Tuesday, July 17, 2018

Kisah Kasih Along

Along,

Dahulu,
Ketika aku suka bercerita,
Masih mahu bertanya,
Masa kau bertiga, sehingga berdua,
Kau tidak membuka semua,
Mungkin cara atau kataku sukar diterima,
Atau lebih kepada paksa,
Dan kau tidak selesa,
Tidak mengapa,
Aku terima seadanya,

Berkali-kali aku kata,
Carilah yang lain jika tidak keluarga,
Sesiapa sahaja,
Asal mampu keluar semua,
Apa yang terbuku di dada,
Aku yakin kau bisa,
Tapi, bagiku itu cuma kata,
Bagimu mungkin memaksa,

Sekali itu,
Egoku lebih tinggi dari otak di kepala,
Syaitan berlari masuk ke jiwa,
Mencabar dan menolak semua kasta,
Kakak dan adik tidakku beza,
Terkeluar semua dan tertinggi suara,
Dan kau makin terasa,
Membawa lara bersama satu-satunya harta,
Anak penenang semua duka,

Aku manusia,
Yang berdosa dan terlupa,
Kepada siapa pemegang jiwa,
Hanya Dia Yang Maha Esa,
Aku cuma pengantara,
Dialah pengubah semua,
Aku hamba yang alpa,

Sekarang,
Aku masih tidak berdaya,
Untuk belajar mengatur bahasa,
Atau berkongsi rasa bersama,
Memilih diam dari berbicara,
Pada hemahku, itu lebih baik dari tertinggi suara,
Dan mengulang sejarah lama,
Yang tidak mungkin terpadam di minda,

Tidak tahu sampai bila,
Apa pengakhirannya,
Semoga yang baik-baik sahaja,
Doa semoga engkau kembali berjiwa,
Rasa diri mempunyai keluarga,
Untuk berkongsi semua cerita,
Kisah gembira atau merana,
Terima semua seadanya,

Kau pernah menjadi idola,
Untuk aku semasa muda,
Adik-adikmu memandangmu sebagai wira,
Yang pertama memasuki menara,
Yang menasihati kami semua,
Walau kami tidak suka,
Tetapi tegasmu, kami akur jua,
Kau pembantu emak ayah yang setia,
Ketika kami berseronok sahaja,
Kau mengurus rumah tangga,
Kami membantu apa dayanya,
Namun, kau Along melebihi semuanya,

Harapan,
Semoga Allah menunjuk cara,
Tidak terputus hubungan keluarga,
Dunia ini hanya sementara,
Akhirat jua kekal selamanya,
Moga di sana kita bersama,
Tapi, elok di sini juga,
Ku tunggu saat itu tiba,
Percaya percaya percaya,
Kuasa Dia melebihi semua,
Jika Dia mengkehendaki apa-apa,
Siapa kita mahu menghalangnya,
Sangka baik sahaja,
Allah sebaik-baik Pengaturcara.

Sayang selalu,
160718
Petaling Jaya

Love. 💕💕

No comments:

Post a Comment