chalet kami terletak di kaki Gunung Merapi dan suasana sejuk seperti di Cameron Highlands semasa saya pergi ke sana bersama usrah ayah ketika sekolah rendah. Sekarang saya dengar yang Cameron sudah tidak sejuk lagi. Agak jakun kerana apabila kami bercakap akan berasap mulut. Hehe. Saya dan Badt seperti berada di luar negara. Walhal memang luar negara pun. Sambil mengajuk-ajuk seperti naga yang keluar api. Kami cuma asap sahaja.

Acara wajib, menangkap gambar bersama sebahagian peserta

Berlatarbelakang Gunung Merapi

Masih berlatarbelakang Merapi pada hari yang lain

Banyak juga program saya di sana. Kami melawat tempat-tempat yang dilanda gempa. YPU telah mengutip derma untuk membina masjid dari buluh untuk kemudahan penduduk di sana. Kali ini, saya kurang pasti. Kami melawat satu kampung yang terletak di Bantul dan sebahagian rumah yang rosak akibat gempa tahun lalunya masih lagi kelihatan. Mereka sekampung beramai-ramai bergotong-royong membina rumah penduduk kampung secara giliran. Hal ini bertujuan membolehkan semua rumah penduduk kampung akan siap pada waktu yang sama. Semangat kerjasama dan kekitaan sangat menebal waktu ini. Saat ketua kampung bercerita mengenai saat gempa, saya turut merasa sedih. Walaupun kurang memahami ceritanya. Sudah setahun pengalamannya, tetapi ketika dia bercerita seperti sahaja berlaku. Saya berkawan rapat dengan seorang pelajar dari Indonesia bernama Neneng di sana. Saya berjaya berkongsi cerita dan mendekati penduduk setempat di sana. Walaupun penggunaan bahasa melayu yang agak sama. Saya kurang menangkap maksud perkataan mereka. Maka, Neneng akan menjadi penterjemah saya. Di wajah mereka tidak terpancar kesedihan walaupun kemusnahan masih kelihatan. Kanak-kanak masih riang bermain. Mereka perlu meneruskan kehidupan walau apa pun yang telah terjadi.

Selain itu, kami juga mempunyai aktiviti di dalam kumpulan. Team Sang Surya telah dijemput menjadi trainer untuk aktiviti kami. Berbagai aktivti memantapkan diri telah dilakukan. Seperti berjalan di atas gelas kaca kaca, menutup mata dan hanya bergantung kepada kawan yang telah kita pilih selama beberapa jam di mana makan dan jalan semua atas arahan rakan ini. Kepercayaan sangat diperlukan saat ini kerana kita seperti orang buta yang perlu dipimpin ke mana sahaja. Antara aktiviti-aktiviti yang dibuat, aktiviti ini yang saya pasti tidak akan lupa :-

Saya hampir tidak membuatnya. Dah bergenang air mata dah. Tetapi Badt telah meyakinkan saya.

Berjaya berjalan di atas bara api!! Terima kasih Badt.

Kami telah dibahagikan kumpulan juga untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Yang memeranjatkan dan menunjukkan betapa kecilnya dunnia ialah saya telah berjumpa kawan sekolah rendah saya di sini. Afif merupakan budak kelas saya ketika bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Klang. Dia datang bersama-sama wakil PKPIM dan menegur saya semasa kami dibahagikan kumpulan. Tetapi malangnya, saya tidak mengingatinya. Hehe. Maaf Afif. Saya mempunyai daya ingatan yang kurang baik.

Kelompok Agustus. Afif (kanan sekali, barisan belakang)

Kami juga sempat berjalan-jalan di Malioboro. Tempat yang menjual segala cenderamata dan barang-barang keperluan lain yang diperlukan. Tempatnya mungkin juga seperti Jalan TAR di negara kita. Tetapi mungkin lebih panjang. Selain itu, kami juga sempat ke Candi Borobodor. Menaiki anak tangga ke puncaknya memang mencabar. Anak tangganya lebih tinggi dari yang biasa. Tetapi, kepuasan setelah berjaya sampai ke atas itu, tidak terucap. Encik Anuar kata, jika tidak mendung, Merapi boleh dilihat dari sini. Kami tidak bernasib baik.

Terbang di Borobodor.

