Saturday, March 28, 2020

Hari ke-11 - PKP

Dah masuk hari kesebelas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Allah. Satu nikmat sebab ada rumah yang ada bahan-bahan nak masak, ada peti sejuk dan duduk dalam rumah yang boleh pusing-pusing. Boleh basuh baju, lap tingkap dan sapu sampah semua. Alhamdulillah. Segala puji dan syukur hanya kepada Allah yang Maha Pemberi Rezeki. Kalau dekat bilik sewa, tak tahulah nak pergi mana je nanti. Simpati saya kepada orang yang tinggal seorang di bilik sewa. Juga kepada keluarga yang beranak ramai dalam satu rumah yang sempit. Hampir sebulan duduk rumah. Bagaimanalah agaknya. Saya berdoa Allah memberikan kelapangan kepada semua, ketenangan hati, tabah menghadapi semua ujian dan kasih sayang dan menganjarkan pahala yang banyak untuk semua kesusahan kita di dunia.




Simple breakfast 

Jungle here and there

Stok sayur yang ada. Tinggal sikit

Baki nasi, buat nasi goren


Di bahagian saya, Alhamdulillah dengan perpindahan ke rumah baru. Rumah yang kecil sahaja, tingkat 4, cukup untuk saya belajar hidup. Nafisah pernah memberitahu saya, mungkin rumah ini merupakan latihan sebelum saya menjadi isteri nanti. Haha. Masih belum mampu. Langsir pun saya malas nak fikir. Tolong suami, beli rumah yang dah siap furnish dengan langsir. Tetapi, bagi saya lebih kepada menjadi lagi baik kepada diri sendiri. Saya perlu membasuh baju saya sekarang. Tidak ada masalah. Tetapi ada sekali, tiba-tiba mahu hujan dan saya terpaksa berlari keluar kerana baju di ampaian. Kalau di Klang, biasa saya di atas dan jika mahu hujan, saya buat bodoh je. Lantaklah orang dekat bawah angkat. Allah. Mengelat pandai betul. 

Di sini saya terpaksa memasak. Kadang-kadang bergilir dengan Deekay. Lauk dia dan saya berbeza. Saya sukakan kuah dan dia boleh sahaja makan tanpa kuah. Alhamdulillah jenis yang boleh mengikut je, maka saya makan berkuahkan kicap sahaja. Biasa kami masak satu jenis lauk sahaja. Itu pun dah rasa nikmat. Maka, saya menghargai lauk di rumah Klang. Mak mesti akan masak satu lauk kuah, sayur dan ikan goreng. Sini, stok sayur habis, takde kami pergi belinya. Makan sahaja apa yang ada. 

First time masak berkuah. Bertambah masing-masing


Saya baru memulakan hidup berdikari. Walaupun sebelum-sebelum ini, saya memang biasa tinggal di luar, tetapi semuanya mudah. Waktu duduk di kampung, haruslah makan minum pakai semua terjaga. Juga semasa di UiTM Sri Iskandar. Batch kami memang antara yang terakhir dapat bantuan makanan dari kerajaan. Jadi, makanan itu tiada masalah. Bila di UiTM Shah Alam, makan beli sahaja. Juga semasa di Petaling Jaya. Jarang saya memasak. Semua urusan dipermudahkan. Nafisah lebih otai merantau dari saya. Memang semua asam garam dah belajar dari dialah. Siap dia pesan, beli barang dapur sikit-sikit. Jangan sekali banyak. Nak angkat sampai rumah nanti susah. Kes dia sama sahaja seperti saya. Cuma, dia kena menaiki sampan dan jauh dari perhentian ke rumah dia. Saya pula, dari parking kena menapak ke tingkat lima. Sama kesusahan cuma vertical atau horizontal je perjalanan itu. 

Apa khabar iman semua cuti-cuti ini? Harap-harap tenang dan bertambah. Setiap hari, setakat ini Alhamdulillah saya masih mengikuti ceramah Rasulullah s.a.w dari Ustaz Azlan Shah di Facebook HirahEd. Saya mendoakan kesihatan untuk semua. Semoga bertabah dan keluar dari Perintah Kawalan ini, kita akan menjadi lebih kuat dan mensyukuri semua nikmat yang Allah berikan dari sekecil-kecil perkara sehingga ke nikmat keluar berjalan-jalan tanpa perlu terkurung. 

Rutin. Moga istiqomah


Sama-sama kita mendoakan semua pekerja-pekerja bahagian hadapan seperti doktor, jururawat, makcik cleaner, pembawa van ambulance, polis, tentera, pekerja speedmart, tukang ambil sampah dan semua diberikan Allah kekuatan yang luar biasa untuk mengawal penyakit ini, diselamatkan dari terkena jangkitan covid19 dan diberikan ganjarkan syurga tertinggi. 

Love..

No comments:

Post a Comment