Tuesday, March 26, 2019

Rumah Kita - Pandan Jaya

Hujung minggu yang lalu, saya menyebok-nyebok dalam program mahallah jagaan Mekna. Mekna kini sudah jadi fellow di mahallah Sumayyah, UIA. Program mereka kali ini adalah lawatan ke Rumah Kita. Rumah transit untuk ibu mengandung yang tidak mempunyai suami. Terletak di Pandan Jaya, Rumah Kita ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Puan Vimmy Yasmine Razak (meninggal dunia bulan November 2018 yang lalu - moga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman. Amin). Sedikit mengenai Rumah Kita di sini

Kami tiba di sana awal sangat. Berjanji jam 9.30 pagi, tapi kami tiba dalam jam 8.30 pagi macam tu. Bas yang membawa kami, perlu mengambil orang lain selepas itu, jadi dia tinggalkan kami di situ sahaja. Awal sangat kot. Yelah, baby dan ibu mengandung nak bersiap-siap lagi. Jadi, kami hanya menunggu di perkarangan rumah sahaja. Dalam lebih kurang jam 9.15 pagi, datang seorang wanita menggelarkan diri sebagai mummy. Beliau adalah volunteer menjaga Rumah Kita kerana mempunyai kerja tetap. Biasanya selepas kerja dan hujung minggu, beliau akan menjenguk Rumah Kita. Selain Rumah Kita, mummy juga terlibat dengan NGO Unggas yang lebih kepada memberi makan kepada gelandangan. Cerita mummy, dulu awal-awal masa mereka memberi makan kepada homeless di Kuala Lumpur pada tahun 2009, terdapat seramai 3,000 orang homeless di Kuala Lumpur. Jumlah itu semakin berkurang, dan sekarang hanya 1,000 orang sahaja. Sekarang lebih kepada miskin bandar.

Cerita mummy lagi, biasa mereka akan masak di sini untuk gelandangan dan dibantu oleh penghuni-penghuni di sini. Bagusnya, dapat pahala memasak untuk orang susah. Padahal diri sendiri dah susah nak bawa baby dalam kandungan. Dahlah nak kena belajar dan mengandung dan menghadapi tohmahan orang ramai. Mereka di sini, akan duduk dan masa sdipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat. Ada kelas agama dan kelas belajar juga. Yang paling muda 13 tahun dan paling tua 24 tahun. Bukankah sepatutnya masih di sekolah belajar? Jadi, mereka perlu belajar seperti orang lain juga di sini

Kata mummy, kritikan dan cemuhan itu sudah terlalu biasa. (Ya, kita senang untuk menghakimi orang tanpa tahu cerita sebenar. Kena kurangkan ini sahabat) Tetapi, kerja-kerja Vimmy perlu diteruskan. Sebelum Vimmy menghembuskan nafas, mereka sudah memberi tugasan siap-siap untuk menguruskan Rumah Kita. Allah, saya yang mendengar pun sebak. Macammanalah mereka yang merasainya.

Rumah Kita bukan sahaja memberi perlindungan untuk ibu-ibu mengandung ini berteduh, tetapi juga memberi dorongan, tunjuk ajar semasa mengandung dan di dalam pantang. Mereka tidak boleh lama di sini. Selepas melahirkan, mereka perlu berdikari. Rumah Kita adalah sebagai transit sahaja semasa mereka sedang menunggu hari. Allah. Saya lihat budak-budak ini, begitu polos muka mereka. Tidak berborak banyak dengan mereka, kerana saya dan Mak Ina sibuk di dapur. Kami membantu memasak spageti, sup cendawan dan membuat air sirap limau untuk semua orang. Alhamdulillah untuk kepakaran membantu di dapur, jika tidak, pasti saya sudah janggal mahu membuat apa dengan budak-budak itu. Saya takut, kata-kata saya tersalah dan menghiris hati mereka. Pelajar-pelajar UIA tersebut membuat aktiviti bersama penghuni di situ.

Selepas masak, kami mengemas dapur dan makan bersama-sama. Waktu itu baru dapat berborak sedikit. Program pun tidak lama kerana ibu-ibu mengandung perlu berehat. Sebelum pulang, saya memeluk mereka setiap seorang. Allah. Macam adik-adik saya. Mereka mungkin telah tersilap atau mangsa keadaan. Janganlah kita menghukum mereka dan anak mereka. Sudah pasti, jangan menghukum orang kerana kita tidak tahu pengakhiran kita bagaimana kelak? Saya harap mereka kuat dan memberi peluang kedua kepada diri mereka dan anak mereka. Menjadi lebih baik dan berbakti kepada orang lain. Ya, doa yang sama juga untuk saya dan kita semua.



Love..

No comments:

Post a Comment