Kami juga berkesempatan melawat Mbah Marijan. Berdasarkan cerita penduduk di sana dan kawan-kawan dari Indonesia kami, Mbah Marijan merupakan pemegang kunci Gunung Merapi. Berita terbaru yang diberitahu Neneng adalah, Mbah Marijan telah meninggal dunia akibat gempa bumi lalu dalam keadaan sujud. Kami tidak berjumpa dengan beliau secara peribadi. Hanya melalui pengikutnya sahaja. Selepas itu, kami berjalan kaki pulang ke bas kami kerana beliau tinggal hampir ke puncak Gunung Merapi yang tidak boleh dimasuki oleh bas.

Bersama Yan, Badt dan Neneng. 4km lagi ke puncak gunung merapi

Malam terakhir kami di Jogja, diadakan malam kebudayaan. Semua kumpulan ditugaskan membuat persembahan pada malam tersebut. Kumpulan kami menyampaikan boria dan dikir barat. Ada juga yang membuat tarian piring, dan menyanyi lagu ciptaan sendiri menggunakan alatan sedia ada seperti sudu dan bekas air. Pelajar Indonesia memang kreatif dan berbakat dalam muzik. Saya akui itu. Berakhir seminggu aktiviti saya di Jogja, kami meninggalkan Jogja pada Jumaat 8 Jun 2007. dengan menaiki kapal terbang dari Bandara Solo.

Pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. Saya menjadi lebih berani. Saya menjadi Nadiah yang lebih baik. Saya menjadi 'seseorang' selepas pulang dari Jogja. Sekarang, saya memerlukan kekuatan untuk menjadi seperti itu. Semakin hari saya semakin hilang fokus. Membuat kerja di pejabat juga tidak bersungguh-sungguh. Saya mahu Nadiah selepas pulang dari Jogja. Benarlah kita perlu mengembara untuk menambah pengalaman hidup dan sentiasa berubah untuk menjadi lebih baik. Nak kena pergi bercutikah saya?(hehe. alasan). Gempa di Jogja dan kematian Mbah Marijan mengingatkan saya kenangan itu. Saya harus berubah.

Nadiah Fighting!!

p/s : Semoga semua penduduk yang terlibat dengan gempa bumi itu tabah dan sabar dengan ujian Allah ini. Al-fatihah untuk mangsa yang meninggal dunia.


Love..

Wednesday, October 27, 2010

Harta ini Ahmad Albab yang punya

(Tajuk tiada kaitan dengan entri ini-untuk mengelakkan mendapat markah karangan terpesong)

Satu-satunya harta saya sepenuhnya merupakan motor kesayangan saya. Pembelian semasa mengikuti latihan amali tahun akhir diploma dan masih lagi digunakan sekarang. Satu-satunya harta yang saya 'nampak' dari Pinjaman Melaka semasa belajar dahulu. Motosikal Yamaha SRV hasil perkongsian duit ayah dan saya pada tahun 2005 memang berbaloi. Semua pinjaman saya pada semester tersebut digunakan (hairan juga untuk yang lain-lain semester. apa yang saya buat?). Motor yang telah sangat banyak berjasa ketika saya menjalani latihan amali di ARM Perunding Seksyen 13, Shah Alam bersama Deekay. Selepas itu, satu semester saya meninggalkan motor di rumah. Ada juga cadangan untuk membawa motor itu ketika semester 6 di Perak tetapi tidak berhasil. Ayah saya agak keberatan membenarkan saya membawa seorang motor ke Sri Iskandar ketika awal semester. Mujur saya tidak bawa. Jika tidak pasti langkah saya menjadi semakin panjang.

Saya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Shah Alam selepas itu. Harta saya itu menyambung jasanya kepada saya. Saya menggunakannya ke kelas dan hampir setiap hujung minggu balik ke rumah di Klang ketika tinggal di hostel. Selain itu, motor itu juga mengabadikan kenangan bersama rakan-rakan saya ketika di Shah Alam. Saya membawa hampir semua kawan-kawan saya. Pembonceng saya sudah pasti Ina, Lyza, Miera, Deekay dan Alin. Ketika Ramadhan, perkara yang paling diingati pastilah menaiki motor bersama Ina atau Miera untuk solat terawih di Masjid Shah Alam. Ina, merupakan teman baik saya yang sering saya ajak untuk ke mana sahaja. Kami pernah bersama-sama Lynda pergi ke PKNS untuk menyaksikan Izwan Pilus. Ina merupakan peminatnya. Kami layankan sahaja. Saya lupa, tetapi saya rasa saya mendapat cabutan bertuah CD lagu Syura ketika persembahan tersebut. Selain itu, pengalaman membawa motor ke UiTM Puncak Perdana untuk menonton filem Itali kerana saya mengambil bahasa Itali sebagai bahasa ketiga.

