Monday, September 28, 2020

Perkenalan Dalam Hidup

Pada umur 35 tahun, saya masih rasa nak kahwin. Walaupun kisah cinta orang sekeliling kurang menyenangkan. Saya punya kakak yang bercerai, kawan yang juga baru bercerai semasa MCO, kisah rumah tangga orang sekeliling yang semakin hari semakin membimbangkan dengan cabaran yang saya fikir kadang-kadang susah agaknya cabaran kahwin ni?

Tapi, saya masih melihat perkahwinan sesuatu yang menggembirakan. Dia tidak akan senang. Tapi, boleh diselesaikan dan menggembirakan ramai orang. Contoh utama pastilah Mak Usu Baya. Kedatangan dia ke dalam keluarga kami amat menyenangkan. Kalau dia nak buat jalan-jalan, mesti ajak keluarga ramai-ramai. Kalau beli baju anak-anak dia, mesti ada bahagian anak Ami dan Along. Dan Busu jadi lebih bertanggungjawab lepas kahwin. Mana fikir yang Busu akan jadi imam setiap kali solat. Dulu, solat pun lambat-lambat. Fikiran ringkas saya, perkahwinan akan menjadikan kamu lebih baik dari sebelumnya. 

Sebenarnya, semua sesuatu perkata di dunia, jika menjadikan kamu lebih baik itu baik. Saya masih belum fikir mahu berkahwin kerana sunnah itu yang utama. Niat pastinya boleh banyak. Cuma itu bukan yang utama. Ilmu saya belum sampai ke tahap itu. Dan berkahwin kerana Allah juga belum juga. Masih mencari alasan untuk itu semua. Jika satu hari Allah izinkan saya berjumpa dengan orang yang saya suka, dan dia suka saya. Ada kekurangan dalam diri dia, saya boleh tolak ansur ke? Setakat ini, saya masih okay. Sampai di tahap mana? Saya kurang pasti. Semoga Allah beri saya petunjuk untuk semua ini. Dengan tidak menafikan selama ini saya tenang di bawah jagaan Dia. Moga Allah masih limpahkan rahmat dan kasih sayang dia ke saya sampai ke syurga. 

Kisah perkenalan dengan orang, masih  saya sambung. Saya masih menganggap ini usaha saya yang Allah belum beri hasilnya. Tetapi, ia adalah cerita yang memeriahkan jalan kehidupan saya yang agak biasa. Saya biasa sahaja orangnya. Sangat biasa. Tiada kisah luar biasa.  

Baru-baru ini, saya keluar mencari kedai bateri jam di Mytown. Dalam sedang mencari, saya disapa seorang lelaki India. Berumur dalam 40an. Dia sedang mencari kedai kopi. Dipendekkan cerita, kami minum bersama malam itu. Dalam pada sedang berborak, dia bertanya adakah saya sudah berkahwin? Dengan menjawab belum dan soalan yang sama diajukan kepadanya juga. Dia telah berpisah dengan isterinya. Saya pun okay sahaja. Kemudian, dia mahu berkenalan dengan lebih lanjut katanya kepada saya. Haha. Saya okay sahaja. Serabut dengan MCO minggu itu, menyebabkan saya menerima pelawaan minumnya malam itu. Agak seronok berbual dengan orang luar, bukan pasal kerja, tanpa ada judgement sebab tak kenal. Tidak sangka ke tujuan ini perginya. Saya masih percaya kepada intuisi sendiri. Saya tidak akan apa-apa. Lagipun kami makan di luar tempat orang ramai. 

Oleh sebab kami dalam fasa berkenalan, esoknya dia mengajak saya makan malam. Haha. Secepat ini? Saya layankan. Apabila pulang malam itu, saya menelefon ayah menceritakan hal ini. Ayah biasa sahaja. Dia kata 'Okay, keluarlah.' Saya meminta doa emak dan ayah. Jika ini adalah orangnya, mudahkan dan jika bukan, selamatkan dari apa-apa. Pagi itu, saya meminta nasihat Faezah apa yang perlu saya bualkan. Faezah sedikit pelik dengan cara orang itu melihat saya. Tetapi, dia masih bersetuju untuk saya keluar malam itu. Sedikit tips dia berikan seperti :-
  1. Tanya pekerjaan dia di mana. Pejabatnya. Bila dah ingat, nanti kita call ofis tu untuk make sure dia wujud tak? <-- Dia kata dia menumpang ofis kawannya
  2. Tanya background family dia. Nak cari dia nanti senang. <-- Katanya mak ayah dah meninggal, Abang tinggal kat Itali
  3. Tangkap gambar. <--saya gagal yang ini.
  4. Tengok IC. <--Juga saya tak berjaya minta. 

Malam Sabtu itu, saya keluar juga. Kami berborak seperti biasa. Kemudian dia mengajak saya keluar esok (Sabtu). Mula-mula ke KLCC, saya menolak. Kemudian ke Genting Highlands, saya fikir dulu saya kata. Dan turn-off dia adalah ketika dia mengajak ke Cameron Highlands dan dia meminta saya berbohong dengan emak saya dengan mengatakan saya ke sana bersama rakan pejabat. Nak ajak berbohong itu satu. Kemudian dia menyuruh saya membawa baju jika tidak sempat turun, bolehlah tidur di sana. Yang ni, serius dah habis kalahlah dia. Haha. Okay. Yang ini memang di luar minda saya. Saya masih menolak dengan lembut. Sambil gelak-gelak. Saya mencadangkan untuk bersarapan sahaja esok pagi. Tempat pun, saya akan pergi sendiri. 

Bersyukur saya dengan nikmat ayah dan emak yang saya cerita apa sahaja. Nikmat duit yang sentiasa ada untuk saya buat benda yang saya nak, nikmat penat kerja dan saya nak tidur hujung minggu je, nikmat tak pandang sangat duit orang sebab Alhamdulillah semua benda nak boleh dapat dan nikmat kasih sayang orang sekeliling. Semasa baru-baru berborak dengan Emir (katanya nama dia ni), dia tanya adakah saya stress? Saya kata tidak. Dia tanya, kerja tak stress? Saya kata, stress, tetapi bearable. Family? Okay. Saya bahagia dengan family saya. 

Jika orang yang ditegurnya mempunyai masalah kerja atau keluarga, pastinya Emir ini sesuatu yang diperlukan. Dia menceritakan berapa stabilnya dia. Membawa Mercedes, duduk di Publika dan bayar untuk makan malam kami. Saya diselamatkan Allah kerana punya kelebihan itu semua. Mungkin untuk orang lain, dia akan terikut pelawaan itu kerana kurang mendapat itu semua. Sedikit risau dengan anak buah perempuan saya. Dia tidak mendapat kasih sayang ayah sangat. Semoga kasih sayang Along menjadikannya dia tidak perlu mencari orang luar untuk itu. Di bahagian saya, haruslah lagi banyak kasih sayang perlu dicurahkan kepada anak-anak buah saya. Supaya, untuk apa sahaja terjadi di luar, kamu pulang dan kita selesaikan bersama dan terima kamu seadanya. 

Pengakhiran perkenalan saya dan Emir berakhir malam itu. Cadangan mahu bersarapan pagi dibatalkan olehnya. Tidak mengapa. Begitulah kisah perkenalan saya. Dia akan berakhir dengan mudah. Saya meneruskan kehidupan seperti biasa.

Syukur untuk semua cerita dan cinta dari Dia. 

Kesayangan Alang

Semoga dirahmati Allah selalu

Sehari sebelum Ai Tee masuk ofis. Kaitan dengan entri? Haha. 


Love..

No comments:

Post a Comment