Monday, January 18, 2016

Lara Sepasang Nisan

Menonton cerekarama Lara Sepasang Nisan dengan penuh beremosi semalam. Sepanjang cerita menitiskan airmata. Kisah Pakcik Tahar pembuat nisan yang tinggal bersama isterinya di tanah pusaka isterinya bersama adik lelaki isterinya, Bidin kalau tidak silap namanya. Anak-anaknya pula sudah mempunyai perniagaan di KL dan tidak mahu menyambung perniagaan batu nisan itu. Kemudian adik iparnya mahu mengambil geran tanah untuk memulakan bisnes tetapi dihalang oleh isterinya. Satu hari, bangsal membuat batu nisannya terbakar, dan Pakcik Tahar tidak berjaya memadamkan api. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, isterinya yang memang menghidap asma meninggal dunia malam itu juga. Anak-anaknya datang ke majlis pengebumian emaknya tetapi terus pulang ke KL (apakah jenis anak ini?). Bidin menyuruh anak-anaknya mengambil ayah mereka minggu hadapannya tetapi mereka sibuk. 

Setelah kematian kakaknya, Bidin menjual tanah pusaka tersebut dan pakcik Tahar membawa diri ke hujung kampung dan tinggal di pondok. Di dalam pada masa yang sama mengajar seorang budak remaja cara membuat nisan. Anak-anak menghadapi masalah perniagaan dan dibantu dengan wang pemberian mereka kepada Pakcik Tahar yang tidak digunakan langsung oleh Pakcik Tahar. Bidin pula akibat gagal membayar hutangnya kepada Along telah dipotong sebelah kakinya. Pakcik Tahar meninggal dunia selepas solat Zuhur bersama dengan anak tok imam di kampungnya yang belajar membuat nisan beraama Pak Tahar (Sudah lupa namanya, saya gelarkannya Adam) dan telah menyiapkan nisan untuk dirinya sendiri. Anak-anaknya yang telah insaf dan mahu pulang berjumpa dengan ayah mereka hanya berkesempatan sampai ketika ayahnya sudah menjadi jenazah.

Antara dialog yang terkesan kepada saya adalah dialog Pak Tahar kepada anaknya;
'Baliklah dan solat. Jangan lupa doa untuk emak kamu. Dia sedang menunggu doa anak yang soleh untuknya'
- ;( 

Dialog Pak Tahar kepada Adam;
'Tak cukup agaknya ilmu agama yang kami ajar kepada mereka sampai mereka jadi begitu'
- Iman memang tak dapat diwarisi. Jadi baik. Jadi baik. Jadi baik. Tolong orang, dengan harapan Allah akan tolong kita. 

Dialog Pak Tahar kepada Adam;
'Dunia ini kalau kita kejar, memang boleh dapat. Tetapi kalau kita kejar akhirat, dunia pasti kita dapat.'
- Huhu. Agak-agak, apa yang kita tengah kejar sekarang? 

Dialog anak-anak Pak Tahar; 
'Kalau sambung kerja ayah pun bukan boleh jadi kaya' 
- Memang tidak kaya, tetapi Pak Tahar hidup dengan tenang sahaja di kampung. Tidak menyusahkan orang lain. Malahan dapat membantu anaknya yang memerlukan duit lagi. 

Separuh cerita itu, saya naik ke dalam bilik. Malas mahu beremosi di hujung minggu. Tetapi, saya merasakan, masa itulah merupakan masa saya bersama keluarga dan turun kembali menonton dan melalak-lalak sampai mata bengkak. Tahniah kepada tenaga produksi yang saya juga tidak tahu siapa.

Banyak sangat pengajaran cerita itu. Saya menjadi terfikir, memang kita tidak tahu akan jadi apa anak kita bila membesar nanti. Habis semua ilmu telah diberi, tetapi pengakhirannya memang tidak dapat dijangka. Saya memuhasabah diri. Adakah saya menyenangkan ibu ayah saya? Walaupun tidak dapat banyak membantu, sekurang-kurangnya tidak sangat menyusahkan. Pengakhiran saya bagaimana bersama ibu ayah juga saya tidak dapat jangka. Sentiasalah berdoa dan bersama orang-orang yang akan mengingatkan kita tanggungjawab kita kepada ibu bapa.

Pernah mendengar Ustaz Pahrol memberi tazkirah, katanya "Apa je yang kita boleh harapkan dari orang lain adalah doa dan nasihat mereka. Bila kita berbuat baik kepada mereka, kita tidak mengharapkan dia akan berbuat baik kepada kita, tetapi kita boleh harapkan doa dan nasihat dia kepada kita."

Ayah
Emak

Semoga kami anak-anakmu ini menjadi golongan penyambung pahala kamu berdua. Amin. Amin. Makbulkan Ya Allah.

Love..

No comments:

Post a Comment