Ketika di UiTM, Tam dan Zaidi merupakan 'teman lelaki' motorsikal saya. Ada sekali ketika tinggal di Teratai, tayar motor saya pancit. Saya berjalan kaki ke tempat kuliah. Sampai di kelas, saya mengadu dengan Tam dan dia bersama Zaidi membawa motor saya ke bengkel motor. Hehe. Selain itu, ada sekali saya mengepam tayar di BHP. Tetapi, pam di situ telah rosak menyebabkan motor yang sepatutnya menjadi semakin keras, telah menjadi sebaliknya. Mujur ada seorang kakak yang sanggup menghantar saya dan Alin ke UiTM dan saya meninggalkan motor di situ. Sampai di kelas, saya ceritakan kepada Tam dan dia bersetuju mengambil motor saya dan membawa ke bengkel. Terima kasih Tam.

Saya masih menggunakan harta saya ini ketika bekerja. Memang mudah. Oleh kerana rumah sewa saya berdekatan dengan pejabat saya. Saya mampu keluar rumah jam 8.15 pagi dan sampai di pejabat jam 8.30 pagi. Orang kata, makin dekat, makin lambat. Hehe. Bulan lepas, motorsikal saya pancit di pejabat. Oleh kerana pulang malam, saya terpaksa meningalkan di pejabat dan meminta makcik saya menjemput. Seorang trainee di tempat saya bersetuju untuk menghantarkannya ke bengkel motorsikal keesokan harinya. Menarik bukan? Saya berjumpa boyfriend motor saya di pejabat juga. Haha. Antara paksa rela juga. Tetapi, Amir memang best. Kelmarin sekali lagi motor saya meragam. Tanda sayang orang kata. Sekali lagi, Amir menawarkan diri untuk membawa motor saya ke bengkel. Kali ini, bearing saya pula bertukar. Alhamdulillah, saya mempunyai orang di sekeliling yang sanggup membantu menjaga motorsikal saya ketika meragam. Mujur motorsikal saya tidak banyak meragam. Jika tidak, pastilah akan lebih menyusahkan mereka yang menjadi boyfriend motorsikal saya. Hehe. Teruskan berkhidmat BHS 4074. Jasamu masih diperlukan. :)

p/s: Bila nak ganti dengan Vios ni? Haha.. Tak tercapai akalku..

Love..

Saturday, October 9, 2010

Malam-malam yang sibuk

4hb Oktober (Isnin) - Balik ofis awal. Pukul 6.45 petang. Gembira nak dapat netbook baru hasil penyewaan bersama Telekom selama dua tahun. Orang yang nak hantar netbook telefon dan nak bercakap dengan Nafisah. Sedangkan minggu lepas telefon katanya boleh ambil bagi pihak, samada mak ayah ataupun adik-beradik. Bila tanya kenapa tak boleh, katanya sebab polisi baru. Dalam masa 4 hari saja, HP dah tukar polisi. Sengal. Mereka akan telefon Nafisah untuk mengesahkan, saya merupakan kakak Nafisah. Malas nak layan. Makan buka puasa dengan Biha dan Fad. Alhamdulillah, dapat buat puasa ganti dalam masa 6 hari Syawal. Malam ni, detik jam 12 malam, buat projek rahsia. Berlakon untuk sambut hari jadi Fad, budak baru ahli No. 86. Bincang sikit-sikit babak yang perlu dilakonkan. Memang hampeh. Pertama kali nak mengenakan budak rumah untuk sambut hari jadi. Nak kena tunggu sampai pukul 12 malam. Nasib baik dipercepatkan ke jam 11.30 malam. Tidur lewat.

5hb Oktober - Balik macam biasa. Lewat sikit. Malam ni pun ada projek lagi. Harijadi mekna a.k.a budak bilik saya. Sementara tunggu waktu sambutan, tengok Gossip Girl kat komputer riba dalam bilik. Mekna dah kata dah, taknak sambut. Dia mengantuk dan nak tidur. Mana boleh kata budak-budak rumah saya. Mesti kena juga. Ebah kejutkan Mekna kata Shima muntah-muntah. Shima kurang disayangi. Lakonan tak bejaya. Hehe. Sambut juga hari jadi mekna. Tidur lambat lagi.

