Tuesday, March 10, 2020

Perasaan kehilangan

Diam tak diam, dah masuk bulan ketiga saya duduk di rumah baru. Setelah dua bulan duduk seorang, akhirnya saya ada housemate. Deekay baru mula kerja 2hb Mac yang lalu. Semasa beliau datang untuk interview dua minggu yang lepas, saya berdoa dia akan dapat dan dia sihat supaya dapat bekerja dan naik tangga. Almaklum, rumah saya mana main setingkat dua ni. Apa barang? Lima tingkat hokay. Haha. Alhamdulillah, Allah makbulkan. Deekay dapat kerja itu.

Hari pertama bekerja, malamnya semasa pulang ke rumah dan memberi salam sebelum masuk, Deekay menjawabnya. Seronoknya perasaan. Sebelum ini, hanya malaikat menjawab. Kami berborak. Dia gembira dengan tempat kerjanya dan tidak merasa pening. Naik tangga pun okay. Walaupun masih baru, saya gembira mendengarnya. Seronok ada budak rumah ni. Biasa balik seorang je. Ini ada kawan yang boleh menyembang. Menarik! 

Hari Rabu yang lepas, saya telah dikejutkan dengan keinginan Nic untuk berhenti kerja. Argh. Sedihnya. Nic sangat membantu saya. Nic pernah menyumpah saya dan saya okay sahaja kerana tahu, dia tidak memaksudkannya. Saya yang mengajak Nic masuk ke Gamuda, atas arahan Ai Tee. Selepas itu, dia dinaikkan pangkat dan semenjak itu, beban semakin terasa. 

Ai Tee punya standard memang susah nak ikut. Kesian Nic. Saya cuba membantu mengurangkan kerja Nic, mana tahu makin menambah beban. Semasa budget baru-baru ini, saya berjanji dengan diri akan membuat budget pada sesi akan datang. Cepat betul nak jadi kenyataan. Nic nak resign pula. Niat di hati hanya mahu tolong buat kerja Nic, mana tahu lepas ni memang kena buat betul-betul. 

Baru-baru ini, saya mengambil tugasan Nic kerana dia sibuk membuat budget. Setelah membentangkan ke Ai Tee, dia marah. Salah saya tidak memeriksa berkali-kali. Ai Tee sangat kecewa sehingga dia menangis. Allah. Saya tidak tahu mahu membuat apa. Nic meneruskan kerjanya seperti biasa. Antara alasan dia tidak boleh bekerja lagi adalah itu. Kerana dia tidak mahu Ai Tee sakit akibat kami. Lagi-lagi dia sedang mengandung. Ai Tee pernah mengadu yang kami masih lambat dan dia takut bila dia cuti bersalin, kami tak dapat fulfill kehendak Alice. Samada dia memang risaukan kami atau risaukan reputasi dia, saya kurang pasti. Saya percaya Ai Tee baik. Sangat baik. Tapi, expectationnya menyebabkan dia dan kami tersiksa. 

Berita Nic menyesakkan dada saya. Tapi, saya mahu dia gembira. Jika di luar dia lebih gembira, silakan Nic. After all, itulah apa yang kita nak buat kat dunia ni. Gembirakan diri sendiri. Saya selalu doa dia akan gembira dan dipermudahkan urusan. Pada masa yang sama, doa dia tidak resign. Walaupun peratusannya tipis. 

Yang susah senang melayan Chan Sow Lin

Saya balik ke rumah malam itu lambat. Deekay sudah tidur. Esok paginya, saya sudah bangun, Deekay masih tidur. Biasa dia yang akan bangun dulu. Sehingga saya sudah mandi dan mengejutkannya. Saya tertanya dalam hati, 'Adakah dia kembali sakit?' Perasaan sesak itu datang sekali lagi. Saya gembira Deekay di sini sehingga tidak mahu dia sakit. Selfishnya saya mahu orang-orang di sekeliling saya kekal bersama saya. Ingatan tentang Deekay takde mmbuatkan saya sedih. Semasa saya bersiap, dia bangun untuk mandi. Tidak sempat bertanya khabar. Di pejabat, saya menceritakan kepada Sity perasaan saya. Di akhirnya, saya berkata, 'Ty, tu baru kawan. Kalau suami macammanalah? Agak sebab tu takde lagi. Aku attached ke orang ni kuat sangat.' Sity Hanya membalas, 'Tau takpe."

Balik rumah malam itu, saya berborak dengan Deekay. Dia tidak sakit. Cuma malas mahu bangun pagi. Itu sahaja. Pejabatnya mula jam 9 pagi. Dia rasa dah keluar lewat dah pagi tadi, pun masih belum ada orang sampai. 

Allah. Perasaan ini, Kau yang berikan. Saya bersyukur dengan semua perasaan ini. Dengan orang di sekeliling saya. Pada masa yang sama, saya redha sesiapa yang Kau datangkan dan jauhkan dalam hidup saya. Mereka mengajar saya untuk terus kuat dalam hidup dan menjadi lebih baik. Mereka adalah pembelajaran terbaik untuk saya. Saya mendoakan kegembiraan dan kesihatan untuk mereka dunia dan akhirat.

Deekay baru sampai. Kami shopping barang rumah. 

Love..

No comments:

Post a Comment