Wednesday, October 8, 2014

Firdaus Ke India

Saat menulis ini, adik lelaki saya telah selamat (saya doakan) berada di India. Muhammad Firdaus telah keluar selama 4 bulan mengikuti tabligh ke India,Pakistan dan Bangladesh (IPB-kata Pak Busu saya.) Sejak dua menjak ini saya kurang berborak dengannya. (Saya rindukan saat berborak dengan adik-beradik.) Saya kurang mengetahui bagaimana bermulanya keinginannya untuk keluar selama 4 bulan ini kerana sebelum ini beliau agak teruja dengan Public Gold dan penjualan emas. Kami pernah berborak bagaimana beliau boleh menuntut dan bermentor bersama mama selepas kontrak pekerjaannya tamat pada penghujung bulan 9 secara sepenuh masa. Tetapi, tidak pasti di mana saya tertinggal fasanya, balik rumah Jumaat lepas, adik kesayangan saya memberitahu mahu ke India pada esok hari (Sabtu). Emak sudah tahu dia mahu ke India, cuma kurang pastu tarikhnya.  
Pada malam itu juga baru dia memberitahu emak dan ayah saya. Menjadi emak dan ayah yang sentiasa redha dengan perangai anak-anak yang pelik-pelik (esok nak pergi India, bagitau malam tu. 4 bulan pula tu, bukan 4 minggu, India lagi-bukan Kedah okay) dan sifat tawakal yang tinggi, maka tidaklah terjadi drama sangat selepas berita itu tersebar. :) Walaupun nampak sedikit kerisauan di hati emak, sifat tenang ayah berjaya mengurangkan risau emak itu. Saya sedikit menyesal malam itu kerana tidak menemani adik saya mengemas baju. Semakin hari, tenaga saya semakin berkurang. Mungkin juga kerana kepenatan berpuasa. Terasa sangat mengantuk dan terus tidur. Jika tidak, mungkin saya boleh berborak dengannya sambil melihat dia mengemas baju. Maaf Daus. 
Keesokan paginya, kawan adik saya menjemputnya. Mereka akan ke Sri Petaling dahulu sebelum bersama-sama ke Lapangan Terbang pada petangnya. Sangatlah berdikari adik kami ini dan tidak kisah kami,  langsung tidak menghantarnya ke airport. Hehe.
Daus meninggalkan telefonnya di rumah. Katanya mahu mencari diri tanpa sebarang halangan. Setakat ini, setahu saya, kami masih belum mengetahui kedudukannya. Sudah sampai di mana dan dengan siapa. Semoga selamat semuanya. 
Saya sangat percaya, pengembaraan akan lebih membuka minda dan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Di bumi orang yang kita tidak kenal, tentu sahaja pergantungan kepada Allah sangat tinggi. Lagi pula tujuan pengembaraan adik saya untuk berdakwah. InsyaAllah, sentiasa di bawah kasih sayang Allah. Semoga Allah melindungi adik saya dan rakan-rakannya dan memudahkan semua urusannya di tempat orang. Juga semoga adik saya berjaya mencari apa yang dicarinya untuk menjadi muslim yang lebih baik. Juga saya berdoa emak saya diberikan ketenangan (saya tidak nafikan dalam 8 orang adik-beradik, Daus merupakan softspot emak, walaupun selalu bergaduh konon-konon emak lebih sayangkan adik kami yang bongsu. Hehe.) supaya emak tidak terlalu ( risau tiada masalah, cuma jangan terlalu) risau selama 4 bulan ini. 

Baru perasan, tiada gambar berdua bersama my bae.. 

Saat mengemas rumah Kak Mi.

Kerana mereka adalah tempat berkasih sayang.

Maka, nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan? 

Love..

No comments:

Post a Comment