6hb Oktober - Buat surprise party untuk Mekna dekat rumah Mak Ngah. Kerja saya, bawa birthday girl ke tempat yang dijanjikan. Macam-macam idea. Nak hantar barang kat rumah Ili sebab pagi tadi ada makan-makan untuk budak ofis yang samabut harijadi bulan 10 ni dengan Mr Toh yang dah berhenti. Kemudian Alin kata buat ayat yang dia nak belanjalah. Berjaya juga bawa Mekna, walaupun terlambat. Balik lewat, tetapi majlis yang menarik. Sangat seronok walaupun pagi tadi penat uruskan majlis kat pejabat. Seronok jumpa mak dengan ayah sebab minggu ni tak dapat balik kampung. Hujung minggu ni agak sibuk.

7hb Oktober - Dapat netbook. Yeay! Sempat setup sebelum keluar. Pergi rumah Kak Ina kat Cheras dengan budak-budak rumah. Kak Ina buat makan-makan. Kak Ina masak tom yam. Makan dengan seronok. Makan kuih raya yang sangat sedap. Semuanya Kak Ina buat sendiri. Mantap. Kita sekarang, kuih dah main tunjuk-tunjuk saja. Hehe. Sampai rumah pukul 11 malam. Tengok kejap netbook tadi, sempat mesej Kenny minta masukkan Microsoft Office kat pejabat besok. Sampai pukul 12.30 malam. Tidur lambat lagi.

8hb Oktober - Terpaksa tangguhkan untuk jadi Reader dengan Cikgu Iran. Penat. Baju berlambak dalam bakul. Cadangnya nak bermalas-malasan atas katil dan membasuh baju. Habibah telefon nak ajak pergi hantar mak Khariani di Kompleks Tabung Haji. Nak pergi Haji. Menariknya. Bilalah boleh hantar mak dengan ayah ni? InsyaALLAH ada rezeki mak ayah tu. Lepas teman Mekna buka kat luar, Habibah datang jemput. Oleh kerana kenaikan saya kurang sesuai bergerak waktu malam, maka saya terpaksa dijemput seperti puteri ya. Haha. Di sana, tunggu sehingga mak Khariani mahu masuk check-in. Katanya pukul 1 pagi, pukul 1.30 pagi masih tidak masuk. Terpaksa mengundurkan diri. Keesokan hari mahu kerja. Masih lewat juga tidur malam ini.

Penuh dengan aktiviti malam. Hehe. Minggu yang penat tetapi menarik. Macam-macam kegiatan boleh dibuat rupanya di malam hari.

Love..

Friday, October 8, 2010

Sisi Lain Saya - Episod 2

Projek 10.10.10 : Mengurangi Kepanasan Global - Agenda Lokal

Pada 10.10.10 di setiap pelusuk dunia, pelbagai usaha akan dilakukan bagi mengurangkan masalah kepanasan global. Antaranya ialah dengan menanam pokok, mengusahakan kebun secara organik, menggunakan tenaga solar, menaiki basikal, kitar semula dan banyak lagi.

KAMY tidak ketinggalan menyambut baik idea Projek 10.10.10 ini dengan menanam pokok. Untuk itu, KAMY mengundang semua AJK, aktivis KAMY & YPU, serta sesiapa yang berminat untuk sama-sama menjayakan misi menyelamatkan dunia!

Projek 10.10.10 akan diadakan di kawasan kediaman Pn. Siti Zaleha Syed Idris, seorang aktivis YPU. Maklumat program adalah seperti berikut:


Projek 10.10.10
di Lot 53A, Kg. Pasir Baru, Petaling, Kuala Lumpur
9:00a.m. - 11:00a.m.

9.00a.m. - 9.30a.m :
Pertandingan Mewarna oleh Anak-anak murid Taski Kg. Pasir

9.30a.m. - 10.00a.m:
Ucapan oleh Sdr. Hj. Ahmad Kamal Mohd Ali
(Ahli lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Ummah)

10.00a.m. - 10.30a.m:
Acara Menanam Pokok

10.30a.m - 10.35a.m:
Ucapan AJK KAMY

10.35a.m - 11.00a.m:
Minum pagi


KAMY tidak bersendirian dalam misi murni ini. Terdapat lebih 5987 persatuan yang turut menjayakannya. Sila layari laman web ini. Marilah menyinsing lengan menanam pokok seperti mungai atau kelor, neem atau mambu, buluh madu dan sebagainya serta bersama-sama mengikuti perkembangan pertumbuhannya sekerap yang mungkin.

