Thursday, November 12, 2015

Kisah Satu Malaysia

Di sebuah pusat membeli-belah di Selangor

Dua orang gadis Melayu memasuki ruang kedai aksesori wanita berjenama dengan tujuan mahu membetulkan jam yang dibeli salah seorang gadis itu. Jam mahal, maka jaminan ganti sepanjang hayat. Sedang salah seorang gadis tadi memberi maklumat mengenai jam dan dirinya kepada pelayan kedai, seorang lagi gadis berjalan-jalan mengelilingi kedai. Melihat kepada harganya, bermimpilah gadis itu di siang hari jika dapat membelinya. Masuk seorang wanita Cina ke dalam kedai dan melihat-lihat barangan yang dipamerkan. Beliau mengambil sebuah beg dan menggayakannya di hadapan cermin lalu bertanya harganya kepada pelayan kedai. 

A : How much is this? 
B : Nine nine nine
A : Oo. What colour do you have? 
.................

Gadis Melayu yang mendengar perbualan tersebut terus mengira di dalam kepala. Adakah RM99 atau RM999. Tidak mungkin beg itu berharga RM99 sahaja. Tas tangan sahaja sudah RM100 lebih. Jadi benarlah harganya RM999. Wau. Bermimpi lagi si gadis di siang hari. Alangkah indahnya jika dapat merasa membeli dengan harga itu tanpa perlu memikir apa-apa.

Menyambung perjalanan kedua-dua orang gadis yang comel ke sebuah kedai seluar yang berjenama. Mencuba seluar yang akan memberi nilai kepada pembeli dengan harganya. Kali pertama si gadis mahu membeli seluar semahal itu. Mari menggembirakan diri sendiri dengan menghadiahkan diri akibat penat bekerja bertahun-tahun tanpa mempunyai seluar yang mahal. Seluar yang jin akan marah kerana berebut dengan mereka. Selepas mencuba dan mahu membayarnya di kaunter, pelayan memberitahu bahawa, jika membeli dengan pembelian RM499 di dalam satu resit, maka kita akan mendapat 20% potongan. Mencongak-congak di kepala lalu berdiskusi sesama mereka, jika mahu mengambil lagi satu seluar untuk mencukupkan RM499. Seluar yang kami pilih berharga RM215. Hampir RM50 jika mendapat potongan. Duit makan tiga hari di pejabat. 

Tetapi, tiada keperluan untuk membeli sepasang lagi. Terlihat sepasang suami isteri berketurunan India sedang mencuba-cuba seluar juga. Akal di kepala mengilhamkan untuk berkongsi resit bersama supaya dapat manfaat potongan harga. Selepas menerangkan kepada si isteri perihal potongan harga dan niat untuk berkongsi resit, beliau mengangguk bersetuju. Gembiralah hati gadis melayu tidak terkira. Fikir mereka, dapat membantu menambah jumlah pada resitnya, rupa-rupanya mereka yang menumpang resit suami isteri tadi. Jumlah pembelian suami isteri itu melebihi dari cukup kerana mereka membeli tiga pasang seluar. Setelah mereka membayar menggunakan kad kredit, gadis melayu itu memberikannya wang tunai dan menyuruhnya menyimpan lebih yang berbaki RM3 itu. Tetapi, si isteri menolak dan memberi kembali walaupun puas gadis itu menyuruhnya menerima sahaja. Apalah tiga ringgit itu jika dibanding dengan RM50 diskaun itu. Si isteri memulangkan semula baki kepada gadis itu tadi. Katanya mereka sudah financially stable. Melihat pembelian mereka, diakui, memang sangat stabil. Terima kasih banyak-banyak. Semoga bertambah murah rezeki kamu. Kaya dan baik. Semoga lebih ramai lagi seperti mereka di Malaysia ini. 

Mari bercita-cita menjadi kaya dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Tetapi, sebelum kaya itu juga harus berusaha menjadi baik dan dapat memberi manfaat kepada orang lain dengan cara yang lain.

'Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian, Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan; maka mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus' Surah At-Tin (95:4-6)

Berebut seluar dengan jin.

Love..

No comments:

Post a Comment