Thursday, June 23, 2016

Ramadhan 17 - 2016

Sempena cuti Nuzul Al-Quran, saya pulang ke Klang. Malam tadi merupakan giliran ayah menjadi imam di surau. Teringat ketika kecil ayah menjadi imam di dewan semasa kami tinggal di rumah tepi sungai yang lama. Tugas saya bersama Kak Ila atau Zaharah ketika itu membentang tikar dan menyiapkan makanan moreh seterusnya membasuh pinggan dan cawan selepas mereka makan. Ayah imam tetap 30 hari. 

Sekarang, ada beberapa hari sahaja ayah menjadi imam. Malam tadi adalah sehari dari 4 hari yang terpilih. Ayah mengajar tazkiah cara mendapat khusyuk ketika solat yang ayah tonton di dalam Youtube, dari seorang ustaz di Singapura. Ya, tugas ayah hanya menyampaikan.  Dapat dan tidak, itu terpulang pada individu. Sekiranya dipraktiskan, menjadi pahala buat ayah. Jika tidak, ayah juga tidak rugi. 

Tahun-tahun sebelumnya ayah akan memanjangkan sujud untuk kami berdoa. Tahun ini ayah mengajar tazkiah. Ayah juga ada perkembangan baru setiap tahun. Kelebihan menjadi orang yang ada kuasa untuk bercakap, iaitu boleh menyampaikan ilmu untuk dikongsi bersama. 

Selepas solat isyak dan terawih, ayah membaca doa di dalam bahasa melayu. Doa ramadhan ayah tahun lepas di sini dan sedikit penambah doa, ayah baca selesai solat. Allah. Saya mendengar makcik di sebelah dan di belakang saya bersungguh mengaminkannya. Lebih faham dan lebih jelas apa yang kami minta. Maka, amin itu lebih terasa. Berbanding doa bahasa Arab yang kita biasa aminkan tetapi tidak faham maknanya. Terima kasih ayah menunjukkan jalan. 

Saya bersyukur dengan nikmat perasaan dan keluarga yang Allah beri kepada saya. Sebaknya perasaan berimamkan ayah di surau. Adakah saya dapat merasainya tahun hadapan? Berapa kali lagi dapat saya merasai perasaan ini Mengalir lagi airmata saya. Tidak pasti sebanyak mana airmata kegembiraan atas nikmat-nikmat keluarga jatuh ramadhan ini, diselang seli dengan tangisan susahnya menghadapi dugaan dan kasih sayang Allah untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar sekarang. Benarlah, cabaran untuk hidup lagi mencabar dari kamu pergi menjadi pengebom berani mati.

Ramadhan yang menguji saya tahun ini. Berdoa dan masih lagi berdoa diberikan kekuatan. Turun naik perasaan kali ini seperti roller coaster. Sekejap okay. Sekejap lagi tewas. Semoga saya masih meminta padaNya dan tidak pada makhluk ciptaanNya. Doa dan terus berdoa. Moga Allah bantu menunjukkan jalanNya. 

Saya berimpikan untuk beriktikaf di minggu terakhir sebelum pulang ke kampung. Semoga kerja saya selesai sepenuhnya dan saya boleh cuti dengan tenang. Selain itu, saya juga mahu menghabiskan Al-Quran dan terjemahannya. Semoga Ramadhan kali ini mendekatkan kita dengan Al-Quran dan mencapai taqwa yang sebenar-benar taqwa. Makbulkan Ya Allah. 

Perlu tidur sekarang. Esok masih perlu meneruskan kehidupan. Semoga dipermudahkan dan ditunjukkan jalan. Buat kamu dan juga saya. 

:)

Love..

No comments:

Post a Comment