Ayuh selamatkan dunia dengan usaha kecil ini!

Kita jumpa di Kg. Pasir Baru jam 9 pagi pada Ahad, 10 Oktober 2010. :)



Nadiah Zainal
Setiausaha KAMY

Wednesday, September 22, 2010

Sisi Lain Saya

Achtung!

Bercerita tentang Jerman, apa yang terbayang di fikiran kita? Michael Ballack? Miroslav Klose? Hmm..adakah pengetahuan kita tentang Jerman sekadar berkisar dua pemain bola sepak tersebut? Bagaimana tentang musimnya, makanannya, cara hidup masyarakat Jerman juga budaya mereka dan banyak lagi?

Nah, kita tidak perlu menempah tiket penerbangan terus ke Berlin untuk mempelajari tentang negara tersebut. Kita bertuah kerana di kalangan aktivis KAMY terdapat seorang jejaka tampan lagi berkarisma yang sedang melanjutkan pengajian di Albstadt dalam bidang kejuruteraan. 'Afif Mohd Anuar telah berada di Jerman semenjak 2007 dan kini beliau berada di tahun akhir pengajian. 'Afif amat berbesar hati berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau sepanjang di negara kelahiran Adolf Hitler ini.

Ini bukan 'Afif Anuar

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama menelusuri pengembaraan 'Afif. Marilah kita menambah lagi ilmu di dada menerusi Siri Sarasehan KAMY 04/2010 pada Ahad, 26hb September 2010 jam 3 petang di YPU.

Bagi memeriahkan lagi majlis ilmu KAMY, semua aktivis KAMY dialu-alukan membawa juadah hari raya secara pot-luck. Apa sahaja makanan boleh dibawa. Ringan atau berat bukan ukuran. ;)

Akhir kata, jumpa di YPU Ahad malam nanti. Datang jangan tak datang tau.

Danke!

NADIAH ZAINAL
Setiausaha
Kumpulan Aktivis Muda YPU (KAMY)

Sumber asal di sini.

Tuesday, August 31, 2010

PENGALAMAN BERPUASA

Saya teringat kenangan Ramadhan ketika berpuasa di rumah lama kami di tepi sungai (sekarang masih juga di tepi sungai), saya mula berpuasa ketika di tadika. Saya ingat yang ketika rakan-rakan lain makan, saya akan bermain di bahagian permainan kerana berpuasa. Selain itu, saya juga pernah bersama-sama jiran saya mencuri-curi makanan ketika berpuasa. Oleh kerana, kawan saya merupakan anak tokey buah, dia telah mengambil beberapa biji buah epal dan kami makan bersama-sama di perumahan TNB yang lama. Punyalah jauh perjalanan kami, takut ditangkap. Malamnya, kami akan berterawih di dewan. Ayah saya menjadi imamnya. Saya dan kawan baik, Ila akan datang awal untuk membentang tikar. Ayah saya akan membuat lapan rakaat terawih dan tiga rakaat witir. Pada setiap rakaat, ayah saya akan sujud lama untuk berdoa. Selepas solat, saya dan kawan saya akan menyediakan makanan yang diberikan oleh orang kampung sebagai more. Selepas itu, kami akan membasuh pinggan dan mengemas dewan. Semenjak saya bekerja dan belajar, sudah lama saya tidak berimamkan ayah untuk terawih. Sabtu lepas, kami telah membuat buka puasa di rumah. Ayah saya mengimamkan kami. Rindu saya pada suara ayah saya.

Oleh kerana bercuti lama sempena Nuzul Quran dan Merdeka, hampir tiga hari saya di Klang. Saya sempat solat subuh di surau berdekatan rumah saya (antara nenek saya ajar ketika saya di kampung semasa berpuasa adalah subuh di masjid, kerana kata nenek waktu Ramadhan ini sahaja kita akan bangun awal pagi). Ada tazkirah selepas subuh. Saya sudah lama tidak menghadiri kuliah agama. Semakin cetek ilmu agama saya. Antara yang saya belajar adalah "Kita akan masuk syurga dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH". Sudah dua kali saya mendengar frasa ini. Pertama, ketika siri wacana KAMY bersama kawan Pak Busu, Lutfi dan kali ini dengan Ustaz di surau. Adik saya Firdaus juga mengiyakan dengan memberi contoh seorang wanita kafir yang memberi minum anjing yang dahaga dan dia dimasukkan ke dalam syurga atas kasih sayang ALLAH. Juga seorang alim yang telah mengurung seekor kucing tanpa memberi makan dan minum hingga mati telah dimasukkan ke dalam neraka kerana menganiaya binatang. Pesan adik saya, apa sahaja yang kita lakukan, hendaklah untuk mendapat rahmat dan kasih sayang ALLAH. Adik saya itu, sungguh banyak ilmu dia. Semakin saya belajar, terasa semakin kurang ilmu saya. Benarlah ilmu ALLAH ini sangat banyak. Masih banyak yang perlu saya pelajari.


Love..

Monday, July 19, 2010

Mari Belajar Memasak


Sabtu yang lepas, saya telah menghadiri program KAMY. Programnya adalah di sini. Cik Leha dan Nazifah masing-masing telah mempunyai menu. Saya bercadang untuk membuat trifle. Saya pernah membawa trifle ke program KAMY yang lepas, tetapi bukan saya yang membuatnya. Oleh kerana pulang lewat dari pejabat, Ebah telah membuatnya bagi pihak saya. Jadi, kali ini saya akan membuatnya sendiri. Menarik. Pertama kali merasa trifle adalah ketika di rumah Mak Long. Tidak sempat belajar bersama Mak Long, tetapi budak pejabat saya telah mengajar Ebah, dan Ebah mengajar saya. Terima kasih cikgu. Tiada gambar trifle yang saya buat. Jadi, saya telah menggoogle. Ini merupakan gambar yang sangat hampir dengan resepi yang saya belajar dari Ili.

kredit gambar - hanieliza.fotopages.com

Bahan-bahannya adalah :-
1- Kek-boleh pilih antara kek span, kek mentega, kek marble atau swiss roll.
2- Agar-agar segera
3- Buah-buahan dalam tin
4-Sedikit Tepung kastard

Cara-caranya :-
1- Potong kek ikut ketebalan yang diinginkan. Jangan terlalu tebal atau nipis. Sesedap rasa orang kata. Letak di dalam bekas. Tekan-tekan untuk memampatkannya dan untuk menghalang agar-agar jatuh ke permukaan bekas.
2-Kacau dua sudu tepung kastard bersama air buah-buahan di dalam tin. Kemudian spreadkan di atas kek tadi.
3-Letak buah-buahan campuran. Kali kedua membuatnya, saya meletakkan Nata De Coco Laici juga. Ikut kreativiti anda ya.
4-Masak agar-agar tadi mengikut arahan pada kotak. Tunggu sejuk, dan letak di atas buah-buahan campuran itu untuk mengelakkan agar-agar tadi meresap ke kek jika masih panas.
5- Siap!! Sesuai makan ketika sejuk. Masukkan dalam peti sejuk dahulu.

Menarik bukan? Senang sahaja. Saya suka makanan yang saya suka dan tidak susah untuk dibuat. Malam itu, saya bertemu Mak Long ketika kenduri meraikan hari jadi nenek. Cara Mak Long lain pula. Kastard dijadikan satu lapisan lain. Saya akan belajar dengan Mak Long juga lepas ini. Semasa mencari gambar trifle tadi, banyak cara rupanya untuk membuatnya. Hehe. Sedap2. Saya akan cuba cara yang lain pula nanti.

Hari Ahadnya pula, saya memasak Masak Lemak Pucuk Ubi. Tetapi, saya tukang kacau saja. Kakak saya telah menumbuk bahan-bahan rencahnya. Oleh kerana saya tidak menumbuknya, saya terlupa bahan-bahannya. Mungkin bawang merah dan putih, dan ikan bilis kalau tidak silap saya. Masukkan semua ke dalam periuk dan masukkan santan. Kacau sehingga mendidih. Letakkan garam secukup rasa dan sebiji cili merah yang dihiris. Setelah mendidih, masukkan pucuk ubi yang telah siap direbus dan ditoskan. Siap. Mudah dan sedap juga. Haha. Asyik memuji masakan sendiri sahaja. Hehe. Hujung minggu yang penuh dengan aktiviti ke dapur. Menarik. Boleh diteruskan.

Love..

Tuesday, July 13, 2010

World Cup 2010

Untuk memasukkan dalam kenangan saya mengenai World Cup 2010, saya tulis entri ini. Cuma dua perlawanan yang saya tengok secara penuh. Berpuluh-puluh perlawanan yang lain, budak pejabat saya akan tolong meng'update'kan maklumat pemenang dan perlawanannya kepada saya. Dua perlawanan itu ialah perlawanan Brazil menentang Ivory Coast dan Sepanyol menentang Belanda. Perlawanan pertama saya lihat siaran ulangan ketika menemani budak rumah saya merangkap budak pejabat, dan bekas budak bilik masa di UiTM Sri Iskandar serta bekas budak kelas masa di UiTM Shah Alam, Syuibah ke hospital kerana sakit perut. Dia mengadu sangat sakit perut pada tengahari dan meminta seorang lagi kawan sepejabat kami menghantarnya ke hospital. Ili dan saya menghantarnya ke Damansara Specialist kerana berdekatan dengan pejabat kami dan Gamuda menyediakan insurance yang membolehkan kami ke hospital swasta. Menarik. :)

Kami ke bahagian kecemasan. Malangnya, suasana di bahagian tersebut langsung tidak menggambarkan detik-detik cemas. Selepas mendaftar, kami terpaksa menunggu sehingga nama kawan saya dipanggil. Mungkin hampir 15 minit juga kami menunggu untuk dipanggil, dan ingatkan akan selesai. Rupa-rupanya tidak. Ebah disuruh berjalan sendiri dengan keadaan yang sakit untuk mengambil ujian darah, scan, dan macam-macam lagi. Hospital berbayar pun macam tu perkhidmatannya. Sementara menunggu Ebah selesai semua urusan, saya dan Ili sempat melihat perlawanan bola sampai habis. Setelah semua urusan selesai, selepas tiga jam barulah Ebah dibenarkan ke biliknya. Tiga jam?! Sangat menggambarkan ketidakcemasan unit kecemasan tersebut. Ebah disahkan appendix dan terpaksa dibedah pada keesokan harinya. Jumlah kos rawatan dan pembedahan Ebah adalah sebanyak RM11,000. Haha. Agak gila di situ. Boleh buat downpayment nak beli Vios. Nasib baik insurance tolong bayarkan. Terima kasih Gamuda! Itulah kali pertama saya menonton perlawanan bola secara penuh. Kaka sangat comel berjalan keluar padang setelah dilayangkan kad merah.

Kali kedua, perlawanan terakhir Piala Dunia 2010. Saya melihat bersama Aleen, tetapi dia di Subang dan saya di Petaling Jaya. Aleen ada mengajak saya menonton bersama-sama. Mesti lagi menarik. Tetapi, saya kepenatan kerana paginya saya menghadiri kursus di Jalan Klang Lama sepanjang hari. Kemudian menemani Sze Zee ke Amcorp mencari beg tangan dan hanya sampai di rumah hampir 9 malam. Setelah bergayut bersama Aleen sehingga pukul 12 malam, saya tidur kerana memang bercadang mahu melihat perlawanan bola malam nanti, jadi saya perlu tidur dahulu. Jam loceng saya berjaya mengejutkan saya pada jam 2.30 pagi. Kalau sembahyang tahajud ni mesti banyak pahala. Ini, menonton bola Nadiah? Hehe. Untuk mengurangkan rasa bersalah, saya memenuhkan aktiviti ketika menonton bola dengan melipat baju yang telah seminggu di dalam bakul, kemudian menggosok baju untuk ke pejabat esoknya. Teringat adik kecil saya, mesti sedang menonton juga bersama abangnya dan mungkin bersama ayah saya juga. Adik saya itu memang kaki bola. Ada sekali, ketika Pak Busu tinggal bersama kami dan mahu menonton perlawanan bola pada malam hari, beliau terpaksa melihat tanpa suara untuk mengelakkan Fikri terjaga kerana dia perlu ke sekolah keesokan harinya. Tetapi, Fikri terjaga juga. Hehe. Pada jam 4 pagi, budak rumah saya bangun untuk bersahur dan menemankan saya menonton perlawanan sehingga habis. Maka, itulah dua perlawanan yang saya tonton sepenuhnya.

Adikkk.... Rindu.... :)

Macam bukan entri pasal bola. Tiada langsung ulasan bola. Haha.

Love..